Isnin, 21 Oktober 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Kitar semula sisa secara terkawal

Posted: 21 Oct 2013 11:48 AM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

KUALA LIPIS 21 Okt. - Felda negeri diminta melaksanakan kitar semula sisa kelapa sawit secara terkawal dalam usaha mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak berkata, banyak rungutan diterima daripada peneroka mengenai pembakaran terbuka tandan kelapa sawit sehingga mengganggu kehidupan mereka.

Menurutnya, agensi itu mampu menangani masalah tersebut memandangkan pernah mengadakan kerjasama dengan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mengenai memproses sisa bahan mentah bagi menghasilkan biogas, biogula dan bioasid.

"Sehingga kini, saya masih menerima laporan mengenai pembakaran tandan kelapa sawit yang dilonggokkan berdekatan kediaman, ladang dan jalan raya yang sepatutnya boleh diproses menjadi tenaga berkenaan," katanya kepada pemberita di Penjom di sini baru-baru ini.

Katanya, Felda perlu memainkan peranan dalam membangunkan teknologi bioteknologi terutama biomas yang dapat membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta menambah, agensi tersebut perlu serius menangani isu pencemaran berkenaan dengan mengitar semula sisa kelapa sawit secara sistematik.

Dalam pada itu, beliau memuji langkah Felda yang merupakan antara agensi terawal melaksanakan langkah kitar semula sisa tersebut.

"Sebenarnya, kes pembakaran terbuka sisa tandan sawit merupakan kes terpencil di beberapa tanah rancangan negeri ini malah agensi berkenaan tetap menjadi penyumbang kepada persekitaran bersih dan ceria," ujarnya.

Katanya, langkah itu sejajar dengan manifestasi kerajaan negeri mewujudkan persekitaran yang bersih dan sihat.

Pertukaran saf kepemimpinan perkara biasa - Menteri Besar

Posted: 21 Oct 2013 11:48 AM PDT

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah merasmikan Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam sambil diperhatikan oleh Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar (tiga kiri) dan Adnan Yaakob (kiri) di Kompleks Budaya Pulau Keladi di Pekan, kelmarin. - utusan/AHMAD ZAKKI JILAN

PEKAN 21 Okt. - Kekalahan tiga Ketua UMNO bahagian di negeri ini adalah perkara biasa kerana perubahan dalam kepimpinan sedikit sebanyak pasti akan berlaku setiap kali proses pemilihan.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, perkara itu seharusnya diterima dengan baik oleh semua pihak termasuk ahli kerana keputusan yang dibuat adalah kehendak para perwakilan yang mengundi.

"Dalam pemilihan, perubahan perkara biasa. Memilih ini maknanya mengganti, menukar dan memilih semula yang baharu dan secara kebetulannya tiga Ketua UMNO Bahagian ini tidak lagi dipilih pada pemilihan kali ini.

"Kita dapat lihat ketiga-tiga tokoh yang kalah ini, iaitu Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (Jerantut) dan Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman (Paya Besar) merupakan tokoh veteran kecuali Datuk Mohd. Hazmi Yusof (Indera Mahkota) yang boleh dikatakan masih baharu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam yang disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di sini semalam.

Adnan berkata, di Indera Mahkota misalnya, pertandingan bagi merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian bukan melibatkan satu atau dua penjuru tetapi enam.

"Jadi, kalau enam penjuru kita biasanya akan jangka mesti ada sesuatu perubahan yang berlaku dan pembaharuannya ialah berlaku pertukaran dalam pucuk pimpinan di Indera Mahkota.

"Bagi saya itu tidak penting, yang penting adalah sama ada Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota baharu, Datuk Mustaffar Kamal Ab. Hamid boleh menerajui parti untuk mengukuhkan keadaan sehingga kita boleh rampas semula Indera Mahkota yang kita kalah kepada pembangkang," katanya.

Beliau berkata, untuk Jerantut dan Paya Besar, pertukaran yang berlaku nampak biasa dan tidak akan menggugat kedudukan parti.

Contohi perjuangan veteran UMNO

Posted: 21 Oct 2013 11:48 AM PDT

Abdul Rahman Mohamad (depan, tengah) memeluk seorang tokoh veteran UMNO semasa penyampaian surat penghargaan sempena Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Lipis di Kuala Lipis, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 21 Okt. - Golongan muda dalam UMNO diminta mencontohi sikap veteran parti yang tinggi dengan nilai setia kawan dan bantu-membantu tanpa ada niat menghentam rakan demi merebut kuasa.

Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, walaupun latar perjuangan mereka berbeza dengan hari ini, tetapi sikap dan idea mereka sepatutnya dijadikan panduan bagi meningkatkan keyakinan semua pihak terhadap parti.

"Legasi murni veteran UMNO patut kita contohi untuk menyatukan saf kepimpinan dan menegakkan UMNO untuk kaum Melayu yang mampu bertahan sampai bila-bila.

"Saya kecewa kerana ada segelintir pihak yang tidak menghargai jasa dan pengorbanan mereka apatah lagi untuk meneladani sikap dan pandangan veteran UMNO," katanya dalam majlis meraikan veteran UMNO sempena Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lipis, di sini kelmarin.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Lipis yang baharu dipilih, Datuk Ir Mohd. Soffi Abdul Razak, Naib Ketua UMNO, Datuk Mustapa Long dan bekas Timbalan Ketua, Datuk Suhaimi Ibrahim.

Menurut beliau, veteran UMNO tidak harus dipinggirkan kerana mereka mempunyai kebolehan dan pengalaman untuk menterjemah sesuatu dasar perjuangan yang mudah difahami ahli UMNO dan masyarakat.

"Dalam usaha Presiden Parti, Datuk Seri Najib Tun Razak memperkasakan UMNO, veteran parti tidak wajar diketepikan.

"Pengalaman veteran UMNO dalam perjuangan dan percaturan strategi menghadapi politik era penjajah dan asakan pembangkang semasa pasca merdeka wajar dipelajari oleh orang muda khususnya kalangan sayap parti UMNO," katanya.

Tambahnya, semangat kesetiaan dalam kalangan veteran UMNO terhadap perjuangan parti tetap dizahirkan walaupun mereka tidak dilantik apa-apa jawatan malah berdiri dalam satu saf perpaduan demi kaum Melayu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved