Khamis, 25 Julai 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Promosikan makanan tradisional

Posted: 25 Jul 2013 12:06 PM PDT

SELERA TUA,
Jerantut, Pahang

Ikan air tawar Sungai Pahang dan Sungai Tembeling boleh diketengahkan sebagai antara makanan tradisional Melayu Pahang yang boleh dikomersialkan di bazar Ramadan negeri ini.- Gambar ihsan: SELERA TUA, Jerantut

Saudara Pengarang,

SAYA antara penduduk Islam di bandar Jerantut yang sentiasa menantikan kehadiran Ramadan dengan perasaan ikhlas untuk beramal ibadah selain melihat kemeriahan bulan mulia ini.

Sudah pasti ketibaan bulan itu akan melahirkan ramai peniaga menjual pelbagai jenis makanan serta minuman yang mungkin sukar dicari pada hari-hari biasa.

Boleh dikatakan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini membuka tapak bazar Ramadan yang menyaksikan peniaga menjual pelbagai jenis makanan dan sudah semestinya membuka selera.

Semacam menjadi amalan bazar Ramadan antara lokasi menjadi fokus utama penduduk berbelanja dengan memilih pelbagai juadah yang kadang kala tidak mampu mengisi selera masing-masing.

Juallah apa sahaja termasuk celur pucuk ubi kayu atau pucuk ubi keledek, asam tempoyak ikan patin, ikan kering, ikan bakar, murtabak dan pelbagai jenis makanan termasuk minuman, semuanya laris pada bulan puasa.

Menerusi ruangan ini saya ingin menyarankan, peniaga bazar sewajarnya memasarkan makanan tradisional tempatan yang jarang diperoleh di pasaran berasaskan ikan air tawar, sayur-sayuran dan sumber lain.

Masih banyak makanan tradisional tempatan belum diketahui umum mahu pun sudah dilupai perlu diketengahkan semula.

Jika makanan tradisional berasaskan ikan air tawar (ikan sungai) yang sinonim di pasaran iaitu masakan gulai asam tempoyak, pais tempoyak, masak lemak, tetapi masih ada menu lain belum diketahui oleh masyarakat.

Bagi peniaga pula, inilah tanggungjawab sebenar mempromosi makanan tempatan dalam kalangan pembeli dan juga pelancong barat yang saban hari singgah di bandar utama di negeri ini.

Saya juga mencadangkan supaya pihak berkuasa tempatan memilih beberapa peniaga memasarkan makan tradisional termasuk kuih-muih Melayu berasaskan produk penduduk di daerah atau kawasan kampung di negeri ini.

Misalnya, jika di Kampung Budu, Lipis amat terkenal dengan kuih koci dan buah Melaka seeloknya lebih banyak kuih ini termasuk makanan berasaskan gula kabung dipasarkan di bazar Ramadan bandar Kuala Lipis.

Sepatutnya, bulan Ramadan ini merupakan masa terbaik mengetengahkan makanan tradisional Melayu yang jarang diketemui akibat pengaruh makanan moden selain kekurangan kemahiran generasi hari ini menyediakan juadah berkenaan.

Bina lebih banyak akademi bola seperti Frenz United

Posted: 25 Jul 2013 12:06 PM PDT

MAT BOLA,
Bentong

Aksi pemain Frenz United dan Chonburi FC pada Kejohanan Piala ASEAN FAM-Frenz Bawah 15 2013 di Janda Baik, Bentong, Pahang, baru-baru ini.

Saudara Pengarang,

BARU-BARU ini saya berkesempatan menyaksikan perlawanan antara Frenz United yang mewakili Malaysia menentang Chonburi FC dari Thailand dalam Kejohanan Piala ASEAN FAM-Frenz Bawah 15 tahun di Stadium Frenz United, Janda Baik di Bentong, Pahang.

Perlawanan tersebut berlangsung dengan sengit, namun kelibat pemain Frenz United lebih menonjol sekali gus menewaskan Chonburi FC 2-0.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke stadium tersebut, saya amat kagum dengan pengurusan Akademi Bola Sepak Frenz United yang mampu menyediakan satu stadium dilengkapi dengan lampu limpah dan tempat duduk berbumbung.

Pasukan Frenz United ini tidak perlu kita perkatakan lagi kerana mereka sudah membawa nama Malaysia di mata dunia.

Pengurusan yang baik akademi tersebut membolehkan mereka mengasah bakat pemain muda sehingga mampu mempamerkan corak permainan yang mantap.

Saya rasa kita perlu membina lebih banyak akademi seperti Frenz United jika benar-benar mahu melahirkan lebih ramai skuad pelapis di peringkat negeri mahupun kebangsaan.

Saya lihat mutu permainan yang ditunjukkan oleh pemain Frenz United sangat baik kerana akademi tersebut mampu menyediakan segala kemudahan untuk para pemain.

Pada saya, penubuhan akademi bola sepak di setiap daerah boleh membantu kita mengesan bakat di kalangan remaja yang sebelum ini hanya bergelar jaguh kampung.

Mereka sebenarnya mempunyai kemahiran dan bakat mereka boleh diasah sekiranya dilatih di akademi bola sepak yang dikendalikan oleh tenaga pakar dalam dunia bola sepak.

Kita mempunyai ramai pemain kebangsaan yang hanya duduk goyang kaki selepas mereka bersara dan ini amat merugikan sedangkan mampu mencurah bakti kepada generasi sekarang dan akan datang.

Utamakan kebersihan di restoran

Posted: 25 Jul 2013 12:06 PM PDT

PELANGGAN RESTORAN
Kuantan

Tindakan proaktif Jabatan Kesihatan Pahang melakukan pemeriksaan di premis makanan menerusi Operasi Kebersihan Makanan baru-baru ini mampu melindungi kepentingan pengguna daripada menjadi mangsa peniaga tidak beretika. - Gambar hiasan

Saudara Pengarang,

SEMUA hotel, restoran dan gerai makanan menjadi perhatian umat Islam untuk berbuka puasa selain juadah yang dijual di bazar-bazar Ramadan di negeri ini.

Kerap kali membaca berita mengenai suasana bazar Ramadan yang sudah semestinya menjual pelbagai jenis juadah makanan sehingga mampu menaikkan selera pengguna.

Bukan sahaja umat Islam malah masyarakat bukan Islam juga tidak ketinggalan mengunjungi bazar tersebut untuk mencari makanan kegemaran mereka yang sukar diperoleh pada hari biasa.

Saya ingin menarik perhatian mengenai trend berbuka puasa di hotel, restoran dan gerai makanan yang mungkin sesuatu perkara baharu untuk sebahagian masyarakat di negeri ini.

Boleh dikatakan hampir semua hotel dan restoran menyediakan pelbagai jenis juadah hidangan bagi menarik umat Islam berbuka puasa di tempat mereka.

Tarikan seperti masakan ala-Arab, tradisional serta tawaran tertentu membuatkan pengunjung pasti mengunjungi tempat tersebut.

Namun, pengunjung perlulah menjadi seorang pengguna yang bijak supaya tidak beremosi atau mengikut nafsu yang boleh menjejaskan kewangan mereka sepanjang bulan ini.

Faktor kebersihan memainkan peranan sesebuah restoran dalam menarik para pelanggannya menikmati hidangan yang dijual mereka.

Baru-baru ini, saya terkejut membaca laporan akhbar bahawa terdapat 29 restoran dan premis makanan diarahkan tutup selama dua minggu kerana gagal mematuhi kebersihan ditetapkan.

Apa yang menyedihkan aspek ini seperti diabaikan oleh pengusaha terbabit dan sememangnya mereka tahu bahawa kebersihan adalah faktor utama.

Saya memuji langkah Jabatan Kesihatan Pahang yang mengambil tindakan segera menjelang bulan Ramadan ini dan berharap para pengusaha lain mengambil serius terhadap kebersihan.

Utamakan kebersihan jika mahu pelanggan terus datang ke tempat mereka dan jika diabaikan maka kerugian juga yang akan ditanggung peniaga nanti.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved