Jumaat, 7 Oktober 2011

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Jumlah peserta IKIT melonjak

Posted:

Jumlah peserta IKIT melonjak

Jumlah peserta IKIT melonjak

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY
utusanjohor@utusan.com.my


Sebahagian ibu tunggal yang hadir pada majlis dialog Memperkasakan Ibu Tunggal di Hotel 11@Century, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU 6 Okt. - Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (IKIT) semakin mendapat perhatian daripada golongan tersebut dengan bilangan penyertaan pada tahun ini dijangka mengatasi jumlah peserta sejak ia dimulakan pada 2008 hingga tahun lalu.

Pengarah Bahagian Perancangan Pembangunan Wanita di Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Azman Mamat berkata, sehingga bulan lalu, seramai 890 ibu tunggal telah mendaftarkan diri untuk menyertai IKIT sementara 70 pemohon dari Sarawak dan 40 ibu tunggal dari Kelantan sedang dalam proses menunggu kelulusan.

"Sejak dimulakan sehingga tahun lalu, program IKIT mencatatkan sejumlah 960 peserta. Ramai yang ingin turut serta dalam program ini kerana selain dianjurkan secara percuma, ibu tunggal turut diberi elaun bantuan sepanjang mengikuti latihan.

"Apa pun keutamaan tetap diberikan kepada ibu tunggal yang miskin, sesuai dengan tujuannya untuk memberi latihan kemahiran dan membimbing golongan ini sehingga menjadi usahawan berjaya," katanya pada majlis dialog Memperkasakan Ibu Tunggal di Taman Abad, di sini, semalam.

Tambah Azman, JPW yakin dengan kemampuan menampung pertambahan jumlah peserta yang mendadak kerana banyak peruntukan telah ditetapkan untuk menjayakan IKIT sepanjang tahun ini.

Program anjuran Pejabat Pembangunan Wanita negeri itu melibatkan dialog dengan wakil Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Bahagian Jabatan Kehakiman Syariah, Jabatan Guaman, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Johor Bahru dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Terdahulu ketika ditemui pemberita, Azman turut menyatakan harapan untuk mendengar berita gembira agar berlaku pertambahan peruntukan kepada JPW dalam Belanjawan 2012 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, petang esok.

"Sejak penubuhannya sedekad lalu, hampir 600,000 wanita menerima manfaat melalui pelbagai program pengupayaan dan memperkasakan wanita dalam bidang kesejahteraan diri, pengetahuan undang-undang dan kemahiran keusahawan," kata beliau lagi.

Jelasnya, sepanjang tempoh itu, sejumlah RM45.6 juta telah dibelanjakan bagi melaksanakan program seperti IKIT, Inkubator Keusahawanan Wanita (Ikeunita), Agronita, Jejak Bestari, Program Wanita Bijaksana, Wanita Sejahtera dan pelbagai lagi program di bawah Geran 1Azam.

Justeru itu, Azman menyeru golongan ibu tunggal yang masih merasakan diri mereka tidak terbela agar tampil menyertai persatuanpersatuan yang ada agar sentiasa mendapat maklumat terkini mengenai program yang dapat membantu mereka memajukan diri dan tidak mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata.

Pegawai, anggota polis perlu tingkatkan ilmu

Posted:

Pegawai, anggota polis perlu tingkatkan ilmu

Pegawai, anggota polis perlu tingkatkan ilmu

JOHOR BAHRU 6 Okt. - Semua pegawai dan anggota polis di negeri ini digesa untuk meningkatkan nilai diri dan ilmu masing-masing supaya mudah mendapat pengiktirafan terutama dalam bentuk kenaikan pangkat.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, perkara itu digariskan di bawah Para 50 Perintah AM Bab 'A' berkaitan kenaikan pangkat yang menyatakan seorang pegawai dipilih untuk kenaikan pangkat semata-mata atas kebolehannya.

Beliau berkata, kebolehan yang dimaksudkan itu merangkumi kecekapan yang ditunjukkan dalam tugasan, keperibadian, kelulusan serta pengalaman yang sesuai dengan jawatan yang bakal diisi.

"Meskipun kenaikan pangkat ini adalah secara berasaskan tempoh perkhidmatan, semua yang terlibat adalah anggota terpilih serta memenuhi syarat yang ditetapkan dan kriteria tersebut berasaskan kepada prestasi, disiplin dan keperibadian," katanya pada Majlis Pemakaian Pangkat Korporal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Seramai 502 anggota dari seluruh negeri ini terlibat dengan proses kenaikan pangkat tersebut yang berkuat kuasa 25 Mac tahun lalu.

Sementara itu, Koperal B. Rajendra Prakash, 48, melahirkan rasa gembira dengan kenaikan pangkat tersebut dan ia menjadi pendorong kepadanya untuk terus melaksanakan tugas dengan lebih cemerlang.

"Sebagai anggota polis, kita seharusnya melaksanakan tugasan yang diberikan dengan sempurna dan sedia menerima arahan pada bila-bila masa," katanya yang kini berkhidmat di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara.

Bagi Koperal Harminder Singh Pritam Singh, 44, kenaikan pangkat itu merupakan sebahagian daripada keprihatinan kerajaan terhadap pengorbanan pihak polis di negara ini.

Katanya, kenaikan pangkat secara berasaskan tempoh perkhidmatan itu diharap akan diteruskan ke semua peringkat bagi menyuntik semangat para pegawai dan anggota supaya terus berkhidmat dengan cemerlang.

"Usaha ini juga secara tidak langsung akan dapat menarik minat lebih ramai golongan muda terutamanya bukan bumiputera untuk menyertai pasukan polis pada masa akan datang," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Zalina cari inspirasi cipta kek

Posted:

Zalina cari inspirasi cipta kek

Zalina cari inspirasi cipta kek

Oleh SHOLINA OSMAN
Gambar MOHD. IQBAL ROSLI


Minat Zalina Yahya dalam pembuatan kek mendorongnya menganjurkan kelas .


Cantik dipandang tapi tidak sedap dimakan tidak memberi banyak makna pada sebiji kek biarpun ia diberi nama yang indah-indah.

Menerimanya sebagai satu cabaran apatah lagi memikul gelaran sebagai 'guru kek', Zalina Yahya mengambil masa untuk berinovasi dalam menghasilkan kek supaya ada kelainan dari segi rasa dan rupa pada setiap hasil 'air tangannya'.

''Saya tidak mahu peminat kek rasa jemu dengan rasa yang sama dan dengan itu saya juga turut rasa bertanggungjawab untuk mencipta kek berperisa baru,'' katanya.

Justeru pemilik Bzee Bakery yang turut menganjurkan kelas membuat kek ini memastikan akan menghasilkan sekurang-kurangnya empat resipi terbaharu untuk kek pada setiap tahun.

''Pada saya inovasi rasa dalam pembuatan kek amat perlu supaya peminat kek tidak akan merasai kek yang sama setiap kali menikmatinya,'' katanya ketika ditemui di kedainya di No:23, Tingkat Bawah, Magistrate Square, Seremban 2, Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Bagi mendapat inspirasi dan idea baru Zalina menggunakan masa rehatnya dengan makan angin ke luar negara khususnya ke Eropah yang sememangnya mempunyai sejarah panjang dalam dunia pastri.

''Saya menggunakan masa itu untuk bertanya dan mencungkil rahsia-rahsia pembuatan kek. Di sana saya cuba rasa pelbagai jenis kek yang ditemui dan membandingkannya dengan rasa yang kita ada di Malaysia,'' katanya.

Sekembali ke tanah air, dia mula bereksperimen menghasilkan kek-kek baru yang disesuaikan dengan cita rasa tempatan.

Sekalipun tugas itu tidak mudah, dia tetap berasa seronok melakukannya atas dasar minat.

Jelas Zalina lagi, dalam membuat kek sebenarnya dia tidak begitu ghairah untuk mencipta kelainan dalam menghias.

''Bagi saya rasa itu lebih penting. Sebab itu kek saya dijual agak mahal sedikit kerana ia lebih kepada kualiti rasa dengan pengunaan bahan-bahan terbaik,'' katanya.

Malah katanya, setiap rasa kek yang dihasilkan tidak akan dapat dirasa dari mana-mana kedai kek.

Oleh itu kata Zalina, dia mempunyai 'resipi rahsia' dalam membuat kek yang hanya akan dikongsi dengan pelajar yang mengikuti kelasnya.

Dia juga tidak kisah untuk berkongsi 'resipi rahsia' tersebut kerana dia akan terus mencipta dan mengumpul banyak lagi resipi baru dari semasa ke semasa.

Antara kek eksklusif Bzee Bakery seperti Russian Black and White Chocolate dan Snowy Peach Custard Cream Cake selain jenis Opera, Italian Rainbow, Red Velvet dan pelbagai lagi.

Bercakap mengenai kelas kek yang dikendalikannya, Zalina mengakui memang asalnya membuat kek sekadar untuk jualan sahaja.

Namun, lama-kelamaan timbul semangat untuk berkongsi kemahiran yang dimiliki demi melahirkan lebih ramai lagi pembuat kek 'halalan toyiban' .

Sekaligus ia dapat membantu kalangan pembuat kek untuk terlibat dalam perniagaan secara serius atau melakukannya secara kecil-kecilan sebagai pendapatan sampingan.

''Saya masih lagi menerima tempahan tetapi dalam jumlah yang agak terhad kerana tumpuan saya kini lebih pada menganjurkan kelas,'' katanya.

Zalina mengakui sebenarnya dia berasa lebih puas dapat berkongsi ilmu dengan pelajarnya.

Setakat ini kelas yang dianjurkan memang penuh dan biasanya sudah ditempah lebih awal.

Malah kebanyakan daripada pelajarnya datang dari luar Seremban di mana mereka sanggup datang dari jauh hanya untuk memperoleh ilmu..

''Saya biasanya memberikan dua pilihan untuk pelajar pertama ada untuk menyertainya secara demonstrasi beramai-ramai yang cuma diadakan pada hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad,'' katanya.

Katanya, harga untuk hadir kelas ini lebih murah di mana pelajar akan mempelajari tiga resipi dalam sehari.

Manakala satu lagi kelas Buat Sendiri (DIY) di mana pelajar akan menghadiri kelas secara perseorangan.

Jelas Zalina, biasanya kelas DIY ini diadakan pada hari bekerja iaitu Isnin hingga Jumaat dan kadar yuran lebih tinggi.

Sesiapa yang berminat boleh melayari blog Bzee Bakery atau menghubunginya menerusi talian 0192820053.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Penuntut ceriakan warga emas

Posted:

Penuntut ceriakan warga emas

Penuntut ceriakan warga emas

Oleh ANI AWANG
utusanperak@utusan.com.my


PARA penuntut UniKL gembira bersama warga emas ketika program HAT di Rumah Seri Kenangan, Tanjung Rambutan, Ipoh, baru-baru ini.


IPOH 6 Okt. – Golongan warga emas perlu diberi perhatian oleh setiap anggota masyarakat dalam memastikan mereka dapat meneruskan sisa kehidupan dalam suasana yang selesa dan mendapat pembelaan.

Justeru, bagi menggembirakan golongan tersebut yang tidak mempunyai tempat bergantung, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Royal College of Medicine Perak (RCMP) di sini, mengadakan program Humanitarian Aid (HAT) bersama warga emas di Rumah Seri Kenangan, Tanjung Rambutan di sini, baru-baru ini.

Program sehari itu bertujuan beramah-mesra dengan warga emas yang sebahagian besarnya tidak lagi mempunyai saudara-mara dan dipinggirkan oleh ahli keluarga yang lain.

Peserta turut melakukan pemeriksaan kesihatan dan memberi rawatan fisioterapi kepada beberapa warga emas yang tidak berupaya di samping mendedahkan penuntut dengan pengalaman merawat pesakit warga emas dan bekas pesakit mental.

Program Kemasyarakatan UniKL RCMP itu bermula pukul 8.30 pagi dengan aktiviti pemeriksaan kesihatan yang dilakukan oleh Pensyarah Perubatan UniKL RCMP, Prof. Madya Dr. Abdul Karim Russ Hassan.

Beliau dibantu oleh tiga jururawat dari Pejabat Kesihatan Kinta di sini serta 22 kakitangan dan 40 mahasiswa program Sains Kesihatan Bersekutu UniKL RCMP.

Pasukan Fisioterapi UniKL RCMP diketuai oleh Wan Rosli Wan Yusuf juga meluangkan masa melawat ke setiap asrama.

Wan Rosli berkata, ia untuk melakukan urutan pemulihan anggota bagi mengembalikan kecerdasan dan melancarkan perjalanan darah penghuni yang mengalami pelbagai komplikasi penyakit, terutama berkaitan saraf.

"Kita membawa 12 penuntut kejururawatan untuk membantu penghuni yang mengalami kemurungan bagi mendapatkan udara segar dan cahaya matahari selain berkomunikasi dengan mereka," katanya.

Menurut beliau, program itu mendapat sambutan yang baik daripada kalangan penghuni di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Ketua Pembantu Rumah Seri Kenangan, Aziz Ariffin dalam ucapan penutup program itu berterima kasih kepada kakitangan dan penuntut UniKL RCMP kerana membantu penghuni berkenaan.

Katanya, aktiviti itu dapat membantu mengurangkan masalah kemurungan dalam kalangan penghuni warga emas yang memerlukan sokongan moral daripada semua pihak.

Asap kilang didakwa ganggu penduduk

Posted:

Asap kilang didakwa ganggu penduduk

Asap kilang didakwa ganggu penduduk

ALOR SETAR 6 Okt. - Lebih 300 penduduk Kampung Anak Bukit Mu'adzam Shah di sini, kesal dengan sikap kerajaan negeri yang mungkir janji apabila gagal mengatasi masalah pencemaran asap yang dikeluarkan oleh sebuah kilang kopi di kampung itu.

Wakil penduduk, Ahmad Tarmizi Sulaiman, 40, berkata, masalah yang berlarutan sejak 20 lalu itu semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini apabila kilang tersebut dikatakan menambah mesin bagi mengembangkan operasi.

Menurutnya, kilang tersebut dibina tanpa cerobong asap dan kedudukannya hanya antara tiga hingga 10 meter dari rumah penduduk.

"Asap tebal yang dilepaskan sekitar pukul 8.30 pagi hingga 12 tengah hari menyebabkan dinding rumah dan baju-baju yang dijemur di luar rumah menjadi kotor, hitam dan berbau kopi," katanya ketika mengunjungi pejabat Utusan Melayu (M) Bhd. di sini, hari ini.

Tarmizi berkata, asap tebal itu juga menyebabkan penduduk sering menghadapi masalah kesihatan seperti batuk, asma, alahan dan gatal-gatal kulit.

Beliau berkata, penduduk sudah lebih lima kali bertemu dengan pihak pengurusan kilang itu untuk berbincang bagi mengatasi masalah tersebut, tetapi tiada jalan penyelesaian diambil.

Menurutnya, aduan kepada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah turut dibuat, namun masalah tersebut masih berlarutan.

"Dalam satu surat pada 23 Julai 2009 yang dikeluarkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Ir. Phahrolrazi Mohd. Zawawi, beliau mengarahkan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan JAS mengambil tindakan.

"MBAS seterusnya dalam siasatannya mendapati kilang itu tidak sesuai dibina di tengah-tengah kawasan penduduk," katanya.

Tarmizi berkata, dalam surat MBAS dan JAS bertarikh 25 Mei lalu, kilang itu diarahkan ditutup dan dipindahkan ke Bukit Pinang.

"Tetapi hingga sekarang kilang itu masih beroperasi dan ada pihak memberitahu mereka masih diberikan lesen sementara," jelasnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri seolah-olah 'lepas tangan' terhadap masalah itu walhal tindakan segera sepatutnya boleh diambil untuk kebaikan penduduk.

Menurutnya, pejabat Menteri Besar telah mengeluarkan surat pada 14 Jun 1998 yang berjanji akan menutup kilang tersebut, tetapi janji tersebut tidak dikotakan.

"Penduduk sudah bosan dengan janji-janji kerajaan negeri dan pada masa sama penduduk terus berdepan dengan masalah asap itu setiap hari," jelasnya.

Kata Tarmizi, penduduk juga hairan mengapa kilang tersebut seperti 'kebal' daripada diambil tindakan sedangkan aduan telah lama dibuat.

Pusat Biotex Herba di Perlis

Posted:

Pusat Biotex Herba di Perlis

Pusat Biotex Herba di Perlis

KANGAR 6 Okt. – Pusat Biotek Herba Technology Park Malaysia (TPM) di Perlis yang bernilai lebih RM20 juta, mampu menampung permintaan tinggi dalam kalangan usahawan, khususnya di utara tanah air bagi membantu pengeluaran produk berasaskan herba dan buah-buahan sebaik sahaja ia beroperasi Mac 2012.

Beroperasi di atas tapak seluas 8.09 hektar di Bukit Ayer di sini, pusat itu turut menyasarkan penglibatan lebih ramai usahawan khususnya industri kecil dan sederhana (IKS) yang menghasilkan produk seumpama itu dari Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Ini kerana di bawah pengurusan TPM Biotech Sdn. Bhd., anak syarikat TPM Corporation Sdn. Bhd. iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), pusat berkenaan akan menggunakan peralatan pemprosesan herba dan buah-buahan terkini dan canggih untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi.

Pengerusi TPM, Datuk Nasarudin Hashim yakin usahawan, khususnya IKS di utara tanah air akan memberi sambutan memberangsangkan untuk mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pusat tersebut.

"Kini, usahawan yang mempunyai produk tetapi tidak memiliki kilang boleh mendapatkan perkhidmatan pusat ini untuk mengeluarkan produk masing-masing seperti kordial, buah-buahan kering, serbuk buah-buahan, sos, minuman herba serta makanan bayi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat dan mendengar taklimat mengenai pusat itu daripada Pengurus Kanan TPM Biotech, Fadzhairi Abd. Jabar di Bukit Ayer di sini, semalam.

Menurutnya, keistimewaan yang diperoleh oleh usahawan yang menggunakan perkhidmatan pusat itu ialah pengeluaran produk menerusi kilang yang mengikut ketetapan tertentu termasuk Amalan Pengilangan Baik (GMP).

"Malah menerusi pengeluaran di kilang pusat ini, produk usahawan lebih mudah memperoleh sijil halal, antara proses yang sukar untuk diperoleh kerana perlu menepati beberapa syarat ditetapkan pihak berkenaan," tambah beliau.

Sementara itu, Fadzhairi pula berkata, pusat itu menyediakan perkhidmatan dari peringkat penyelidikan herba sehingga proses pengilangan untuk memberikan kemudahan kepada usahawan dalam mengeluarkan produk.

"Usahawan yang tidak mempunyai kilang untuk mengeluarkan produk boleh menandatangani kontrak pengilangan dengan kadar tertentu dikenakan, antaranya meliputi kos seperti pembiayaan kadar elektrik dan tenaga kerja.

"Mereka (usahawan) boleh mengeluarkan produk mengikut kehendak masing-masing, sama ada dalam bentuk kordial, serbuk dan sebagainya kerana pusat ini mempunyai peralatan berteknologi tinggi dan mampu meningkatkan pengeluaran berdasarkan permintaan," katanya.

Ditanya bagaimana sekiranya terdapat usahawan mahu mengeluarkan produk tidak berasaskan makanan atau minuman seperti minyak wangi dan sebagainya, Fadzhairi berkata, pihaknya menerima permintaan seumpama itu kerana mempunyai sebuah lagi pusat biotek di Raub, Pahang yang beroperasi sejak 2006.

"Tiada masalah kerana ada kerjasama dengan pusat (biotek) di Raub. Sekiranya pusat di Perlis tidak dapat mengeluarkan sesuatu produk kerana ketiadaan peralatan bersesuaian, ia akan dihantar ke Raub dan begitu juga sebaliknya," ujar beliau.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Yang di-Pertuan Agong kurnia pingat Darjah Kepahlawanan ATM

Posted:

Yang di-Pertuan Agong kurnia pingat Darjah Kepahlawanan ATM

Yang di-Pertuan Agong kurnia pingat Darjah Kepahlawanan ATM


TUANKU Mizan Zainal Abidin mengurniakan Darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera Kehormat kepada Yussof Abd. Rahman pada istiadat pengurniaan Darjah Kepahlawanan ATM 2011 di Istana Negara, semalam. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 6 Okt. - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini mengurniakan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada 288 penerima termasuk lima pegawai kanan tentera asing.

Pada istiadat yang berlangsung di Istana Negara di sini, Panglima Tentera Darat Diraja Thailand Jeneral Prayuth Chan-ocha dan Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei Brigadier Jeneral Datuk Seri Pahlawan Yussof Abdul Rahman menerima pingat Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) Kehormat.

Turut dianugerahkan pingat yang sama, Mantan Kepala Staf Angkatan Darat Tentera Nasional Indonesia (TNI), Jeneral Agustadi Sasongko Purnomo, Mantan Kepala Staf Angkatan Laut TNI, Laksamana Tedjo Edhy Purdijatni dan Mantan Kepala Staf Angkatan Udara TNI Marsekal Subandrio.

Sembilan menerima Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) dan 30 lagi dianugerahkan pingat Pahlawan Angkatan Tentera (PAT).

Seramai 244 penerima lain dianugerahkan Kesatriaan Angkatan Tentera (KAT) dan Bentara Angkatan Tentera (BAT). - BERNAMA

Najib tinjau persiapan akhir Belanjawan 2012

Posted:

Najib tinjau persiapan akhir Belanjawan 2012

Najib tinjau persiapan akhir Belanjawan 2012

PUTRAJAYA 6 Okt. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluangkan masa meninjau operasi persiapan terakhir Belanjawan 2012 di Kementerian Kewangan di sini, malam ini.

Dalam lawatan selama kira-kira sejam itu, beliau yang juga Menteri Kewangan turut beramah mesra dengan kakitangan kementerian yang terlibat dalam penyediaan laporan tersebut, selain mengadakan perjumpaan tertutup dengan pegawai-pegawai kanan kementerian.

Turut serta isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Timbalan-timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Datuk Donald Lim Siang Chai, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

Bertemakan Belanjawan Transformasi: Membela Rakyat, Mensejahtera Negara, Belanjawan 2012 dijadual dibentangkan oleh beliau di Parlimen pada pukul 4 petang esok.

Ia disifatkan Perdana Menteri sebagai satu belanjawan transformasi untuk semua rakyat Malaysia, selaras dengan prinsip 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. - BERNAMA

Kematian Steve Jobs kehilangan besar - Najib

Posted:

Kematian Steve Jobs kehilangan besar - Najib

Kematian Steve Jobs kehilangan besar - Najib

PUTRAJAYA 6 Okt. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kematian pengasas bersama Apple Inc., Steve Jobs, bukan saja suatu kehilangan bagi syarikat itu tetapi juga masyarakat sejagat.

Jobs, 56, merupakan ikon penting pada Era Baru, katanya, apabila diminta mengulas kematian bekas ketua eksekutif Apple itu di Palo Alto, California, hari ini.

Sambil menyatakan beliau adalah pengguna dua produk Apple, Najib berkata, Jobs juga adalah seorang yang berpandangan jauh dalam dunia komputer seperti yang terbukti melalui idea yang beliau miliki dan produk yang beliau hasilkan.

Jobs menjadi peneraju utama di sebalik penciptaan iPhone, iPad, iPod, iMac dan iTunes keluaran Apple.

Syarikat itu dalam kenyataannya berkata, ia kehilangan seorang genius yang berpandangan jauh dan kreatif, manakala dunia pula kehilangan seorang manusia yang sungguh menakjubkan.

Apple menganggap kepintaran, semangat dan ketekunan Jobs sebagai "sumber inovasi yang tidak terhitung jumlahnya dalam memperkaya dan menambah baik kehidupan kita semua". - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


25 NGO terima peruntukan

Posted:

25 NGO terima peruntukan

25 NGO terima peruntukan

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI


Shahrizat Abdul Jalil, Mohamad Hasan dan Raja Salbiah Tengku Nujumudin (tiga dari kiri) serta ahli jawatankuasa NCWO Negeri Sembilan di Seremban, semalam.


SEREMBAN 6 Okt. – Peruntukan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kepada Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) Negeri Sembilan bakal diagihkan kepada lebih 25 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah naungannya.

Perkara itu dinyatakan oleh Yang Dipertua NCWO, Raja Datin Seri Salbiah Tunku Nujumuddin yang mahu supaya peruntukan itu diagihkan sama rata bagi menyemarakkan lagi aktiviti dan program NGO di peringkat akar umbi.

Jelas beliau, setiap NGO mempunyai biro seperti biro ekonomi, kesihatan, dan kebajikan dan kesemua biro ini akan digerakkan dengan menggunakan peruntukan tersebut.

''Pada masa sama kita juga melahirkan rasa gembira dan berbangga di atas pengiktirafan NCWO negeri yang dijadikan contoh kepada negeri lain.

''Ini merupakan satu penghormatan kepada NCWO negeri untuk terus memberi sumbangan kepada masyarakat melalui program yang akan kita adakan menerusi peruntukan diterima," katanya.

Raja Salbiah berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Hari Wanita 2011 peringkat negeri di Bangunan NCWO yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, wanita kini tidak mudah diperlekehkan oleh mana-mana pihak malahan mereka menjadi simbol kekuatan dan mampu melakar kejayaan dalam usaha membangunkan negara.

"Kaum wanita hari ini telah mengecapi kemajuan dan pembangunan dalam pelbagai aspek kehidupan dan ia merupakan hasil dari kesungguhan, keazaman dan kegigihan kaum wanita untuk memiliki taraf dan cara hidup yang lebih baik dan progresif," katanya.

Murid cemas, kelas terbakar

Posted:

Murid cemas, kelas terbakar

Murid cemas, kelas terbakar

MELAKA 6 Okt. - Seramai 198 murid tahun satu hingga enam Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Kuo, Jalan Tengkera di sini, cemas apabila sebuah kelas komputer di sekolah itu terbakar hari ini.

Ketika kejadian, 37 murid berada di dalam kelas tersebut bersama seorang guru wanita yang mula mengajar subjek itu dari pukul 12.05 tengah hari sehingga pukul 1.05 petang.

Pemangku Guru Besar sekolah berkenaan, Yeo Siaw Eng berkata, selepas setengah jam mengajar, guru itu melihat kepulan asap dari arah komputer di tengah-tengah kelas tersebut.

"Dengan pantas, guru itu mengarahkan murid keluar dari kelas tersebut. Saya yang mendapat tahu mengenai perkara itu daripada salah seorang murid kemudian membunyikan loceng kecemasan.

"Mujurlah dalam keadaan cemas itu, seorang guru lain bertindak pantas mencapai alat pemadam api dan cuba memadamnya manakala saya pula menghubungi bomba," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, semua murid sekolah itu yang berkumpul di kawasan lapang tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibenarkan pulang.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Yazid Mohd. Tahir berkata, dua jentera bomba dengan kekuatan 14 anggota dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 12.57 tengah hari.

"Api berjaya dikawal pada pukul 1.05 petang dan padam sepenuhnya 10 minit selepas itu. Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Bau busuk kumbahan jejaskan penduduk

Posted:

Bau busuk kumbahan jejaskan penduduk

Bau busuk kumbahan jejaskan penduduk

JEMPOL 6 Okt. - Bayangkan jika anda terpaksa menjalankan kehidupan seharian dengan menghidu bau busuk dari kolam kumbahan!

Itulah senario yang dihadapi oleh sebahagian penduduk dari Rumah Rakyat Peringkat Tiga, Batu Kikir di sini.

Seorang penduduk Yahya Ahmad, 59, mendakwa, perkara ini sudah berlarutan sejak dua tahun lalu dan penduduk setempat terpaksa menahan bau busuk dari kolam kumbahan milik sebuah sekolah berasrama penuh, yang didakwa tidak berfungsi dengan sempurna.

''Rumah saya berhampiran dengan sekolah tersebut. Sukar untuk kami melakukan aktiviti seharian akibat tidak tahan dengan bau busuk.

''Lihat sahaja kawasan perumahan ini. Kebanyakan penduduk di sini terpaksa berkurung di dalam rumah dengan menutup tingkap dan pintu. Jika buka pasti bau busuk itu sampai ke dalam rumah," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Rakannya, Harun Hanipah, 53, berkata, perkara itu hanya akan diambil tindakan selepas penduduk bertindak membuat aduan kepada pihak sekolah berkenaan namun, kali ini tiada sebarang tindakan dilakukan oleh pihak berwajib.

''Kini sudah tiga minggu kami membuat aduan selepas kolam kumbahan tersebut tidak berfungsi dengan baik sehinggakan airnya melimpah. Namun, masih tiada tindakan sewajarnya.

''Rumah ini dibina dahulu sebelum sekolah tersebut. Jadi, sepatutnya mereka tidak meletakkan tangki tersebut berhampiran kawasan perumahan kami.

''Malu juga jika ada tetamu datang ke rumah. Macam mana kami hendak makan jika terpaksa menghidu bau busuk. Kalau hendak buat kenduri, risau tiada orang datang akibat masalah ini,'' katanya.

Seorang lagi penduduk, Musa Kasiran, 60, berharap pihak berkenaan dapat melakukan tindakan sewajarnya bagi memastikan kesejahteraan penduduk di kawasan itu terus terjamin tanpa sebarang gangguan bau busuk.

''Saya juga risau jika kami berdepan dengan masalah kesihatan akibat masalah ini. Sampai masa hendak makan pun boleh hilang selera," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Manfaat untuk semua - PM

Posted:

Manfaat untuk semua - PM

Manfaat untuk semua - PM


Najib Tun Razak diiringi Ahmad Husni Hanadzlah, Dr. Awang Adek Husein dan Wan Abdul Aziz Wan Abdullah bagi melakukan tinjauan persiapan akhir Belanjawan 2012 di kementerian Kewangan, Putrajaya, malam tadi. - utusan/Zaki Amiruddin


KUALA LUMPUR 6 Okt. - Belanjawan 2012, yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat esok, disifatkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai "Belanjawan transformasi untuk semua rakyat Malaysia".

Menekankan pendekatan inklusif kerajaan, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, lebih ramai akan menikmati manfaat daripada belanjawan sederhana dan berhemat pada tahun ini.

Intipatinya akan termasuk dasar-dasar baharu untuk menangani kos kehidupan dalam waktu-waktu sukar dan pada masa sama, mengekalkan pendekatan bertanggungjawab dari segi menjamin kedudukan fiskal dalam menguruskan ekonomi.

"Belanjawan ini adalah mengenai kerajaan mengotakan janji-janji kami untuk menjamin keadilan sosial dan pada masa sama, memastikan negara kita berada di landasan ekonomi yang kukuh yang akan membawa kemakmuran dan kesejahteraan jangka panjang untuk semua.

"Ini belanjawan transformasi yang sebenar untuk semua rakyat Malaysia, iaitu yang akan menentukan hala tuju kita ke arah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi," kata Najib dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya sebelum pengumuman Belanjawan 2012, esok.

"Selaras dengan prinsip 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan — saya memberi tumpuan sepenuhnya untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan defisit, tetapi tidak akan berbuat demikian dengan mempertaruhkan kebajikan rakyat biasa," katanya. - Bernama.

Tumpu beban sara hidup

Posted:

Tumpu beban sara hidup

Tumpu beban sara hidup

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berharap Belanjawan 2012 yang akan dibentangkan esok dapat memberi fokus mengurangkan beban sara hidup rakyat yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, penyelarasan gaji kakitangan awam amat dinanti-nantikan kerana ia bukan sahaja mampu mengurangkan kadar kemiskinan tetapi menyuntik semangat baru kepada mereka.

"Pembentangan belanjawan kali ini dilihat cukup penting bagi penjawat awam, bagaimanapun berapa peratus kenaikan gaji biarlah ditetapkan sendiri oleh kerajaan.

"Kerajaan telah begitu prihatin dengan memberi bonus setengah bulan dan jika bonus dua bulan diberikan sudah tentu ia satu sejarah kepada kakitangan awam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berharap kerajaan memberikan insentif tertentu bagi membantu golongan orang kurang upaya (OKU) dan berpendapatan rendah.

Presidennya, Datuk N. Marimuthu berkata, antara lain kerajaan boleh mempertimbangkan pemberian kupon makanan dan memperluaskan Kedai Rakyat 1Malaysia.

"Saya percaya kali ini kerajaan akan memberikan yang terbaik bagi membantu rakyat menangani kos hidup seperti yang telah dijanjikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini," katanya.

Timbalan Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk FD Iskandar FD Mansur berkata, dalam membantu rakyat memiliki rumah, skop tangga gaji perlu diperluaskan dan tidak dihadkan kepada pendapatan isu rumah RM3,000.

''Skim Rancangan Rumah Pertamaku yang diperkenalkan oleh kerajaan sebelum ini amat dialu-alukan.

"Kerajaan Persekutuan juga perlu mengambil inisiatif dalam pembinaan rumah mampu milik di bandar-bandar besar dengan memperluaskannya kepada pihak pemaju lain," katanya.

Persatuan Ibu Tunggal Islam berharap kerajaan dapat memberi penelitian mengurangkan kos yuran pelajaran dan perubatan dalam Belanjawan 2012 esok.

Pengerusinya, Haziah Haniza Abd. Wahab berkata, langkah tersebut dapat mengurangkan beban ibu tunggal yang terpaksa bekerja keras menampung kehidupan keluarga serta kedua-dua keperluan itu.

"Sayang, kalau anak-anak mereka yang bijak terkandas dalam pelajaran hanya disebabkan ibu tunggal tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk menyekolahkan anak-anak," katanya.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Hashim Othman pula berharap kerajaan menyelaraskan kadar sewa yang dikenakan oleh stesen-stesen minyak terhadap para pembekal seluruh negara.

Katanya, kini kadar komisen yang diterima oleh pembekal bagi petrol adalah 12.19 sen seliter manakala diesel, 7 sen seliter.

"Kenaikan kadar sewa antara RM6,000 hingga RM7,000 sebulan daripada RM4,000 hingga RM5,000 sebulan merupakan satu bebanan.

"Penyelarasan gaji minimum mungkin akan menambah beban kepada para pembekal minyak jika kadar sewaan tidak diseragamkan apabila terpaksa menanggung kos lain termasuk kenaikan gaji pekerja," katanya.

Pemaju amal taktik ‘kotor’

Posted:

Pemaju amal taktik 'kotor'

Pemaju amal taktik 'kotor'

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Harga rumah yang melambung tinggi sehingga melebihi setengah juta ringgit dilihat seakan fenomena biasa di sekitar Lembah Klang.

Jika 10 tahun lepas, rumah teres dua tingkat boleh dibeli dengan harga sekitar RM200,000 untuk kawasan-kawasan di pinggir bandar Kuala Lumpur, kini ia seumpama mimpi.

Harga rumah didapati terus meningkat dengan pantasnya sehingga mencecah angka yang sudah tentu tidak mampu dicapai oleh kebanya kan bakal pembeli yang berpendapatan sederhana terutama golongan muda.

Apakah sebabnya? Adakah ini menunjukkan penduduk di Lembah Klang telah meningkat pendapatan mereka atau ada pihak yang ingin mengaut keuntungan cepat?

Antara kaedah yang digunakan untuk memastikan harga rumah naik dengan cepat ialah menggunakan taktik menyimpan unit tertentu sebelum projek perumahan dilancarkan secara rasmi.

Usaha itu mencapai kejayaan berdasarkan kerjasama yang baik antara pemaju dan spekulator untuk melonjakkan harga pasaran.

Mengikut 'peraturan' tersebut, jika mahu mendapatkan pilihan terbaik, pembeli terpaksa akur dengan harga yang ditawarkan biarpun pada kadar lebih tinggi.

Perkara tersebut didedahkan oleh Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Timur

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Kuih akok ubah nasib keluarga

Posted:

Kuih akok ubah nasib keluarga

Kuih akok ubah nasib keluarga

Oleh HAPIZAH AZIZ
utusankelantan@utusan.com.my


Nur Akilah Othman menunjukkan akok yang telah siap dimasak di kedainya di Kampung Cina, Kota Bharu, baru-baru ini.


KOTA BHARU 6 Okt. – Kuih akok sememangnya tidak asing lagi bagi penduduk negeri ini. Rasanya yang manis menyebabkan ia menjadi pilihan ramai termasuk ketika penganjuran majlis-majlis rasmi.

Permintaan yang sentiasa tinggi di pasaran menyebabkan semakin ramai khususnya golongan wanita, menceburi pembikinan kuih akok sama ada sepenuh masa ataupun secara sambilan, bagi menambahkan pendapatan keluarga.

Perkembangan itu juga menyaksikan pembikinan kuih akok yang sebelum ini dilakukan secara tradisional turut berubah menggunakan peralatan lebih moden dan mampu menghasilkan kuih dalam kuantiti lebih banyak pada waktu singkat.

Antara yang terlibat dalam pembuatan kuih tradisi masyarakat Kelantan itu ialah Nur Akilah Othman, 41, yang dibantu suaminya, Zainuddin Talib, 47, dari Wakaf Mek Zainab di sini.

Melihat potensi yang ada, pasangan berkenaan sanggup melabur sebanyak RM3,500 bagi membeli sebuah pembakar kuih akok terpakai untuk memudahkan proses pembakaran kuih tersebut yang secara tradisinya menggunakan sabut kelapa atau arang.

Sebenarnya, pembikinan kuih akok tidak memerlukan modal yang besar kerana bahan-bahan mentah yang diperlukan hanyalah telur, santan, tepung dan gula.

Selebihnya, bergantung kepada kemahiran si pembuat bagi menghasilkan kuih yang enak dan beraroma sehingga mampu menyebabkan pembeli kecur air liur.

"Pada mulanya, saya hanya membelanjakan RM50 untuk membeli bahan-bahan berkenaan dan memasaknya menggunakan ketuhar pembakar itu," kata Nur Akilah dalam satu pertemuan dengan Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut wanita itu, jika sebelum ini kuih akok hanya dihasilkan dalam perisa asli, namun bagi mempelbagaikan pilihan pembeli, dia turut menghasilkan kuih akok berperisa pandan sehingga mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM100 sehari.

Kata ibu kepada enam anak itu, berkat kesungguhan dan sambutan menggalakkan untuk kuih akoknya itu, dia kini terpaksa menukar rutin kehidupannya yang sebelum ini hanya mengasuh anak-anak dan bergantung hidup kepada pendapatan tidak menentu suami sebagai tukang cincin.

"Bermula pukul 11 pagi, saya mengadun sendiri bancuhan akok dan memasaknya sehingga pukul 3 petang sampailah kuih akok habis dijual," katanya yang menjual pada harga RM2 untuk tujuh biji kuih berkenaan.

Nur Akilah mengakui, permintaan terhadap kuih akok agak luar biasa pada setiap kali bulan Ramadan kerana pada bulan puasa lalu, dia perlu menyediakan lebih 2,000 biji kuih setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan.

"Saya bersyukur diberi rezeki dengan mengusahakan kuih akok dan dapatlah menanggung perbelanjaan keluarga serta pelajaran anak-anak. Suami saya juga tidak lagi mengambil upah membuat cincin perak sebaliknya membantu memasak kuih akok," jelasnya.

Seorang lagi pengusaha kuih akok, Sarinah Ismail 40, dari Kampung Salor dekat sini pula mewarisi kemahiran membuat kuih berkenaan daripada ibunya, Majnah Ibrahim, 60, dan mengambil alih kerja menjual kuih tersebut yang dimulakan oleh arwah ayahnya hampir 30 tahun lalu.

Sarinah yang lebih gemar menghasilkan kuih akok berperisa asli memberitahu, kuih akok buatannya hasil adunan telur, santan dan tepung sahaja.

"Saya mengambil alih membuat kuih akok ini kira -kira setahun lalu apabila balik ke kampung selepas berhijrah ke Johor beberapa tahun lalu. Setiap hari saya membancuh adunan 300 biji telur yang boleh menghasilkan kira-kira 800 biji kuih akok.

"Pada bulan Ramadan, saya memasak kuih menggunakan lebih 1,000 biji telur dan ketika itu kami memang tak menang tangan," katanya yang turut mendapat bantuan suami, Rosmiza Ghazali, 42, ibunya dan dua pekerja.

Menurut Sarinah, dia mula membancuh adunan kuih kira-kira pukul 8.30 pagi dan memasaknya dengan menggunakan 18 buah dapur arang semata-mata untuk mengekalkan aroma asli kuih berkenaan.

Jelasnya, dia menjual sebungkus kuih akok mengandungi 100 biji pada harga RM35 dan sambutan yang diterima setakat ini sangat menggalakkan, terutama pada bulan puasa lalu.

Sarinah melahirkan rasa syukur kerana perusahaan kuih itu mampu memberi pendapatan lumayan kepada mereka sekeluarga dan dia berhasrat mengembangkan lagi perniagaan tersebut pada masa hadapan.

Dataran WiFi baru di Seberang Takir

Posted:

Dataran WiFi baru di Seberang Takir

Dataran WiFi baru di Seberang Takir

KUALA TERENGGANU 6 Okt. - Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir membelanjakan RM250,000 bagi menjadikan Dataran Belia Permata di Seberang Takir, dekat sini sebagai Dataran WiFi.

ADUN berkenaan, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, peruntukan itu bagi membina sebuah bangunan dua tingkat yang mengandungi dewan terbuka dan bilik khas untuk kelas komputer.

Menurutnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, projek yang dijangka siap dua bulan lagi itu turut melibatkan pembinaan sebuah kios perkhidmatan baik pulih e-Book pelajar sekolah secara percuma.

"Selain restoran dan pusat tertentu yang menyediakan perkhidmatan itu, kita mengambil inisiatif agar kemudahan WiFi ini memberi manfaat untuk perkhidmatan Internet tanpa wayar secara percuma," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan e-Book Tahun 4 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir di Kampung Baru Seberang Takir hari ini.

Pada majlis itu, seramai 608 murid dari lima buah sekolah di DUN berkenaan menerima agihan e-Book percuma yang melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Takir seramai 83 orang dan SK Bukit Tok Beng (108 orang).

Selain itu, SK Kompleks Seberang Takir (128 orang) dan SK Teluk Ketapang (171 orang) dan SK Tok Jembal (119 orang).

Tambah Ahmad Razif, kemudahan itu dibangunkan bagi memastikan penduduk luar bandar menikmati kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) selain merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan desa.

"Walaupun kosnya agak tinggi, ia sedikit sebanyak melengkapkan kawasan luar bandar dengan jalur lebar bagi membolehkan rakyat di kawasan berkenaan mempunyai akses kepada teknologi maklumat sama seperti penduduk bandar," katanya.

Banjir: JPAM kerah 2,000 anggota

Posted:

Banjir: JPAM kerah 2,000 anggota

Banjir: JPAM kerah 2,000 anggota

Oleh RADHUAN HUSSAIN
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 6 Okt. - Kira-kira 2,000 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) terlatih kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi kemungkinan banjir di negeri ini.

Pengarah JPAM negeri, Leftenan Kolonel Kamal Mokhtar berkata, kesemua anggota sukarela itu bersedia dikerah pada bila-bila masa terutama bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat.

"Kita akan memberi tumpuan di daerah Hulu Terengganu, Besut dan Kemaman kerana tiga daerah ini pada kebiasaannya lebih dulu dilanda banjir sebelum diikuti daerah lain," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kamal berkata, buat masa ini, enam anggota jabatan berkenaan sudah ditempatkan di setiap daerah di negeri ini untuk menyelaraskan langkah-langkah perlu.

Menurutnya, jika keadaan mendesak, pihaknya akan meminta bantuan keanggotaan dari dua negeri berjiran iaitu Pahang dan Kelantan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

"Pada masa ini, kita ada seramai 26,000 anggota JPAM yang berdaftar di negeri ini manakala 2,000 lagi anggota cukup terlatih dan mampu dikerah pada bila-bila masa," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga telah membuat persiapan dari segi logistik dengan menempatkan dua buah bot bagi menghadapi banjir di Kemaman dan Hulu Terengganu manakala tiga bot untuk Besut, Dungun dan Kuala Terengganu.

Jelasnya, JPAM Terengganu dilengkapi 17 buah bot pelbagai jenis di samping enam buah kenderaan pacuan empat roda bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat.

Selain itu, kata Kamal, 16 anggota penyelamat pantai JPAM yang sebelum ini ditempatkan di Pulau Redang dan Bukit Keluang, Besut turut dikerah untuk membantu kerja-kerja menyelamat di daratan, jika berlaku banjir.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved