Sabtu, 12 April, 2025

Jumaat, 31 Januari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Patuhi tanda amaran di pantai

Posted: 31 Jan 2014 11:55 AM PST

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

KUANTAN 31 Jan. - Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri menasihati orang ramai agar mematuhi tanda amaran yang diletakkan di kawasan pantai bagi mengelak berlakunya tragedi lemas semasa cuti panjang Tahun Baharu Cina.

Pengarahnya, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, ibu bapa dan penjaga perlu sentiasa mengambil langkah keselamatan terhadap anak-anak apabila melakukan aktiviti di kawasan perkelahan termasuk air terjun.

"Di pantai khususnya orang ramai perlu peka dengan tanda amaran seperti pengibaran bendera merah agar tidak mandi bagi mengelak berlakunya kejadian lemas.

"Sekiranya terdapat aktiviti bersama keluarga, ibu bapa atau penjaga perlu mengawasi kanak-kanak tanpa membiarkan mereka bermain secara bersendirian," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kejadian lemas sering dilaporkan berlaku di pantai peranginan di negeri ini ketika musim cuti berikutan keadaan ombak yang tidak menentu.

Sambutan Tahun Baharu Cina 2012 mencatat kenangan pahit di negeri ini apabila tiga kematian akibat lemas berlaku di pantai Sepat di sini.

Sementara itu, menurut Abdul Wahab, orang ramai yang mempunyai pertanyaan berhubung tahap keselamatan di kawasan pantai, boleh mendapatkan maklumat dengan pegawai dan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang ditempatkan di kawasan tersebut.

Dalam pada itu katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat juga terlibat secara langsung dalam Ops Selamat yang bermula pada 24 Januari hingga 7 Februari ini dengan menempatkan pegawai, anggota dan jentera di sepanjang Lebuh Raya Pantai Timur.

"Bagi melancarkan operasi menyelamat sekiranya berlaku kemalangan, kita menempatkan pegawai, anggota dan jentera di kawasan rehat dan rawat (R&R) Genting Sempah dan Gambang," jelasnya.

Pengedar dadah ditahan bersama dadah, pistol

Posted: 31 Jan 2014 11:55 AM PST

Azid Ismail (dua dari kiri) menunjukkan pistol yang dirampas daripada suspek bersama barangan lain di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut, kelmarin.

JERANTUT 31 Jan. - Polis memberkas seorang pengedar dadah yang menjadikan sebuah hotel bajet di sini untuk melakukan urus niaga serta merampas sepucuk pistol dan beberapa paket dadah dalam satu serbuan di premis berkenaan Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Azid Ismail berkata, suspek berusia 32 tahun dan berasal dari Bachok, Kelantan itu ditahan sepasukan anggota daripada Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut yang bertindak atas maklumat awam.

"Hasil pemeriksaan, polis menemukan sepucuk pistol jenis Walther CP99 yang diselit pada seluar di bahagian perutnya bersama satu tin dipercayai pelurunya.

"Polis turut menemukan satu paket dadah jenis heroin seberat 5.1 gram dan satu paket syabu (1.6 gram) serta 17 biji pil Eramin 5. Turut dirampas wang tunai berjumlah RM10,240," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Menurut Azid, siasatan awal mendapati suspek yang positif dadah jenis methamphetamine mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk dua daripadanya berkaitan dadah.

Katanya, suspek disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun serta enam sebatan manakala memiliki peluru pula mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 dengan penjara tidak lebih tujuh tahun dan denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

"Bagi kes dadah pula, polis menyiasat mengikut Seksyen 39 A (2) dan 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis menahan tiga lelaki yang disyaki pengedar berusia lingkungan 23 hingga 43 tahun bersama sejumlah dadah dalam satu serbuan di sebuah hotel bajet di sini kelmarin.

"Polis merampas dua paket heroin seberat 3.66 gram di atas tilam manakala dua paket syabu seberat 0.3 gram diletakkan di atas meja manakala satu paket lagi heroin seberat 20.1 gram dijumpai di dalam kotak rokok di atas lantai," jelasnya.

Perkenal produk Islam melalui pelancongan

Posted: 31 Jan 2014 11:55 AM PST

KUANTAN 31 Jan. - Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan akan memperkenalkan produk Islam melalui pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, minoriti rakyat Singapura yang beragama Islam adalah antara penyumbang utama ketibaan pelancong di negeri ini sejak sekian lama.

Menurutnya, lawatan percutian mereka adalah atas tujuan yang pelbagai dan tidak terkecuali perjalanan dibuat atas dasar ibadah.

"Bermula hari ini hingga 2 Februari ini, seramai 140 pelancong Singapura berkunjung ke negeri ini dalam pakej empat hari tiga malam atas program pelancongan ibadah yang dikendalikan Eman Tour & Travel Pte. Ltd.

"Rombongan ini secara khusus memilih lokasi Kuantan sebagai destinasi percutian ibadah mereka," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Mohd. Sharkar berkata, ceramah Maulidur Rasul oleh penceramah terkenal yang juga anak jati negeri ini, Ustaz Badli Shah Alauddin antara program yang akan mengisi lawatan mereka.

"Selain itu, mereka juga akan dibawa melawat ke rumah Anak Yatim An-Nur dan juga makan tengah hari bersama pelajar maahad tahfiz.

"Ahli rombongan juga akan dibawa ke destinasi dan tarikan pelancongan lain yang terdapat di sekitar bandar ini," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan memperhebatkan usaha kemasukan pelancong berkonsepkan ibadah ini dalam misi lawatan kerja pelancongan ke republik itu yang dijadualkan pada 23 Februari ini.

"Lawatan itu nanti akan menyaksikan pertemuan empat mata antara Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri bersama agensi pelancongan di negara berkenaan," katanya.

Sempena TMM 2014, kerajaan negeri menyasarkan untuk menarik kedatangan pelancong seramai 10.5 juta orang selepas tahun lalu mencatatkan kehadiran 9.7 juta pelawat.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved