Utusan Online - Hiburan |
Jenazah Ratu Keroncong Kartina Dahari selamat disemadi Posted: 01 May 2014 04:30 AM PDT SINGAPURA 1 Mei - Jenazah biduanita Kartina Dahari, 73, yang meninggal dunia semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Lim Chu Kang di sini hari ini. Allahyarhamah yang dikenali sebagai ratu keroncong itu menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Braddell Hills akibat penyakit barah pangkal rahim yang dihidapi semenjak 2010. Kartina ialah antara biduanita Melayu era 1960-an hingga 1980-an. Ramai rakan-rakan termasuk peminatnya menziarahi jenazahnya di rumahnya sehingga ke majlis pengkebumian. Beliau meninggalkan tiga orang anak, seorang perempuan dan dua lelaki; Adlin Adnan, Shah Reza dan Noor Indera, berusia antara 41 dan 51 tahun. - BERNAMA |
Posted: 01 May 2014 06:55 AM PDT Oleh GARRET DAWUM ALYPH (kiri) dan Syarif bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami dan tidak takut kehilangan peminat kerana mendirikan rumah tangga adalah tuntutan agama. BAIK Syarif mahupun Alyph, kedua-dua anggota kumpulan Sleeq ini sememangnya sudah tidak sabar menanti hari mereka bakal disatukan dengan pasangan masing-masing sebagai suami isteri. Syarif atau nama sebenarnya Ahmad Syarifullah Ahmad Soribah bakal berkahwin pada November ini, manakala Alyph atau nama sebenar Muhammad Alif Abdullah pula pada September ini. Maksudnya satu perubahan besar bakal berlaku dalam hidup duo kelahiran Singapura ini. Memilih lokasi perkahwinan di negara kelahiran sendiri, baik Alyph mahupun Syarif, mengharapkan hari bahagia mereka itu akan berjalan dengan lancar. Buat masa ini, tarikh untuk berkahwin masih belum ditetapkan. Sama seperti mana-mana bakal pengantin lain, kedua-dua penyanyi berusia 25 tahun ini mengakui perasaan mereka kini bercampur baur antara teruja, gementar dan bahagia. Terus terang kata Alyph, dia tidak dapat menyembunyikan debarannya tatkala jari menghitung hari bahagia yang semakin menghampiri. "Saya bakal berkahwin pada September ini. Maksudnya, saya ada lebih kurang tiga bulan untuk membuat persiapan. Memang saya teruja, gembira dan tidak sabar untuk menanti majlis perkahwinan saya. "Kalau boleh biarlah cepat-cepat perkahwinan berlangsung. Ini kerana selagi belum tiba majlis perkahwinan, selagi itu bermacam-macam perkara saya fikirkan tentang persiapan majlis. "Nasib baik, bakal isteri saya banyak membantu dalam persiapan perkahwinan kami. Itu sudah cukup buat saya," katanya yang memilih Azzah Fariha Samad, 27, sebagai pasangan hidup. Begitu juga dengan Syarif, dia bertuah kerana tunangnya, Malaque Mahdaly, 25, memahami kerjaya dirinya dan sanggup membantu dalam persediaan perkahwinan. "Alhamdulillah, persiapan hampir siap sepenuhnya. Tertekan itu perkara biasa untuk semua bakal pengantin tetapi saya bertuah kerana tunang membantu melancarkan persiapan majlis perkahwinan kami," katanya yang telah bertunang pada 1 Januari 2012. Apabila ditanya persediaan masing-masing untuk bergelar seorang suami, kedua-duanya nampak tenang dan tidak kisah berkongsi mengenai kisah peribadi masing-masing. Bagi Syarif, dia akan membawa bakal isterinya ke Malaysia setelah stabilkan diri di Malaysia. Itu janji Syarif kepada tunangnya yang bekerja sebagai chef. "Saya akan membawanya ke Malaysia. Kami memang sudah berbincang ke arah itu. Dia pun setuju tetapi kena tunggu saya selesaikan semuanya di Malaysia. "Kalau tiada aral melintang, saya akan terus membawanya," kata Syarif. Selepas berkahwin kelak, Alyph juga akan membawa bakal isteri yang dikenali melalui laman sosial, Friendster ke Malaysia. "Namun, saya belum berbincang lanjut mengenai perkara itu kerana bakal isteri saya bekerja sebagai cikgu. Banyak perkara yang perlu diselesaikan. "Sekarang pun saya masih berulang-alik di antara Singapura dan Kuala Lumpur," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan