Utusan Online - Mahkamah |
Suami belasah isteri masih taruh harapan Posted: 22 Oct 2013 11:35 AM PDT Muhammad Affandi Ismail menunjukkan isyarat bagus sewaktu ditemui di luar Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam. BUKIT MERTAJAM 22 Okt. - Pegawai veterinar yang menghadapi tuduhan membelasah isterinya di dalam lif pada Ogos lalu, masih berharap wanita berkenaan memikirkan semula tentang hubungan mereka. Muhammad Affandi Ismail, 36, berkata, dia sedia maklum dengan kenyataan isterinya sebelum ini mengatakan sudah tidak mahu lagi kembali ke pangkuannya. "Kalau isteri kata sudah tertutup hatinya, saya minta dia buka mindanya kembali supaya dapat berfikir semula tentang keputusan itu," katanya ringkas kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Majistret di sini hari ini. Sebelum itu, Majistret Ariff Mohamed Sharif, menetapkan 21 November ini untuk sebutan semula kes terhadap Muhammad Affandi yang didakwa sengaja menyebabkan mencederakan ke atas isterinya, disebabkan dokumen kes itu belum siap. Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap isterinya yang berusia 36 tahun di dalam lif di Hospital KPJ, Bandar Perda di sini, pada pukul 4 petang, 12 Ogos lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih satu tahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya. Muhammad Affandi diwakili peguam R. Palaniappan manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim. Nama isteri tertuduh dirahsiakan kerana berada di bawah perlindungan sementara (IPO) atas perintah mahkamah. Pada 12 September lalu, Muhammad Affandi selepas hadir sebutan kes di mahkamah tersebut memberitahu pemberita, dia masih menyayangi isteri dan mahu keluarganya hidup bahagia. Sehari selepas itu, isterinya yang bekerja sebagai operator pengeluaran kilang menyatakan tekad tidak akan kembali ke pangkuan lelaki tersebut. Wanita itu menegaskan bahawa perbuatan lelaki itu terhadapnya sebelum ini cukup menyedihkan dan tidak ada lagi perasaan sayang kepadanya, begitu juga dengan anak-anak yang tidak lagi bertanya mengenai ayah mereka. Pada 12 Ogos lalu, pengguna internet di negara ini digemparkan dengan rakaman video selama 2.20 minit yang memaparkan kejadian seorang isteri dibelasah oleh suaminya di hadapan dua anak mereka yang masing-masing berusia empat dan lima tahun itu dikongsi melalui akaun Facebook. Lebih malang lagi dalam video bertajuk Suami dayus pukul isteri depan anak turut menunjukkan aksi lelaki berkenaan menendang isterinya sehingga tersungkur sebaik sahaja pintu lif terbuka. |
Penulis buku insiden Kampung Medan gagal merayu Posted: 22 Oct 2013 02:11 AM PDT Oleh NORLIZAH ABAS PUTRAJAYA 22 Okt. - Penulis buku berhubung insiden pergaduhan di Kampung Medan, K. Arumugam gagal dalam usahanya untuk membatalkan pengharaman buku tersebut selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya bagi mendapat kebenaran merayu. Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel lima hakim diketuai oleh Tan Sri Ahmad Maarop yang bersidang bersama Datuk Hasan Lah, Datin Paduka Zaleha Zahari, Datuk Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Ramly Ali. Kuorum berkenaan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Ogos tahun lalu yang menolak permohonan Arumugam yang juga seorang peguam untuk membatalkan keputusan Kerajaan mengharamkan buku tersebut. Arumugam, 54, yang juga Pengerusi Suaram diwakili oleh peguam Edmund Bon manakala pihak Kerajaan diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bol Hassan. - UTUSAN ONLINE |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan