Ahad, 20 Oktober 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Stephen tawan puncak gunung

Posted: 20 Oct 2013 06:08 AM PDT

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

Semangat... Stephen (tengah) bersama rakan-rakan pendaki lain (dari kiri) Datuk Lee Hwa Beng, Datin Lee Soo Soo, Dr. Chuchart, Linda, Tan Jee Tien dan Khoo Swee Chiow.

LELAKI berumur lebih separuh abad ini kelihatan segak dengan pakaian rasmi syarikat miliknya, Ridpest Sdn. Bhd. Walaupun pada usia emas, dia masih cergas dan bertenaga seperti orang muda.

"Perniagaan seperti mendaki bukit atau gunung. Walaupun banyak rintangan, anda perlu menempuhnya hingga sampai ke puncak. Begitulah dalam perniagaan, anda perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya walaupun pelbagai cabaran dilalui," ujar Ketua Pegawai Eksekutif Ridpest, Stephen Liu, 52, yang baru sahaja pulang dari gunung tertinggi di dunia, Everest.

Biarpun hanya menamatkan pendakian di Everest Base Camp, namun bagi lelaki seusianya sudah tentu memerlukan semangat dan keazaman yang tinggi untuk sampai ke tahap itu.

Ternyata usaha ini adalah sesuatu yang berbaloi untuk dilakukan memandangkan Stephen melakukannya untuk mengumpul dana amal.

Untuk sampai di Everest Base Camp pada ketinggian 5,364 meter dari aras laut memerlukan stamina di samping perlu bersedia dengan latihan intensif bagi menguatkan lagi fizikal dan mental.

Semakin tinggi berada di kawasan gunung yang terletak di tengah Banjaran Himalaya itu, maka semakin kuranglah peratusan oksigen menyebabkan seseorang itu terpaksa menggunakan bantuan balang oksigen.

Mereka yang tidak menjalani latihan sewajarnya atau tidak cukup cergas dari segi fizikal dan mental kemungkinan akan diserang 'mountain sickness' seperti pening kepala, sakit tekak, batuk, sakit perut, cirit- birit, sakit mata, kurang daya tahan, paru-paru berair dan tanpa disedari muka boleh menjadi bengkak.

Sebati

Namun itu bukan halangan bagi Stephen kerana aktiviti mendaki ini sudah sebati dengan dirinya sejak 15 tahun lalu.

Saya mula dengan aktiviti jungle tracking. Masa itu saya hanya melakukan aktiviti ini di Bukit Seputih, Cheras.

Sebagai pendaki, mental kena kuat dan latihan sangat penting. Jika tiada ketahanan mental, kita akan rasa jauh walaupun dekat. Kadangkala kita akan berdepan dengan cabaran kesejukan dan tandas awam yang tidak disediakan mungkin mengganggu kelancaran pendakian kita.

Itu belum lagi hujan yang boleh mengganggu tumpuan kita. Apa yang penting, kita tidak berputus asa. Bila berada di puncak, saya boleh menghidu udara segar dan menghargai alam ciptaan Tuhan," ujarnya yang mengamalkan suplemen herba halia untuk melancarkan darah.

Bercerita tentang pengurusan masa, Stephen berasa bertuah kerana dikurniakan isteri dan anak-anak yang memahami kerjaya dan hobinya.

Malah mereka menjadi pendorong utama untuk dia berjaya mendaki gunung.

Kami bersama-sama menguruskan syarikat. Isteri saya, Angelina sangat memahami saya. Dia tidak pernah menghalang aktiviti saya malah sentiasa memberi kata-kata semangat untuk saya," ujar bapa kepada dua anak ini.

Menguruskan syarikat

Dalam pada itu, dia juga berjaya menguruskan syarikat Ridpest yang menawarkan perkhidmatan pembasmi serangga perosak tempatan yang ditubuhkan sejak 1985.

Buat masa ini, Stephen sibuk dengan program francais Ridpest.

Mengulas lanjut, Stephen berkata, Ridpest merupakan syarikat tunggal seumpamanya yang berani menawarkan jaminan sehingga 200 peratus terhadap perkhidmatannya.

"Jika kami gagal menjalankan tugas dengan baik, kami akan memulangkan semula duit pelanggan. Contohnya jika mereka membayar RM2,000, kami akan pulang semula sebanyak RM4,000.

"Pakej kami juga akan melindungi seluruh struktur kayu rumah dan juga kabinet. Jika berlaku serangan anai-anai juga semasa dalam tempoh kontrak kami akan menanggung segala kerugian yang ditanggung pelanggan,'' katanya.

Tambah Stephen , pemilihan pakej Ridpest sangat menjimatkan kerana pelanggan hanya perlu membayar serendah RM2,000 untuk kontrak penjagaan selama setahun untuk sebuah rumah teres.

"Harga pasaran ketika ini adalah RM1,600 untuk sekali perkhidmatan bagi sebuah rumah teres. Namun jika anai-anai atau serangga perosak datang kembali, pelanggan perlu membayar lagi untuk perkhidmatan sama,'' ujarnya.

Wujudkan keinsafan pesalah juvana

Posted: 20 Oct 2013 06:08 AM PDT

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

Sesi Dinamika Kumpulan yang dikendalikan oleh Jurulatih Dakwah Kebangsaan BPI.

MASALAH sosial di kalangan remaja hari ini adalah isu yang sudah lapuk untuk dibincangkan. Selain tiada jalan penyelesaian, bilangan kes yang dilaporkan semakin bertambah dari hari ke hari.

Boleh dikatakan pelbagai kegiatan jenayah seperti mencuri, pembuangan bayi, mengandung luar nikah, penagihan dadah, membunuh dan sebagainya kerap berlaku.

Bukan itu sahaja pelbagai program yang dianjurkan seolah-olah tiada noktah untuk dibicarakan.

Tidak hairanlah jika golongan remaja yang terpaksa digelar pesalah juvana kerana melakukan jenayah kian meningkat.

Mengikut perundangan juvana, orang muda dan remaja membawa maksud yang sama, iaitu seseorang yang berumur antara 10 hingga 18 tahun dan boleh diiktiraf sebagai mengetahui akibat perlakuan "tanggungjawab jenayah".

Meskipun berada di sebalik tembok penjara, banduan muda atau pesalah juvana ini masih berharap agar mereka kembali ke pangkal jalan serta menginsafi kesalahan lampau.

Atas kesedaran ini, Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pelajaran mengambil inisiatif menganjurkan Program Hijrah Kasih II dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia (JPM) dari 24 hingga 27 September lalu.

Kerjasama ini merupakan satu usaha ke arah memberi peluang kepada semua banduan muda di Sekolah Integriti melibatkan diri dalam aktiviti luar bagi membentuk keyakinan diri mereka agar mempunyai kesedaran diri untuk berubah.

Kementerian ingin memastikan semua pelajar mempunyai akses dan peluang menikmati kemudahan dalam proses pembelajaran walau di mana mereka berada.

Melalui program ini juga, kementerian berusaha mencari jalan dan mendapatkan punca sebenar banduan muda ini terlibat dengan aktiviti jenayah sehingga mereka dijatuhkan hukuman penjara.

Menurut Pengurus Projek yang juga Penolong Pengarah Unit Akhlak Dan Nilai Murni BPI, Mohd. Hamidi Zakaria, program ini memberi peluang kepada semua penghuni Sekolah Henry Gurney dan Sekolah Integriti seluruh Malaysia mendapat pengisian rohani di samping menyuntik semangat baru supaya bersedia untuk menjadi insan yang lebih baik.

"Aktiviti yang dilaksanakan sepanjang program ini adalah sesi pecah bendungan, taaruf, mandi wajib, tahsin solat, eksplorasi fardu ain, bicara hati dan sesi dinamika kumpulan.

"Program ini memberi peluang kepada semua banduan muda ini untuk kembali ke pangkal jalan dengan menekankan aspek kerohanian dan kesedaran mendekatkan diri kepada Allah. Amalan seperti alunan zikir munajat turut diajar kepada semua penghuni yang terlibat agar mereka merasa dekat dengan Allah.

"Pendekatan yang digunakan juga adalah mesra dan semua jurulatih yang terlibat telah membina hubungan yang baik sepanjang aktiviti dijalankan agar para banduan tersebut tidak kekok mengikuti setiap aktiviti tersebut," katanya.

Sementara itu, KPM berharap agar masyarakat khususnya keluarga banduan muda di Sekolah Integriti ini tidak menyisihkan anak-anak mereka yang mungkin telah tersalah langkah dalam membuat tindakan dan keputusan sehingga terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah.

Semua banduan muda ini perlu diberi peluang untuk meneruskan kehidupan mereka yang lebih baik ke arah melahirkan modal insan yang akan menyumbang kepada pembangunan negara.

"Mereka mempunyai potensi yang boleh dikembangkan sekiranya diberi peluang yang selayaknya diterima oleh mereka.

"Justeru, dalam program ini juga satu pertemuan dengan ibu bapa dan waris banduan muda diatur bagi memberi kesedaran terhadap tanggungjawab dan peranan yang perlu dimainkan dalam sesebuah institusi kekeluargaan.

"Peluang dan ruang perlu diberikan kepada semua banduan muda ini untuk berubah. Ibu bapa dan ahli keluarga serta masyarakat sekitar perlu memberi sokongan moral kepada mereka semua untuk memperbetulkan kesilapan lalu," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved