Sabtu, 12 April, 2025

Jumaat, 31 Januari 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Meningkatkan intergriti DBKL

Posted: 31 Jan 2014 11:55 AM PST

TIADA buah tangan istimewa atau insentif baharu diumumkan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2014 bagi warga kota Kuala Lumpur.

Namun Datuk Bandar Kuala Lumpur, DATUK SERI AHMAD PHESAL TALIB melahirkan keyakinan pengisian sambutan bertema Wilayah Persekutuan Ceria' itu dijamin tetap meriah dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan bagi menambahkan keceriaan warga Kuala Lumpur.

Saya percaya warga kota akan bersama-sama meraikan sambutan ini dengan penuh ceria atas rasa cinta dan sayang kepada Kuala Lumpur, dan memberi komitmen sepenuhnya dengan menyertai acara yang telah diatur," katanya ketika ditemu bual sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan peringkat Kuala Lumpur di pejabatnya baru-baru ini.

Kepada wartawan ROSLAH OTHMAN dan HARADIAN SHAH HAMDAN bersama jurugambar SYEFRY MONIZ, beliau turut berkongsi harapan untuk melihat budaya positif kalangan warga kota dapat merealisasikan hasrat menjadi sebuah bandar raya bertaraf dunia.

UTUSAN: Tawaran kompaun trafik sebanyak RM30, penggunaan tandas awam dan kemudahan gelanggang sukan milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diberikan sepanjang Februari ini. Boleh Datuk Seri jelaskan secara terperinci.

AHMAD PHESAL: Saya menyeru seluruh warga kota memanfaatkan sepenuhnya tawaran dan insentif yang diberikan kepada mereka kerana ia ditawarkan dalam tempoh tertentu dan terhad. Sebagai contoh tawaran kompaun trafik bermula 1 Februari ini sehingga 8 Mac depan.

DBKL memutuskan untuk meneruskan tawaran kompaun trafik kepada warga kota selepas sambutan menggalakkan diterima sejak dua tahun lalu.

Untuk menawarkan warga kota secara percuma adalah mustahil kerana diskaun yang diberi amat besar ertinya berbanding anda terpaksa membayar RM100 sehingga RM300 bagi kesalahan sama.

Bagi menggalakkan budaya membaca dalam kalangan warga kota yuran keahlian percuma untuk semula perpustakaan DBKL turut ditawarkan sepanjang Februari.

Sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2014 sebanyak RM980,000 diperuntukan bagi sambutan di Kuala Lumpur, diikuti Putrajaya (RM430,00) dan Labuan (RM370,000). Jumlah peruntukan itu dikurangkan sedikit berbanding tahun lalu sebagai langkah penjimatan. Apakah acara besar yang diadakan di Kuala Lumpur?

Walaupun peruntukan yang diberikan dikurangkan berbanding tahun lalu, saya percaya kemeriahan tetap ada. Selain acara Kibar Bendera pada 22 Januari lalu, turut diadakan Majlis Tahlil (30 Jan), Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat (1 Feb), Forum Perdana (6 Feb) dan Kenduri 1Wilayah Persekutuan (22 Feb).

Semua acara ini dianjurkan dalam bentuk mesej bersama rakyat dengan dengan pembabitan seluruh warga kota secara terus menerusi menerusi program tanggungjawab sosial masyarakat.

Julai ini genap dua tahun Datuk Seri memikul tanggungjawab sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur. Apakah pencapaian yang boleh dibanggakan setakat ini?

Untuk saya senaraikan pencapaian sepanjang tempoh satu tahun setengah berkhidmat masih terlalu awal. Namun saya berbangga dan berterima kasih kerana mempunyai kakitangan dan pengurusan kanan yang berdedikasi bagi merealisasikan semua itu.

Antaranya pencapaian yang boleh senaraikan termasuklah, memperkenalkan kaedah membimbing perancangan dan kelulusan pelan bangunan. Kaedah itu secara tidak langsung berjaya membantu Malaysia berada di tahap ke enam daripada 189 negara berbanding 197 pada tahun 2012 dan 113 pada tahun 2013.

Kedua, DBKL dengan kerjasama Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) mewujudkan sistem KL Base iaitu langkah mengurangkan tempoh kelulusan pelan bangunan kepada pemaju. Kami melihat tentang keperluan kepada perubahan selepas melihat projek-projek pembangunan termasuk hotel sehingga 22 jam. Hasil daripada itu, hari ini terdapat kira-kira 500 hingga 600 kren aktif di udara.

Ketiga, tumpuan kepada meneruskan Kempen penanaman pokok yang merupakan inisiatif kerajaan untuk menambah kawasan hijau di ibu negara di bawah Entry Point Project (EPP) ke-6 (Greener KL) bagi inisiatif Greater KL/KV .

Dalam tak diam, berbaki enam tahun lagi untuk Kuala Lumpur mencapai sasaran berstatus bandar raya bertaraf dunia. Sejauh mana keyakinan Datuk Seri untuk melihat hasrat itu benar-benar direalisasikan.

Dari aspek perancangan pembangunan saya melihat hasrat itu mampu direalisasikan. Namun budaya dalam kalangan warga kota masih perlu dipertingkatkan. Program-program kesedaran telah dimulakan di sekolah-sekolah bagi memberi kesedaran di peringkat awal bagaimana nilai-nilai positif dapat disemai. Sebagai contohnya, gejala vandalisme.

Cabarannya di sini tidak lain apabila kebanjiran warga asing di ibu kota yang membawa budaya mereka sendiri.

Turut dilihat ialah bagaimana menyediakan peluang pekerjaan kepada warga kota yang berpendapatan bawah RM5,000. Tidak terkecuali penyediaan rumah mampu milik.

Mengukur tahap kemajuan bandar bukan sekadar melihat kepada jumlah bangunan pencakar langit dan kemudahan-kemudahan serba moden serta sebaliknya lebih keperluan memenuhi kehendak dan keperluan warga kota. Namun ramai yang masih belum berpuas hati mengenai beberapa perkara terutama melibatkan kemudahan infrastruktur, baik pulih jalan, pengairan dan saliran. Komen Datuk Seri mengenainya.

DBKL akan meningkatkan jumlah peruntukan untuk kerja-kerja menaik taraf penyelenggaraan sistem saliran, perparitan dan jalan bagi pembentangan bajet tahun 2014. Ia bagi memastikan masalah banjir kilat di ibu negara dapat diatasi. Setiap tahun peruntukan tersebut dimasukkan dalam bajet DBKL dan ia meliputi kerja-kerja penyelenggaraan sistem perparitan dan sungai.

Kita juga akan melihat semula jalan-jalan utama ibu kota yang sering dinaiki air untuk kerja-kerja pembaikan sistem perparitan dan pembersihan dengan kerjasama Jabatan Kejuruteraan dan Saliran DBKL bersama-sama Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora).

Tahun 2014 merupakan Tahun Melawat Malaysia. DBKL juga mempunyai perancangan tersendiri bagi menarik pelancong asing ke Kuala Lumpur melalui pelbagai aktiviti yang telah diatur. Boleh Datuk Seri jelaskan sedikit mengenai perancangan tersebut.

DBKL sentiasa berusaha ke arah itu. Tahun ini DBKL bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014. Sebagai contoh Acara Kayuhan OCBC dan Kempen Green Car Free Morning.

Langkah DBKL menjadikan Ahad minggu pertama setiap bulan sebagai hari berbasikal di ibu negara adalah seiring sasaran ibu negara sebagai kota yang mementingkan alam sekitar dengan mengurangkan pelepasan asap karbon dioksida di dalam bandar. Usaha ini bertujuan menarik minat setiap lapisan masyarakat untuk berbasikal kerana ia satu aktiviti yang sihat.

DBKL juga menyasarkan 15 juta pelancong melawat ibu negara semasa TMM 2014. Sasaran itu meliputi 10.1 juta pelancong antarabangsa dan 4.9 juta pelancong tempatan dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM24.9 bilion.

Ibu kota ini menerima 14 juta pelancong terdiri daripada 9.3 juta pelancong asing dan 4.7 juta pelancong domestik serta pendapatan pelancongan sebanyak RM19.8 bilion pada 2012.

Bagaimana untuk mengekalkan pembangunan yang mampan dan daya saing yang baik sesuai dengan kehendak penduduk demi mewujudkan wilayah Kuala Lumpur yang telus dan berakauntabiliti dari aspek pentadbiran?

DBKL sering dikaitkan dengan soal ketelusan terutama, di dalam pemberian tender. Untuk pengetahuan DBKL melaksanakan tender terbuka dan memberi peluang kepada semua pihak. Pemilihan dibuat dengan meneliti pelbagai aspek termasuk kemampuan, kewangan, pengalaman dan sebagainya.

DBKL sendiri meletakkan kriteria itu sebelum tender diberikan kepada pihak yang layak.

Selepas tender diumumkan, saya dihujani pelbagai pertanyaan, merayu dan mempersoalkan keputusan yang dibuat. Sebenarnya sebelum keputusan diambil, DBKL sendiri terpaksa berhadapan dengan tugas yang cukup mencabar.

Sebagai contoh tender bagi kerja-kerja penyelenggaraan hanya dibukakan kepada 10 kontraktor, tetapi yang memohon beratus-ratus. Ini memberi cabaran kepada DBKL untuk mencari yang benar-benar layak.

Apa yang telah, sedang dan usaha berterusan yang dilakukan DBKL tidak lain untuk sentiasa memastikan kakitangan yang penuh berintegriti, berhemah dan cekap. Selain menubuhkan unit integriti, turut ditambah kursus berkaitan.

Difahamkan, pengalaman sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang sedikit sebanyak membantu Datuk Seri menguruskan Kuala Lumpur. Bagaimana dari segi cabarannya?

Di Pulau Pinang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sangat kuat dan aktif memperjuangkan isu-isu masyarakat. Saya gembira kerana mereka juga banyak membantu dan memberi sokongan.

Ini berbeza dengan di Kuala Lumpur kerana ada kepelbagaian masyarakat yang datang dari seluruh negara. Di sini ada orang dari Kelantan, Johor, Kedah dan spektrumnya lebih luas (berbanding di Pulau Pinang).

Lagipun bukan mudah untuk mengurus Kuala Lumpur yang mempunyai 1.7 penghuni dan boleh menjadi 2.6 juta pada waktu siang iaitu yang datang bekerja dan berurusan di ibu kota.

DBKL juga perlu sentiasa pandai memberi respons dengan pantas dalam menangani sesuatu isu.

Selain itu, salah satu cabaran di Kuala Lumpur ialah kebanjiran pekerja warga asing yang datang dengan pelbagai nilai berbeza dengan rakyat tempatan. Secara jujurnya saya cukup teruja diberi tanggungjawab sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur dan meletakkan ia sebagai satu cabaran.

Kenduri kahwin era digital

Posted: 31 Jan 2014 11:55 AM PST

Kopi Panas

ARTIKEL ini lebih sesuai ditulis pada musim cuti sekolah. Musim cuti sekolah sangat sinonim dengan kenduri kahwin. Di Pantai Timur mereka panggil musim bekwah atau makan gulai atau makan pulut atau ngelang.

Minggu ini pun banyak cuti. Ada cuti Tahun Baharu Cina dan disambung lagi dengan cuti Hari Wilayah bagi warga Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sudah tentu ada yang ambil peluang buat kenduri-kendara bila ada cuti umum panjang bersambung sebegini.

Lagi pun sekarang, majlis kenduri kahwin tidak lagi tertakluk pada musim cuti tetapi tertakluk kepada kekosongan dewan orang ramai, balai raya, dewan hotel atau dewan masjid. Kerana itu hampir setiap minggu orang buat majlis walimatulurus ini.

Lainlah kalau majlis dirancang di kawasan taman perumahan sahaja. Dengan ikatan kejiranan sangat baik, kenduri-kendara dijalankan secara gotong royong atau rewang persatuan penduduk, kariah surau atau masjid.

Kerja-kerja menjemput saudara-mara, rakan taulan serta sahabat-handai pula semakin mudah dalam era teknologi maklumat. Selain kad jemputan, Facebook, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau Twitter banyak membantu.

Selain kedua-dua mempelai, barang hantaran yang dihantar pihak lelaki dan dibalas oleh pihak perempuan adalah salah satu tarikan tetamu. Maka berpusu-pusu tetamu (biasanya wanita) masuk ke bilik pengantin, menjenguk sekurang-kurangnya.

Selain bergambar dengan pengantin, ada jemputan mengambil peluang bergambar dengan barang hantaran.

Sekarang barangan hantaran juga sudah berubah trend. Ada macam-macam bergantung kepada minat dan citarasa pengantin.

Kalau si lelaki minat kepada barangan lama maka vintajlah tema hantarannya. Dalam satu majlis perkahwinan seorang rakan pada pertengahan tahun 90-an dahulu, penulis melihat salah satu hantaran yang dibalas oleh pihak perempuan ialah sepasang kasut sukan (sneakers) berjenama terkenal.

Walaupun nampak sedikit janggal, penulis kagum dengan keberanian isterinya itu.

Penulis juga pernah terbaca bagaimana pengantin lelaki yang bekerja sebagai juruelektrik menerima hantaran balas satu set perkakasan pendawaian termasuk alat gerudi laju tinggi tercanggih! Menitis air mata lelaki melihat hantaran yang sangat bermakna itu.

Dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi dan era digital ini, gajet elektronik sudah mula mengambil tempat menggantikan tradisi barangan hantaran cara lama.

Antaranya telefon bimbit, tablet, komputer riba, peranti sistem kedudukan sejagat (GPS), konsol permainan, kamera dan pelbagai lagi.

Bagaimanapun timbul satu persoalan relevankah peralatan elektronik ini dijadikan barang hantaran? Dalam zaman teknologi yang bergerak sangat pantas, pelbagai jenis gajet muncul setiap hari. Yang dibeli semalam, tahun hadapan sudah ketinggalan atau menjadi dinosours.

Ada yang berpandangan barang kemas terutama buatan daripada emas paling relevan. Selain nilainya yang sentiasa konsisten juga boleh dipusakakan,

Barang kemas banyak membantu. Kalau terdesak boleh sahaja dibawa ke pajak gadai. Sudah tentu laku. Tambahan pula harga emas jarang sangat turun.

Tetapi gajet-gajet pun ada nilai tersendiri, boleh dijual secara online. Jual cara sebegini tidak dilihat orang berbanding ke kedai pajak gadai!

Kalau majlis diadakan di hotel atau di dalam dewan, persembahan klip video pengantin sudah menjadi satu kelaziman baharu.

Kisah zaman kecil pengantin dari era pakai lampin pakai buang sehingga ke era rambut perang atau bertudung litup digarap cukup menarik, diselang seli dengan lagu-lagu kontemporari popular.

Kadang-kadang kualitinya jauh lebih baik daripada kualiti klip video lagu penyanyi-penyanyi tanah air.

Majlis penutupan biasanya diserikan dengan persembahan joget lambak atau tarian poco-poco. Anak beranak dan saudara mara pengantin serta pengantin sendiri turun pelamin untuk sama-sama turut serta.

Khabarnya mutakhir ini, ada yang lagi berani. Bukan joget lambak atau poco-poco lagi tetapi tarian shuffle iringan lagu Everyday Im shuffling nyanyian LMFAO atau tarian kuda Psy - Gangnam Style dan Gentlemen..

Dalam kemeriahan majlis kenduri kahwin satu perkara tuan rumah kena sentiasa beringat. Banyak kes kecurian dan rompakan berlaku.

Dulu penyangak-penyangak ini masuk waktu malam. Maklumlah tuan rumah dan pengantin semuanya sudah kepenatan pada masa itu.

Sekarang perompak datang pada waktu kenduri berjalan. Selepas kenyang makan, mereka berpura-pura menjenguk bilik pengantin. Ketika itulah mereka sapu apa yang patut.

Jadi kepada tuan rumah rumah, mulai sekarang jangan lupa pasang seorang penanggah khas di bilik pengantin!

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved