Rabu, 24 Julai 2013

Utusan Online - Megabait


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


Gajet pintar kawal diabetes

Posted: 22 Jul 2013 11:45 PM PDT

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
maria.zakaria@utusan.com.my
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN

Annie Chin (kiri) bersama Dr. Nor Azmi Kamaruddin ketika melancarkan aplikasi Bulan Ramadan, Diabetes dan Saya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KENCING manis atau diabetes antara penyakit keturunan yang amat digeruni kerana kesannya yang boleh menyebabkan penurunan kualiti hidup sepanjang hayat.

Segala-galanya perlu dijaga dan diawasi terutama sekali dalam bab pemakanan.

Apabila penyakit ini dibicarakan pada bulan Ramadan, sudah pasti ia memberi kesan kepada umat Islam yang menghidapnya.

Sekiranya mereka yang menghidap penyakit kencing manis jenis 2 (diabetes jenis 2) berpuasa, ia boleh menjejaskan aras gula darah dalam badan kerana mereka tidak makan pada waktu siang dan situasi ini lebih dikenali sebagai hipoglisemia.

Bila keadaan ini berlaku ia boleh mengakibatkan pesakit berada dalam keadaan tidak sedar dan sawan yang memerlukan rawatan kecemasan.

Begitupun, mengikut kajian yang dilakukan, hampir 79 peratus pesakit diabetes jenis 2 yang beragama Islam atau kira-kira 50 juta orang di seluruh dunia tetap ingin menjalani ibadah berpuasa.

Oleh yang demikian, bagi menyelesaikan masalah tersebut, sebuah syarikat khidmat kesihatan yang terkemuka, MSD, telah melancarkan sebuah aplikasi mudah alih Apple, Bulan Ramadan, Diabetes Dan Saya, dan kit maklumat Fakta Tentang Amalan Berpuasa Pada Bulan Ramadan.

Aplikasi serta kit maklumat tersebut dihasilkan untuk membantu pesakit-pesakit diabetes jenis 2 mengatasi kesulitan kesihatan yang mungkin dihadapi akibat mengubah pola pemakanan pada bulan Ramadan.

Menurut Pengarah Urusan MSD, Annie Chin, aplikasi serta kit maklumat tersebut terhasil apabila pihaknya menyedari cabaran dihadapi oleh jutaan pesakit diabetes Islam seluruh dunia yang tetap ingin berpuasa.

"Dengan memanfaatkan kuasa dan capaian teknologi mudah alih yang ada hari ini, kami ingin memberi peluang dan membantu pesakit-pesakit diabetes jenis 2 menunaikan kewajipan mereka sepanjang bulan Ramadan.

"Pada masa yang sama kami sentiasa berusaha menghasilkan alat-alat bantuan yang baharu dan lebih baik untuk menyokong masyarakat diabetes dengan pelbagai cara," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran aplikasi dan kit maklumat tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Berbicara lanjut mengenai aplikasi yang dihasilkan, ulas Annie, ia mengandungi maklumat penting mengenai bulan Ramadan seperti waktu solat, waktu matahari terbit, dan waktu matahari terbenam.

Kesemuanya ini adalah berdasarkan kepada lokasi pengguna dan kompas di dalamnya yang menentukan arah kiblat.

Aplikasi ini juga mengandungi penjejak gula dalam darah yang memudahkan laporan dihantar mengenai aras glukosa kepada pengamal kesihatan sepanjang bulan Ramadan dan ia boleh dihantar terus melalui e-mel.

Pada masa yang sama, aplikasi ini juga memberikan saranan umum tentang aras gula darah yang mengharuskan pesakit berbuka puasa disebabkan risiko gula darah yang rendah.

Antara ciri penting yang lain ialah cadangan soalan-soalan yang boleh ditanya kepada pakar kesihatan sebelum mula berpuasa pada bulan Ramadan termasuklah sajian makanan dan rawatan yang boleh dijalani.

Mengenai kit maklumat pula, Annie memberitahu ia mengandungi fakta-fakta penting tentang amalan berpuasa, petua sebelum berpuasa, penjejak aras gula darah serta takwim untuk mencatatkan waktu solat dan waktu berbuka puasa.

Penyelidikan terbaharu menunjukkan bahawa kejadian gula darah rendah yang teruk dalam kalangan pesakit diabetes jenis 2 nyata lebih kerap berlaku pada bulan Ramadan berbanding pada bulan-bulan lain.

Tidak ketinggalan kajian epidemiologi turut menunjukkan peningkatan 7.5 kali ganda pada kejadian hipoglisemia yang teruk dalam kalangan pesakit diabetes jenis 2 pada bulan Ramadan.

Untuk kit maklumat, ia disediakan di semua pejabat Persatuan Diabetes Malaysia seluruh negara dan juga di kebanyakan klinik, hospital, dan farmasi.

Bagaimanapun, bagi aplikasi Bulan Ramadan, Diabetes Dan Saya, buat masa ini ia hanya boleh digunakan menerusi gajet pintar yang menggunakan platform sistem operasi iOS (iPhone, iPad, iTouch) atau di http://itunes.apple.com.

Dinasihat berbuka

Sementara itu, menurut Pakar Perunding Kanan Endokrinologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Nor Azmi Kamaruddin, pesakit diabetes jenis 2 boleh menjalani ibadah puasa tetapi dengan syarat mereka perlu disiplin mengenai makanan yang diambil.

Katanya lagi, pesakit-pesakit diabetes jenis 2 digalakkan bersahur lambat tetapi disarankan agar berbuka puasa tepat pada masanya.

Jelas Profesor Dr. Nor Azmi, ini adalah untuk mengelakkan sebarang komplikasi berlaku akibat berpuasa seharian.

"Pesakit-pesakit diabetes jenis 2 sebenarnya perlu makan tepat pada waktunya untuk aliran darah yang normal. Tetapi jika sesuatu berlaku ketika berpuasa, mereka dinasihatkan agar segera berbuka puasa untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini.

"Yang penting, sepanjang berpuasa, pesakit digalak mengawasi aras gula darah dengan lebih kerap pada waktu siang," katanya.

Beliau juga menyarankan agar pesakit-pesakit diabetes jenis 2 mengambil makanan yang berkhasiat dan seimbang.

Waktu bersahur pesakit diabetes disarankan mengambil makanan seperti gandum, semolina, dan kekacang kerana makanan ini merembeskan gula dengan perlahan.

Ketika berbuka puasa pula, makanan-makanan seperti buah-buahan serta yang berkarbohidrat amat digalakkan untuk merembeskan gula dengan cepat.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved