Isnin, 21 Oktober 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Ujian pertama MT UMNO

Posted: 21 Oct 2013 11:48 AM PDT

Oleh Zulkiflee Bakar
pengarang@utusan.com.my

Mukhriz Mahathir bersalaman dengan sebahagian masyarakat ketika hadir di majlis santai mesra bersama jentera BN dan penduduk di Bukit Besar, Sungai Limau baru-baru ini. - Utusan/Kamal Basir

Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Kedah yang akan bermula dengan penamaan calon esok (Rabu) dan diikuti dengan pengundian pada 4 November ini boleh dianggap ujian pertama kepada barisan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang baharu terpilih pada Sabtu lalu.

Jentera Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dibantu oleh Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir sudah pasti memerlukan komitmen mereka bagi memastikan kerusi DUN tersebut dirampas daripada Pas.

Sudah pasti juga tumpuan diberikan kepada 25 ahli MT yang telah diberikan amanah oleh 146,500 ahli UMNO untuk bekerja bersungguh-sungguh bagi memenangkan parti dalam pilihan raya dengan Sungai Limau menjadi pembuka gelanggang.

Jika sebelum ini mereka bermati-matian berkempen bagi menduduki jawatan itu maka jangan disia-siakan peluang untuk membuktikan keputusan yang dibuat oleh ahli-ahli UMNO bukan satu kesilapan.

Semangat yang ditunjukkan ketika pemilihan parti sehingga sanggup tidur dua tiga jam sahaja sehari dan bersedia mengelilingi seluruh negara bagi meraih sokongan seharusnya dibawa pula ke Sungai Limau kerana BN memerlukan komitmen padu mereka bagi memastikan Pas dapat 'dilemaskan' di DUN tersebut.

Berbanding 146,500 ahli UMNO yang perlu diyakinkan untuk menyokong mereka, ahli-ahli MT hanya perlu berusaha bertemu dengan 27,222 pengundi Sungai Limau dan daripada jumlah itu mengharapkan sekitar 15,000 daripada mereka mengundi BN dalam pilihan raya kecil tersebut.

Jumlah itu tidaklah banyak memandangkan pada pilihan raya umum lalu, calon BN, Mohd.Fadillah Mohd. Ali mendapat 10,420 undi tetapi tewas kepada Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang mendapat 13,294 undi. Majoriti 2,774 undi yang memungkinkan Pas terus menguasai kerusi DUN itu juga bukanlah mustahil untuk dikalahkan.

Kemungkinan ini memandangkan trend pengundi yang memihak kepada Pas di kawasan tersebut menurun setiap kali pilihan raya diadakan. Jika dalam pilihan raya umum penurunan itu boleh berlaku, sudah pasti dalam pilihan raya kecil ia lebih mudah dilakukan memandangkan semua jentera BN tertumpu ke kawasan tersebut.

Tetapi segala-galanya bergantung kepada kesungguhan pemimpin-pemimpin UMNO khususnya ahli MT yang perlu membuktikan mereka berupaya menjadi pasukan pejuang kepada parti tersebut dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Mereka tidak boleh terlalu bergantung kepada kegigihan Muhyiddin, aura Mukhriz, kesungguhan Pergerakan Wanita UMNO dan populariti Khairy Jamaluddin mengepalai Pemuda untuk mencapai kemenangan.

Sebaliknya, ahli-ahli MT sendiri perlu berada di DUN Sungai Limau sepanjang masa untuk membantu jentera BN berkempen.

''Sementara bahagian-bahagian UMNO lain juga akan membantu, ahli-ahli MT lain harus menunjukkan komitmen memandangkan mereka sudah diberi mandat oleh ahli-ahli UMNO. Oleh itu sekarang adalah masa untuk bekerja dalam pilihan raya kerana musim pemilihan sudah tamat," kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi ketika dihubungi.

Beliau yang pernah menduduki kerusi MT berkata, ahli-ahli UMNO ingin melihat apakah barisan MT yang mereka pilih benar-benar boleh buat kerja atau ghairah semasa pemilihan sahaja.

Sememangnya hujah itu boleh diterima memandangkan harapan ahli-ahli UMNO amat tinggi, biar pun Sungai Limau dilihat kubu kuat Pas tetapi itu ketika Allahyarham Azizan menjadi wakil rakyat di situ.

Peluang sama ada BN atau Pas sama rata dan ia bergantung sejauh manakah jentera kedua-dua parti bekerja.

Sebab itulah ahli-ahli MT yang baru dipilih perlu memahami tanggungjawab berat yang terpikul di bahu mereka. Kalau di DUN Sungai Limau mereka tidak memainkan peranan yang diharap-harapkan, bukan sahaja perwakilan yang memilih mereka kecewa tetapi rakyat yang menyokong UMNO juga berasa kesal.

DUN Sungai Limau atau dahulunya dikenali DUN Sala bukanlah kubu kuat Pas, suatu ketika sebelum Azizan, ia pernah menjadi kubu BN. Tetapi setiap kali pilihan raya aura Azizan mampu memastikan Pas terus bertahan.

Bagaimanapun sekarang Pas tidak boleh bergantung kepada Azizan, apatah lagi kerana mainan politik dalaman Pas yang memungkinkan Azizan terlantar sakit sebelum kerajaan Pas Kedah tumbang.

Hakikatnya, BN berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi pilihan raya kecil tersebut. Kewibawaan dan aura Mukhriz yang memimpin BN merampas kembali Kedah boleh dijadikan sandaran tetapi kalau mahu bergantung kepada aura beliau sahaja, ia belum mencukupi.

Sebaliknya, ia perlu diadunkan dengan kesungguhan seluruh kepimpinan UMNO khususnya ahli-ahli MT untuk turun ke padang membantu Muhyiddin dan Mukhriz untuk mencatat sejarah menawan Sungai Limau.

Mereka perlu mengerah segala tenaga bagi memastikan kemenangan BN seperti mana mereka membiarkan keringat membasahi tubuh ketika berkempen dalam parti.

Pendekatan kreatif yang digunakan ketika musim pemilihan juga perlu disemarakkan di Sungai Limau, ia termasuklah bersedia mengadakan pertemuan dengan penduduk dalam kelompok kecil untuk meraih undi seperti mana mereka mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli UMNO.

Mukhriz telah membuktikan keupayaan memimpin Kedah dalam pilihan raya umum lalu dan ketika itu tidak semua jentera pusat boleh membantu kerana berada dalam situasi pilihan raya umum, sekarang beliau sudah pasti gembira kerana jentera BN boleh memberi tumpuan di Sungai Limau.

Kesemua ahli MT amat memahami tanggungjawab dan harapan disandarkan, oleh itu berilah peluang kepada mereka membuktikan kemampuan.

Kita percaya adunan pemimpin baru dan lama tetapi kesemuanya berpengalaman menghadapi pilihan raya akan menjadi 'senjata ampuh' kepada BN untuk mencapai kemenangan di Sungai Limau.

Apa yang penting ialah kesungguhan dan keazaman serta tidak terpengaruh dengan sentimen kononnya Sungai Limau adalah kubu kuat Pas.

Dalil Allah tunggal di dalam al-Quran

Posted: 21 Oct 2013 11:48 AM PDT

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

Pada 14 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan di Putrajaya telah membuat satu keputusan yang berkait rapat dengan kepentingan umat Islam di Malaysia apabila memutuskan majalah mingguan milik Gereja Roman Katolik, The Herald tidak dibenarkan menggunakan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan itu.

Keputusan amat menggembirakan itu telah diputuskan secara sebulat suara oleh tiga panel hakim diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Apandi Ali bersama Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim serta Datuk Mohd. Zawawi Salleh selepas mahkamah membenarkan rayuan kerajaan dan Menteri Dalam Negeri.

Isu itu mula tercetus apabila Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009, membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam agar The Herald dibenarkan menggunakan kalimah Allah.

Berbalik kepada keputusan Mahkamah Rayuan itu, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din yang ketika ini berada di Mekah selepas menunaikan fardu Haji dalam satu mesejnya yang diberikan kepada Utusan Malaysia Khamis lalu (17 Oktober) mengajak semua umat Islam di negara ini bersyukur dengan keputusan tersebut.

Beliau membuat mesej tersebut pada Hari Raya Aidiladha iaitu selepas selesai menunaikan ibadat wukuf di Arafah.

''Namun dalam proses undang-undang ini kita faham masih ada satu lagi tempat atau medan perjuangan yang namanya Mahkamah Persekutuan. Mungkin arahan yang tidak terduga berlaku nanti.

''Mungkin juga Malaysia bukan medan untuk pertarungan kalimah Allah. Mungkin ada Mahkamah Antarabangsa di Geneva yang mungkin akan sampai ke sana (untuk dibicarakan),'' kata Haron dalam mesej tersebut.

Walau apa pun beliau berkata, sebagai umat yang faham bahawa Islam itu adalah agama tauhid iaitu agama yang mengesakan Allah, yang beriktikad Allah itu Tunggal, kalimah suci itu wajib dipertahankan.

Menyentuh lebih lanjut mengenai isu kalimah Allah, beliau yang juga bekas Profesor di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, semua pihak di negara ini wajib menerima bahawa kalimah suci itu hanya eksklusif untuk umat Islam sahaja.

Beliau berkata, perkataan Allah dalam Islam merujuk kepada Allah Yang Maha Esa, Allah Yang Satu, Allah Yang Tunggal atau Allah Yang Ahad.

Selama-lamanya begitu, kata Haron sambil merujuk kepada pengertian Surah al-Iklhas yang mengandungi empat ayat.

Beliau berkata, di dalam surah tersebut Allah menyebut Qul, katakanlah (wahai Muhammad) kepada manusia, (Tuhanku) adalah Allah Yang Esa, Yang Tunggal. Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.

Diperjelaskan kata Haron dengan sejelas-jelasnya di dalam surah itu, Allah yang tidak ada anak dan tidak ada bapa.

''Selepas pengertian Ahad (Esa) tadi itu dipermudahkan dengan kefahaman tidak ada anak dan tidak ada bapa diterangkan lagi bahawa tidak ada bagi Allah SWT sekutu dengan apa-apa pun,'' katanya lagi.

'Sekutu' ujar Haron bermakna penolong, pembantu atau apa sahaja yang dinamakan pelengkap kepada Allah.

Menurut tokoh agama tersebut, Allah itu maha sempurna dan perkara serupa juga ditekankan di dalam Surah al-Kafirun (mengandungi enam ayat).

''Surah ini amat popular. Boleh dikatakan kebanyakan imam kita sama ada di kampung atau di bandar terutama ketika solat maghrib biasanya surah ini amat popular. Rakaat pertama dibaca Surah al-Kafirun dan rakaat kedua Surah al-Ikhlas,'' katanya lagi.

Sebenarnya, kedua-dua surah tersebut amat berkait rapat tentang keesaan Allah, tentang Allah Yang Ahad dan Allah Yang Tunggal.

Oleh itu apabila ada pihak yang mahu mengambil kalimah suci itu dan kemudian diletakkan kepada Tuhan yang tidak Ahad, sudah tentu perkara tersebut sesuatu yang amat bertentangan dengan nas.

Sebab itu juga kata Haron, Surah al-Kafirun menerangkan sejelas-jelasnya kedudukan Allah kepada orang Islam.

Dalam surah tersebut dimulakan dengan kalimah Qul, katakanlah (Wahai Muhammad) kepada semua umat manusia, wahai orang kafir. Aku tidak sembah apa yang kamu sembah. Dan kamu pun tidak sembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu, kamu ada Tuhan sendiri, itu hak kamu. Aku ada agamaku yakni agama yang menyebut Tuhan yang satu (Allah Yang Ahad).

Sehubungan itu kata beliau, mana mungkin Allah boleh dijadikan sebagai satu kesyirikan yang nyata sebagai contoh apabila dikaitkan kepada agama Kristian.

''Mereka berpegang kepada kepercayaan mereka. Tuhan mereka tidak satu, Tuhan mereka tidak tunggal,'' katanya lagi.

Beliau di dalam mesejnya itu turut mengemukakan sepotong ayat di dalam Surah al-Maidah ayat ke 73 yang bermaksud: "Sesungguhnya kufurlah orang yang mengatakan Allah itu adalah salah satu dari tiga tuhan, padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa.

''Yakni tidak ada Tuhan yang sebenar disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah Yang Esa, Allah Yang Tunggal. Inilah kalimah Allah yang patut diterima pakai dan dipertahankan,'' katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, ajaran agama tauhid yang merujuk kepada agama yang mengesakan Allah bukan perkara baru.

Katanya, daripada Adam AS sehingga Nabi Muhammad SAW, para anbiya serta rasul yang diutuskan kepada manusia kesemuanya membawa agama menyembah tidak ada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah yang Tunggal, Allah Yang Esa.

''Daripada Adam, Idris, Nuh, Hud, Lut, Saleh, Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub, Yusuf, Ayub, Zakaria sampai kepada Nabi Muhammad para rasul dan nabi yang mulia ini membawa agama tauhid.

"Jika Allah itu sudah tidak Ahad sudah tidak Esa maka rosaklah prinsip kefahaman paling asas dalam Islam. Ia juga boleh mengundang kemurkaan Allah,'' katanya lagi.

Sesungguhnya kata Haron, dalam dua kalimah syahadah (Rukun Islam pertama) setiap umat Islam wajib menyebut dengan jelas bahawa: "Saya bersaksi dengan seluruh hati nurani saya bahawa tidak ada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah Yang Esa."

Juga dilafazkan: "Saya bersaksi dengan jiwa raga saya bahawa Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah SWT Yang Maha Tunggal".

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved