Utusan Online - Mahkamah |
Hassan Ali Basari dipenjara 7 tahun Posted: 06 Aug 2013 10:09 AM PDT KOTA KINABALU 6 Ogos - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, hukuman penjara maksimum mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan, ke atas Koperal Detektif Hassan Ali Basari (gambar), 61, kerana menyembunyikan maklumat mengenai kegiatan pengganas di Sabah. Hakim P. Ravinthran memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh tangkap 2 Mac lalu. Beliau berkata, walaupun Seksyen 130M turut membawa hukuman denda jika sabit kesalahan, hukuman itu tidak akan dikenakan. Hassan didapati bersalah melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Cawangan Khas Lahad Datu antara Januari dan 2 Mac tahun ini. Ravinthran berkata, beliau menjatuhkan hukuman penjara maksimum ke atas Hassan kerana tertuduh bukan orang awam biasa. ''Anda ialah pegawai Cawangan Khas di Lahad Datu dan anda terima maklumat ini (mengenai pencerobohan di Kampung Tanduo). Jadi anda berada dalam kategori berbeza kerana anda wajib mendedahkan maklumat seumpama itu. ''Oleh itu, hanya sedikit sahaja penghargaan patut diberikan kepada perkhidmatan anda yang lama (38 tahun) dalam pasukan Polis Diraja Malaysia,'' katanya. Dalam penghakimannya, Ravinthran berkata, pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tiga fakta yang dikemukakan dalam perbicaraan peringkat kes pendakwa selama empat hari dari 24 Jun lalu. Beliau berkata, saksi pertama yang dilindungi telah memberikan maklumat amat penting kepada Hassan pada Januari mengenai hasrat pasukan yang dipanggil Pasukan Tentera Diraja Sulu untuk memasuki Sabah yang Hassan gagal dedahkan kepada pegawai atasannya. Beliau juga berkata, tiga transkrip panggilan telefon yang dipintas memperkukuhkan lagi niat Hassan untuk menyembunyikan maklumat pencerobohan oleh pasukan tentera berkenaan. Walaupun pencerobohan itu tidak berlaku semasa Hassan diberitahu mengenai pencerobohan yang bakal berlaku itu oleh saksi yang dilindungi, Ravinthran berkata, pencerobohan itu akhirnya berlaku dan pasukan keselamatan boleh bersedia untuk mencegahnya daripada berlaku sekiranya Hassan memaklumkan perkara itu kepada pegawai atasannya. Terdahulu, semasa meminta mahkamah menjatuhkan hukuman sebagai pengajaran, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan memberitahu, pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu telah meninggalkan titik hitam dalam sejarah Malaysia dan tertuduh menyumbang kepada perkara itu. ''Niat tertuduh untuk tidak memaklumkan pegawai atasannya telah menyebabkan anggota keselamatan kita cedera dan terbunuh semasa berjuang mempertahankan kedaulatan negara. ''Keluarga mereka telah kehilangan orang tersayang. Kerajaan membelanjakan banyak wang untuk memastikan keselamatan rakyat yang terjejas. Ini tidak termasuk kerosakan banyak harta benda. ''Ini adalah perbuatan khianat terhadap negara kerana sebagai anggota polis, beliau (Hassan) bertanggungjawab melindungi orang ramai. Oleh itu, beliau tidak setia kepada pasukan polis,'' kata Nordin. Peguam Ram Singh berkata, pihak pembelaan akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi itu. Hassan kelihatan tenang ketika hukuman dibacakan dan bersalaman serta memeluk anggota keluarganya yang menangis, sebelum dia dibawa keluar. - BERNAMA |
Posted: 06 Aug 2013 10:09 AM PDT KUALA LUMPUR 6 Ogos - Ahli Parlimen Bukit Katil, Melaka, Shamsul Iskandar Mohd. Akin (gambar) dan dua lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menyertai perhimpunan Blackout 505, dua bulan lalu. Shamsul Iskandar yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), 39; Timbalan, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, 36, dan Naib Ketuanya, Mohd. Nazree Mohd. Yunus, 29, masing-masing mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah. Mengikut pertuduhan, Shamsul bersama Khairul Anuar dan Mohd. Nazree didakwa menyertai perhimpunan yang diadakan di kawasan larangan, Masjid Ar-Rahman di Universiti Malaya antara pukul 12 tengah hari dan pukul 1.15 petang, 22 Jun lalu. Mereka bertiga didakwa mengikut Seksyen 4(2)(b) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000. Mahkamah membenarkan setiap tertuduh dibebaskan dengan bon jaminan RM2,000 tanpa cagaran dan menetapkan 23 September depan bagi sebutan semula kes. Mahkamah turut menetapkan 11, 12 dan 13 Disember ini sebagai tarikh perbicaraan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Huda Aini manakala kesemua tertuduh diwakili peguam A. Jeyaseelen dan Yusmadi Yusoff. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan