Utusan Online - Selatan |
- Hargai jasa pahlawan negara
- Pelajar teruja sertai kempen Rayuan Hari Pahlawan
- Jangan rosak akidah umat Islam
Posted: 28 Oct 2013 11:59 AM PDT Oleh MOHAMAD AIZIM BAHARON Pelajar turut dibimbing oleh guru ketika menyertai pertandingan mewarna dan melukis sempena kempen derma Rayuan Hari Pahlawan di SMK Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, baru-baru ini. KUALA PILAH 28 Okt. - Sebuah lagu patriotik telah dicipta pada 1964 untuk membangkitkan semangat tentera negara ketika era konfrantasi dengan Indonesia. Ini lirik lagu tersebut:- Inilah barisan kita Yang ikhlas berjuang Siap sedia berkorban Untuk ibu pertiwi Sebelum kita berjaya Jangan harap kami pulang Inilah sumpah pendekar kita Menuju medan bakti Andai kata kami gugur semua Taburlah bunga di atas pusara Kami mohon doa Malaysia berjaya Semboyan telah berbunyi Menuju medan bakti Lagu itu dikenali dengan judul Inilah Barisan Kita yang dirakam oleh seorang petugas Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jamaludin Alias yang bukan sahaja meningkatkan semangat anggota tentera di medan pertempuran malah orang ramai yang mendengar pasti ingin turut berjuang untuk negara. Pada era serba moden kini, bagi Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan Juasseh dekat sini yang mempunyai 250 ahli, perjuangan mereka bukan lagi di medan pertempuran tetapi lebih tertumpu pada mengadakan pelbagai program kesedaran khususnya kepada pelajar sekolah untuk menghargai jasa pahlawan negara selain berkongsi pengalaman mereka sebagai anggota tentera dalam era perang. Baru-baru ini, persatuan itu menganjurkan pertandingan melukis dan mewarna sempena kempen derma Rayuan Hari Pahlawan peringkat Kuala Pilah yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Juasseh dekat sini. Menurut Ketua PBTM cawangan itu, Lt. Kol (B) Mohd. Nasir Abd. Hadi, kempen itu bukan hanya untuk menggalakkan orang ramai dan pelajar menderma tetapi memberi pendedahan kepada mereka menghargai pengorbanan pejuang negara yang pernah berkhidmat ketika era pemerintahan British atau ketika era penentangan komunis melalui karya seni. Katanya, pertandingan secara percuma itu bertujuan membina nilai patriotik dalam diri agar sentiasa menghargai jasa pejuang yang berkorban untuk mempertahankan negara. "Walaupun pelajar itu hanya menderma 10 sen, sumbangan itu sudah cukup kerana objektif kami hanya untuk memupuk sikap menderma dalam kalangan pelajar dan tiada paksaan dalam menderma. "Kita tidak kisah mengenai nilai sumbangan mereka tetapi lebih kepada menanam semangat patriotik pelajar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Tambahnya, sekolah itu dipilih sebagai lokasi pertandingan melukis dan mewarna kerana sesuai dengan matlamat PBTM cawangan tersebut untuk membantu komuniti setempat dalam mengadakan kempen. "Kempen itu yang bermula pada 9 September lalu dan berakhir pada 9 Disember ini diadakan setiap tahun, di samping pelbagai acara lain turut diadakan bagi memeriahkan sambutan Hari Pahlawan," katanya. Seramai 100 pelajar dari 15 sekolah rendah dan menengah seluruh Kuala Pilah menyertai pertandingan itu melalui tiga kategori penyertaan iaitu Tahun 3 hingga 6, Tingkatan 1 hingga 3 dan Tingkatan 4 hingga 5 yang turut mendapat sokongan penuh Jabatan Pendidikan Daerah Kuala Pilah. Sementara itu, Pengetua SMK Juasseh, Mahsurah Moh Sani berkata, beliau menyambut baik penganjuran kempen itu di sekolah dalam usaha menyemai semangat patriotik, galakan menderma dan pelajar dapat mendengar pengalaman bekas tentera yang pernah terlibat dengan peperangan. Katanya, pihak sekolah menggalakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama dalam penganjuran program yang berorientasikan mendidik pelajar kerana mereka perlu didedahkan dengan pengalaman daripada bekas tentera sendiri mengenai perjuangan ketika zaman peperangan. "Pelajar hanya pernah membaca kisah pejuang melalui buku namun dengan mendengar sendiri pengalaman dengan anggota tentera mereka akan lebih teruja. "Kita dapat lihat perkara ini melalui lukisan pelajar yang mempunyai banyak elemen bertemakan kenegaraan hasil daripada pemahaman mereka," katanya. Tambahnya, beliau amat berterima kasih kepada PBTM kerana menganjurkan program itu selain menawarkan hadiah yang menarik dan berharap acara itu diadakan lagi pada tahun hadapan. Selain pertandingan mewarna dan melukis, PBTM turut mengadakan majlis penganugerahan Pingat Jasa Malaysia dari kerajaan kepada 76 bekas anggota tentera di dewan sekolah itu. |
Pelajar teruja sertai kempen Rayuan Hari Pahlawan Posted: 28 Oct 2013 11:59 AM PDT KUALA PILAH 28 Okt. - Peserta pertandingan melukis dan mewarna sempena kempen Rayuan Hari Pahlawan peringkat Kuala Pilah yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Juasseh dekat sini baru-baru ini, tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira mereka. Ini dapat dilihat dengan jelas melalui pelbagai jenis karya lukisan yang cantik dan mempunyai daya kreativiti tinggi yang dihasilkan oleh mereka. Pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, Mohd. Amirul Forestho Ibrahim, 16, bangga kerana terpilih mewakili sekolahnya dalam pertandingan itu di samping dapat berkenalan dengan rakan baharu. Katanya, dia sering menyertai pertandingan melukis yang dianjurkan pelbagai pihak dan gembira dengan pertandingan kali ini kerana berdasarkan tema ketenteraan. "Saya melukis pelbagai aset ketenteraan seperti kereta kebal dan senjata yang canggih dalam tentera dan berharap pertandingan ini dapat dianjurkan lagi pada tahun depan," katanya. Murid Sekolah Rendah Kebangsaan Kuala Kepis, Muhd. Syahrul Amri, 12, yang menyertai kategori mewarna turut seronok menyertai pertandingan bersama rakan-rakan. "Saya minat mewarna dan berjumpa kawan baharu dari sekolah lain dalam pertandingan ini," katanya. Pelajar Sekolah Menengah Tuanku Muhammad, Huwaida Hasri, 14, pula menyifatkan pertandingan itu sangat meriah kerana ramai pelajar menyertainya. "Saya gembira kerana tergolong dalam peserta pertandingan ini dan mencuba sedaya mungkin untuk menghasilkan lukisan yang cantik. "Di samping melukis, kita juga dapat menderma untuk menghargai jasa pahlawan negara," ujarnya. Pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hua Kuala Pilah, Chin Le Yi, 14, pula berkata, dia gembira apabila dipilih oleh guru menyertai pertandingan melukis itu. Katanya, hobinya memang melukis dan pasti akan menyertai pertandingan sekiranya mempunyai peluang berbuat demikian. "Tema yang berkaitan ketenteraan ini amat menarik dan saya gembira dapat melukis. "Di samping melukis, kami turut berpeluang berkongsi pengalaman dengan bekas tentera dahulu," katanya. |
Jangan rosak akidah umat Islam Posted: 28 Oct 2013 11:59 AM PDT Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL SEREMBAN 28 Okt. - Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dalam sebarang aktiviti menggugat akidah umat Islam termasuk ajaran Syiah Imamiah. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, amaran telah diberikan dan pewartaan menghalang ajaran itu sudah dibuat. ''Jangan ingat kita tidak pantau atau tidak tahu apa yang mereka lakukan. Kita tahu gerakan mereka dan jangan salahkan kerajaan jika individu terlibat ditahan. ''Tindakan tegas akan diambil dan amaran sudah diberikan. Jangan rosakkan akidah umat Islam dan kerajaan sedang mengumpulkan semua bukti," katanya di sini hari ini. Mohamad berkata demikian ketika mengulas program penjelasan dan pencerahan bahaya ancaman Syiah Imamiah yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri ini. Menurut beliau, terdapat pelbagai ajaran Syiah dan paling ekstrem adalah puak Syiah Imamiah kerana ada ahli kumpulan tersebut mengkafirkan orang lain dan menghalalkan darah umat Islam yang menentang ajaran mereka. ''Puak ini beroperasi secara berselindung dan sampai satu peringkat mereka wajib berbohong jika terdesak. Syiah Imamiah ini tidak boleh bertolak ansur jika ajaran yang dibawa tergugat, malah pengikutnya boleh melakukan apa sahaja keputusan drastik dan bahaya," katanya. Mohamad yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) berkata, antara penyelewengan Syiah Imamiah berkaitan perkara ketuhanan ialah mendakwa Saidina Ali adalah tuhan mereka. ''Jangan pandang ringan hal ini kerana ia ada elemen yang memporak-perandakan akidah umat Islam sehingga boleh mendorong kepada permusuhan dan menghancurkan negara," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan