Jumaat, 11 April 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Pertingkat aspek keselamatan, kesihatan

Posted: 10 Apr 2014 11:27 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

ASPEK keselamatan dan kesihatan pekerja amat penting dalam projek MRT Sungai Buloh-Kajang kerana tapak pembinaan bagi projek tersebut terletak berhampiran dengan kawasan perumahan, lot-lot kedai dan jalan -jalan utama.

KUALA LUMPUR 10 April - Seramai 6,500 pekerja di 30 tapak Projek laluan Transit Berkapasiti Tinggi (MRT) Sungai Buloh -Kajang akan menyertai program penilaian keselamatan dan kualiti anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan kerjasama MRT Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.) bagi meningkatkan aspek keselamatan dan kesihatan dalam pekerjaan.

Pengarah CIDB Selangor, Mohd. Zaid Zakaria berkata, program dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu dijalankan bagi memastikan tiada sebarang insiden berlaku melibatkan kedua-dua aspek akibat kecuaian.

"Kejadian seumpama itu mampu memberikan kesan negatif terhadap organisasi dan imej industri pembinaan keseluruhannya dan CIDB sentiasa memantau isu-isu berkaitan keselamatan khususnya projek pembinaan di Selangor.

"Antara program yang ditawarkan termasuklah Kursus Induksi Keselamatan untuk Pekerja Binaan-Kursus Kad Hijau CIDB, Kursus Penyeliaan Keselamatan, Kursus Bekerja di Tempat Tinggi dan Kursus kemahiran berkaitan pemasangan perancah serta operasi kren," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai Program Meningkatkan Tahap Keselamatan Bagi Projek Pembinaan Mass Rapid Transit Lembah Klang (KVMRT) di Kompleks Pekerja MRT Pakej V1, di Sungai Buloh, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JKKP Selangor, Zahrim Osman, Timbalan Pengarah Jabatan Bangunan MBSA, Noraidah Basri dan Timbalan Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBPJ, Abdul Shukur Mohamed Noor.

Sementara itu, Pengarah Piawaian dan Pematuhan MRT Corp., Syed Mahdhar Syed Hussain berkata, isu keselamatan dan kesihatan amat penting dalam projek MRT kerana tapak pembinaan bagi projek tersebut terletak berdekatan dengan kawasan perumahan, lot-lot kedai dan jalan-jalan utama.

"Oleh itu kita sedaya upaya memastikan sebarang insiden tidak diingini berlaku kepada orang awam.

"Kita juga mahu keselamatan pekerja terjamin, lebih-lebih lagi kebanyakan mereka terdiri daripada pekerja asing dan kita mahu mereka pulang ke negara asal dalam keadaan selamat,"katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Zaid berkata, operasi penguatkuasaan CIDB di tapak pembinaan MRT baru-baru ini mendapati hampir 85 peratus daripada jumlah pekerja binaan terbabit mempunyai kad pendaftaran pekerja binaan atau kad hijau CIDB yang sah.

"Peratusan pematuhan ini adalah yang terbaik setakat ini berbanding tahap pematuhan kad hijau ditapak binaan lain yang secara umumnya berada pada tahap 52 peratus, berdasarkan hasil operasi penguatkuasaan CIDB 2013," ujarnya.

Longkang tersumbat punca banjir

Posted: 10 Apr 2014 11:27 AM PDT

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
kota@utusangroup.com.my

KEADAAN longkang yang dipenuhi sampah akibat tidak diselenggara dengan baik di sekitar Kampung Baru, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 10 April - Longkang di sepanjang Jalan Datuk Abdul Malik sehingga ke Jalan Sungai Baru di Kampung Baru di sini dikatakan menjadi salah satu punca berlakunya banjir di kawasan itu apabila hujan lebat.

Ini kerana longkang tersebut terlalu kotor dan tidak menunjukkan tanda bahawa ia pernah diselenggara sebelum ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di sini hari ini mendapati longkang itu yang sepatutnya membantu mengalirkan air hujan terus keluar ke sungai dipenuhi sampah-sarap.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Sungai Baru, Radin Salikun Mui memberitahu, longkang besar itu sudah tidak diselenggarakan sejak bertahun lamanya atas sebab yang tidak diketahui.

"Semuanya bermula pada tahun 2000 apabila longkang ini dibina oleh pihak berwajib untuk mengelakkan kawasan ini daripada dilanda banjir dan memastikan air tidak naik sehingga ke rumah penduduk.

"Bagaimanapun, longkang tersebut tidak diurus dengan baik sehingga kini dan menyebabkan sampah, batu serta pasir sudah terlalu banyak mendap sehingga mengakibatkan saliran air tersumbat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Menurutnya, dia terpaksa meminta bantuan penduduk untuk membuka jaring di longkang tersebut kerana sampah mula memenuhi kawasan itu yang menyebabkan air tidak dapat menembusinya.

"Kadangkala penduduk bergotong-royong membersihkan kawasan longkang itu tetapi pihak yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap perkara ini seolah-olah mengambil sikap lepas tangan.

"Dalam mesyuarat pencegahan banjir Kampung Baru juga telah saya bangkitkan mengenai isu ini, namun pihak berwajib hanya menuding jaring ke arah satu sama lain," jelasnya.

Tambahnya, jika setiap kali banjir, penduduk di Kampung Hujung Pasir dan Kampung Sungai Baru perlu menanggung masalah air masuk ke rumah dan memusnahkan harta benda mereka.

Katanya lagi, ada yang penduduk pernah ternampak ular sawa dan biawak keluar dari longkang tersebut sekali gus menyebabkan mereka bimbangkan keselamatan masing-masing.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Kampung Pindah tidak begitu berpuas hati dengan penyelenggaraan yang dilakukan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menurap semula jalan yang berlubang di Jalan Haji Yakob.

"Walaupun sudah disimen, tetapi tidak begitu sempurna dan pada bila-bila masa sahaja akan rosak semula apabila banyak kenderaan yang melalui jalan ini nanti.

"Malah, ada lagi lubang lain yang tidak dibaiki DBKL dan ini menyebabkan kami tertanya-tanya, mengapa hanya membaiki satu dan bukan kesemuanya sekali," katanya.

Penduduk mahukan masalah-masalah tersebut diselesaikan, terutama longkang yang tidak dijaga dengan baik kerana mengancam keselamatan serta kesejahteraan penduduk kampung itu.

Pemilik bangunan diminta buat latihan kebakaran sekali setahun

Posted: 10 Apr 2014 11:27 AM PDT

KUALA LUMPUR 10 April - Semua pemilik bangunan diminta supaya meningkatkan aspek keselamatan dengan mengadakan latihan kebakaran sekurang-kurangnya sekali setahun ekoran sesetengah bangunan di sekitar ibu negara terdedah kepada risiko kebakaran.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, sekalipun kebanyakan bangunan terutamanya baharu mempunyai aspek kualiti binaan yang tinggi namun masih terdedah kepada berlakunya tragedi kebakaran jika langkah-langkah keselamatan tidak diberi perhatian.

"Semakin tinggi sesuatu bangunan, lebih tinggi risikonya dan jika berlaku kejadian yang tidak diingini akan mengancam nyawa.

"Tanpa sebarang latihan kebakaran sememangnya boleh mengundang tragedi yang sangat buruk," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Pingat Kebesaran Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan Terpuji 2013 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur di Hotel Hilton KL Sentral di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, Khiruddin Drahman. Pada majlis itu, seramai 142 anggota Bomba dan Penyelamat dari Wilayah Kuala Lumpur pelbagai pangkat dan jawatan serta pesara menerima anugerah masing-masing.

Dalam pada itu, Wan Mohd. Nor berkata, sebanyak 408 bangunan di sekitar Kuala Lumpur memiliki Sijil Keselamatan Bangunan dari Jabatan Bomba yang perlu diperbaharui setiap tahun.

"Untuk memperbaharuinya pihak Jabatan akan melakukan pemeriksaan dan jika pemilik bangunan mempunyai pasukan khas bomba mereka sendiri dan mengadakan latihan kebakaran sekurang-kurangnya setahun sekali akan memudahkan pembaharuan sijil itu," jelasnya.

Sebelum itu dalam ucapan perasmiannya, beliau melahirkan rasa puas hati dengan rekod pencapaian dan kemajuan perkhidmatan anggota bomba yang disifatkan sebagai sangat profesional, cekap dan mengukir banyak kejayaan.

"Oleh kerana umur persaraan pada masa ini ialah 60 tahun, saya berharap kesemua anggota bomba sentiasa menjaga dan meningkatkan taraf kesihatan masing-masing agar khidmat dan tenaga mereka dapat digunakan dalam tugas-tugas yang sangat mencabar ini.

"Begitu juga tidak dinafikan dengan pendapatan dan gaji yang kecil dalam kalangan kakitangan yang sebenarnya membolehkan kita hidup secara sederhana dan tidak terjejas teruk akibat peningkatan kos hidup," katanya.

Dalam pada itu, menurut Khiruddin, jumlah panggilan palsu yang diterima oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur semakin berkurangan iaitu 32 panggilan pada tahun lalu berbanding 72 pada tahun sebelumnya.

"Bagaimanapun, jumlah aduan atau panggilan kebakaran yang diterima semakin tinggi, iaitu 1,905 kes pada tahun lalu berbanding 1,629 pada tahun 2012," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved