Sabtu, 27 Julai 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Bekalan cukup, harga terkawal

Posted: 26 Jul 2013 12:22 PM PDT

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

TEE Siew Kiong (dua dari kiri) menyerahkan tanda harga ayam kepada peniaga, Abdullah Ideris (kiri) sambil diperhatikan Ayub Abd. Rahman (tiga dari kanan) semasa membuat operasi kawalan harga barang di Pasar Awam Lakin, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM

JOHOR BAHRU 26 Julai - Orang ramai dinasihatkan tidak bimbang kerana bekalan barangan keperluan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri mencukupi dan dijual pada harga ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong turut memberi jaminan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan Johor akan membuat pemeriksaan sepanjang penguatkuasaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan dikuatkuasakan.

Menurutnya, pemeriksaan secara menyeluruh akan dilakukan di pasar, pasar raya besar serta kedai runcit di seluruh negeri.

"Seramai 150 anggota penguat kuasa dan 102 pegawai pemantau harga akan memulakan pemeriksaan terhadap 20 jenis barangan kawalan ditetapkan mulai hari ini hingga 11 Ogos.

"Kita sentiasa mengambil pelbagai langkah sepanjang musim perayaan ini bagi menjamin bekalan yang mencukupi dan terkawal," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Pasar Awam Larkin, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah PPDNKK negeri, Ayub Abd. Rahman.

Mengenai tinjauan hari ini, Siew Kiong berkata, para peniaga dilihat mematuhi peraturan ditetapkan dengan mempamerkan tanda harga bewarna merah jambu, malah ada yang menjual barangan kawalan lebih rendah berbanding harga ditetapkan.

"Di pasar ini, terdapat peniaga yang menjual cili merah pada harga RM13 sekilogram berbanding harga yang ditetapkan RM14 sekilogram. Ini salah satu langkah yang amat baik dan patut dicontohi peniaga lain demi kepentingan pengguna," katanya.

Pada masa sama, beliau memberitahu, rata-rata peniaga juga memberikan maklum balas positif terhadap harga ditetapkan kerajaan dan menyifatkan penetapan harga siling mampu menyekat pembekal daripada mengambil kesempatan menaikkan harga.

Sehubungan itu, Siew Kiong mengingatkan semua pihak terlibat supaya mematuhi peraturan jika tidak mahu dikenakan tindakan.

"Bagi pengguna yang tidak berpuas hati atau mempunyai sebarang aduan boleh menyalurkan maklumat ke talian bebas tol 1-800-886-800 atau menghantar e-mel kepada e-aduan@kpdnkk.gov.my atau membuat laporan di PPDNKK yang berhampiran.

Mayat berulat, reput ditemui dalam bilik

Posted: 26 Jul 2013 12:22 PM PDT

MUAR 26 Julai - Misteri bau busuk yang menghantui penduduk di Kampung Baru, Lenga dekat sini sejak beberapa hari lalu terungkai selepas penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan berulat dan hampir reput malam semalam.

Mayat Gan Hock Ang, 34, ditemui terbaring dan lengkap berpakaian serta berselimut di atas katil di salah sebuah bilik di rumahnya kira-kira pukul 9 malam.

Abang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Gan, 40-an, berkata, adiknya tinggal bersendirian di rumah tersebut setelah berpindah dari Kuala Lumpur selepas sambutan Tahun Baru Cina lalu.

Menurutnya, Hock Ang yang belum berkahwin menghidap penyakit kencing manis sejak beberapa tahun lalu.

"Disebabkan penyakit itu, adik pernah pengsan sehingga terpaksa dimasukkan ke sebuah hospital di Kuala Lumpur selama enam bulan.

"Saya hantar adik pulang ke kampung kerana dia beria-ia mahu tinggal di sini dan tidak sangka dia meninggal dunia ketika bersendirian di rumah," katanya sambil memberitahu kali terakhir menghubungi adiknya itu kira-kira dua minggu lalu dan kedengaran nada suaranya ceria seperti biasa.

Katanya, jiran memberitahu tidak melihat kelibat adiknya sejak beberapa hari lalu dan mereka menyangkakan Hock Ang berada di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai mati sejak beberapa hari lalu berdasarkan keadaan mayatnya yang sudah berbau dan mereput.

"Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan tiada unsur jenayah disyaki. Mayat Hock Ang dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk bedah siasat," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved