Ahad, 20 Oktober 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Azraai Khor angkat kaki

Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT

Oleh Sayed Hesham Idris
sukan@utusan.com.my

Mohd. Azraai Khor Abdullah

IPOH - Pada ketika isu sabotaj perlawanan masih belum reda, skuad Seladang menerima tamparan baharu semalam apabila jurulatih berkaliber, Mohd. Azraai Khor Abdullah membuat keputusan mengejut untuk meletak jawatan hanya semusim selepas mengendalikan pasukan itu.

Tanpa memberi alasan sebenar di sebalik keputusannya, Mohd. Azraai cuma menegaskan tindakan tersebut tiada kena mengena dengan isu penggantungan skuad Perak yang disiasat atas dakwaan rasuah dan sabotaj.

Namun jelasnya, beliau bukan meletak jawatan seperti mana yang diperkatakan di laman sosial, sebaliknya menamatkan perkhidmatan sebagai jurulatih atas persetujuan bersama dengan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

Ya memang saya menamatkan kontrak sebagai jurulatih Perak. Ia dicapai setelah saya telah berbincang dengan Timbalan Presiden Pafa (Khairul Azwan Harun) semalam.

Dalam perbincangan itu saya berterus terang menyatakan hasrat untuk menamatkan kontrak.

Perbincangan berjalan dengan baik dan ia berakhir dengan kedua-dua pihak mencapai bersetujuan untuk kontrak saya ditamatkan.

Memandangkan hari ini (semalam) hari Ahad, persetujuan dibuat secara lisan sahaja dan selepas ini segala syarat-syarat pelepasan kontrak yang telah dipersetujui akan ditandatangani.

PAFA memahami hasrat saya dan mereka memudahkan segala urusan yang berkaitan dengan kontrak saya," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd. Azraai, 61, menyertai skuad Perak pada hujung musim lalu menggantikan jurulatih sementara dari Korea Selatan, Jang Jung.

Di bawah bimbingannya, Perak menamatkan saingan Liga Super musim ini pada tangga ketujuh.

Namun, skuad Seladang digegarkan dengan isu dakwaan rasuah baru-baru ini sehingga menyebabkan pegawai pasukan itu, termasuk Mohd. Azraai digantung selama dua minggu untuk siasatan setelah Perak dibelasah 6-1 oleh Sarawak dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia.

Sementara itu, mengenai andaian bahawa keputusannya meninggalkan Perak disebabkan kecewa dengan isu dakwaan rasuah yang melanda pasukan itu, Azraai berkata, perkara itu tiada kaitan.

Tidak... Masalah itu (dakwaan rasuah) tiada kaitan dengan keputusan saya ini.

Lagipun saya tidak takut untuk disiasat. Siasatan oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) cuma untuk membersihkan nama saya, pegawai pasukan dan pemain," katanya.

Mengenai laporan beliau akan menyertai Kedah, Azraai yang pernah membimbing Kedah, Harimau Muda A dan Negeri Sembilan berkata, beliau belum memikirkan untuk memilih pasukan mana musim depan.

Pada Mei lalu, Mohd. Azraai dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Hijau Kuning apabila hadir untuk menonton perlawanan Liga Perdana di antara Kedah dan PDRM di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Namun, Mohd. Azraai menafikan spekulasi itu dengan memberikan alasan beliau sekadar hadir untuk menyaksikan perlawanan antara kedua-dua pasukan tersebut.

Buat masa ini saya mahu berehat di kampung, saya belum lagi fikirkan ke mana haluan saya selepas ini," jelasnya.

Azraai turut mengucapkan terima kasih kepada PAFA dan penyokong skuad Seladang yang sentiasa memberikan kerjasama serta sokongan yang padu kepadanya dan skuad Perak sepanjang musim ini.

Antara kepuasan saya sepanjang bersama Perak ialah memberi peluang kepada pemain-pemain skuad Piala Presiden beraksi dalam skuad utama.

Saya percaya pemain-pemain muda ini akan menjadi pemain utama untuk skuad Perak musim depan," katanya.

Kita bakal hilang emas lagi?

Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Sasaran Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk mencari tujuh emas pada Sukan SEA 2013 semakin diragui selepas pemenang pingat emas tiga kali, Lee Hup Wei gagal meraih tempat ke temasya di Myanmar itu pada Kejohanan Olahraga Terbuka Kebangsaan di Universiti Malaya, semalam.

Hup Wei tidak pernah gagal menyumbang emas buat Malaysia sejak 2007 dan akan menjadi prospek emas Malaysia sekali lagi jika bertanding di Myanmark.

Namun semalam, jaguh lompat tinggi kelahiran Dengkil itu gagal menempatkan diri dalam kalangan dua pelompat terbaik seperti yang disyaratkan KOM apabila sekadar menduduki tangga keempat menerusi lompatan 2.10 meter.

Hup Wei antara enam atlet lompat tinggi yang telah layak secara merit ke Sukan SEA 20, tetapi terpaksa bersaing sesama sendiri untuk memilih dua yang terbaik.

Dua atlet yang berjaya meraih tempat ke Sukan SEA hujung tahun ini ialah Nauraj Singh yang memenangi saingan semalam dengan catatan 2.20m dan S. Navin Raj (2.15m).

Kata Hup Wei, dia akur dengan keputusan yang dibuat KOM untuk memilih dua terbaik menerusi kejohanan tersebut, meskipun memegang catatan terbaik musim ini berbanding lima atlet lain, iaitu 2.21m yang dilakukan pada Jun lalu.

"Hari ini saya bermula baik tetapi ketika melakukan lompatan pada ketinggian 2.10m saya mula rasa sakit di bahagian belakang badan.

"Sebelum ini saya telah membuat persediaan untuk layak secara merit dan berjaya mencapainya di Jerman, Jun lepas tetapi selepas terlalu ramai yang layak saya terpaksa membuat persediaan buat kali kedua untuk kejohanan hari ini (semalam)," kata Hup Wei.

Kini Hup Wei merupakan antara tiga prospek emas olahraga yang terlepas daripada genggaman KOM.

Dua lagi prospek emas sebelum ini ialah dalam lompat bergalah wanita dan baling tukul besi wanita.

Ketiadaan Roslinda Samsu (lompat bergalah) dan Tan Song Hwa yang mengumumkan persaraan bermakna, peluang Malaysia untuk meraih lebih banyak emas olahraga pada temasya itu kini semakin menipis.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved