Rabu, 4 Jun 2014

Utusan Online - Rekreasi


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Menabur bakti di pusat jagaan

Posted: 02 Jun 2014 08:14 PM PDT

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

Warga kerja Hospital Pakar KPJ Kajang menceriakan para penghuni Pusat Jagaan Al-Fikrah, Sungai Sekamat, Kajang, Selangor, baru-baru ini.

SELEPAS kematian satu-satunya anak yang dimiliki kira-kira dua tahun lalu, seorang ibu berusia 74 tahun secara sukarela telah mendaftarkan dirinya ke sebuah rumah penjagaan warga emas.

Wanita tersebut yang enggan mendedahkan identiti dirinya berkata, keputusan untuk berteduh dan menghabiskan sisa usianya di Pusat Jagaan Al Fikrah, dibuat kerana enggan menyusahkan saudara terdekat yang mempunyai jumlah tanggungan yang sedia ramai.

Di rumah tersebut, segala kebajikan ibu tua ini terbela seadanya, bahkan dia bersyukur kerana masih ada tempat untuk menghabiskan sisa usia tanpa menyusahkan sesiapa.

Itu hanya satu dalam 1001 kisah menyayat hati yang sempat dikongsi bersama sebahagian warga kerja Hospital Pakar KPJ Kajang yang memilih untuk menabur bakti di Pusat Jagaan Al-Fikrah, Sungai Sekamat, Kajang, Selangor, baru-baru ini.

Sebahagian penghuni hanya mampu terlantar di katil akibat sakit kronik dan bergantung hidup pada kerusi roda setelah kaki terpaksa dipotong akibat penyakit dialami.

Apa yang pasti setiap daripada mereka mempunyai kisah tersendiri yang sedikit sebanyak memberi keinsafan kepada mereka yang sihat serta berkemampuan untuk lebih bersyukur dan membantu meringankan beban golongan kurang bernasib baik ini.

Rata-rata raut wajah penghuni di pusat tersebut jelas terpamer kesedihan, kerinduan dan harapan yang tidak pernah bersahut, apatah lagi menjelang Ramadan dan Aidilfitri, yang pastinya sudah tidak begitu memberi makna kepada kehidupan mereka tanpa keluarga tercinta.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Kajang, Noor Haslina Harun berkata, Pusat Jagaan Al Fikrah merupakan rumah kebajikan bagi golongan yang terdiri daripada pesakit kronik, terbiar tanpa waris, orang kelainan upaya, warga emas dan juga mualaf.

Katanya, pusat jagaan yang ditubuhkan pada 15 Julai 2012 dengan kerjasama Persatuan Pegawai Kerja Sosial Perubatan Malaysia itu, melindungi kira-kira 54 orang penghuni seawal usia 2 tahun hingga 104 tahun.

"Lawatan ini dianjurkan sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia yang disambut pada 12 Mei lalu. Ia merupakan hari bagi menghargai sumbangan para jururawat terhadap masyarakat.

"Objektif lawatan bakti ini adalah untuk memberi khidmat masyarakat, di samping menjalin hubungan dengan golongan yang memerlukan.

"Beberapa barangan keperluan seperti beras, telekung, kain pelikat, laci bertingkat dan sejumlah wang sumbangan telah dihulurkan kepada para penghuni pada hari tersebut.

"Dana sumbangan adalah hasil daripada jualan amal bazar makanan dan barangan oleh warga jururawat Hospital Pakar KPJ Kajang sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia yang telah berlangsung di hospital tersebut sebanyak dua kali pada April lalu," ujarnya.

Di samping itu menurut Noor Haslina lagi, pihak hospital turut berkesempatan mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma seperti tekanan darah dan kadar gula darah ke atas penghuni pusat jagaan.

Selain itu, mereka turut memberi tunjuk ajar senaman pasif fisioterapi, perawatan mandi harian, penjagaan kebersihan tangan dan kaki, dan penerangan mengenai mencegah daripada terjatuh.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Jagaan Al Fikrah, Mohd. Azmi Mohd. Zain menyeru agar usaha-usaha sebegini dapat diteruskan oleh organisasi-organisasi lain memandangkan pusat jagaan itu memerlukan sumbangan berterusan untuk kos penyelenggaraan bangunan, keperluan perubatan dan barangan harian yang hampir mencecah RM42,000 sebulan.

Bagi tujuan sumbangan atau lawatan, bolehlah menghubungi Pusat Jagaan Al Fikrah Malaysia di talian 03-8733 0715 atau salurkan kepada nombor akaun 564155551966 (Maybank Islamic).

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved