Utusan Online - Rencana |
Posted: 06 Aug 2013 10:09 AM PDT Dr. Siva KEPELBAGAIAN kumpulan etnik dengan amalan keagamaan yang berbeza-beza membolehkan setiap warga di Malaysia tanpa mengira batasan etnik, ras dan kepercayaan bersama-sama meraikan perayaan etnik dan kumpulan agama yang berlainan ini. Malaysia merupakan bumi bertuah. Setiap tahun, masyarakat Islam menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri selepas berakhirnya Ramadan dan bermulanya bulan Syawal dalam kalendar Islam. Tarikh mencerap anak bulan Syawal yang juga penetapan Hari Raya Aidilfitri 2013 adalah pada 7 Ogos 2013 dan mengikut kalendar Islam, 1 Syawal 1434 (tarikh Hijrah) dijangka pada 8 Ogos 2013 (tarikh Masehi). Saya masih ingat bagaimana pada waktu merentasi zaman ini, rakan-rakan akan diajar untuk berpuasa dan bagaimana masing-masing bersungguh-sungguh melaluinya tanpa merasai keletihan. Mokhtar Abdul Manaf, anak kepada Imam Masjid Tanjong Malim ketika itu yang menetap di belakang rumah saya sering mengajak saya bermain badminton sebagaimana kelaziman yang dilakukan ketika bukan bulan Ramadan. Malahan yang akan awal-awal menghantar lemang dan rendang adalah nenek beliau yang sudah berumur sekitar 70-an ketika itu. Rumah Mak Long pula popular untuk membuat dodol yang akan dikacau oleh hampir semua yang tinggal di taman perumahan itu. Nostalgia ini barangkali tidak dirasai oleh generasi baharu melainkan di kawasan perkampungan walaupun ia sudah semakin suram di Tanjong Malim, kampung saya. Hanya di pasar lambak hari Sabtu, saya masih boleh melihat penjual lemang dan dodol yang agak popular dalam kalangan pengunjung terutama mahasiswa Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI). Uniknya perayaan Aidilfitri di kawasan perkampungan adalah masing-masing boleh merasai bahang beraya seawal berpuasa kerana kemeriahan di bazar Ramadan yang menjual pelbagai jenis makanan tradisional hingga yang sudah dimodenkan. Begitu juga dengan pencarian malam Lailatulqadar yang dikatakan lebih baik daripada seribu bulan. Amalan malam tujuh likur untuk menyinari kampung dengan lampu pelita menjadi satu kemestian kala itu. Kemeriahan Ramadan dan menyambut kedatangan Syawal amat bermakna dengan amalan seperti ini. Di belakang kawasan perumahan kami juga terletaknya tanah perkuburan orang Islam dan kami turut menyaksikan komuniti setempat datang membersihkan tanah perkuburan di samping menghadiahkan bacaan tahlil kepada yang telah meninggalkan mereka, baik pada hari pertama syawal atau sebelumnya. Marhaban di malam raya juga adalah satu kewajipan, bertandang dari rumah ke rumah menyaksikan interaksi yang berpanjangan selepas sembahyang Isyak di madrasah taman ini selepas pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri. Ia kemudian disertai dengan sembahyang berjemaah di masjid pada pagi raya. Gerombolan kenderaan yang menjadikan kawasan persekitaran masjid padat menandakan masing-masing pulang beraya bersama sanak-saudara. Kunjungan dari rumah ke rumah; dari taman ke taman menandakan ketinggian amalan fitrah manusia dilahirkan untuk kenal mengenali antara satu sama lain; keakraban hubungan yang mempamer usaha berterusan meningkatkan hubungan bukan sahaja sesama ummah tetapi juga hubungan dengan masyarakat setempat yang berlainan agama dan amalan ritual mereka. Adakah sambutan ini masih berterusan atau sudah berubah kerana perubahan persekitaran, masa dan kumpulan rakan yang barangkali sudah mempunyai konsep pulang ke bandar kerana ketiadaan kampung. Adakah generasi baru sudah luntur nilai perkongsian yang ditonjolkan melalui amalan beraya bersama kerana kesibukan bekerja dalam mengejar kebendaan yang turut menjadi faktor yang menyumbang kepada kehidupan individualistik? Bagaimana dengan pelajar; apakah bentuk pendedahan yang diberikan. Sewaktu saya belajar di Sekolah Menengah Teknik, Cheras, setiap tahun berkumandang lagu Dendang Perantau yang dipopularkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan lagu-lagu lain sepanjang bulan Ramadan baik di kamar yang diikongsi dalam sekitar 20 orang ataupun bilik mandi dan uniknya di malam terakhir sebelum masing-masing pulang ke kampung, kesemuanya yang tinggal di asrama akan berkumpul di tengah padang selepas Isyak; bersalaman, memohon maaf sebagai tanda silaturrahim sesama kita. Adakah masih wujud amalan seperti ini dalam menghidupkan semangat kepelbagaian yang menjadi teras kekuatan negara ini? Hari ini kita melihat ada segelintir yang cuba melahirkan perasaan syak wasangka dan curiga mencurigai antara kaum yang amat membimbangkan terutama melalui medium pendekatan lain iaitu media sosial. Saya masih tertanya-tanya kenapa ketika kita membesar dalam ruang yang sama tetapi tempoh masa yang berbeza sudah mengubah segalanya? Adakah persekitaran yang mengubah kita atau kita juga menyumbang kepada kedaifan tersebut secara dominan? Kalau di Tanjong Malim ada Anuar, Azri, Zuraidi, Mokhtar, Bagio, Zulzambrin, Sopii, Azmi, Amin, Razwin, Yusri, Enal, Azizuddin, Nin dan Ah Leng yang boleh beraya bersama, bermain apa sahaja baik takraw ataupun layang-layang, mencari ikan sepat atau ikan laga dan toman; bermain polis dan pencuri, berjaga sewaktu pencuri mengancam taman kami, membantu menjadi penanggah sewaktu musim kenduri kahwin yang masakannya dilakukan secara gotong-royong, saling sokong antara satu sama lain; adakah masih wujud generasi ini baik di tempat saya sendiri atau di tempat lain? Apakah mereka yang pulang beraya di kampung dapat terus menikmati amalan tradisi ini atau akan dibiarkan pupus kerana mahu dilihat gah dengan aksi peredaran zaman? Walaupun persekitaran berubah dan individu juga sudah berlainan, ini tidak bermakna kita boleh mengetepikan amalan yang sebenarnya membawa kita bersama. Setiap warga wajar mengisi ruang perayaan dengan amalan yang membolehkan ia dirai bersama; memahami kepentingannya dan menghormati setiap pengisian kerana ia mempunyai maksud dan makna tersendiri baik bersifat tersurat mahupun tersirat. Semangat perayaan adalah antara langkah yang boleh diambil untuk menyemai semula nilai kehidupan dalam satu keluarga besar. Jika ada nilai menerima, hormat dan faham antara satu sama lain, ia sudah boleh menjadi jambatan perhubungan kerana asasnya adalah sifat berkompromi dan berkorban demi kesinambungan generasi yang kaya dengan nilai susila acuan Malaysia. Semoga perayaan kali ini akan membawa lembaran baru kepada semua warga Malaysia, khususnya masyarakat Islam agar keharmonian yang terbina sekian lama akan terus diraikan di bawah kesederhanaan dan ruang tengah tidak dicacatkan oleh golongan yang tidak faham erti perpaduan dalam perbezaan sesama manusia. Bagi yang masih tidak memahami pengertian beraya, elok memecahkan dinding yang menjadi tembok penghalang untuk mempelajarinya kerana kepelbagaian perayaan juga adalah tembok utuh yang membangunkan setiap warga bersama. Ia boleh dimulakan dengan ucapan - Selamat Hari Raya Aidilfitri. Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia. |
Politik pecah belah ummah patut ditangani Posted: 06 Aug 2013 10:09 AM PDT Oleh ESPUTRA MUKHTAR TINGGAL sehari dua lagi menjelang Syawal. Semoga Ramadan yang dilalui membawa keinsafan untuk kelangsungan hidup yang lebih baik supaya kehidupan lebih terasa indah dan harmoni. Ramadan yang penuh rahmat dan keberkatan sepatutnya menjadi permulaan baru (turning point) bagi yang tiada kesedaran untuk bersatu sesama ummah. Ramadan dan Syawal sepatutnya mampu menghimpunkan kemesraan sesama Islam. Lalu Islam menjadi kuat dan berimej tinggi. Kita sesungguhnya mencari kesejahteraan duniawi dan ukhrawi. Sepanjang Ramadan banyak tazkirah atau ceramah Ramadan baik di masjid atau surau mahupun di premis-premis jabatan. Ertinya ia melebihi kekerapan berbanding pada bulan-bulan hijrah yang lain. Kandungan ceramah menjurus kepada kebesaran bulan suci Ramadan. Bulan yang menjanjikan pahala berganda atas setiap kebajikan dilakukan. Semua akur dan insaf mendengar setiap patah apa yang ustaz atau ustazah pertuturkan. Lengkap dengan sandaran nas-nas al-Quran dan al-hadis. Kudus jiwa melihat suasana. Senang hati menikmati ukhuwah yang terbina. Dalam tazkirah atau kuliah-kuliah Ramadan tidak pernah tersebut pun kalimah atau istilah kafir mengkafir sesama Islam. Tidak ada jua pun ungkapan yang menyebut umat Islam harus 'terpisah' hanya atas perbezaan fahaman politik. Sebaliknya umat Islam diseru mengeratkan hubungan silaturrahim sesama sendiri. Malah antara syarat dosa terampun adalah tidak memutuskan silaturrahim sesama manusia. Ertinya memutuskan silaturrahim boleh menjauhkan seseorang dari pintu syurga. Malangnya bagi seseorang yang melakukan banyak ibadat, bersedekah, berusaha gigih sehingga kaya raya tetapi terselit prasangka buruk terhadap sesama umat Islam hanya kerana perbezaan politik. Di Kelantan hal ini masih wujud. Seorang rakan memberitahu, beliau terkejut besar apabila rakan karibnya sejak lama tiba-tiba secara serius menegurnya di dalam masjid: "Buat apa kamu datang sembahyang di masjid?" Terpinga-pinga dia mendengar pertanyaan demikian. Rupa-rupanya jika menganut parti lain (yang tidak berlabelkan Islam) tidak perlu datang sembahyang di masjid sebabnya seolah-olah ibadat sembahyang berjamaah itu tidak diterima Tuhan. Masya-Allah! Di sesetengah masjid masih kelihatan sikap berpuak-puak kerana perbezaan politik. Ada yang kelihatan kurang bertegur sapa kerana berbeza fahaman politik. Di dalam masjid terdapat kelompok-kelompok kecil di beberapa sudut yang bercakap tentang politik. Kelihatan mulut-mulut yang 'mencebik' dan 'ketawa sinis'. Sesuaikah suasana begitu berlaku di dalam rumah ibadat? Tertanya-tanya kita ke mana haluan sebenar ukhuwah sesama kita umat Islam. Di dalam masjid atau surau penuh dengan para jumaah. Lebih-lebih lagi di bulan Ramadan. Ramai yang datang menunaikan sembahyang sunat tarawih selain sembahyang fardu yang lain. Sembahyang berjamaah berimamkan satu dan berkiblatkan yang sama. Segala rukun yang dilakukan imam diikut secara serentak oleh semua jamaah - qiam, rukuk, sujud sehinggalah memberi salam ke kanan dan ke kiri. Mengaminkan doa bersama. Namun alangkah terkilan apabila bersurai sudah terbentuk kelompok atau individu yang tidak mampu bertegur sapa. Puncanya mereka berlainan anutan fahaman politik. Lebih jauh meninggalkan masjid berbunyi pula tohmahan dan tuduhan pihak itu dan ini tidak Islamik, kurang agama, jahil, fasik, taughut dan macam-macam. Peliknya pihak yang mendakwa lebih Islamik, lebih alim, lebai dan warak itu boleh pula berpelukan dengan pihak-pihak yang ternyata tidak boleh menerima hatta untuk sekadar menyebut Islam adalah agama rasmi negara. Malah ada yang mencabar - "langkah mayat aku dahulu jika mahu wujudkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam". Persoalannya kenapa sesama umat Rasulullah (SAW) tidak mampu menghimpun perasaan ingin bersatu, mesra dan penuh muhibah, sebaliknya sedia terima pihak yang jelas 'menolak' Islam. Sampai bila tidak ditemui titik persefahaman dan persamaan atas nama umat Islam. Umat yang sama-sama mengucap dua kalimah syahadat. Umat yang menurut perintah rasul dan ajaran bersandarkan segala sunnah. Tidak terfikir kepada kita betapa jurang perpecahan sesama Islam semakin luas. Situasi begini memberi ruang kepada pihak-pihak tertentu memperlekeh dan mempermainkan Islam. Ekoran perpecahan umat Islam berasaskan fahaman politik ini, ada pihak yang semakin berani mencuba-cuba 'pasaran' bagi mempersendakan Islam. Tidak malukah kita? Relakah kita? Parti-parti politik di Malaysia termasuk UMNO, Pas lahir lama selepas zaman Rasulullah. Pas juga sebuah parti politik. Bukan pun lahir semasa zaman Rasulullah. Jadi tidak perlu 'bertopengkan' agama atau 'bersalutkan' slogan Islam semata-mata untuk meraih pengaruh. Sesebuah parti politik sepatutnya menjadi elemen siasah yang boleh membina kekuatan, memegang kuasa dan menentukan hala tuju jelas demi kepentingan agama, bangsa dan tanah air. Apa yang penting ialah kemampuan mentadbir urus negara atau negeri sebagaimana yang diberikan rakyat pada setiap pilihan raya. Ertinya, bukti kemampuan dan kesan manfaat yang dinikmati rakyat adalah lebih penting daripada berjanji dan berceramah saban waktu. Jangan pula dek kerana tidak berupaya membawa pembangunan dan kemajuan kepada kehidupan rakyat, cuba-cuba pula mahu mengalih isu dengan menuduh segala perancangan dan pembangunan Kerajaan Persekutuan 'tidak ada roh Islam'. Apakah menyediakan segala kemudahan bagi rakyat termasuk menyediakan tempat- tempat ibadat yang selesa tidak menepati 'roh' Islam? Sayangnya di Kelantan kecenderungan 'menebalkan' jurang perpecahan sesama Islam atas nama parti politik ini masih terasa. Ada-ada saja dakwaan dan tohmahan yang boleh menyakitkan hati dan menyentuh perasaan pihak-pihak yang tak sehaluan politik. Majlis-majlis ceramah, kuliah agama terus memainkan sentimen melalui sindiran dan kata-kata sinis yang tidak menyedapkan telinga penyokong-penyokong parti yang bertentangan. Tidak kurang juga terdapat selitan isu-isu yang berbentuk fitnah, mengapi-apikan perasaan benci terhadap Kerajaan Persekutuan, mencemuh pemimpin-pemimpin tertentu dan memperkatakan hal-hal yang mengelirukan. Persoalannya sampai bilakah begini? Patut pun, khabarnya Kerajaan Persekutuan tidak lagi berminat untuk menumpukan pembangunan fizikal di Kelantan. Sebaliknya lebih berminat menyusuri minat rakyat negeri itu mengikuti kuliah, ceramah dan bimbingan rohani saban waktu. Semua pihak sepatutnya akur dengan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya umat Islam ketepikan perbezaan ideologi politik bagi membina sebuah negara Malaysia yang lebih kukuh dan cemerlang. Penyatuan ummah akan mengembangkan syiar Islam dan mengukuh perpaduan dan menjadikan umat lebih berjaya selain menjadi contoh bagi kalangan negara-negara Islam di dunia. Elok jika diketepikan mana-mana individu atau tokoh yang kelihatan masih ghairah menjadi 'juara' perpecahan. Mereka yang dimaksudkan sebagai 'juara' ini adalah kalangan yang merasakan diri mereka masih berpengaruh dan pantang mendengar ajakan untuk bersatu sesama umat Islam. Kalangan mereka ini akan menjadi 'sihat secara tiba-tiba' apabila bercakap tentang penolakan untuk bersatu sesama umat Islam hanya atas asas berlainan fahaman politik. Ada antara mereka kelihatan semacam 'dendam tak sudah' terhadap penyokong parti yang bertentangan dengan parti mereka. Sempena Ramadan yang dilalui dan Aidilfitri yang bakal menjelma, kenapa tidak terdetik di hati sesama kita untuk mencantum kasih sayang, memupuk kesedaran bagi membina kehidupan yang indah, segar dan menepati ajaran Islam yang sebenar. Semoga keinsafan kita akan membawa kehidupan yang lebih dirahmati dan diberkati. Insya-Allah. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan