Utusan Online - Kota |
- Bina 1,885 rumah di Selangor
- PPj saran projek monorel Putrajaya diteruskan
- Kereta terbakar sebabkan kesesakan teruk
Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT Oleh ABDUL YAZID ALIAS ORANG ramai berbaris untuk mendaftarkan nama pada majlis Pelancaran Jualan dan Cabutan Undi Program Rumah Pertama Rakyat di Stadium Malawati di Shah Alam, Selangor semalam. - UTUSAN/Saharuddin Abdullah SHAH ALAM 18 Okt. - Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) merancang untuk membina 1,885 unit rumah di bawah Program Rumah Pertama Rakyat di Selangor meskipun negeri itu ditadbir pakatan pembangkang. Pengerusinya, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkata, pembinaan perumahan itu melibatkan pelaksanaan dua projek bercampur yang dikhususkan untuk pasangan muda baharu berkahwin selain mempunyai pendapatan isi rumah tidak lebih RM10,000 sebulan. Pihaknya berharap kerajaan negeri akan memberikan kerjasama sepenuhnya terutama dari segi penyediaan tanah secara percuma supaya harga jualan kediaman kepada golongan itu dapat dikurangkan sehingga 30 peratus. "Harga tanah biasanya mewakili 30 peratus daripada harga rumah dijual manakala antara 15 hingga 20 peratus lagi bergantung kepada kos pembinaan prasarana termasuk longkang, jalan, parit dan sebagainya. "Kalau kerajaan negeri bermurah hati dapat menyediakan tanah kepada pihak kami (SPNB), maka harga jualan rumah akan dapat dikurangkan dan lebih banyak rumah dapat dibina," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan jualan dan cabutan undi melibatkan 646 unit pangsapuri Alam Prima Fasa Kedua SPNB di bawah Program Rumah Pertama Rakyat di Seksyen 22, di sini hari ini. Yang turut hadir ialah Pengarah Urusan SPNB, Datuk Dr. Kamarul Rashdan Salleh. Mengulas lanjut mengenai projek Alam Prima Shah Alam Fasa 2, Abd. Latiff menjelaskan, rumah pangsapuri itu mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan harga bermula RM226,000 hingga RM412,000 seunit. Kata beliau, projek tersebut mendapat permintaan tinggi apabila sebanyak 11,315 orang telah mendaftar untuk membelinya menerusi cabutan undi. "Pihak kami jangka projek ini akan siap sepenuhnya dalam tempoh 24 bulan," katanya. |
PPj saran projek monorel Putrajaya diteruskan Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT PUTRAJAYA 18 Okt. - Kerajaan Pusat disaran mempertimbangkan secara serius pembinaan sistem monorel di Putrajaya yang terpaksa dihentikan sementara akibat kegawatan ekonomi global dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10). Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat berkata, harapan tersebut sejajar dengan keyakinan bahawa sistem pengangkutan awam itu mampu menyelesaikan masalah tempat letak kereta di sini yang kini semakin kritikal. Katanya, usaha itu juga selaras dengan langkah PPj yang mengadakan kempen untuk menggalakkan orang ramai dan penjawat awam menggunakan pengangkutan awam. "Banyak tempat di Putrajaya yang mengalami masalah tempat letak kereta dan paling kritikal adalah sekitar Hospital Putrajaya dan kompleks kerajaan di Presint 1. "Mungkin sudah tiba masanya untuk membangkitkan semula cadangan tersebut kepada kerajaan Pusat. Kalau tidak dimasukkan dalam RMK-9, mungkin RMK-10," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas taklimat sistem lalu lintas dan kemudahan tempat letak kereta di Institut Kanser Negara (IKN) di sini hari ini. IKN yang dijangka beroperasi sepenuhnya mulai Januari depan turut menyediakan lebih 600 petak tempat letak kereta untuk kakitangan IKN dan juga orang awam. Projek pengangkutan monorel Putrajaya yang meliputi jarak rel sepanjang 18 kilometer sebelum ini dijadualkan siap pada penghujung 2004. Bagaimanapun, usaha itu tertangguh kerana ketiadaan peruntukan. Dalam perkembangan berkaitan, Aseh berkata, PPj akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan Hospital Putrajaya dan IKN untuk mewujudkan sebuah tempat letak kereta berbayar berhampiran dua jabatan kerajaan itu. "Kita khususkan untuk orang awam memandangkan tempat letak kereta sedia ada telah melebihi kapasiti," katanya. |
Kereta terbakar sebabkan kesesakan teruk Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT ORANG ramai berhenti untuk menyaksikan sebuah kereta yang terbakar dalam kemalangan di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur semalam. KUALA LUMPUR 18 Okt. - Sebuah kereta yang terbabas dan terbakar berdekatan sebuah hotel di Jalan Tun Razak menghala ke pusat bandar di sini pagi ini menyebabkan kesesakan teruk kira-kira lima kilometer. Kejadian kira-kira 7 pagi itu mengakibatkan beberapa laluan termasuk dari Setapak, Ampang dan Jalan Tun Razak sesak ketika ramai pemandu menuju ke tempat kerja masing-masing. Penolong Pengarah Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail yang dihubungi berkata, bomba menerima panggilan daripada orang awam pada 7.14 pagi sebelum menghantar dua jentera dari Balai Bomba Keramat dan Titiwangsa bersama sepuluh anggota ke tempat kejadian. "Kami (bomba) difahamkan pemandu kereta Toyota Vios itu melanggar penghadang jalan sebelum terbakar. Bagaimanapun, ketika kami tiba, pemandu itu tiada di lokasi kejadian. "Mungkin mangsa sudah dibawa ke hospital," katanya. Pihak bomba mengambil masa 20 minit untuk memadamkan kebakaran itu. Sementara itu, jurucakap Unit Trafik Polis Kuala Lumpur mengesahkan mangsa berumur 45 tahun itu berjaya menyelamatkan diri sebelum kereta berwarna merah itu terbakar. "Kami mendapati mangsa (lelaki) tempatan tidak cedera dan setakat ini mangsa belum membuat sebarang laporan polis berkenaan insiden itu," katanya sambil menambah mangsa dipercayai tinggal di Bandar Baru Ampang. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan