Utusan Online - Rencana |
Mengejar jalan pintas ke syurga Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT Oleh MOhd. Shauki Abd. Majid Seorang lelaki meratapi kematian seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa bahan letupan, didakwa oleh penentang Presiden Bashar Assad dilontarkan oleh tentera Syria di kawasan kediaman di Aleppo pada 27 April lalu. - REUTERS KENYATAAN Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa gerakan militan di negara ini bertindak atas ijtihad secara persendirian menjadi petunjuk penting bahawa gerakan itu menyimpang daripada asas dan syarat-syarat pelaksanaan jihad yang digariskan ajaran Islam. Cubaan puak pelampau ini untuk memperoleh syurga secara pintas dan pantas menerusi imaginasi jihad di negara bergolak seperti Syria semakin terserlah tembelangnya dengan pendedahan bahawa orang terbabit mengalami masalah peribadi secara kronik seperti pengangguran, pengasingan secara sosial dan psikologi serta 'terlebih' semangat menghayati Islam setelah sekian lama terperangkap dalam telaga dosa di masa lalu. Mereka yakin dengan menjadi martyrdom dan pahlawan di medan jihad yang mereka pilih, segala pembangkangan dan penyelewengan mereka terhadap Tuhan di masa lampau telah dibasuh sekali gus memegang boarding pass ke syurga sebagaimana dijanjikan oleh pimpinan spiritual mereka. Tidak dapat dinafikan bahawa di dalam Islam, jihad adalah kemuncak amalan dalam ajaran Islam sebagaimana yang disabdakan Nabi Muhammad SAW. Bagi orang Islam, jihad adalah amanah agama yang berkesinambungan sampai akhir zaman. Sepanjang sejarah peradaban Islam yang bermula dari Mekah sehingga membentang ke Nusantara, terdapat coretan penting mengenai peranan jihad memperkembangkan Islam sehingga dalam bentuknya hari ini. Namun begitu, dunia hari ini menyaksikan banyak penyimpangan dan penyelewengan tujuan, prinsip dan makna jihad. Ramai yang mengangkat senjata kononnya untuk berjuang demi martabat dan kewibawaan Islam daripada penghinaan kaum kuffar, menentang kezaliman, menegakkan Islam yang tulen, melindungi ideologi Sunni daripada serangan bukan Sunni, terperangkap dengan semangat jihad di jalan Allah secara berlebihan sehingga melanggar aturan berjihad. Indikasi pelanggaran dan penyimpangan mengenai jihad ini misalnya, menjadi perhatian dan catatan yang mendalam Sayyid Imam Abd Aziz al-Sharif. Beliau ialah bekas jihadis terkemuka Mesir dan pengasas gerakan al-Jihad yang akhirnya menyedari berlakunya kesilapan dalam pelaksanaan jihad di negaranya dan beberapa medan jihad lain di dunia. Menurut beliau yang juga mempunyai nama pena Dr. Fadl, penyimpangan yang berlaku dalam dunia jihad dapat dilihat dengan tindakan melulu kaum jihadis yang memerangi sesama Islam atas dasar membela keyakinan golongan atau puak mereka. Mereka berperang atau berjihad kerana rasa berpuak-puak. Perang kerana membela puak Sunni, membela puak Syiah. Apa pun alasannya, berperang sesama Islam adalah perang yang disifatkan Nabi Muhammad sebagai perang sia-sia. Ia juga dikira sebagai perang kerana taksub yang sesiapa mati dalam perang itu dianggap sebagai mati jahiliah. Mereka tidak dapat membezakan antara jihad yang suci dengan perang disebabkan pergaduhan, perebutan kuasa dan kekuasaan duniawi lain. Padahal dalam ketentuan jihad yang sebenar jelas dinyatakan bahawa tidak boleh dilaksanakan sekiranya seseorang itu tidak mampu dan tidak bersedia. Jihad tidak dibebankan atau diwajibkan kepada orang yang terpaksa melakukannya. Jihad juga tidak memerlukan dana yang tidak sah atau tidak halal. Banyak berlaku kebelakangan ini, mereka yang berjihad sanggup merompak harta awam dan membunuh anggota keselamatan dengan alasan bahawa harta rompakan itu dianggap harta fa'i. Harta yang didakwa sah dan layak diambil bagi digunakan 'berjihad' ke jalan Allah. Dalam hal ini, jelas ia bertentangan dengan wasiat Nabi SAW tiap kali baginda melepaskan pasukan muslim berjihad mempertahankan agama. Nabi SAW berpesan: "Dengan nama Allah dengan disertai Allah di jalan Allah dan atas sunnah Rasulullah. Janganlah kamu berlebihan mengambil barang rampasan tanpa seizin pimpinan pasukan. Janganlah kamu berkhianat dan jangan pula melakukan penganiayaan yang kejam terhadap musuh. Jangan membunuh anak-anak, wanita dan orang tua." (Hadis riwayat at-Tabrani). Dalam konteks ini, cubaan pihak militan negara ini melakukan penipuan bagi mendapatkan dana operasi telah mencemarkan Islam. Oleh itu, jihad perlu diletakkan pada tempat dan kedudukan yang sesuai dengan syariat Islam. Memang betul, jihad merupakan fardu ain atau kewajipan kepada setiap muslim untuk melaksanakannya, akan tetapi pelaksanaannya amat bergantung dengan keadaan dan syarat-syarat tertentu bagi membolehkan pelancaran jihad. Islam adalah agama yang meletakkan prinsip keamanan dan ketenangan masyarakat manakala sebarang usaha memecahkan suasana itu adalah satu tindakan bersifat zalim. Hal ini satu tindakan yang haram kerana ia boleh mendatangkan keburukan, kegelisahan dan kesusahan kepada orang ramai. Hukumnya cukup jelas kerana Allah mengingatkan hamba-Nya untuk tidak mencampakkan diri ke dalam kebinasaan. Ini sesuai dengan firman Allah yang bermaksud; "Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan" (Maksud Surah Al-Baqarah ayat 195). Lebih malang lagi, apabila ada pihak melengkapkan pandangan umum bahawa perhimpunan jalanan bagi melancarkan protes itu sebagai suatu tindakan yang mempunyai nilai perjuangan yang bersifat jihad. Ia dilihat sebagai jihad kerana tujuannya adalah untuk menuntut keadilan dan jaminan oleh pemerintah yang zalim, kerana mempertahankan undang-undang yang bersifat penjajah. Inilah dikatakan golongan pelampau iaitu orang yang melanggar batas kesederhanaan dalam amalan agama sama ada dari sudut pemikiran atau amalan. Ia tindakan yang terkeluar dari jalan yang ditempuh oleh ulama salaf dalam memahami Islam. Setiap umat Islam diwajibkan menjaga kesejahteraan diri dan dalam memenuhi tanggungjawab tersebut ia tidak pula membenarkan tindakan melanggar kesejahteraan diri orang lain. Meskipun ada konflik di antaranya, konflik tersebut perlulah diselesaikan melalui perundingan, perbincangan dan dilaksanakan dalam semangat kasih sayang. Agama bertujuan menghubungkan manusia dengan Tuhan dan tidak pernah bertujuan membangkitkan massa untuk melakukan suatu kekerasan atau penyerangan. Ajaran di dalam al-Quran juga mengharamkan melakukan kerosakan di atas muka bumi ini. PENULIS ialah Pengurus Besar Analisis Dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). |
Setahun berlalu PRU-13, UMNO perlu lebih bersedia Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT Dari Jendela Tok ki SETAHUN lalu tsunami politik membadai dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pakatan pembangkangnya cuba mengambil kesempatan menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan penyelewengan dan demonstrasi seluruh negara terjadi. Akhirnya strategi Anwar kantoi apabila dia gagal membuktikan pengundi Bangladesh mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13). Sekarang ini pemilihan peringkat cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) berlaku pergolakan dan ketidaktelusan sehingga 17 daripadanya diminta bermesyuarat semula. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. UMNO masih terus berkuasa walaupun Anwar mendakwa undi popular memihak kepadanya. Macam Anwar tidak tahu sejak terlibat dalam politik, undi popular tidak berbangkit. Kemenangan diukur berasaskan kerusi majoriti. Anwar dan pembangkang cuba menimbulkan kebencian menggunakan slogan ABU (asal bukan UMNO). Apa saja peristiwa yang berlaku di Malaysia dikaitkan dengan UMNO sehingga kehilangan MH370 pun dikaitkan dengan UMNO. Menyemai sikap membenci ini akhirnya memakan diri. Sekarang ini orang PKR sendiri membuat sindiran tentang politik kroni berasaskan keluarga dan terhubung dengan pengaruh Istana Bukit Segambut. Peranan Anwar sebagai pemersatu dalam politik PKR ternyata semakin lemah. Strategi reformasi 2 kurang mendapat sambutan. Demonstrasi GST di Dataran Merdeka diambil kesempatan oleh Anwar untuk membuat kenyataan tempoh tahanan beliau akan dinaikkan sehingga 10 tahun. Anwar menghina mahkamah dan hakim-hakim semahu-mahunya tetapi contempt of court tidak terjadi. Perbicaraan terhadap dirinya dianggap sebagai konspirasi politik dan hukuman yang dijatuhkan dirancang. Anwar ke United Kingdom baru-baru ini berjumpa Al Gore dan Al Gore dikatakan menasihatkannya supaya berpindah ke luar negara. Beberapa hari yang lalu Anwar berada di Indonesia untuk menyatakan benda yang sama kepada kawan-kawannya. Apakah ini berikutan kunjungan Tun Dr. Mahathir Mohamad ke Jakarta dan memberi penjelasan kepada Fahmi Idris, bekas menteri dalam Kabinet Indonesia mengenai siapa Anwar sebenarnya. Setahun yang berlalu, Anwar tidak pernah berputus asa kerana kalau takdirnya Anwar dihukum penjara oleh Mahkamah Persekutuan, PKR tidak berada dalam suasana yang kondusif. Perebutan jawatan kepimpinan menimbulkan gelora baru yang tidak mudah dileraikan. Takdirnya Azmin Ali menang, Anwar tidak akan rasa selesa kerana regu Anwar ialah Saifuddin-Rafizi-Nurul Izzah yang kelihatan tidak dapat dukungan yang baik di kalangan ahli parti. Pas dengan isu hudud bertekad untuk melaksanakannya di Kelantan ditentang oleh rakan politiknya DAP dan PKR, meskipun Anwar suatu ketika dulu ialah pemimpin ABIM yang memperjuangkan Islam sebagai suatu cara hidup. Daripada cita-cita negara Islam dan hudud ke arah Negara Berkebajikan dan terakam dalam Buku Jingga sebagai persetujuan bersama, tiba-tiba Pas tersedar dalam lena tahaluf siasinya yang sangat mengecewakan Anwar. Apakah sikap Pas boleh menyebabkan Pakatan Rakyat mengalami perpecahan kerana perbezaan antara perjuangan Pas dengan yang lain adalah perbezaan fundamental? UMNO yang dibenci oleh Anwar dan Pas perlu lebih bersedia menghadapi tahun-tahun mendatang menjelang PRU ke-14. Gambaran Pas semacam mahu bekerjasama dengan UMNO kerana isu hudud tidak dapat memberi jaminan bahawa Pas akan menyedari kesilapannya melakukan tahaluf siasi dengan yang lain. UMNO harus lebih jelas memperjuangkan nasib umat Melayu terutama dalam bidang ekonomi dan pendidikan. Ternyata ianya sedang berjalan dengan baik. UMNO harus memberikan fokus menyantuni golongan muda dan pelajar supaya proses pengkaderan ke arah orientasi Islam terjadi. Bahagian latihan kepimpinan UMNO harus diperkemaskan dengan kurikulum yang lebih berdaya maju supaya masa depan umat Melayu dan Islam terbela di tangan kepimpinan UMNO. Sekiranya UMNO terus mendekati generasi muda dengan berkongsi maklumat secara telus tentang apa yang terjadi, penulis yakin generasi muda akan lebih memahami kerana retorik tanpa pelan tindakan memperkasa umat Melayu bakal ditelan zaman. Tekad membantu umat Melayu perlu dijadikan agenda utama agar meyakinkan generasi muda peri pentingnya UMNO kepada negara Malaysia. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan