Utusan Online - Selatan |
- Hospital Rembau bakal siap 2017
- Tabiat membaca mampu tingkat indikator kualiti pendidikan
- Sg. Linggi bakal berwajah baharu
Hospital Rembau bakal siap 2017 Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR SEREMBAN 7 Mei - Projek pembinaan Hospital Rembau yang menelan belanja lebih RM100 juta dan sudah bermula pelaksanaannya dijangka siap menjelang 2017. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, projek yang dilaksanakan di bawah Kementerian Kesihatan itu bakal memberi kemudahan kepada orang ramai untuk mendapatkan rawatan khususnya di daerah tersebut. "Apabila hospital ini siap kelak, ia secara tidak langsung berupaya mengatasi kebergantungan orang ramai untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan sekitar Rembau. "Hal demikian kerana kerana penduduk di daerah itu kini kian bertambah lebih-lebih lagi dengan penambahan institusi pengajian di sekitar Rembau," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini hari ini. Jelasnya, kewujudan hospital baharu itu bakal menambah jumlah ruang kepada orang ramai untuk mendapatkan rawatan. "Klinik kesihatan di sekitar Rembau gagal berfungsi dengan baik kerana mereka berhadapan dengan kekangan kekurangan kakitangan serta tempat merawat," katanya. Mengulas berhubung kos projek berkenaan, Mohamad memberitahu, projek pembinaannya menelan belanja sebanyak RM100 juta tidak termasuk kos-kos lain termasuk tanah. "Projek ini dipecah-pecahkan mengikut peringkat dan kini kami amat gembira kerana pembinaannya sudah dimulakan mengikut jadual yang ditetapkan," katanya. |
Tabiat membaca mampu tingkat indikator kualiti pendidikan Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT ABD. Razak Ab. Said (tengah) menerima replika cek daripada Farabi Sheikh Said al Jabri (kiri) sambil diperhatikan Jamilah Katis (dua dari kiri) dan Mohammad Razi Kail (dua dari kanan) dalam Pesta Buku Negeri Sembilan 2014 di Seremban 2, semalam. SEREMBAN 7 Mei - Tahap minat membaca dalam kalangan masyarakat merupakan salah satu indikator bagi menentukan kualiti pendidikan sesebuah negara. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan dan Adat Istiadat negeri, Abd. Razak Ab. Said berkata, ukuran ini menentukan kemajuan dalam bidang pendidikan apatah lagi saingannya kini lebih bersifat global dan terbuka. "Amat perlu setiap insan mencari ilmu sebanyak mungkin kerana ia akan menunjukkan kematangan kita dalam menghadapi cabaran mendatang," katanya sewaktu merasmikan Pesta Buku Negeri Sembilan 2014 di Mydin Mall Seremban 2, di sini hari ini. Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Gerakan Membaca negeri, Datuk Mohammad Razi Kail; Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, Jamilah Katis dan Pengurus Mydin Mall Seremban 2, Sajahan Salman Baris. Katanya, untuk menggalakkan kematangan pemikiran, ibu bapa dan masyarakat perlu membawa anak mereka dan diri sendiri untuk hadir dalam program berkaitan buku seperti mana pesta yang berlangsung pada hari ini. "Masyarakat hari ini tidak dapat lari daripada kecanggihan teknologi dan semua pun memiliki telefon pintar di mana maklumat boleh diperoleh melalui hujung jari. "Namun buku masih memainkan peranan yang penting dalam kehidupan kita kerana buku adalah wadah pengetahuan kepada manusia yang sentiasa dahagakan kepelbagaian ilmu. Hanya orang yang mencintai buku sahaja yang dapat merasai kepentingan buku ini," katanya. Justeru, katanya, adalah diharap pesta buku ini akan menjadi pencetus kepada budaya membaca dan indikator pendidikan di negeri ini. "Pesta buku merupakan medan untuk penerbit mempamerkan dan menjual buku terbaharu terbitan masing-masing dan sebagai pembaca dan pembeli, kita harus bijak memilih bahan bacaan yang sesuai untuk semua peringkat agar minda pembaca lebih terbuka dan kreatif," katanya. Pada majlis itu, Utusan Melayu (M) Berhad turut menerima replika cek berjumlah RM2,000 bagi tajaan 1,600 nashkah akhbar Utusan Malaysia yang disampaikan oleh Abd. Razak kepada wartawan Utusan Malaysia, Farabi Sheikh Said al Jabri. Akhbar Utusan Malaysia diedarkan setiap hari bermula semalam sehingga Ahad ini secara percuma kepada semua pengunjung yang datang ke pesta buku ini. |
Sg. Linggi bakal berwajah baharu Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT MAS Ermieyati Samsudin (tiga dari kanan) tertarik dengan gelagat penebar jala semasa beliau menyertai program menyusuri Sungai Linggi, Melaka, baru-baru ini. - UTUSAN/Azli Ahad MELAKA 7 Mei - Sungai Rembau-Linggi yang menjadi sempadan negeri ini dan Negeri Sembilan berpotensi untuk dibangunkan produk pelancongan yang mampu menarik lebih ramai kedatangan pelancong domestik dan luar negara datang ke Masjid Tanah. Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin berkata, sepanjang menyusuri sungai Linggi dari Kampung Paya Lebar, baru-baru ini, terdapat beberapa lokasi dikenal pasti dapat menarik kedatangan pelancong. Menurutnya, salah satu paling menarik ialah Kota Simpang yang merupakan tapak bangunan peninggalan penjajah Belanda pada abad ke-16. "Tapak yang dipercayai bangunan pentadbiran Belanda ketika menjajah Melaka masih mempunyai tiang, tembok dan perigi yang boleh dibangunkan semula jika mendapat peruntukan Kementerian Pelancongan. "Kawasan ini kini di bawah pemerhatian Jabatan Warisan Negara dan ia jelas berpotensi untuk menjadi produk pelancongan dengan beberapa kemudahan infrastruktur dibina di situ antara yang penting ialah pembinaan jeti dan papan tanda. "Saya lihat kawasan ini belum dibangunkan lagi dan mungkin dalam tempoh tiga tahun ini, saya akan mendapatkan peruntukan bagi membangunkan produk sedia ada," katanya ketika dihubungi hari ini. Mas Ermieyati berkata, sebagai permulaan, beliau akan mendapatkan peruntukan bagi pembinaan jeti bagi memudahkan bot berlabuh dan orang ramai dapat pergi ke tapak tersebut. Selain itu, menurutnya, menyusuri sungai Linggi satu lagi lokasi yang menjadi perhatian ialah taman lokan yang dimiliki bekas anggota tentera, Zainal Md. Ali. "Taman Lokan ini sangat menarik kerana pengusahanya menternak lokan dan ia menarik minat kedatangan ramai pelancong luar negara, cuma beberapa kemudahan perlu dibina seperti jeti, tandas awam dan tempat ini perlu dinaiktaraf kerana keunikannya," katanya. Beliau menambah, aktiviti memancing perlu dibangunkan kerana khazanah sungai Linggi mempunyai udang galah dan spesis ikan air tawar serta masin yang mampu menjadi pakej pelancongan menarik. Di samping itu, katanya, tapak bangkai buaya tembaga terbesar dipercayai berusia 100 tahun ditanam di tebing sungai Linggi boleh menjadi tarikan. "Ini kerana buaya tembaga yang dianggarkan seberat 18 tan dan berukuran tujuh meter panjang ditemui mati terdampar di tebing sungai adalah spesis terbesar pernah ditemui di Sungai Linggi," katanya. Jelasnya, perkhidmatan bot pelancong bagi menyusuri sungai Rembau-Linggi wajar diwujudkan kerana keunikan pelbagai khazanah yang dapat menarik minat pelancong yang gemarkan alam semulajadi. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan