Utusan Online - Mahkamah |
Hanez Suraya, kekasih saman MAS Posted: 22 May 2014 11:36 AM PDT HANEZ Suraya (kiri) diiringi peguamnya hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor, semalam. SHAH ALAM 22 Mei - Pelakon Hanez Suraya dan kekasihnya hari ini memfailkan saman terhadap Malaysia Airlines (MAS) kerana didakwa melakukan 'pencerobohan peribadi' dengan mendedahkan maklumat tiket penerbangan mereka dari Kuala Lumpur ke Bangkok, Thailand ke laman sosial di internet, bulan lalu. Hanez Suraya, 29, atau nama penuhnya, Hanez Suraya Abdul Aziz dan Romie Razin Adilha Abd. Jais, 34, selaku pihak plaintif memfailkan saman tersebut menerusi firma guaman Tetuan Harjit Sandhu di Mahkamah Tinggi di sini. Mereka menamakan Malaysian Airline System Bhd. sebagai defendan. Hanez Suraya yang popular dengan drama Love You Mr. Arrogant hadir di mahkamah bersama-sama peguamnya, Wan Nurliyana Abdul Rahman dan Harjit Singh Sandhu namun Romie Razin tidak kelihatan. Menurut pernyataan tuntutan, pihak plaintif mendakwa, pada 20 April lalu lebih kurang pukul 12.20 tengah hari, mereka menaiki penerbangan MAS dari Kuala Lumpur ke Bangkok dan berlepas dari pintu G8 untuk penyerahan tiket penerbangan. Pihak plaintif mendakwa, beberapa jam kemudian, mereka dimaklumkan oleh rakan-rakan yang keratan tiket penerbangan itu telah dimuat naik ke dalam laman facebook akaun 'Kami Sokong Liyana Manan'. (Liyana atau Nurliyana Manan ialah isteri Romie Razin dan mereka kini dalam proses perceraian) Dakwa plaintif, setelah menyemak akaun berkenaan, mereka mendapati terdapat lebih 1,000 komen cacian dan cemuhan dilemparkan kepada kedua-dua mereka. Mereka mendakwa, defendan atau petugas-petugas defendan yang mendedahkan keratan tiket tersebut ke laman sosial itu dan perbuatan itu disifatkan tidak beretika dan telah melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi (APDP) 2010. Pada 21 April lalu, pihak plaintif melalui peguamnya menyatakan telah menghantar sepucuk surat kepada defendan bagi meminta penjelasan dan ganti rugi berhubung pelanggaran akta berkenaan. Defendan pada 29 April menjawab surat berkenaan dengan meminta salinan keratan tiket penerbangan bagi menjalankan siasatan lanjut dan pihak plaintif menyerahkan salinan itu keesokan harinya. Pada 8 Mei lalu, pihak plaintif mendakwa ada menghantar sepucuk surat lagi namun tiada sebarang maklum balas diberikan oleh defendan sehingga hari ini. Pihak plaintif mendakwa, akibat penyebaran gambar tersebut secara meluas di laman sosial, blog dan akhbar tempatan, mereka berdua telah mengalami gangguan dan tekanan emosi. Sehubungan itu, pihak plaintif memohon ganti rugi am pada kadar faedah lima peratus setahun, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk, kos dan perintah-perintah lain serta relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah. Hanez Suraya ketika ditemui pihak media menyatakan, saman ini difailkan untuk melindungi hak privasi dirinya serta mengelakkan pergerakannya terganggu. Sementara itu, Harjit menyatakan, saman itu akan diserahkan kepada pihak defendan dalam masa dua atau tiga hari lagi. |
Pendakwa mohon mahkamah tolak permohonan Tian Chua Posted: 22 May 2014 11:36 AM PDT KUALA LUMPUR 22 Mei - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa permohonan Naib Presiden, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua; aktivis propembangkang, Hishamuddin Md. Rais; dan bekas pelajar, Adam Adli Abdul Halim untuk membatalkan pertuduhan mereka di bawah Akta Hasutan 1948 perlu ditolak berdasarkan doktrin res judicata. Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd. Abbas berkata, ini adalah permohonan yang kedua setelah pada 18 Februari lalu mahkamah yang sama menolak permohonan mereka untuk membatalkan pertuduhan itu selepas mendapati permohonan itu pramatang dan tidak bermerit. Beliau berhujah, berdasarkan doktrin undang-undang itu, sesuatu perkara yang telah diputuskan oleh mahkamah adalah muktamad dan dianggap benar. Permohonan yang sama sebelum ini dibuat di hadapan Hakim Mohd. Azman Husin yang kemudiannya membatalkannya pada 18 Februari lalu. "Tiada apa yang beza, cuma kali ini pemohon cuba membatalkan pertuduhan secara ansuran. Isu undang-undang yang dibangkitkan pada permohonan ini seharusnya disentuh dalam permohonan mereka sebelum ini lagi, memandangkan mereka mempunyai peluang yang banyak pada permohonan pertama itu," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan