Utusan Online - Jenayah |
5 pelajar UIAM parah, bas dinaiki kemalangan Posted: 26 Apr 2014 08:42 PM PDT KUALA LUMPUR 27 April - Seramai lima pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cedera parah selepas bas yang dinaiki mereka terbabas lalu terhumban ke kawasan pembinaan di Kilometer 25.2, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke Shah Alam di sini, hari ini. Difahamkan dalam kejadian pukul 9.45 pagi itu, bas tersebut membawa 31 penumpang serta pemandu yang dalam perjalanan menuju ke Bukit Cerakah. Kesemua pelajar yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh. - UTUSAN ONLINE |
4 pemandu bas ekspres positif dadah Posted: 26 Apr 2014 12:02 PM PDT Oleh SAFINA RAMLI ALOR SETAR 26 April - Sebanyak 622 pemandu bas ekspres telah menjalani ujian saringan air kencing dalam operasi dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara, sejak empat hari lalu. Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, daripada jumlah itu, hanya empat positif dadah dan tindakan sewajarnya telah diambil terhadap mereka. "Sejak 22 April lalu, JPJ serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah menempatkan anggota di 22 terminal bas di seluruh negara untuk menjalankan ujian saringan air kencing sebelum pemandu bas ekspres termasuk pemandu kedua, memulakan tugas mereka. "Hasilnya, empat pemandu didapati positif dadah iaitu satu kes dikesan di Wilayah Persekutuan, dua di Negeri Sembilan dan satu di Terengganu. "Keempat-empat pemandu itu telah digantung lesen mereka untuk sementara waktu dan kita arahkan mereka ke klinik untuk menjalani pemeriksaan lanjut," katanya selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Zon Utara di Hotel Grand Alora, di sini hari ini. Pada 22 April lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, semua pemandu bas ekspres diwajibkan menjalani ujian saringan air kencing oleh pegawai penguat kuasa JPJ dan AADK setiap hari, di terminal-terminal bas di seluruh negara berkuat kuasa serta-merta. Langkah drastik itu merupakan antara beberapa tindakan dilakukan Kementerian Pengangkutan dalam usaha mengelakkan kemalangan melibatkan bas ekspres dan persiaran, berulang. Menurut Ismail, JPJ akan menggantung lesen pemandu bas ekspres yang disahkan positif dadah dan melakukan kesalahan berulang melibatkan penyalahgunaan dadah. "Mengikut rekod JPJ, terdapat 9,000 pemandu bas ekspres yang berdaftar dengan pihak kami dan operasi saringan ujian air kencing ini akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan pemandu bas ekspres bebas daripada penyalahgunaan dadah. "Ramai yang bersungut ia akan menyebabkan jadual perjalanan bas terganggu, namun pihak kami akan cuba mempercepatkan proses ini," jelasnya. Dalam perkembangan lain, Ismail memberitahu, mulai 1 Mei ini, JPJ akan memulakan sistem pendaftaran kenderaan secara dalam talian bagi mengurangkan kesesakan di kaunter-kaunter JPJ. "Sistem ini membolehkan pembeli kenderaan baharu iaitu daripada jenama Honda, Perodua, Proton dan Toyota mendaftar kenderaan mereka secara dalam talian tanpa perlu berurusan di kaunter JPJ. "Sistem ini akan dijalankan secara berperingkat dan dijangka mampu mengurangkan kesesakan di kaunter JPJ," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan