Utusan Online - Keluarga |
Posted: 21 May 2014 11:35 PM PDT Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD RUMAH warga emas bertaraf profesional dilihat kian banyak ditubuhkan untuk menempatkan golongan warga tua mendalami ilmu agama. BAGAIKAN lautan dosa. Itulah yang diungkapkan oleh Saodah Osman, 55, berkongsi kisah silamnya yang kurang menitikberatkan soal agama ketika menjalani usia muda. Apatah lagi ujarnya, dalam keadaan serta persekitaran sekeliling membuatkan bekas pekerja swasta di pusat bandar itu hidup dengan hanya memikirkan keseronokan semata-mata tanpa mengira hala tuju apabila tua. Lebih menyedihkan, ibu kepada empat orang anak itu juga tidak tahu mengaji al-Quran kerana sibuk dengan urusan harian, di samping tidak merasakan ia adalah keperluan yang penting sebagai seorang yang bergelar Muslim. Namun, Saodah akhirnya menemui petunjuk apabila diperkenalkan kepada Pondok Warga Emas Darul Hasanah oleh adiknya selepas pencen. Ini adalah kemahuan dan kerelaan makcik sendiri, bukan atas arahan sesiapa, lebih-lebih lagi anak makcik. Tujuan makcik ke sini adalah untuk memuhasabah diri, mengenang kembali dosa-dosa silam yang telah makcik lalui dahulu. Alhamdulillah, hidayah yang Allah SWT kurniakan kepada makcik ini berhasil apabila makcik menemui apa dicari dan makcik juga sangat bersyukur kerana merasai kebahagiaan tersendiri yang belum pernah dirasai sebelum ini," katanya yang hampir setahun berada di penempatan warga emas tersebut. Bergaul dengan rakan sebaya dan melakukan pelbagai pengisian rohani, Saodah menganggap, Pondok Warga Emas Darul Hasanah seperti rumah kedua buatnya untuk menghabiskan usia dan sisa hidup. Kalau boleh makcik nak tinggal di sini sampai bila-bila. Apabila balik rumah, makcik asyik fikir nak balik ke sini. Bukan kerana ingin mengasingkan diri daripada anak-anak tetapi ke arah ini yang makcik perlu usahakan. Lagi pun, selepas pencen, makcik tidak buat apa-apa di rumah, berbeza di sini makcik dapat belajar agama, kitab-kitab, solat berjemaah pada setiap waktu dan boleh dikatakan 24 jam waktu di sini dipenuhi dengan amal ibadah. Malah, daripada tidak berapa pandai mengaji, kini makcik sudah boleh menguasai bacaan al-Quran dengan baik. Makcik tidak merasa malu untuk belajar kerana semua penghuni di sini lebih kurang sebaya," jelasnya. Saodah berkata, bukan ingin menjadikan anak-anaknya sebagai derhaka, tetapi dengan bayaran yuran serta perbelanjaan keperluan harian memadai sebagai tanda sokongan dan keikhlasan anak-anak. Ditentang keluarga Sementara itu, bagi Halimah Mohd. 71, berkata, keputusan yang diambil untuk tinggal di penempatan warga emas mendapat kritikan daripada keluarga terdekat sambil menyifatkan anak-anaknya sebagai tidak mengenang budi. Namun bagi wanita yang berasal daripada Terengganu itu menganggap, usaha itu merupakan satu jihad demi memfokuskan seluruh saki baki hidupnya untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Pada mulanya, apabila makcik membuat keputusan untuk tinggal di sini, boleh dikatakan semua adik-beradik makcik tidak bersetuju. Pelbagai kritikan dilemparkan dan mangsanya anak-anak makciklah yang digelar tidak bertanggungjawab, melepaskan tugas dan sebagainya. Tetapi bagi makcik, daripada tinggal di rumah keseorangan apabila anak dan cucu-cucu bekerja atau bersekolah lebih baik makcik di sini, sekurang-kurangnya makcik ada ramai kawan dan jika berlaku apa-apa ada yang boleh membantu makcik," katanya yang mempunyai empat orang anak. Halimah atau lebih selesa dengan panggilan Mak Long berkata, mengambil tempoh sebulan sebagai percubaan untuk membiasakan diri di Pondok Warga Emas Darul Hasanah, dia akhirnya tertarik dengan kehidupan harian di pusat penempatan warga emas tersebut. Pada mulanya Mak Long merasa berat untuk masuk di sini. Oleh itu Mak Long menetapkan tempoh selama sebulan sebagai percubaan untuk merasai kehidupan bersama warga emas lain. Tertanya, Mak Long suka malah bersyukur dapat ke sini. Selain itu, kita tidak akan merasa bersendiri di sini kerana pelbagai masalah dan aktiviti boleh dikongsi dan dilakukan bersama rakan-rakan sebaya yang memahami," ujarnya. Diberikan rumah khas bagi setiap penghuni, Halimah turut membuka kedai runcit mini di dalam pondok tersebut yang menyediakan barang keperluan asas kepada penghuni lain. Tidak mengehadkan aktiviti kami, Mak Long masih boleh meneruskan hobi Mak Long iaitu berniaga. Sejak dahulu lagi Mak Long sudah berjinak-jinak dalam berniaga seperti mengusahakan perkhidmatan ketering. Selain itu, di sini juga Mak Long dapat bercucuk tanam buah-buahan dan sayur. Hasilnya kami akan kongsikan bersama dengan penghuni lain untuk dimakan beramai-ramai," katanya yang baru lima bulan berada di rumah itu. Temui yang dicari Dalam pada itu, Rohani Untak, 52, berkata, pencariannya lebih 30 tahun bagi mendalami ilmu agama tidak tercapai sebelum menemui Pondok Warga Emas Darul Hasanah. Beliau yang aktif menyertai pelbagai kursus, kelas dan seminar agama masih belum berpuas hati dengan pengajian yang diperoleh kerana tidak dapat mendalami ilmu tersebut dengan selanjutnya. Sebelum ini makcik banyak belajar agama, sama ada yang dianjurkan secara rasmi ataupun tidak. Antaranya seperti pengajian Syariah dan juga Usuluddin dengan menyertai kelas yang dianjurkan oleh pihak masjid. Walaupun menerima apa yang disampaikan, tetapi bagi makcik ia masih belum mencukupi kerana kita tidak berpeluang untuk bersoal jawab dengan guru di kelas tersebut. Ini membuatkan rasa tidak berpuas hati dengan ilmu yang diperoleh. Selepas menuntut di pondok ini barulah makcik merasai ilmu yang diinginkan terjawab, sebarang kekosongan berjaya dipenuhi dengan pelbagai kuliah berkala yang diadakan di pondok ini pada setiap hari," katanya Menceritakan sejarah memasuki pondok warga emas tersebut, Rohani berkata, ia apabila dia ditimpa musibah dengan kematian suami dan disusuli pemergian anaknya dalam tempoh empat bulan. Perasaan sedih dan kecewa itu makcik bawa dengan mengembara ke seluruh negara. Makcik pergi ke seluruh pusat pengajian agama dan madrasah untuk mendapatkan nasihat daripada ustaz di pusat tersebut. Kesimpulan yang makcik temui adalah menuntut ilmu. Makcik akhirnya meluangkan masa di sini dan alhamdulillah, secara perlahan-lahan kesedihan mula beransur hilang," katanya. Menurutnya, bukan gelaran derhaka sebaliknya anak-anak yang menghantar ibu bapa ke penempatan warga emas kerana kerelaan ibu bapa untuk mendalami ilmu adalah mulia malah boleh beroleh ganjaran pahala. Anak-anak yang menghantar ibu ke rumah warga tua dengan niat bukan untuk melepaskan tanggungjawab atau terasa membebankan adalah mulia. Ini kerana mereka yang menanggung perbelanjaan ibu bapa melakukan amal ibadah adalah salah satu daripada pengorbanan. Kaedah ini hakikatnya, dapat mendidik anak-anak untuk berbakti kepada ibu bapa dengan cara tersendiri. Menggalakkan ibu bapa beribadat, menuntut ilmu dan memfokuskan hidupnya untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT, ini secara langsung membolehkan anak-anak mendapat pahala," katanya. |
Posted: 21 May 2014 11:35 PM PDT Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD KEHADIRAN Muhammad Habib Azfar (dua dari kiri) tidak pernah menjadi beban bagi pasangan suami isteri Mohd. Hasbullah Mohd. Hassim (kiri) dan Nor Azura Othman (kanan). IBU bapa mana menginginkan anak yang dilahirkan dalam keadaan tidak normal. Apatah lagi menghidap penyakit yang membabitkan perkembangan mental, namun itulah yang terpaksa dilalui oleh pasangan suami isteri Mohd. Hasbullah Mohd. Hassim dan Nor Azura Othman. Enam tahun lalu, saat mendapat tahu cahaya mata pertama yang dilahirkan menghidap penyakit cerebral palsy (CP), pasangan tersebut sama sekali tidak menyangka akan diuji dengan permulaan hidup berkeluarga yang berat. Walaupun dirasakan agak pilu menerima takdir tersebut, namun bagi mereka itulah keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah SWT dengan menganugerahkan anak syurga sebagai amanah untuk dibesarkan. Biarpun terpaksa berkorban masa, tenaga dan wang ringgit, sekali pun tidak pernah mematahkan semangat pasangan tersebut dalam memberi didikan terbaik bagi proses perkembangan anak istimewa mereka, Muhammad Habib Azfar, 6. Bagi Hasbullah, anak merupakan anugerah Allah SWT kepada setiap ibu bapa dan turut menyakini pasti ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku. Pada awal kelahirannya, Muhammad Habib kelihatan normal seperti bayi lain, dia tidak menunjukkan sebarang keganjilan, fizikalnya juga sempurna. Tetapi, tidak disangka selepas 7 bulan kami mendapati perkembangan fizikalnya lemah. Tidak seperti bayi lain yang boleh meniarap dan merangkak pada usia tersebut, Muhammad Habib hanya terlantar dan tidak boleh meniarap mahupun mengangkat kepalanya. Melihat keadaan tersebut, kami menghantar Muhammad Habib berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan. Sejurus itu, doktor mengesahkan bahawa Habib menghidap penyakit CP yang membabitkan perkembangan mental," katanya. Beliau berkata ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Amal - Ibu Ratu Hatiku anjuran Islamic Aid Malaysia (IAM) dengan kerjasama IKIMfm di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Baru-baru ini. Acara yang dimeriahkan dengan persembahan artis terkemuka tanah air Hafiz Hamidun dan Pencetus Ummah Rahmat dan juga penampilan istimewa penyanyi nasyid antarabangsa, Saif Adam itu bertujuan mengumpulkan dana untuk disalurkan kepada keluarga yang mempunyai anak CP yang telah dikenalpasti. Penyakit CP merupakan gangguan pergerakan, otot, atau postur yang disebabkan oleh kecederaan atau perkembangan abnormal pada bahagian otak. Secara umum, CP menyebabkan gangguan gerakan yang berkait dengan refleks berlebihan atau kekakuan, postur tubuh yang abnormal serta pergerakan tidak terkawal. Penghidap CP adalah berlainan daripada masyarakat normal lain iaitu perbezaan perkembangan otak, seperti cacat intelektual, masalah penglihatan dan pendengaran, atau kejang. Tidak membandingkan dengan kanak-kanak normal lain, Hasbullah sentiasa berusaha untuk memberikan rawatan kepada anaknya agar mampu menjalani hidup normal. Sejak mendapat tahu anak menghidap penyakit ini, kami tidak pernah berhenti berusaha memberikan rawatan dan terapi di hospital kerajaan dan juga pusat rawatan swasta lain. Apa yang saya titikberatkan adalah masa depan dia apabila dewasa nanti, biarpun tidak seperti rakan sebaya normal yang lain, sekurang-kurangnya dia dapat berdikari sendiri. Oleh itu, saya memfokuskan untuk mengajarnya berjalan, bercakap dan melakukan serba sedikit aktiviti seperti orang lain," ujarnya. Lebih lincah Berkongsi cabaran mempunyai anak CP, Azura berkata, membesarkan anak yang menghidap CP bukan mudah kerana perbuatannya yang agak lincah dan mempunyai perasaan tidak menentu. Berbanding kanak-kanak normal, anak CP agak lincah dan sukar untuk diuruskan. Cabaran yang dihadapi adalah untuk menguruskan dirinya. Mujur saya tidak bekerja, jadi boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada Muhammad Habib. Walaupun melihat anggota fizikalnya seperti kanak-kanak normal, tetapi perkembangan otaknya lemah yang seakan-akan kanak-kanak dan tidak mengetahui apa yang berlaku di sekeliling," katanya. Disebabkan itu tambahnya, Azura sekeluarga memberi perhatian lebih kepada Muhammad Habib dan banyak bermuhasabah diri supaya sentiasa bersabar menghadapi kerenahnya. Namun bagaimanapun bagi saya, tidak susah membesarkan anak CP ini, kerana dia juga seperti kanak-kanak lain. Saya juga tidak pernah terbeban ataupun sedih mempunyai anak istimewa seperti ini. Sebaliknya saya bersyukur kerana Allah SWT memilih kami untuk diuji dengan dikurniakan anak ini. Bagi saya ini amanah yang selagi mampu, saya akan cuba membesarkan dia sebaik mungkin sehingga ke akhir hayat saya," luahnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan