Utusan Online - Kota |
- Pelakon berjaya buat penonton menangis
- Wanita bertelekung bersimpuh di tepi jalan
- Keluarga Hamka dibawa tonton teater DBLK
Pelakon berjaya buat penonton menangis Posted: 17 May 2014 12:21 PM PDT Oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman menyaksikan teater Di Bawah Lindungan Kaabah di Istana Budaya, Kuala Lumpur, malam tadi. Turut kelihatan, Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar (tiga dari kiri) dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin (dua dari kiri). - MINGGUAN/ Roy Azis Abd Aziz KUALA LUMPUR 17 Mei - Air mata penonton yang menitis di sepanjang pementasan teater Di Bawah Lindungan Kaabah (DBLK) menjadi kayu pengukur kemampuan pelakon-pelakon yang terlibat dengan teater adaptasi novel karya Hamka itu. Penerbitnya, Siti Rohayah Attan berkata, para pelakon berjaya menyampaikan jalan cerita dan emosi yang sepatutnya apabila melihatkan ada dalam kalangan penonton menitiskan air mata. Setakat ini, saya sangat berpuas hati dengan kemampuan pelakon. Walaupun rata-rata pelakon masih baharu di pentas teater, tetapi penghayatan yang diberikan melalui setiap watak itu berjaya menarik emosi penonton. Sepanjang saya berada di sini, bukan setakat penonton wanita sahaja yang menangis, tetapi penonton lelaki juga ada yang mengalirkan air mata. Jadi, bagi saya ini satu kejayaan buat para pelakon terlibat," ujarnya. Teater Di Bawah Lindungan Kaabah adalah karya pementasan arahan Rosminah Tahir terbitan CTRA Production dengan kerjasama Istana Budaya dan dibarisi barisan pelakon lain seperti Nasha Aziz, Yasmin Hani, Dafi Ismail, Dayana Roza, Taufiq Izmir, Elfira Loy, Alina Hassan, Liza Abdullah dan Zahid. Memasuki hari kesembilan pementasan, jelasnya, teater ini berjaya menarik golongan penonton yang sebelum ini tidak terdedah dengan pementasan teater. Bilangan penonton yang bukan peminat teater juga bertambah ramai, apatah lagi ini adalah sebuah karya dengan teras agama Islam yang kuat dan berjaya menarik golongan penonton lebih ramai berbanding sebelum ini. Melihat kepada kesan itu, kita percaya sasaran untuk membawa karya dengan unsur-unsur Islam ke pentas teater berjaya," ujarnya. |
Wanita bertelekung bersimpuh di tepi jalan Posted: 17 May 2014 12:21 PM PDT SEORANG anggota polis trafik mengawal lalu lintas bagi mengelak wanita itu dilanggar oleh kenderaan yang melalui Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur semalam. Tindakan seorang wanita yang lengkap bertelekung bersimpuh di atas sejadah yang dibentang di tepi Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur semalam menimbulkan kehairanan dalam kalangan pengguna jalan raya. Difahamkan, wanita warganegara Indonesia itu yang dikenali sebagai Anita Shiar, 27, enggan bergerak dari tempat itu walaupun diarahkan berbuat demikian oleh seorang anggota polis trafik. Keadaan itu menyebabkan anggota trafik berkenaan terpaksa mengawal lalu lintas bagi mengelakkan kemalangan. Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi berkata, wanita tersebut berjaya dipujuk dan seterusnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur pada pukul 1.30 petang dengan menaiki kenderaan polis untuk pemeriksaan kesihatan. |
Keluarga Hamka dibawa tonton teater DBLK Posted: 17 May 2014 12:21 PM PDT KUALA LUMPUR 17 Mei - Seramai 17 orang keluarga terdekat penulis dan ulama terkenal, Allahyarham Abdul Malik Karim Amrullah atau Prof. Hamka, diterbangkan khas dari Indonesia untuk menyaksikan teater Di Bawah Lindungan Kaabah (DBLK) di Istana Budaya malam semalam. Anak kesembilan tokoh itu, Afif, 62, berkata, kesempatan menonton teater itu yang dipentaskan buat kali pertama di negara ini amat dihargai pihak keluarganya. Kami sebenarnya mempunyai 10 beradik, bagaimanapun dua daripada kami sudah meninggal. Hari ini saya hanya hadir bersama kakak saya sahaja. Selebihnya itu keluarga terdekat. Jujurnya memang saya berterima kasih kepada semua pihak termasuk masyarakat yang terus memberi sokongan buat karya ayah saya. Memang Malaysia sebenarnya sangat dekat dengan Hamka sendiri," katanya. Pernah melihat sendiri sesi latihan teater itu beberapa bulan lepas, Afif berkata, kepercayaannya kepada pihak CTRA Production adalah berbaloi. Apa yang kami mahu adalah meneruskan mesej kebaikan yang ingin diteruskan oleh arwah ayah kami dalam setiap naskhahnya. Saya melihat sendiri pelakon hebat melakonkan watak dalam naskhah tersebut dengan baik. Jadi, saya percaya pementasan teater ini selari dengan tujuan sebenar," katanya. Teater yang mula dipentaskan pada 9 Mei lalu itu menampilkan barisan pelakon seperti Adi Putra, Nasha Aziz, Ahmad Zahid Baharudin, Fizo Omar, Elfira Loy, Yasmin Hani, Dafi Ismail, Dayana Roza, Liza Abdullah dan Taufiq Izmir. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan