Utusan Online - Rencana |
Negara Islam terus dilanda konflik Posted: 27 Jul 2013 10:27 AM PDT Zulkiflee Bakar BUMI Mesir terus membawa khabar berdarah apabila sekurang-kurangnya 70 penyokong Mohammed Mursi yang mengadakan demonstrasi terbunuh selepas ditembak oleh pasukan keselamatan. Angkatan Tentera Mesir yang sebelum ini menguar-uarkan kononnya mereka terpaksa merampas kuasa daripada Mohammed Mursi demi memenuhi tuntutan rakyat sebaliknya kini bertindak sebagai pembunuh rakyat. Tindakan ganas tentera Mesir itu sudah pastilah tidak akan membawa apa-apa erti kepada usaha mewujudkan keamanan di negara berkenaan, sebaliknya akan menyebabkan umat Islam akan terus berbunuh sesama sendiri. Sementara Mesir terus bergolak, nyawa juga terus melayang di Syria yang menyaksikan pertembungan antara tentera yang setia kepada Presiden Bashar Hafez al-Assad dengan puak pemberontak. Di Iraq pula, serangan bom berani seolah-olah satu ancaman yang tidak ada penghujungnya. Setiap hari ada sahaja puluhan puluhan penduduk negara itu terbunuh. Renungkan pula sejenak apa pula berlaku di selatan Thailand yang menyaksikan, puak pemisah yang kononnya berjuang untuk membela nasib orang Islam sebaliknya bertindak membunuh mereka. Pembunuhan itu dilakukan atas pelbagai alasan bagi menghalalkan perjuangan songsang mereka bagi menuntut kemerdekaan di bumi Siam tersebut. Begitulah keadaan beberapa negara Islam di bulan Ramadan ini. Bulan suci yang sepatutnya menjadi bulan menyatukan ummah dan mengukuhkan keamanan umat Islam sebaliknya dihiasi dengan perbalahan dan konflik berterusan sehingga darah terus membasahi bumi negara-negara tersebut. Ketika diminta mengulas perkara ini, Ketua Kluster Politik dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof.Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, tidak dapat dinafikan umat Islam di seluruh dunia Islam sedang menghadapi ancaman perpecahan dan peperangan sesama sendiri yang amat parah. Katanya, tindakan itu tidak akan menguntungkan mereka kerana akibatnya musuh-musuh Islam mengambil kesempatan untuk terus melemahkan Islam dan umat Islam. Akhirnya mereka tidak berdaya mempertahankan diri, agama dan nasib serta masa depan mereka juga kemudiannya ditentukan oleh orang lain, katanya ketika dihubungi. Sememangnya itu keadaan umat Islam sekarang, biar pun hakikatnya terdapat 58 buah negara Islam di seluruh dunia - satu bilangan yang besar atau kira-kira lebih satu perempat negara di dunia. Dalam kata mudah, bilangan negara Islam sebenarnya banyak dan mempunyai suara besar di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Jumlah penduduk Islam di seluruh dunia dianggarkan berjumlah 1.5 bilion atau lebih 20 peratus daripada penduduk dunia. Maknanya, Islam adalah agama anutan utama penduduk dunia dan bukan agama minoriti. Bagaimanapun, ketika ini negara Islam paling banyak terlibat dalam konflik termasuk perbalahan sesama sendiri sehingga melemahkan mereka. Perebutan kuasa politik dan perbezaan antara mazhab merupakan dua faktor yang dikatakan menjadi punca umat Islam berbalah. Keadaan itu memungkinkan ia membuka ruang kepada kuasa asing untuk campur tangan sama ada secara terbuka atau tersembunyi. Apa yang berlaku di Mesir telah membuktikan hakikat ini bagaimana Mohammed Mursi yang dipilih secara demokrasi telah dijatuhkan oleh pihak tentera atas alasan demi menegakkan demokrasi. Kuasa-kuasa barat yang sebelum ini begitu mendesak supaya demokrasi dipulihkan selepas kejatuhan Hosni Mubarak hanya diam seribu bahasa apabila Mohammed Mursi dijatuhkan. Segala-galanya kerana Presiden Mesir itu dilihat sebagai pejuang Islam dan anggota kepada Ikhwanul Muslimin. Tetapi umat Islam di Mesir tidak menyedari perkara itu, sebaliknya sebahagian besar mereka turut menyokong tindakan tentera biar pun mereka memahami ia belum pasti membawa keamanan kepada Mesir. Begitu juga yang berlaku di Iraq, apabila umat Islam dibiarkan berbunuh sesama sendiri selepas negara itu dicerobohi oleh Amerika Syarikat (AS) yang mahu menjatuhkan pemerintahan Saddam Hussein suatu ketika dulu. Kini demokrasi, keamanan dan kebebasan yang dijanjikan oleh kuasa besar barat itu tidak ke mana, rakyat Iraq terus menderita apabila tercetus pula perbalahan antara penduduk negara itu yang terdiri daripada majoriti orang Islam. Di Syria juga, keadaan juga hampir sama apabila umat Islam berperang sesama sendiri. Yang untung ialah kuasa asing yang membekalkan senjata kepada puak pemberontak. Akhirnya negara itu bagaikan neraka dunia kepada rakyatnya. Menurut Dr.Mohamed Mustafa, semua itu berlaku kerana umat Islam tidak dapat menghayati dan mengamalkan ajaran Islam sebenar. Ia termasuklah juga penyelewengan dalam amalan akidah serta pertembungan mazhab yang parah khususnya antara sunnah wal jamaah dan Syiah. Syiah telah mengambil langkah memusuhi dan memerangi puak sunni secara kekerasan, katanya. Ketika masalah itu sudah berlanjutan berabad-abad, umat Islam juga kata beliau berkata dengan sikap ketaksuban kepada pemimpin, puak dan kelompok tertentu. Dalam soal ini, penulis berpendapat keadaan itu wujud di semua negara Islam khususnya dalam bidang politik. Sikap taksub kepada pemimpin atau parti yang mereka sokong telah menyebabkan ada dalam kalangan umat Islam kafir mengkafir antara satu sama lain dan ada pula sanggup berbunuh semata-mata bagi menegakkan ideologi politik masing-masing. Keadaan menjadi semakin parah apabila ada pula parti politik yang mendakwa memperjuangkan Islam tetapi dalam masa yang sama sanggup bersekongkol dengan parti bukan Islam untuk menjatuhkan kerajaan yang dipimpin oleh orang Islam. Tetapi apa yang anehnya dalam masa yang sama mereka menguar-uarkan bahawa perbuatan menjatuhkan kerajaan Islam adalah haram di sisi Islam. Bagaimanapun fatwa itu dilihat hanya terpakai bagi mempertahankan kuasa mereka sahaja tetapi tidak boleh digunakan bagi parti politik lawan biar pun mereka juga beragama Islam dan menerajui kerajaan pimpinan orang Islam. Mengulas lanjut, Dr.Mohamed Mustafa berkata, terdapat pemimpin-pemimpin Islam yang sedia menjadi alat kepada musuh-musuh Islam demi mencapai agenda dan cita-cita peribadi serta mengalahkan musuh politik Islamnya sendiri. Apabila benih-benih ini sudah ada, maka musuh-musuh Islam menggunakan semua kelemahan ini untuk terus adu-domba dan mengerakkan permusuhan sesama Islam. Media global juga digunakan secara meluas bagi memberikan imej yg sangat buruk ke atas agama dan umat Islam, katanya. Bagi Dr.Mohamed Mustafa, segala konflik yang melanda umat Islam boleh diselesaikan jika pemimpin-pemimpin Islam bersatu dan bergabung tenaga serta kekuatan bagi mengatasi masalah yang timbul. Umat Islam mesti tahu memilih mana pemimpin yang baik dan boleh mempertahankan umah serta agama Islam daripada pemimpin yang berjuang hanya untuk kepentingan dirinya sendiri, katanya. Apa pun situasi di negara-negara Islam kini semakin buruk dan umat Islam terus akan berada dalam keadaan konflik yang seterusnya membawa kepada campur tangan asing jika masih mahu berbalah sesama sendiri. Atas sebab itulah perlu ada kesedaran dalam kalangan umat Islam untuk memahami bahawa musuh-musuh Islam tidak pernah diam untuk melemahkan kekuatan mereka. Oleh itu tidak perlulah kita berbangga dengan mendabik dada kononnya perjuangan Islam kita jauh lebih baik berbanding pihak orang Islam lain sedangkan hujah seumpama itu akhirnya hanya akan menyebabkan umat Islam terus berpecah belah. Adalah lebih baik sebelum terlambat, umat Islam terus mencari jalan ke arah penyatuan agar mereka tidak terperangkap dengan agenda asing. Sesungguhnya Islam itu agama yang sempurna tetapi umat Islam sendiri yang memungkinkan kemuliaan agama. |
Posted: 27 Jul 2013 10:27 AM PDT AJARAN Syiah di Malaysia masih terus berkembang walaupun Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 memutuskan ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam. Daripada penyebaran secara sembunyi-sembunyi, pengikut Syiah kini dikatakan semakin berani menonjolkan diri dan amalan mereka sehingga ke tahap mahu berhujah dengan golongan ASWJ. Lebih ekstrem lagi, golongan ini menghalalkan darah golongan lain yang tidak sealiran dengan mereka. Mutakhir, timbul kebimbangan tentang pengembangan pengaruh Syiah di Malaysia. Ia terutamanya selepas melihat tindakan golongan tersebut di beberapa negara Islam termasuk membunuh golongan ASWJ seperti di Syria, Iraq, Lebanon dan sebagainya. Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan MOHD. RADZI MOHD. ZIN di Ipoh, Perak, Khamis lalu, Mufti Perak, TAN SRI HARUSSANI ZAKARIA merungkai persoalan berkaitan dengan golongan Syiah di negara ini. MINGGUAN: Bagaimanakah Syiah mula bertapak di negara ini? HARUSSANI: Dulu, orang kita tidak begitu ambil berat tentang Syiah. Jadi mereka hantar anak-anak ke Iran dengan tujuan untuk belajar Islam, namun orang ini bila sampai di sana bukan sahaja disambut bahkan diberi biasiswa kerana Iran memang mahu mengembangkan fahaman Syiah. Mereka diajar sehinggakan sebahagiannya bertaraf Ayatollah. Jumlah mereka lebih kurang 60 orang yang saya baca dalam akhbar dulu. Bila balik ke tanah air, mereka berpegang kepada ajaran Syiah. Ada di antara mereka yang menjadi guru dan menyandang pelbagai jawatan lain. Ketika menjalankan tanggungjawab tersebut, mereka menyelitkan ajaran Syiah. Dalam masa yang sama universiti kita pula membuka peluang kepada pelajar dan pensyarah dari Iran, keadaan ini menyebabkan perkembangan Syiah semakin kuat dalam negara kita. Sehinggalah akhir-akhir ini bangkit satu kumpulan yang terang-terang mengamalkan ajaran Syiah dan mahu berhujah dengan golongan ASWJ. Mereka juga sampai ke tahap mengancam negara kita sehingga sanggup menumpahkan darah mempertahankan ajaran itu. Pendek kata, golongan Syiah ini memang berbahaya? HARUSSANI: Disebabkan kita lihat bahayalah maka kita mengharamkan ajaran Syiah dan pengembangannya di negara kita. Cuma kita tidak pula kata mereka itu kafir kerana mahu menjaga hubungan diplomatik. Pada kita, ajaran Syiah tidak boleh diajar, haram diajar dan dikembangkan. Bagaimanapun perbuatan ini sudah berlaku lama tetapi tidak dikuatkuasakan. Memang di Malaysia selalu begitu undang-undang ada tetapi tidak dilaksanakan. Inilah yang menyebabkan situasi menjadi kacau. Apa yang berlaku di Syria, Iraq, Yemen dan Lebanon membuktikan ia angkara golongan Syiah. Keadaan itu terjadi kerana mereka mewajibkan darah golongan lain halal dibunuh. Apabila melihat perkara barulah kita beria-ia mahu membanterasnya dan kerajaan ambil berat mahu mengambil tindakan tetapi pengaruhnya sudah cukup besar. Golongan Syiah selalu dakwa mereka tidak bertentangan dengan ASWJ. Benarkah? HARUSSANI: Syiah bertentangan dengan ASWJ tetapi usaha mendekatkan Syiah dengan ASWJ sudah dibuat sejak zaman pemerintahan Salahuddin al Ayubi, malangnya Syiah langsung tidak berminat. Mereka hanya bersetuju membiayai pengajian Syiah dan penubuhan fakulti tersebut seperti di Universiti al-Azhar tetapi tidak mahu mengkaji ASWJ. Malah golongan Syiah menghukum golongan ASWJ sebagai kafir sedangkan apa juga perkara berkaitan dengan akidah dan syariah, semuanya kita rujuk al-Quran dan hadis tetapi mereka ambil daripada asas apa? Tetapi mereka tidak mahu bincang bab itu, di sini kita berbeza. Syiah tidak pakai usul yang lengkap dalam menentukan hukum perundangan. Mereka percaya umpamanya, kita wajib hormati ahli bait (keturunan dan keluarga Rasulullah SAW) dan tuduh ASWJ tidak hormati ahli bait. Pada kita, mereka sudah keterlaluan menghormati sehingga meletakkan ahli bait setaraf tuhan. Itu sudah salah dari segi akidah. Fahaman mereka terlalu taksub sehingga hendak membunuh golongan ASWJ. Ini perkara yang cukup bahaya sedangkan ASWJ tidak menghukum semua mazhab Syiah kafir. Kita hanya menentang mereka yang bertuhankan ahli bait dan meletakkan imam mereka lebih daripada rasul memandang fahaman itu terkeluar daripada akidah kita. Kita menghormati ahli bait sehinggakan dalam tahiyat akhir dalam solat, kita membaca Allahumma salli ala Muhammad wa ala alaihi Muhammad. Jadi, macam mana pengikut Syiah boleh mengatakan kita tidak menghormati ahli bait. Selain itu, puak Syiah juga menganggap 10 sahabat yang Rasulullah SAW jamin masuk syurga sebagai kafir. Mengkafirkan para sahabat adalah sangat berat hukumnya. Rasulullah SAW pernah bersabda yang antara lain maksudnya: Sahabatku seperti bintang kalau kamu berpandu secara mana pun kamu akan dapat petunjuk". Pengikut Syiah juga mendakwa melalui buku-buku yang ditulis ulama mereka bahawa para sahabat setelah Rasulullah SAW wafat membuang dan menambah ayat al-Quran. Bagaimanapun mereka tidak berani berhujah, hanya buat tuduhan sahaja. Mereka mendakwa ada ayat-ayat al-Quran yang dipotong oleh ASWJ. Dakwaan itu sama sekali tidak betul kerana ketika zaman Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali masih terdapat banyak huffaz. Takkanlah apabila dikumpulkan ayat-ayat al-Quran itu, kalau ada silap tak ada orang bangkang. Dalam zaman Khalifah Uthman, dibuat al-Quran rasmi Uthmani supaya ia mudah dibaca dan kita lihat ulama yang mengkaji al-Quran akui kitab suci itu sudah lengkap. Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 9 yang bermaksud: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya. Kenapa Syiah begitu berani tonjolkan diri sejak kebelakangan ini? HARUSSANI: Apabila merasakan jumlah semakin ramai dan kuat, mula mereka mahu menonjolkan diri. Dulu mereka tidak bising-bising, sebaliknya menyebarkan ajaran Syiah secara senyap-senyap. Contoh sambutan 10 Muharam, mereka meraikannya dengan memukul-memukul badan. Ketika ini mereka mendakwa sudah ada 1 juta ahli di Malaysia tetapi pada pandangan saya, ini barangkali satu provokasi saja. Sebenarnya, semua ini berlaku kerana kelemahan kita juga. Saya bangkitkan soal Islam agama negara dalam Perlembagaan tetapi kita tidak buat silibus wajibkan orang tahu tentang Islam. Pengajian Islam hanya sekunder bukan asasi. Bagaimana hendak mengawal Syiah daripada meresapi umat Islam? HARUSSANI: Sekarang kita sudah mula hendak kawal tetapi soalnya sejauh mana penguatkuasaan dilakukan. Perkara ini kalau diserahkan kepada pejabat agama sahaja tidak boleh sebab kekuatan dari segi penguatkuasaan undang-undang tidak kuat. Kalau ada penguatkuasaan kita (jabatan agama) juga mesti diiringi polis. Polis pula kadang-kadang terlampau sibuk jadi minta pejabat agama buat tangkapan, tetapi apabila kena dakwa di mahkamah kita kalah.Sepatutnya setiap undang-undang negara, sama ada Islam atau sivil mesti dilaksanakan oleh kerajaan sebab agama bagi negara adalah Islam. Kerajaan perlu bersungguh-sungguh dan berkewajipan mempertahankan Islam. Memang susah hendak banteras Syiah sebab pengaruhnya sudah merebak tetapi tindakan tegas mesti dibuat. Selagi kita lemah kita tidak boleh membanterasnya. Bagaimana hendak memulihkan akidah golongan ini? HARUSSANI: Pertama, kita perlu kaji semula silibus pendidikan. Saya cadang kerajaan mewajibkan pengajian al-Quran. Selain itu, soal utama kata ulama, awal agama adalah kenal Allah". Jadi kena ajar tauhid kerana daripada situ lahirnya syariat. Masalahnya, orang Syiah tidak mengaku Syiah. Mereka taqiyah (berpura-pura), itu yang susah sikit. Kalau dia beramal secara terang-terangan maka kita boleh tangkap. Saya ada pengalaman bertemu dengan rombongan ulama dari Iran, mereka bawa seorang ulama ASWJ. Badannya kurus, baju buruk dan nampak takut sebab ASWJ dibunuh. Tetapi dia dibawa untuk taqiyah kononnya Syiah dan ASWJ sama saja. Namun daripada keadaan orang itu, kita boleh nampak macam takut dan ilmu pun tak berapa ada. Sebab itulah kerajaan mesti bertindak ke atas mereka yang terang-terang membawa ajaran Syiah. Bagaimanapun, Iran tak buat terang-terangan sebar Syiah. Mereka hebat, sehinggakan ada sekolah khusus yang mengajar bagaimana hendak menangkis hujah ASWJ. Saya pernah berjumpa seseorang dari Morocco yang belajar di Iran. Dia banyak membaca buku tetapi tidak ada pengetahuan agama. Dia bertemu seorang ulama di Iran di mana dia diberi sambutan mesra dan sentiasa dijamu. Akhirnya dia terpengaruh dan mendakwa menemui Islam sebenar di Iran. Apabila balik ke negaranya, dia karang buku mempromosi Syiah dalam bahasa Inggeris. Untuk pulihkan keadaan, golongan Syiah perlu bertaubat. Mereka harus mengucap dua kalimah syahadah semula dan tinggalkan semua perbuatan semasa anuti Syiah dulu. Masalahnya, kemampuan orang kita untuk menangkis, kita tahu Syiah tetapi tidak tahu apa ajarannya. Mereka pula belajar untuk menangkis ASWJ, oleh itu mereka gunakan hadis. Lembaga Penapisan Buku Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak boleh haramkan buku-buku begini? HARUSSANI: KDN haramkan tetapi kadang-kadang kita tidak dapat buku sedemikian sebab mereka bawa masuk buku-buku yang sudah diterjemah. Bila dikaji baru kita tahu ia menyebarkan Syiah. Saya Pengerusi Penapisan Buku di KDN, kadang-kadang hendak haramkan sesuatu buku itu mengambil masa dua ke tiga tahun. Jadi, sebelum buku itu diharamkan di pasaran, jumlah pembacanya kadang-kadang sudah ribuan orang. Apa bahayanya jika dibiarkan Syiah ini berkembang? HARUSSANI: Ia akan mewujudkan kekacauan dan pergaduhan. Memang sasaran mereka di sini. Mereka sudah berjaya di Syria dan Iraq. Di Mesir sudah naik pemerintahan Islam tetapi tok-tok imam tidak setuju pula dan lantik orang Kristian jadi menteri. Itu hasutan siapa? Golongan Syiah cuba menyebarkan ajaran itu di Dubai tetapi Emiriah Arab Bersatu (UAE) masih kuat, begitu juga di Arab Saudi. Bagaimanapun mereka takut hendak mengganggu Arab Saudi kerana negara itu benarkan mereka ke Mekah, bagaimanapun di Mekah, mereka tidak solat berjemaah. Pada mereka, solat mesti ada batu. Allah sebut bahawa bumi ini sah untuk kita beribadat walaupun di mana kita berada. Kita pakai sejadah mereka tak guna. Dia pakai batu. Apa nasihat Tan Sri kepada orang yang sedang mencari ilmu agama? HARUSSANI: Jangan ambil atau belajar ilmu agama sembarangan daripada orang tak tentu. Sebaliknya belajarlah dengan guru yang bertauliah. Kadang-kadang syaitan kalau nak menyesatkan orang dia datangkan orang yang lebih alim. Iblis tu memang lebih alim. Iblis terbahagi kepada dua jin dan manusia. Sebab itu Nabi Adam pun boleh diperdaya oleh iblis. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan