Isnin, 22 Julai 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Kuala Besut milik siapa?

Posted: 22 Jul 2013 10:35 AM PDT

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman (tiga kiri) bersama Datuk Jailani Johari (tiga, kanan) mengacau bubur lambuk dalam Program Gotong-Royong Bubur Lambuk Perdana 1Malaysia di Dewan JKKK, Kampung Kayu Kelat, Kuala Besut, Terengganu, baru-baru ini.

ESOK, Rabu 24 Julai 2013, berlangsung pengundian pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Besut.

PRK yang pertama sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) itu menjadi titik tolak penting untuk memastikan kestabilan politik Terengganu yang baru dibentuk dua setengah bulan lalu oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) terus terjamin.

Hanya kemenangan untuk calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dapat mengekang 'DUN tergantung' dari segi agihan kerusi 16-16' sekiranya pembangkang menang di situ. Ini sekali gus akan melenyapkan sama sekali kebimbangan dan kekeliruan rakyat akan kedudukan kepemimpinan kerajaan negeri.

Hakikatnya, rakyat Terengganu khususnya di DUN Kuala Besut sudah merasai penderitaan di bawah kepimpinan Pas dulu. 'Serik doh weh'. Hanya selepas satu penggal menjadi Menteri Besar, orang Terengganu terus menolak kepimpinan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika itu.

Banyak kepincangan dilakukan yang mana rakyat Terengganu waktu itu menilai kemampuan, kejujuran dan segalanya tentang Pas dan pimpinan parti itu.

Antaranya, isu puluhan ribu ekar kawasan balak diberi kepada pihak tertentu, tanah puluhan hektar ladang diberikan kepada suku-sakat, kanak-kanak tabika Kemas dihalau dari balai raya, wang bantuan orang miskin dipotong, gaji wakil rakyat dinaikkan dan pelbagai kemungkaran yang masih menghantui rakyat Terengganu.

Pengundi DUN Kuala Besut tidak mahu lagi mereka 'dipatuk ular dari lubang yang sama'. Mereka sudah bijak menilai parti mana yang sekadar mahu datang menjaja kebaikan sedangkan kesejahteraan dan ekonomi negeri disumbangkan secara berkesan oleh pihak sedia ada.

Meskipun Abdul Hadi berkehendakkan pengundi di Kuala Besut agar jangan jadi seperti ikan - analogi yang digunakan kononnya untuk mengelakkan pengundi termakan umpan yang diberikan oleh BN, pengundi dipercayai tidak akan termakan dengan dakyahnya.

Cuma, apabila Presiden Pas itu cuba menggunakan analogi sedemikian, terdetik juga di hati pengundi Kuala Besut mengapa sebegitu rupa bunyinya.

"Ikan yang cerdik, dia makan umpan sahaja, tidak kail. Jangan jadi ikan dukang yang badan berbelang, (dan) bermisai tapi tidak berharga sesen. Biar kita jadi ikan yang cerdik dan bijak. Orang bagi umpan, kita ambil umpan, mata kail biar kepada dia. Itu cara kita hadapi pilihan raya. Insya-Allah, kita akan mencapai kemenangan," kata Abdul Hadi semasa kempen PRK itu beberapa hari lepas.

Dan kalau dinilai PRK DUN Kuala Besut ini, semua maklum dan berkongsi pendapat dengan penulis bahawa pilihan raya ini adalah yang paling tenang, lebih tenteram daripada PRK Tenang, Johor tahun lalu.

Barangkali, kerana tidak ada penglibatan jentera DAP dan PKR di Kuala Besut. Juga, tiada kaum tertentu yang berlagak samseng dengan cuba menghalang atau memeriksa 'ala polis' sesiapa sahaja yang berwajah Bangladesh atau Pakistan seperti mana PRU-13 tempoh hari.

Sebenarnya, dalam kempen PRK Kuala Besut ini, penglibatan Pas Terengganu kurang tampak keberkesanannya.

Kalau pun ditanya kepada penyokong Pas Terengganu apa pandangan mereka mengenai PRK ini, antara persoalan yang dibangkitkan mereka, barangkali 'Kuala Besut ini milik jentera pilihan raya Pas Terengganu atau Pas Kelantan'?

Ini ekoran ramai jentera kempen Pas didatangkan terus dari Kelantan. Sedangkan,jentera kempen dari kawasan lain dari Terengganu boleh dikira dengan jari.

Dengan dari peringkat awal lagi, keterujaan Pas Terengganu terhadap DUN Kuala Besut pun sudah diragui, inikan pula komitmen calonnya untuk mentadbirnya.

Dan khabarnya, cabaran Pas berdepan BN di Kuala Besut dikatakan 'asalkan jangan tak ada'. Ini kerana mereka cukup sedar jasa BN yang cukup banyak di kawasan itu. Terbaharu, peruntukan sebanyak RM250 juta yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin bagi memperdalamkan muara sungai Kuala Besut disambut dengan rasa syukur oleh penduduk tempatan.

Antaranya, Mohd. Zanizam Muda, 44, yang menganggap peruntukan tersebut kena pada masanya dan boleh merubah suasana ekonomi di Kuala Besut yang akan turut memberi kesan kepada peningkatan ekonomi penduduk di sini khususnya para nelayan.

"Macam orang yang ke laut seperti saya, pengumuman tersebut merupakan satu rahmat kerana ia akan mempermudahkan kita untuk turun ke laut tidak kira pada bila-bila masa. Jika dulu, sekiranya musim tengkujuh, nelayan seperti saya tidak akan dapat untuk ke laut mencari rezeki.

"Dan jika benteng menampan ombak ini siap dibina, maka para nelayan di Kuala Besut dapat turun ke laut tanpa mengira musim tengkujuh atau tidak. Saya memang gembira benar dengan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan dan saya berharap agar BN terus kekal menang di DUN Kuala Besut pada pilihan raya kecil ini," katanya.

Penduduk Kuala Besut tidak mahu calon parti tangkap muat untuk menjadi wakil rakyat di situ. Atau calon yang hanya kerana berdasarkan atas sebab-sebab tertentu dan berkepentingan tertentu.

Sebagai calon yang fresh dan berwawasan, Tengku Zaihan yang memiliki keseimbangan pendidikan dunia dan akhirat, wajar diberi peluang untuk berbakti di Kuala Besut.

Yang penting esok, pengundi DUN Kuala Besut perlu melihat implikasi pilihan raya kecil itu dalam konteks yang lebih besar - iaitu mengenai kestabilan politik di Terengganu secara keseluruhan.

Muhyiddin sendiri tidak menolak kemungkinan Terengganu berhadapan dengan situasi politik yang tidak stabil jika berlaku senario 'DUN tergantung' ini jika pembangkang merampas kerusi berkenaan.

"Saya lebih ambil berat tentang kestabilan kerajaan negeri. Insya-Allah apabila BN menang, maka politik di Terengganu akan lebih stabil disebabkan BN menguasai jumlah kerusi yang lebih besar seperti mana yang berlaku sebelum kematian Dr. A Rahman.

"Jika tidak, keadaan akan terumbang ambing...inilah situasi yang boleh kita ramalkan,"

Pilih istiqamah dalam perjuangan

Posted: 22 Jul 2013 10:35 AM PDT

DATUK A AZIZ DERAMAN Presiden Persatuan Peradaban Malaysia (Peradaban) Kelantan.

Ingatlah, Pilihan Raya Kecil (PRK) adalah peluang untuk rakyat berfikir tentang apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) sebelumnya. Para pengundi seharusnya bijak menimbang antara kiri dengan kanan sebelum memilih wakil yang baharu. Pada PRU Ke-13, 5 Mei 2013 yang lalu rakyat sudah melihat bagaimana gambaran umum keputusannya, beza sikap pengundi, misalnya antara orang Melayu-Islam dengan bukan Melayu. Maka tentu ada iktibar yang boleh dijadikan pedoman. Fikir-fikirkanlah.

Pada PRK Kuala Besut esok - 24 Julai 2013, para pengundi akan memilih lagi seorang calon, pastinya dinilai berdasarkan keupayaan dan kebolehan seseorang itu berkhidmat. Perkhidmatannya terletak pula kepada parti yang diwakilinya, bukti-bukti kejayaan mengadakan kemudahan dan kesejahteraan buat rakyat. Di sini letaknya soal istiqamah dalam perjuangan atau teladan yang dilakukan parti atau kerajaan yang diwakilinya.

Istiqamah maknanya sesuatu yang dilakukan berterusan atau kalau dalam urusan agama dan ibadat menunjukkan ketaatan melakukannya secara terus menerus. Istiqamah itu meliputi bagaimana akhlak politik dan prinsip-prinsip perjuangan ditegakkan.

Seorang pemimpin Islam yang sempurna ialah orang yang menjaga akan agamanya dan menjadi contoh teladan akhlak yang mulia. Jadi jika rakyat mahu memilih wakil, bandingkanlah antara wakil atau parti yang istiqamah dalam perjuangan. Malahan antara sebuah kerajaan yang istiqamah membangunkan negara dan menyediakan kesejahteraan dengan pihak yang 'cakap tidak serupa bikin'.

Jika istiqamah itu merujuk kepada suatu pegangan prinsip atau amalan secara konsisten, cuba kita tilik keadaannya antara satu pihak dengan pihak yang lain. Apakah para pemimpin atau parti-parti politik di Malaysia kini tetap tegas meneruskan impian perjuangan masing-masing?

Apakah perjuangan Pas menegakkan sebuah negara Islam terus diperjuangkan atau terlalu jauh berkompromi semata-mata memenuhi hasrat menumbangkan kerajaan? Apakah perjuangan Pas sejak 1950-an sehingga abad ke-21 ini tetap sama atau sebaliknya.

Kadang-kadang hal-hal prinsip pun mahu digadaikan dengan mudah misalnya isu kalimah Allah, tanah rizab Melayu jatuh ke tangan bukan Melayu, tidak mahu terlibat bersama membanteras fahaman pluralisme, seks bebas, tidak peduli akan orang mempersendakan Islam dan Rasulullah, institusi raja-raja diperlekeh dan mengetepikan prinsip-prinsip kenegaraan yang lain.

Istiqamah itu perlu dijadikan dasar perjuangan dan pegangan rakyat memilih wakil atau kuasa membentuk kerajaan. Mungkin rakyat tidak peduli sangat dengan maksud transformasi kerajaan yang dilakukan dalam semua perkara, bermula dengan pentadbiran kerajaan kemudiannya politik, ekonomi, sosial dan budaya.

Bukankah sebagai rakyat, kita sedang merasainya sebagai kesinambungan perjuangan dan pengisian kemerdekaan dan matlamatnya Malaysia disasarkan mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Prinsip keadilan diguna pakai agar tidak ada mana-mana kelompok pun akan tertinggal dalam kemajuan negara.

Ada pada masanya dilihat seseorang calon itu dikatakan orang berilmu, bertanggungjawab dan beramanah, ada keakraban hubungan dengan rakyat tetapi segalanya itu ternyata pura-pura. Ada orang 'di depan lain di belakang lain'; janji pun tidak ditepati.

Ada parti yang sanggup bersekongkol dengan parti yang terang-terang menolak Islam tetapi kepimpinannya berganding mahu demi kepentingan politik dan cita-cita berkuasa. Rakyat dan para mengundi perlu memahami semuanya ini.

Rakyat memerlukan kerajaan yang boleh membawa kemajuan, melakukan perubahan dan membawa kemajuan. Moleklah ditelusuri apa yang berlaku di Malaysia sejak kemerdekaan 56 tahun yang lalu. Negaranya makmur, aman damai dan mencapai kemajuan hampir dalam semua bidang. Kalau PRU-13 baru-baru ini slogan tukar dan ubah dilaungkan di sana sini, rakyat tidak harus terkincung lagi.

Pilih wakil yang ada rangkaian hubungan dengan parti kerajaan yang memerintah sebab puluhan tahun pengalaman tidak mudah diganti dengan percubaan. Bukankah rakyat mahukan kemajuan, keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan hidup sentiasa terjaga.

Apakah janji parti-parti yang bertanding itu hebat dengan omong kosong semata-mata mahu meraih undi? Para pengundi yang bijak akan tahu membandingkannya. PRU-13 yang lalu memang sengit.

Ada perbezaan sikap antara generasi tua dengan generasi muda. Kalau dalam PRU-13 lalu, kempen-kempen berkisar kepada fitnah, kebencian dan emosi dendam, maka PRK merupakan satu tapisan untuk para pengundi memilih lagi yang terbaik.

Kalau ditapis tadbir urus kerajaan, apakah kemajuan yang dilakukan pakatan pembangkang di negeri-negeri di bawah pemerintahan pembangkang? Rakyat boleh membandingkan antara pentadbiran negeri-negeri di bawah pembangkang dengan negeri-negeri yang ditadbir kerajaan Barisan Nasional.

Najib memperkenalkan pelbagai program dengan mencetuskan Gagasan 1Malaysia dan diisi pula dengan program transformasi kerajaan untuk semua bidang. Jika dinilai, maka terlihat hemah, hikmah atau kebijakan dan kebijaksanaan Najib dalam istiqamah khususnya.

Kelebihan ini sepatutnya dinilai rakyat, bukannya terpengaruh dengan sesiapa jua yang bersimpang siur pendirian perjuangan, bertukar rupa, lain di mulut lain di hati, ikrar janji tidak ditepati dan kedustaan berbicara.

Kerajaan patut boleh menang besar pada PRU-13 kerana begitu banyak pembaharuan yang dilaksanakan. Tetapi sikap rakyat tidak menyebelahi sepenuhnya kepada kerajaan. Memberi sokongan kepada calon BN pada PRK Kuala Besut maknanya sokongan kepada kerajaan di terajui Najib.

Generasi muda dan generasi tua yang masih ada pada hari ini hendaklah memahami hakikat 'penerimaan' sebagai suatu kebenaran. Pengundi muda, jangan terlalu yakin dengan hasutan. Hasutan dan peranan media baharu teknologi maklumat (ICT) dipergunakan dengan cara yang cukup negatif, terisi fitnah dan ganggu gugat terhadap keamanan dan kesejahteraan negara.

Sebagai orang berilmu dan berpengetahuan, rujuklah kepada sumber-sumber yang benar. Kalian boleh sahaja terlibat dengan laman sosial, membaca akhbar parti-parti pembangkang tetapi imbangi dengan pandangan-pandangan orang lain, tidak termakan 'hasutan kebencian'. Kalianlah pengimbang tara atau neracanya, timbang yang mana berat yang mana ringan.

PRK Kuala Besut patut menjadi ukuran petanda rakyat yang mahu kembali dan mengekalkan yang asal. Para pengundi di Kuala Besut boleh mempelopori perubahan sikap politik baharu demi masa depan bangsa dan negara.

Jika kita mahu melambangkan penolakan kepada isu perkauman, menjaga kesucian Islam, mempertahankan hak Melayu dan bumiputera, mendaulatkan institusi raja-raja Melayu, mengekalkan tonggak-tonggak kemalaysiaan sebagaimana aspirasi Perlembagaan, menolak pembohongan, fitnah dan hasutan , maka inilah masanya sikap itu ditunjukkan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved