Ahad, 18 Mei 2014

Utusan Online - Pendidikan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


SH Device jadikan sains mudah difahami, digemari

Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT

Penerima Anugerah Johan Keseluruhan Guru Inovatif , Chai Seng Hong (kiri) dan Dew Kee Bea bersama alat ciptaan mereka di Festival hari Guru 2014 di PWTC, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Minatnya yang mendalam dalam bidang Sains mendorong Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua, Batu 15 dekat Kuching, Sarawak, Chai Hai Seng dan seorang guru lagi dari sekolah sama, Dew Kee Bee mencipta alat bantuan mengajar bagi subjek Sains dan Matematik termasuk untuk memudahkan kegunaan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Alat tersebut yang diberi nama SH Device yang diambil sempena nama guru besar berkenaan dihasil serta diuji sejak 10 tahun lalu dan menyediakan lima fungsi kegunaan bertujuan membantu guru menjadikan mata pelajaran Sains mudah difahami dan digemari murid.

Kejayaan kedua-dua guru tersebut mencipta alat berkenaan membolehkan mereka dinobatkan Johan Keseluruhan Anugerah Guru Inovatif peringkat kebangsaan sempena sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan ke-43 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Hai Seng, 50, SH Device merupakan pembaris yang mempunyai pelbagai fungsi bagi tujuan pembelajaran dan pengajaran mata pelajaran Sains dan lain-lain di sekolah rendah atau menengah yang dilengkapi pita bagi kegunaan ukuran panjang.

"Alat ini juga dijadikan pengesan konduktor elektrik yang unik dan dipasang pada pembaris bagi mengesan bahan konduktor yang lemah dan sukar dikesan dengan cara biasa. Ia dihasilkan dengan peralatan lain seperti magnet, kompas dan level meter dipasang pada pembaris bagi kegunaan mata pelajaran lain," katanya .

Kejayaan meraih anugerah itu melayakkan Hai Seng dan Kee Bee memenangi plak, sijil penghargaan serta wang tunai.

SH Device diyakini mampu digunakan dengan berkesan jika alat itu dipraktikkan sebaiknya sekali gus meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran Sains atau mata pelajaran lain melalui penggunaannya.

"Guru atau murid boleh mengukur luas dengan mudah melalui pita pengukur yang sedia ada dalam pembaris SH Device ini dan pada masa yang sama, boleh menggunakan kompas atau mengukur keadaan rata.

"Alat ini juga menjimatkan belanja guru atau murid kerana dalam satu alat ia menyediakan fungsi mengesan kondukter elekterik," terangnya.

Sebelum ini, kata beliua, sewaktu mengajar sains, sukar untuk menyakinkan murid mengenai insiden renjatan elektrik berkaitan tubuh manusia dan air tetapi dengan menggunakan alat ini, hal itu boleh dibuktikan dengan mudah.

Ujarnya, selain pelajar dan guru, orang awam boleh menggunakan SH Device bagi pelbagai tujuan khususnya pembelajaran mengesan arus elektrik.

Guru perlu kreatif, inovatif

Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT

Oleh Norizan Abdul Muhid
pendidikan@utusan.com.my

GURU harus melengkapkan persediaan dengan ilmu pengetahuan yang luas mencakupi pelbagai bidang dan perlu berani melakukan perubahan ke arah kreativiti serta inovasi bersesuaian dengan tema sambutan Hari Guru kali ke-43 tahun ini iaitu Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim berkata, keperluan tersebut bersesuaian dengan perubahan bidang pendidikan masa kini yang memerlukan guru kreatif dan inovatif untuk menghasilkan proses pengajaran dan pembelajaran efektif seterusnya melahirkan produk berkualiti.

Menurutnya, guru mesti bersedia memainkan peranan penting dalam mengerakkan kreativiti dan inovasi dalam semua bidang di sekolah dan bijak menerapkan kedua-dua elemen tersebut melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan secara terancang.

"Guru tidak boleh lagi mempraktikan pengajaran yang sama seperti 10 atau 20 tahun dahulu kerana pelajar pada hari ini semakin bijak seiring dan pengetahuan semakin mencabar dan sebab itu, guru harus bersedia membuat perubahan ini.

"Salah satu perubahan ini adalah dengan cara mencabar keupayaan pelajar mereka berfikir dengan menggunakan pelbagai teknik mengajar dan alat bantu pengajaran yang menarik minat murid atau boleh mempelbagaikan aktiviti pembelajaran," katanya ketika menjadi panel Forum Pendidikan sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan ke-43 di PWTC baru-baru ini.

Selain Noor Rezan, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Seri S.K. Devamany dan Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Dr. Jessica Ong Hai Liaw turut menjadi ahli panel pada forum itu yang dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Sayed Munawar Sayed Mohd. Mustar.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, menurut Noor Rezan, sebagai guru, golongan berkenaan perlu memainkan peranan penting bagi menerapkan kedua-dua elemen kreativiti dan inovasi dalam pengajaran mereka sama ada dalam bilik darjah mahupun luar bilik darjah.

"Guru mesti bertindak sebagai pencetus kreativiti dan penjana inovasi kerana guru sebagai penyampai ilmu perlulah memiliki kemahiran tinggi bagi melakukan transformasi dalam menjana minda murid agar menjadi lebih dinamik.

"Sesungguhnya murid yang kreatif dan inovatif akan menjadi seorang yang sentiasa berfikir, ingin mencipta, bercita-cita besar, berani dan yakin kepada diri sendiri. Inilah ciri-ciri murid yang perlu kita lahirkan untuk menjadi warganegara bagi menghadapi cabaran masa depan terutama dalam memasuki era 2020," katanya.

Sementara itu, menurut Devamany, pelaksanaan aspek pedagogi yang kreatif dan inovatif amat penting agar kurikulum yang digubal dapat diterjemahkan dengan cara menarik, berkesan dan berkualiti.

"Zaman sudah berubah dan kini guru-guru berada pada alaf ke-21 dan untuk itu, guru mesti bersedia menghadapi cabaran semasa dan mesti mengambil usaha menggerakkan peranan sebagai pencetus kreativiti dan penjana inovasi,'' katanya.

Namun, pada masa yang sama, katanya, Kementerian Pendidikan perlu memastikan sistem pendidikan yang disediakan telah sempurna dan sesuai mengikut keperluan warga pendidik seterusnya mampu membantu golongan itu mencapai matlamat pendidikan negara.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved