Rabu, 15 Januari 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Pecah monopoli manfaatkan rakyat

Posted: 15 Jan 2014 10:22 AM PST

DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah Penganalisis isu-isu semasa.

DI SEBALIK ramai yang memperkatakan kesan kenaikan harga termasuk tarif elektrik, kita tidak dapat menafikan kemelut yang dihadapi rakyat yang terpaksa bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

Barangkali boleh difikir-fikirkan bagaimana Tenaga Nasional Berhad (TNB) boleh menguruskan operasi pada tahap kecekapan maksimum. Kita maklum, TNB menggunakan pendapatan untuk mencari keuntungan.

Penjana Tenaga Bebas (IPP) pula bertindak sebagai pembekal tenaga elektrik kepada TNB yang merupakan pembekal tenaga elektrik tunggal di Malaysia.

Dalam konteks langkah-langkah penjimatan, kita (dalam konteks kita ini TNB) mahu kekalkan keuntungan dan pada masa sama sepatutnya tidak melihat tarif elektrik itu 'solution' keuntungan.

Hari ini, rakyat tahu IPP membekalkan tenaga elektrik kepada TNB pada kadar berbilion ringgit. Sepatutnya mana-mana 'bayaran' yang tidak adil kepada IPP, disemak semula dan 'dibentuk' dalam konteks perjanjian yang lebih adil.

Kita maklum TNB 'terpaksa' membayar kepada IPP walaupun IPP dalam keadaan stand by sahaja (persediaan seandainya bekalan elektrik terputus atau berdepan risiko bencana). Mungkin lebih adil jika IPP dibayar hanya setelah khidmatnya benar-benar digunakan. Jika dalam keadaan stand by, ianya serupa 'satu pembayaran percuma kepada IPP'.

Saya ingin berkongsi pandangan penganalisis ekonomi, Prof. Madya Dr. Haim Hilman dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mengesyorkan supaya monopoli TNB dipecahkan.

Secara lebih menyeluruh boleh kita renungkan bahawa penjimatan kadar elektrik sebenarnya dapat dimanfaatkan secara menyeluruh oleh rakyat mahupun kerajaan.

Dalam konteks ini, kita boleh pecahkan syarikat-syarikat pembekalan ini dari segi wilayah. Contohnya di selatan tanah air, ada pembekal tenaga elektriknya sendiri, Pantai Timur ada syarikatnya sendiri seperti mana di Sabah dan Sarawak, ada penjana kuasanya masing-masing ketika ini.

Dengan memecahkan monopoli, persaingan untuk membekalkan tenaga elektrik kepada rakyat menjadi lebih kompetitif. Contohnya untuk negeri utara iaitu Perlis, Pulau Pinang dan Kedah, ada kadar elektrik tertentu berbanding di Lembah Klang.

Dengan ini rakyat boleh membandingkan kadar yang mungkin lebih murah dan lebih baik daripada yang ditawarkan hari ini. Dengan memecahkan monopoli, skop perkhidmatan membekal elektrik kepada rakyat lebih kecil, malah efisien dalam konteks Malaysia. Jika masih ada syarikat pembekal yang masih nak untung dengan kadar tarif masing-masing, terpulanglah. Ikut kecekapan masing-masing yang boleh dinilai sendiri oleh rakyat.

Dalam konteks kenaikan apa pun sama ada barang atau perkhidmatan, kita perlu melihat secara menyeluruh akan kesannya. Kenaikan tarif elektrik bukan isu isi rumah nak bayar kepada TNB sahaja. Kita pun maklum 'ikan pun nak masuk peti ais'. Orang berniaga atau yang melibatkan pengeluaran, kilang terpaksa guna elektrik. Dengan bil elektrik yang melambung akibat kenaikan tarif, bebannya tentu sekali akan dipindahkan kepada pengguna. Di kedai makan, harga lauk - ikan, ayam dan sayur - tentunya naik.

Tuntutan hidup sekarang tidak sama lagi macam dulu. Ini yang membuatkan rakyat tertekan. Peningkatan pendapatan rakyat tidak lagi seimbang dengan sara hidup. Nilai seringgit sekarang tidak sama macam 10 tahun dulu.

Kita akui akan hakikat kenaikan harga barang dan minyak berlaku di mana-mana negara. Indonesia pun menghadapi kenaikan sama tahun lepas. Tapi kalau boleh, minimumkanlah kenaikan itu.

Sepatutnya kenaikan harga disusuli dengan kualiti perkhidmatan. Katakan, kalau kurangkan subsidi minyak yang dapat jimat sekian-sekian banyak, RM1 bilion contohnya, perjelaskan wang subsidi yang ditarik itu ke mana? Untuk naik taraf atau tubuh universiti bertaraf antarabangsa atau beberapa institusi berorientasikan pendidikan agama dan akademik?

Itu yang rakyat tak tahu. Setelah tahu, rakyat mungkin boleh terima pengumuman kenaikan itu.

Kerajaan mesti dilihat dalam konteks rakyat. Kalau rakyat menangisi kenaikan kos, kerajaan harus turut dilihat menangisinya. Kalau kos barangan meningkat, kita kena buat kajian. Siapa orang tengah dan dalangnya?

Kita maklum penguasaan pemborong bukan berlaku baru-baru ini sahaja tetapi sudah lebih 40 tahun. Kenapa tidak ada rantaian pemborong dalam kalangan orang Melayu? Kenal pasti siapa pemborong kita di sekeliling. Kalau koperasi, mesti ada pemborongnya.

Contoh klasik yang kita lihat apabila golongan nelayan laut dalam mogok tidak lama dulu kerana kerajaan menarik balik subsidi super diesel. Akibatnya, harga ikan melambung 30 peratus. Mana mungkin harga ikan melambung tinggi dek kerana harga minyak naik, walhal nelayan diberi minyak, bot dan enjin yang disubsidi. Malahan wang saku turut diberi. Lori mengangkut ikan turut disubsidi.

Atas alasan apa menyebabkan harga ikan naik? Siapakah sebenarnya yang memanipulasi harga ikan? Pemborong? Siapa mengawal harga? Kerajaan ataupun pemborong?

Kita khuatir, kalau-kalau cerita pasal kebaikan Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia atau apa sahaja jenama produk 1Malaysia yang sememangnya cukup terbukti manfaatnya kepada rakyat, hanya setakat di permukaan sahaja. Tidak sampai ke denyut hati rakyat secara menyeluruh.

Kita khuatir apabila harga barang naik, segala permasalahan ditolak kepada kerajaan. Sedangkan, kita gagal melihat dari mana punca dan mengapa harga barang naik. Sabotaj ekonomi mungkin terang-terangan berlaku.

Mengharapkan harga kereta turun

Posted: 15 Jan 2014 10:22 AM PST

Rohaimi Shafie
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA)
dan Felo Penyelidik Institut Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) Universiti Utara Malaysia

Kereta tidak lagi menjadi barangan mewah seperti dahulu tetapi kini menjadi satu keperluan bagi semua lapisan rakyat tanpa mengira tahap pendapatan mereka. - Gambar hiasan

SAYA bukanlah jenis 'gila' kereta, tetapi di luar sana termasuklah majoriti rakan saya, mereka benar-benar minat dengan kereta.

Ada yang sanggup berbelanja lebih demi memandu kereta impian. Ada juga yang bertukar-tukar kereta tidak sampai tiga tahun pun kenderaan berkenaan dibeli.

Ada juga rakan saya yang berada di luar negara sama ada bekerja mahupun cuti belajar dalam tempoh yang lama mengambil peluang membeli kenderaan.

Maklumlah, kenderaan yang dibeli di luar negara harganya begitu murah berbanding membeli di negara kita sendiri. Sanggup mereka menyimpan wang bertahun-tahun bagi mendapatkan kereta impian mereka apabila berada di luar negara.

Apabila ditanya kenapakah mereka sanggup berbelanja lebih demi kereta. Jawapannya sudah tentulah demi kepuasan diri. Itulah jawapan paling popular bagi peminat-peminat kereta.

Meskipun kos sara hidup semakin tinggi, demi kereta mereka tidak kisah sedikit pun. Begitulah betapa hebatnya pengaruh kenderaan ke atas peminat kenderaan yang terlalu obses dengan kenderaan.

Perbelanjaan ke atas kenderaan adalah antara yang paling tinggi dalam bajet seseorang. Kenderaan tidak lagi menjadi barangan kehendak tetapi telah menjadi barangan keperluan bagi rakyat biasa. Kenderaan di Malaysia semakin hari semakin bertambah. Buktinya, lihatlah betapa banyaknya kenderaan di atas jalan raya di bandar-bandar utama negara seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Kenderaan akan hanya menjadi barangan kehendak bagi golongan yang kaya-raya dengan ada di antara mereka memilikinya melebihi lima buah. Bahkan, sudah jadi kebiasaan bagi golongan kaya-raya ini memandu kenderaan yang berbeza-beza dalam waktu-waktu tertentu.

Itu bagi golongan kaya-raya. Bagi golongan biasa sama ada kelas menengah atau bawahan, tidaklah sampai memiliki kenderaan sebegitu banyak.

Namun, mereka tetap mahu memiliki kenderaan impian berasaskan kedudukan kewangan peribadi. Untuk memiliki kenderaan, faktor utama yang perlu diambil kira adalah harga kenderaan di atas jalan. Maka apabila kerajaan melaksanakan Dasar Automotif Negara (DAN) pada 2006, rakyat pada ketika itu merasakan harga kenderaan akan semakin rendah pada masa akan datang.

Antara objektif DAN tidak lain tidak bukan untuk memastikan agar industri automotif tempatan berdaya saing, menjadikan negara kita sebagai hab automotif serantau dan menggalakkan penyertaan bumiputera dalam industri automotif yang berdaya saing.

Paling utama, objektif DAN untuk memastikan produk kenderaan berkualiti, selamat dan harganya pula berpatutan untuk pengguna.

Di bawah DAN, duti import telah dikurangkan bagi negara-negara ASEAN di bawah perjanjian Common Effective Preferential Tariff (CEPT) ke tahap lima peratus sahaja. Kini, duti import bagi CEPT ASEAN telah dihapuskan.

Pada 1 Januari 2010, kajian semula DAN telah dikuatkuasakan. Bagi kenderaan Most Favoured Nation (MFN) kadar duti import dan cukai eksais dikekalkan. Harga sesebuah kereta MFN di atas jalan ditentukan berasaskan duti import, duit eksais, cukai jualan, keuntungan dealer, harga aksesori, kos pendaftaran dan insurans.

Kadar duti import 30 peratus dikenakan ke atas CBU MFN bagi semua jenis kenderaan iaitu kereta, kenderaan pacuan empat roda, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan van. Sementara itu, cukai eksais berada dalam lingkungan 60-105 peratus berasaskan kapasiti enjin. Cukai jualan pula adalah pada kadar tetap 10 peratus. Kalau diteliti kadar-kadar cukai ini terutamanya duti import dan cukai eksais, mungkinkah ia akan diturunkan pada masa terdekat ini?

Kerajaan akan mengumumkan DAN yang baharu pada bila-bila masa sahaja pada bulan ini. Sebenarnya, ramai menantikan berita baik dalam pengurangan duti import dan cukai eksais. Malahan, ada yang sanggup menunda pembelian kenderaan impian mereka semata-mata untuk menanti berita baik pengumuman pengurangan cukai-cukai ini.

Meskipun penganalisis automotif menjangkakan tiada sebarang pengumuman pengurangan kadar cukai kenderaan namun, rakyat masih menaruh harapan agar harga kenderaan dapat diturunkan pada kali ini.

Maklumlah, era harga barangan dan perkhidmatan yang semakin tinggi, menyebabkan rakyat mengharapkan harga kenderaan dapat dikurangkan. Setidak-tidaknya ia dapat mengurangkan perbelanjaan bulanan mereka. Ini harapan rakyat.

Pada masa sama, rakyat mengharapkan kerajaan tidak melaksanakan sebarang polisi berkaitan had jangka hayat kenderaan kerana kesan akhirnya ia boleh membebankan mereka.

Meskipun ada yang menyatakan bahawa faktor jangka hayat kenderaan boleh memberi kesan ke atas tahap keselamatan pengguna, namun, banyak lagi faktor lain yang boleh diberi perhatian seperti sikap pemandu dan mengamalkan penyelenggaraan kenderaan mengikut jadual.

Buktinya, kita boleh lihat kemalangan jalan raya yang berlaku di negara kita juga banyak melibatkan kenderaan baharu dan ada antaranya kereta mewah yang tidak mampu dijangkau oleh rakyat biasa berpendapatan sederhana ke bawah.

Maka, usahlah memperkenalkan dasar atau polisi sebegini kerana akhirnya yang rugi rakyat itu sendiri walaupun hasrat murni kerajaan demi keselamatan pengguna kenderaan.

Bagi bakal pembeli, mereka perlu ingat pemilikan ke atas kenderaan bukan setakat ketika mula-mula membeli atau ketika membayar ansuran bulanan, tetapi sebaliknya melibatkan kos petrol, cukai jalan, insurans tahunan, tol dan tidak lupa juga kos penyelenggaraan.

Maka, selain mengharapkan harga kenderaan murah di atas jalan, bagi bakal pembeli, mereka juga perlu mengambil kira kos-kos ini kerana ia boleh menyebabkan anda berfikir kembali sama ada mahu membeli kenderaan baharu atau kekal dengan kenderaan sedia ada.

Selain harga kenderaan dan had hayat kenderaan, mungkinkah kerajaan akan mengumumkan dasar-dasar baharu DAN berkaitan dengan permit import (AP), insentif kenderaan cekap tenaga (EEV), dasar pengeluaran lesen pengilang dan dasar-dasar lain bagi memperkukuhkan industri automotif tempatan?

Pengumuman DAN amat dinanti-nantikan oleh rakyat dan pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam industri automotif tempatan. Semuanya akan terjawab tidak lama lagi.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved