Sabtu, 19 Oktober 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Tok Gajah naik minyak

Posted: 19 Oct 2013 12:47 PM PDT

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

Azamuddin Akil (belakang) meraikan gol ketiga Pahang yang dijaringkan oleh Matias Conti padaseparuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.

KUANTAN - Misi menamatkan kemarau penantian 16 tahun untuk beraksi di pentas akhir Piala Malaysia semakin hampir menjadi kenyataan buat Pahang yang membawa bekalan dua gol berharga untuk menumbangkan Sarawak 3-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Darul Makmur, semalam.

Anak jati Pahang yang berasal dari Kuala Lipis, Azamuddin Akil, menjaringkan dua gol pada minit ke-28 dan 32 dengan satu lagi gol dicipta Matias Conti pada minit ke-37 bagi meletakkan Pahang sebagai salah satu calon utama yang akan bersaing di perlawanan akhir, 3 November depan.

Sarawak bagaimanapun masih mampu mencuri satu jaringan di tempat lawan melalui ketua pasukan Mohd. Shahrol Saperi pada minit ke-39 bagi memastikan skuad Bujang Senang masih berpeluang mengatasi defisit dua gol di Stadium Negeri, Kuching, 26 Oktober ini.

Kelincahan serta kepantasan gandingan dua gandingan `R di bahagian sayap iaitu, R. Surendran dan R. Gopinathan bagaikan duri dalam daging buat pertahanan Sarawak apabila mereka berdua sering kali berjaya meloloskan diri di dalam kotak penalti.

Kehadiran Razman Roslan serta Amirulhadi Zainal juga jelas banyak membantu Pahang mengawal permainan lebih baik iaitu sekurang-kurangnya 55 peratus penguasaan bola secara keseluruhan ketika Muamer Salibasic sedikit terkial-kial dalam membantu jentera serangan Bujang Senang.

Sebaik saja perlawanan bermula, Pahang yang beraksi di hadapan kira-kira 33,000 penyokong sendiri ternyata mendapat tonik dan semangat luar biasa apabila melancarkan serangan bertali arus.

Skuad Tok Gajah membuka jaringan pada minit ke-28 apabila pergerakan Gopinathan melepaskan percubaan dari jarak tepi mengenai palang sebelum ditanduk masuk oleh Azamuddin atau lebih popular dengan nama jolokan, Alex.

Tidak pun sampai lima minit permainan selepas jaringan tersebut, ketua pasukan Pahang, Jalaluddin Jaafar melakukan satu hantaran menarik di sebelah kanan yang kemudiannya disudahkan dengan sempurna menerusi tandukan cantik oleh Alex bagi menggandakan kelebihan buat Tok Gajah.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad Bujang Senang cuba mempertingkatkan serangan, namun kealpaan benteng pertahanan dan penjaga golnya, Sani Anuar Kamsani yang keluar daripada kawasan kotak penalti membuka ruang kepada Conti yang mengambil kesempatan menjaringkan gol ketiga skuad Tok Gajah menerusi sepakan lambung pada minit ke-37.

Tidak berputus asa, Sarawak yang meneruskan serangan ke gawang lawan berjaya menjaringkan gol bagi menjadikan kedudukan 1-3 pada minit ke-39 selepas sepakan Shahrol terbias mengenai Shahrizan Salleh sebelum menewaskan penjaga gol skuad Tok Gajah, Mohd. Khairul Azhan yang terkeliru.

Bermula separuh masa kedua, permainan sedikit perlahan, namun kedua-dua pasukan tetap saling serang menyerang ke kubu lawan masing-masing bagi menambah jaringan.

Asakan bertubi kali ke gawang lawan dilakukan oleh kedua-dua pasukan namun gagal menambah jaringan dan sehingga wisel penamat, kedudukan kekal dengan Pahang berjaya menewaskan Sarawak 3-1.

Perlawanan semalam turut disaksikan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

ATM tak mahu menyerah

Posted: 19 Oct 2013 12:47 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Bruno Martelotto (kanan) diasak pemain Kelantan, Azizi Mat Rose pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, kelmarin.

SELAYANG - Kegagalan menyempurnakan peluang di awal permainan memaksa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpaksa berputih mata di laman sendiri dan bakal menempuh laluan berduri pada separuh akhir kedua di Stadium Sultan Muhammad IV, Jumaat depan.

Pemain tengah The Gladiators, Bruno Martelotto mengakui, jika mereka yang terlebih dahulu membuka jaringan, dia yakin pasukannya mampu bergelar pemenang dan membawa bekalan lebih menyakinkan ke Kota Bharu.

Namun, pemain kelahiran Argentina itu menegaskan, dalam bola sepak apa saja boleh berlaku, apatah lagi pada kunjungan terakhir di Kota Bharu, ATM pulang bersama kemenangan 3-1.

Apa-apa boleh terjadi dalam bola sepak, pertemuan terakhir kami di Kota Bharu, kami menang 3-1.

Sekarang, kami cuma kena kukuhkan benteng pertahanan kerana Kelantan cukup kuat dalam situasi menyerang.

Bukan kami tidak bagus, kami mencipta banyak peluang tetapi gagal memanfaatkannya, sebaliknya membuka ruang kepada Kelantan untuk bangkit pada 30 minit terakhir perlawanan.

Sekiranya kami menjaringkan gol terlebih dahulu, suasana perlawanan mungkin berubah, namun tidak mengapa walaupun mereka menang kali ini, kami tidak sama sekali menganggap peluang sudah berkubur," kata Martelotto.

Begitupun Martelotto tidak menafikan, kelebihan kini milik Kelantan, apatah lagi mereka antara pasukan terbaik dalam liga Malaysia ketika ini.

Saya rasa kemenangan ini mungkin sudah dijangka cuma kami sama sekali tidak akan mengangkat bendera putih.

Kami akan cuba mengejutkan mereka di tempat mereka minggu depan," katanya lagi.

Dalam perlawanan kelmarin, Mohd. Nor Farhan Muhammad menjadi wira skuad Cik Siti Wan Kembang apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-78.

Terdahu, Mohd. Badhri Mohd. Radzi membuka jaringan pelawat, tetapi Christie Jayaseelan menyamakan kedudukan 1-1 untuk tuan rumah.

Kelantan juga terlepas beberapa peluang untuk menambah gol selepas mengatur asakan bertali arus.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved