Rabu, 15 Januari 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Fadhlullah tokoh Maulidur Rasul

Posted: 14 Jan 2014 11:16 AM PST

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

TUN Abdul Rahman Abbas menyampaikan anugerah kepada Fadhlullah Jamil (kanan) dalam majlis sambutan Maulidur Rasul di Padang Kota Lama, Georgetown, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/SAZALI CHE DIN

PULAU PINANG 14 Jan. - Pengerusi Kariah Masjid Jamek Sungai Gelugor, Prof. Madya Dr. Fadhlullah Jamil dipilih sebagai penerima Tokoh Anugerah Maulidur Rasul 2014 peringkat negeri Pulau Pinang.

Majlis penyampaian anugerah itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas dalam majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri 1435H/2014M di Dewan Seri Pinang, di sini hari ini.

Selain berkhidmat sebagai pensyarah sambilan di Universiti Sains Malaysia (USM), Fadhlullah, 69, merupakan Timbalan Pengerusi II Persatuan Ulama Malaysia Pulau Pinang.

Menurut Fadhlullah, anugerah yang diterima itu merupakan pengiktirafan atas sumbangannya selama ini dalam memartabatkan ilmu serta pendidikan bagi generasi muda, khususnya di negeri ini.

"Ini adalah anugerah tertinggi kedua yang saya terima selepas Anugerah Media Islam Malaysia atas karya yang saya tulis pada Julai 2008.

"Kini, saya juga sedang menulis sebuah buku berkaitan kesesatan ajaran Syiah berdasarkan pengalaman ketika menuntut di luar negara serta pergaulan dengan rakan-rakan yang mengamalkan ajaran itu," katanya.

Sementara itu, bagi penerima Anugerah Khas (Anak Muda), Ahmad Sani Araby Abdul Alim Araby, 30, sumbangannya dalam misi kemanusiaan ke Syria, Gaza dan Myanmar sebelum ini terbalas dengan anugerah yang diterimanya tersebut.

Menurutnya, pengorbanan yang dibuat selama ini terutama bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) adalah atas dasar kemanusiaan membantu golongan umat Islam yang tertindas.

"Saya bersyukur di atas anugerah ini yang memberikan motivasi kepada saya untuk terus menabur bakti kepada umat Islam sejagat terutama di wilayah bergolak Syria dan Gaza.

"Sekarang saya sedang dalam misi bantuan musim sejuk di Syria, namun pulang seketika ke tanah air untuk menerima anugerah ini dan akan kembali ke sana hari ini juga," katanya yang juga Pengerusi Kumpulan Perniagaan Al-Araby.

Turut menerima anugerah ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kaji Hayat USM, Prof. Dr. Darah Ibrahim yang dipilih sebagai penerima Qudwatul Hasanah (Inovasi) dan Allahyarham Mohd. Redzuan Abdul Wahab (Anugerah Khas Pendidikan).

Selain perarakan, majlis itu turut diserikan dengan persembahan qasidah dan ceramah perdana yang disampaikan pendakwah, Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood.

1,000 berarak di Hilir Perak

Posted: 14 Jan 2014 11:16 AM PST

LEBIH 1,000 umat Islam menyertai perarakan Maulidur Rasul peringkat daerah Hilir Perak yang bermula dari Dataran Menara Condong ke Masjid Sultan Idris Shah, Teluk Intan, semalam. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN

TELUK INTAN 14 Jan. - Lebih 1,000 umat Islam menyertai perarakan Maulidur Rasul peringkat daerah Hilir Perak dengan berarak dan berselawat mengingati kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Perarakan sejauh satu kilometer itu bermula dari Dataran Menara Condong ke Masjid Sultan Idris Shah dekat sini.

Dengan tema 'Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah', sebanyak 17 kontinjen mengikuti perarakan tersebut termasuk Pejabat Daerah Teluk Intan, Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Teluk Intan serta Pergerakan Puteri dan Pemuda UMNO Teluk Intan.

Program anjuran Pejabat Daerah Hilir Perak dengan kerjasama (MPTI) itu turut melibatkan penganjuran ceramah agama dan marhaban di masjid tersebut.

Sementara di IPOH pula, kira-kira 800 orang turut menyertai perarakan sambutan Maulidur Rasul peringkat kariah Rapat Setia Baru, di sini hari ini.

Program kali kedua anjuran Masjid Solatiah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Rukun Tetangga Rapat Setia Baru dan Sekolah Agama Rakyat Solatiah itu turut dimeriahkan dengan penglibatan lebih 100 pelajar Sekolah Menengah Gunung Rapat dan 40 pelajar Kolej Vokasional Lebuh Cator.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved