Jumaat, 22 November 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Khidmat beri pengalaman berharga

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my

PENDUDUK Kampung Chnang menjamu selera pada Program Khidmat Masyarakat Antarabangsa.

JEMPOL 21 Nov. - Pengalaman menyaksikan sendiri kehidupan masyarakat yang serba kekurangan di sebuah kampung di Kemboja, baru-baru ini telah mengubah dimensi pemikiran 68 pelajar dan 18 guru dari tiga buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di negeri ini.

Para pelajar dan guru dari MSRM Serting IGCSE (International General Certificate of Secondary Education), MRSM Gemencheh dan MRSM Kuala Klawang itu telah mengambil bahagian dalam program khidmat masyarakat antarabangsa selama empat hari mulai Sabtu lalu.

Program itu mendapat kerjasama daripada Gabungan Intelek Muslim Kemboja (CMIA).

Penyelaras program, Mohd. Sabri Mamat berkata, program khidmat masyarakat antarabangsa itu mampu menjadikan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi mempunyai jati diri yang baik.

"Kita lihat sepanjang program ini diadakan pelajar dapat memberikan tindak balas yang positif dan mampu melakukan kerja khidmat masyarakat dengan baik," jelasnya.

Katanya, program itu juga melahirkan pelajar yang insaf dan bersyukur apabila mereka berpeluang melihat sendiri kehidupan orang yang lebih yang susah daripada mereka.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah lawatan ke sekolah di bawah kelolaan CMIA dan Kampung Chnang yang mempunyai penduduk miskin dan hidup dalam keadaan serba kekurangan.

MRSM juga menghulurkan bantuan kepada penduduk kampung serta sekolah terbabit.

Sementara itu, seorang peserta, Farah Shakirah Abdul Karim, 16, dari MRSM Kuala Klawang memberitahu, pengalaman di Kemboja adalah sesuatu yang sukar dilupakan.

"Jika mahu melihat erti kehidupan sebenar dan bagaimana seorang insan berusaha mencari sesuap nasi datanglah ke sini. Malah, saya sangat kagum dengan semangat hidup mereka yang tidak mengenal erti penat demi mendapat kehidupan yang lebih baik.

"Sejujurnya saya insaf dan bersyukur dilahirkan di sebuah negara yang maju dan mempunyai pelbagai kemudahan. Masyarakat di sini sangat peramah dan berusaha melayan tetamu dengan baik walapun keadaan mereka susah.

"Apabila saya berkunjung ke rumah seorang penduduk, dia mempelawa kami makan walaupun hakikatnya dia sendiri sukar mendapat makanan," katanya.

Pelajar MRSM Serting, A. Murali, 16, pula berazam untuk belajar bersungguh-sungguh dan menghargai kemudahan pendidikan di Malaysia.

"Di sini mereka bersemangat untuk belajar walaupun keadaan sekolahnya agak daif. Malah, saya diberitahu pelajar terpaksa mengosongkan bangunan sekolah pada bulan Jun tahun hadapan. Kini pihak pengurusan memerlukan wang untuk membina sekolah baharu di atas tanah wakaf.

"Saya terfikir apa akan berlaku kepada masa depan adik-adik di sini sekiranya mereka gagal membina sekolah tersebut akibat masalah kewangan. Adakah mereka terpaksa melupakan hasrat untuk mencari ilmu dan mengubah kehidupan keluarga," ujarnya.

Teruja kedatangan 86 tetamu dari Malaysia

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

JEMPOL 21 Nov. - Kedatangan 86 peserta dari Malaysia ke Kemboja bagi program khidmat masyarakat antarabangsa di Phnom Penh, baru-baru ini bagaikan memberikan nafas baharu kepada penduduk di negara tersebut.

Ketua Kampung Kjong di daerah Kampung Chnang dekat sini, Abdullah Daud, 67, berkata, dia amat gembira dan bersyukur menerima tetamu yang dianggap istimewa ini.

"Tiada ungkapan lain selain rasa terima kasih dan kami sangat terharu dengan kehadiran peserta dari Malaysia. Walaupun kampung ini agak jauh dari pekan namun mereka tetap mahu datang menziarahi saudara Islam di sini.

"Malah kami amat bertuah apabila peserta telah memberikan bantuan kewangan untuk kami menyediakan masakan. Seandainya kami mampu, pastinya satu masa nanti kami mahu menyambut peserta dan membuat persiapan menggunakan wang kami sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan dari peserta Malaysia ke kawasan berkenaan sempena program khidmat masyarakat ke Kemboja baru-baru ini.

Seorang penduduk kampung, Zakaria Abdullah, 44, pula memberitahu, rakyat Malaysia begitu dekat di hati warga Kemboja apabila negara tersebut sering menghulurkan bantuan.

"Kami insan istimewa apabila dipilih untuk hidup dalam keadaan yang susah dan kami yakin Allah menjanjikan sesuatu yang baik untuk kami satu masa nanti. Di sini kebanyakan penduduk adalah petani dan kami hanya makan dua hari sekali kerana masalah kewangan.

"Apabila diberitahu bahawa kami bakal menerima pelawat dari Malaysia, kami amat gembira dan yakin Allah menghulurkan bantuan melalui mereka. Kampung ini sering menerima tetamu terutama rakyat Malaysia.

"Syukur kedatangan ini dapat mengeratkan hubungan dua negara melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan. Mereka turut menghulurkan bantuan pakaian dan wang kepada penduduk kampung. Malah, satu pertandingan bola sepak telah diadakan melibatkan penduduk kampung dan peserta," katanya.

Usman Zainal, yang berusia sembilan tahun berkata, dia berpeluang belajar mengaji al-Quran menerusi peserta yang mengadakan kelas itu.

"Hari ini saya datang ke sini bersama rakan yang lain dan saya sangat seronok apabila ramai orang datang ke kampung ini. Mereka tidak sombong walaupun tahu saya orang susah. Mereka mahu berkawan dan berbual dengan kami.

"Saya dilahirkan dalam keluarga susah dan kadang kala terpaksa menahan perut apabila ayah tidak mempunyai wang untuk membeli makanan. Kedatangan mereka bukan sahaja memberikan ilmu, pakaian dan wang tetapi hari ini saya dapat menikmati makanan yang enak kerana orang Malaysia datang ke sini,'' katanya tersenyum.

Rakannya, Asnawi Solleh, 13, pula memberitahu, dia amat teruja apabila mengetahui ada tetamu akan datang ke kampungnya.

"Saya harap akan ada lagi program begini pada masa depan dan tidak melupakan kami. Rakan di Malaysia sangat beruntung kerana mendapat kehidupan lebih baik daripada kami," ujarnya.

Penyakit gusi semakin serius

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

Oleh AINAA MARDHIAH MOHD GHAZALI
utusanN9@utusan.com.my

ZAILAN Datuk Adnan (tiga dari kanan) merasmikan Kempen Promosi Kesihatan Periodontium peringkat Negeri Sembilan sambil disaksikan Doreyat Jemun (tiga dari kiri) dan Ahmad Sharifuddin Mohd. Asari (dua dari kiri) di Pusat Keluarga LPPKN di Seremban, baru-baru ini.

SEREMBAN 21 Nov. - Hampir 94 peratus rakyat di negara ini tidak menyedari mereka sebenarnya berpotensi menghidap penyakit periodontium (gusi).

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Zailan Datuk Adnan berkata, ramai beranggapan mulut mereka tidak bermasalah sebaliknya penyakit periodontium (gusi) ini dihidapi oleh sebahagian besar rakyat di negara ini yang dibezakan melalui tahapnya.

"Statistik mendapati hampir 94 peratus rakyat di negara ini bakal berhadapan dengan masalah gusi kerana ramai yang mengambil mudah berhubung isu ini.

"Antara tanda gejala penyakit ini apabila seseorang itu mempunyai gusi yang merah dan bengkak, gusi mula menyusut sehingga menampakkan akar gigi, bernanah, nafas berbau, gigi mula longgar dan berdarah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Kempen Promosi Kesihatan Periodontium (Gusi) peringkat negeri di Pusat Keluarga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Pergigian), Dr. Doreyat Jemun dan Pakar Perunding Kanan Periodontik, Dr. Ahmad Sharifuddin Mohd. Asari.

Sehubugan itu, Zailan meminta orang memberi perhatian serta mengutamakan aspek penjagaan mulut dengan melakukan pemeriksaan pergigian dan gusi bagi memastikan keadaan kesihatan mulut berada pada tahap optimum.

"Di peringkat awal selalunya tidak begitu menyakitkan dan sebab itu ramai yang datang ke klinik gigi apabila keadaan gigi atau gusi mereka sudah teruk," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved