Utusan Online - Sukan |
Posted: 03 Jun 2014 12:51 PM PDT Nor Azita Ibrahim muncul atlet terbanyak meraih emas dengan tujuh pingat, sekali gus mendahului senarai calon Olahragawati. KANGAR - Selepas Kuala Lumpur dinobat sebagai juara edisi sulung Sukan Malaysia (Sukma) pada 1986, Wilayah Persekutuan mengulangi pencapaian 28 tahun lalu dengan merampas gelaran Raja Sukma selaku juara keseluruhan Temasya XVII di Perlis. Nama Wilayah Persekutuan mula digunakan pada 2006 selepas Kuala Lumpur bergabung dengan Labuan dan Putrajaya. Namun, kejayaan muncul juara keseluruhan pada Sukma XVII yang ditutup secara rasmi hari ini, mengimbau kembali kejayaan yang pernah dipahat Kuala Lumpur, 28 tahun lalu. Pungutan 55 pingat emas, 37 perak dan 49 gangsa pada Sukma membolehkan Wilayah Persekutuan diangkat sebagai juara, menewaskan gergasi sukan tanah air, Terengganu yang berada di kedudukan kedua dengan 51 emas, 56 perak dan 30 gangsa. Malah pencapaian Wilayah Persekutuan itu adalah lebih baik berbanding Temasya 2012 di Kuantan, yang menyaksikan kontinjen mereka sekadar mengumpul 37 emas, 41 perak dan 45 gangsa untuk berada di kedudukan kelima. Dalam 24 sukan yang dipertandingkan pada Sukma Perlis, renang adalah penyumbang utama emas buat Wilayah Persekutuan. Insiden bumbung koyak di Pusat Akuatik, Kompleks Renang, Kangar tidak langsung menjejaskan pemburuan pingat Wilayah Persekutuan apabila meraih 10 pingat emas daripada 38 yang ditawarkan. Wilayah Persekutuan turut menguasai gimrama dan taekwondo selepas masing-masing menyumbang sembilan dan lima emas. Atlet gimrama, Tai Qing Tong menyumbang lima emas buat Wilayah Persekutuan, sekali gus meletakkan namanya sebagai calon Olahragawati bersama rakan sepasukan, Ong Ming Fen yang memenangi tiga emas renang. Bagaimanapun atlet kanu Pahang, Nor Azita Ibrahim mendahului calon utama Olahragawati dengan mempamer pencapaian sensasi, menggondol tujuh pingat emas. Nor Azita muncul pemenang pingat emas terbanyak pada temasya kali ini, baik dalam saingan lelaki dan wanita. Bagi persaingan gelaran Olahragawan, lima atlet berkongsi kutipan empat pingat emas. Mengetuai senarai perenang Selangor, Chan Jie; jaguh menembak Pahang, Low Wei Chern; atlet memanah Terengganu, Muhammad Shaiffuddin Kamro serta dua atlet kanu, Mohd. Khirulniza Salleh (Wilayah Persekutuan) dan Ahmad Shafiq dari Terengganu. Namun, cabaran daripada pemecah-pemecah rekod kebangsaan juga tidak boleh diketepikan. Atlet Johor, Iskandar Alwi menjuarai acara lompat bergalah lelaki bersama rekod kebangsaan, 5.15 meter. Pemenang pingat emas Sukan SEA, Muhammad Irfan Shamsuddin dari Negeri Sembilan meraih emas lempar cakera bersama rekod kebangsaan, 54.26m. Turut mencatat nama sebagai pencipta rekod kebangsaan, atlet angkat berat Sabah, Constantine Clement. Terengganu yang mendominasi acara kanu, menyaksikan pendayung mereka, Akmal Idayu Mat Razik dan Fatin Ajeerah Wahab memahat rekod kebangsaan dalam kategori K2 1,000m wanita. |
Perak pemilik ibu segala pingat Posted: 03 Jun 2014 12:51 PM PDT Pemain-pemain Perak meraikan kejayaan merangkul pingat emas bola sepak Sukma XVII bersama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir selepas menewaskan Johor 3-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Tuanku Syed Putra, malam tadi. KANGAR - 'Ibu segala pingat emas' menjadi milik Perak selepas menundukkan Johor 3-1 pada saingan akhir bola sepak Sukma XVII, semalam. Aksi akhir yang berlangsung di Stadium Tuanku Syed Putra, menyaksikan Perak berada di hadapan menerusi Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi seawal minit ketujuh selepas dia merembat masuk bola muntah yang gagal ditangkap kemas Md. Syafizullah Abd. Wahab. Kesilapan penjaga gol Johor sekali lagi gagal menangkap kemas percubaan pemain perak mengundang padah pada minit ke-17 apabila Khairul Asyraf Sahizah mudah menolak masuk gol kedua perak yang juga merupakan gol kelimanya dalam Sukma kali ini. Perak hampir menambah gol ketiga pada minit ke-40 apabila Muhammad Fikri Sudin melakukan hantaran silang dan berjaya disambar Khairul Asyraf namun percubaan itu sedikit tersasar dan penguasaan pasukan utara tanah air itu berterusan sehingga tamat separuh masa pertama. Muhammad Shahrel gagal memanfaatkan peluang yang terhidang pada minit ke-58 apabila percubaannya hasil hantaran Muhammad Fikri sekadar terkena tiang ketika Md. Syafizullah sudah tertewas. Johor memiliki peluang untuk merapatkan jurang pada minit ke-72 apabila dihadiahkan sepakan percuma namun percubaan Muhd. Asyraf Abd. Talib berjaya ditepis keluar penjaga gol Muhammad Hafizul Hakim. Harimau Selatan berjaya merapatkan kedudukan empat minit kemudian selepas Shafiq Shaharudin berjaya menyempurnakan sepakan penalti selepas Naim Nazmi Zainuddin dijatuhkan pemain pertahanan Perak. Tidak cukup dengan itu, Perak menjaringkan gol ketiga mereka pada minit ke-90 selepas Muhammad Shahrel merembat hantaran lintang pemain gantian Mohammad Adzem Mansor bagi memastikan kemenangan pasukan itu. Sementara itu pengendali Perak, Syamsol Saad nyata gembira dengan kejayaan yang diperoleh sekali gus mengubat kekecewaan mereka pada Sukma 2012 apabila mereka tewas 3-0 kepada Sabah di pentas akhir. Katanya, anak-anak buahnya berjaya beraksi dengan baik dan mengikut segala arahan yang diberikan meskipun mereka kepenatan. "Separuh daripada pasukan hari ini adalah daripada skuad Sukma 2012 dan dengan kejayaan ini mereka berjaya membuktikan bahawa pasukan ini masih relevan. "Kemenangan ini juga ditujukan kepada semua rakyat Perak dan diharap ia dapat memberikan sedikit keceriaan kepada mereka," katanya. Kali terakhir Perak muncul juara ialah di Sukma Sabah pada 2002 apabila menewaskan Pulau Pinang 3-1. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan