Jumaat, 22 November 2013

Utusan Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Amyza Aznan keguguran lagi

Posted: 21 Nov 2013 09:29 PM PST

Oleh MOHAMAD ARIFF MOHD YUSOF

KUALA LUMPUR 22 Nov. - Pelakon Amyza Aznan, 37, hari ini sekali lagi mengalami keguguran.

Kali ini dia keguguran anak keempat ketika kandungannya berusia lapan minggu, dua hari selepas menghadapi keadaan yang sama tahun lepas.

Pada tahun lalu, Amyza keguguran anak ketiga, sewaktu kandungannya berusia tiga minggu.

Kedua-dua berita kegugurannya itu dimuatkan di laman Twitter.

"Sedih sangat...tidak boleh berhenti menangis ni. Terasa seperti masih kedengaran degupan jantungnya," ungkap Amyza di Twitter. - UTUSAN ONLINE

Stereotaip industri tempatan

Posted: 22 Nov 2013 06:33 AM PST

OLEH MOHAMAD ARIFF MOHD YUSOF
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR

KOLABORASI Bunkface dan Amy dipersetujui oleh penyanyi legenda itu demi kemajuan industri.

HAYAT perjuangan muzik indie dalam industri hiburan tempatan nampaknya tidak lama. Jika beberapa tahun lalu, artis yang berada pada landasan perjuangan indie begitu melonjak popularitinya, hari ini suara mereka seperti sunyi sepi, jarang sekali kedengaran. Peralihan masa menyaksikan karya-karya muzik sedemikian semakin ditelan zaman, belum pun sampai usia satu dekad popular. Kegilaan terhadap muzik yang dibawa artis indie ini cepat benar berlalu dan ia telah diganti dengan program realiti stesen televisyen yang banyak menghasilkan artis-artis "mee segera".

Memberi reaksi kepada fenomena kepincangan media serta stesen-stesen radio yang lebih cenderung memainkan muzik arus perdana, penyanyi senior Amy Search kembali ke persada industri muzik tempatan bersama kumpulan Bunkface. Mereka berkolaborasi merakamkan lagu baharu berjudul Rentak Lagu Ku.

Amy memberitahu, dia mahu memberi sokongan dan dokongan padu kepada anak-anak muda yang dianggap mempunyai bakat istimewa ini.

Mengakui akan bakat yang ada pada ketiga-tiga anak muda ini serta menyifatkan kehadiran mereka umpama permata yang harus digilap dan dibimbing. Justeru, mereka seharusnya lebih dihargai bukan sahaja peminat, malah pengusaha stesen-stesen radio dan televisyen tempatan.

"Industri muzik seharusnya menghargai bakat-bakat dan menyediakan platform buat artis-artis muda yang bergerak sendiri seperti ini. Walaupun industri tempatan kita kaya dengan pelbagai platform, namun tidak ada gunanya jika mereka hanya memberi laluan kepada artis arus perdana sahaja untuk kekal popular.

"Pada masa yang sama, kita mungkin terlepas pandang bakat yang ada pada artis-artis muda dari landasan indie kerana hanya memberi ruang kepada artis-artis berkonsep balada yang sudah sedia popular, misalnya," katanya, melahirkan rasa kecewa.

Selain itu, Amy turut melahirkan rasa kesalnya apabila melihat cara kumpulan anak-anak muda ini dilayan dalam industri kita. Pihak penganjur persembahan antaranya, dilihat seolah-olah 'menzalimi' artis-artis sebegini dengan cara meletakkan bayaran begitu rendah bagi menggunakan khidmat mereka di pentas persembahan.

"Saya sangat terkejut apabila mengetahui nilai bayaran persembahan untuk kumpulan muzik zaman sekarang adalah hampir sama dengan apa yang kami dapat dalam tahun 1980-an.

"Malah, ada yang memberitahu, bayaran mereka lebih rendah daripada yang pernah diterima Search suatu waktu dahulu.

"Trend meletakkan had bayaran sebegini rendah terhadap kumpulan muzik bukan sahaja dianggap merendahkan nilai sesebuah kumpulan itu sahaja, tetapi juga memberi nilai yang lebih rendah kepada industri itu sendiri secara keseluruhannya," jelas penyanyi Search yang telah menghasilkan lebih 20 album studio yang terjual laris.

Justeru, dengan kudrat yang ada, Amy mahu tampil membantu lalu terhasilah kolaborasi ini.

Dalam kolaborasinya, Amy kekal percaya bahawa masa depan untuk kumpulan muzik sebegini tetap ada. Strategi utama tentunya mereka tidak boleh dengan cepat mengalah dengan keadaan semasa. Perlu juga untuk terus melancarkan 'serangan' menakluk pasaran untuk terus kekal di persada.

Antara nasihat Amy ialah, Bunkface perlu mengetepikan ego dalam penghasilan genre lagu serta mempelbagaikan rentak muzik mereka dalam mencipta kelainan dalam setiap album akan datang.

Selain daripada irama punk rock yang sering dibawa, mereka harus berani dalam mencipta kelainan dalam menghasilkan nada-nada baru termasuk berkonsepkan balada.

"Tak perlu ego kononnya mereka hanya boleh berjuang dengan irama biasa seperti sebelum ini, kita perlu variasi untuk kekal diminati.

"Ini kerana, sebagai peminat, mereka sentiasa menanti pembaharuan baharu oleh setiap artis. Sebab itu, artis perlu kreatif dan sentiasa berfikir secara luas. Walaupun Bunkface sering kali dikenali peminat dengan nada muzik rancak dan moden, mereka harus bijak memperbaharui idea lain terutamanya dalam pembawaan nada balada," kata Amy.

Tambah Amy, Bunkface harus bersikap positif dalam mengembangkan perjalanan muzik mereka terutamanya industri muzik luar seperti Indonesia.

Adalah menjadi impian setiap artis untuk membuat persembahan di pentas luar negara terutama negara luar.

"Namun, mereka harus ingat, sebelum bercita-cita merempuh tembok industri hiburan luar, perkara yang harus diutamakan adalah mencipta nama dan reputasi di kalangan pendengar di Malaysia terlebih dahulu," jelas vokalis kumpulan Search tersebut yang bukan sahaja menjadi sebutan peminat di negara-negara jiran,malah pernah membuat persembahan di negara Eropah.

Nama "Bunkface" berasal dari tajuk sebuah lagu dendangan Sum 41, Crazy Amanda Bunkface.

Bunkface mengeluarkan EP pertama mereka yang berjudul Lesson of the Season yang diisi enam buah lagu berbahasa Inggeris yang mengadunkan general gaya pop-punk/rock alternatif.

Si vokalis, Sam, telah menubuhkan satu projek sampingan bernama The Azenders bersama-sama rakan-rakannya daripada beberapa kumpulan lain.

Bunkface meraih tempat ketiga di Hong Kong Exhibition & Convention Centre baru-baru ini dan kini dalam perancangan menembusi pasaran muzik Indonesia.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved