Rabu, 24 Julai 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Hentikan khabar angin gelombang kedua pengganas - KPN

Posted: 24 Jul 2013 12:20 AM PDT

KOTA BHARU 24 Julai - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar meminta orang ramai agar menghentikan penyebaran khabar angin kononnya akan berlaku gelombong kedua kemasukan pengganas Kiram ke Sabah.

Beliau berkata khabar angin yang tidak berasas itu, tidak seharusnya disebarkan ketika umat Islam bakal menyambut Aidilfitri.

"Apabila berita-berita sebegini disebarkan, ia menggusarkan masyarakat terutama di Sabah. Musim raya (Aidilfitri) dah nak sampai, jadi kenapa nak buat orang susah, menakutkan orang ramai, perkara tu tak benar sebenarnya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini hari ini.

Beliau melawat anggota polis trafik Insp Farid Hasni Mamat, 33, yang putus kaki kanan akibat kemalangan di Kuala Besut, Terengganu, Rabu lalu.

Hadir sama Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

Khalid berkata, pihaknya bersama beberapa agensi keselamatan lain mempunyai cukup kekuatan untuk menangani sebarang kemungkinan pencerobohan dari luar.

"Marilah kalau mereka berani. Kita akan tahu kalau ada cubaan pihak musuh untuk masuk ke negara ini. Kita cukup kekuatan.. kita ada polis, tentera.. ada di laut, udara dan darat. Jadi janganlah risau.

"Penubuhan Esscom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) untuk memastikan keadaan pantai Timur Sabah terjamin," katanya. - BERNAMA

MYCEB teroka segmen hiburan tarik pelancong ke Malaysia

Posted: 24 Jul 2013 12:17 AM PDT

KUALA LUMPUR 24 Julai - Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) meneroka segmen hiburan Cina untuk menarik lebih banyak pengunjung antarabangsa ke Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zulkefli Sharif berkata sehubungan itu, konsert kumpulan muzik wanita terkenal dari Taiwan S.H.E - 2gether 4ever World Tour 2013 pada 20 Julai di Stadium Putra di sini, merupakan inisiatif perintis bagi mencapai sasaran tersebut.

"Sokongan itu melanjutkan capaian kami untuk menyasar pengunjung, terutamanya dari Tanah Besar China dan sekitar rantau Asia Tenggara seperti Singapura, Indonesia dan Thailand.

"Malaysia semakin diiktiraf sebagai hab destinasi bagi acara utama dan sokongan bagi konsert S.H.E, akan melengkapkan kempen promosi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan Tourism Malaysia bagi Tahun Melawat Malaysia 2014," katanya dalam satu kenyataan.

Inisiatif baharu ini dalam mengembangkan penembusan pasaran MYCEB adalah juga sejajar dengan objektif Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi menarik lebih ramai pengunjung antarabangsa ke Malaysia.

Konsert S.H.E disokong oleh Malaysia Major Events, bahagian MYCEB, agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. - BERNAMA

Layanan buruk HSJ disiasat kementerian - Hilmi Yahaya

Posted: 24 Jul 2013 12:15 AM PDT

KUALA LUMPUR 24 Julai - Persidangan Dewan Negara hari ini diberitahu Kementerian Kesihatan sedang menyiasat dakwaan ada doktor di Hospital Seberang Jaya (HSJ) memberi layanan buruk kepada pesakit.

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, kejadian seperti itu tidak sepatunya berlaku kerana seorang doktor perlu merawat semua pesakit tanpa mengira latar belakang mahupun usia.

"Ini adalah piagam seorang doktor. Melepaskan geram kepada pesakit tidak patut berlaku," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim yang membangkitkan laporan media mengenai layanan buruk doktor yang berlaku di HSJ.

Semalam Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin pada sidang medianya menampilkan beberapa pesakit yang mendakwa menerima layanan buruk daripada doktor di dua buah hospital kerajaan di Pulau Pinang bagi membuktikan kejadian itu memang berlaku.

Sementara itu, semasa menjawab soalan tambahan Senator Datuk Syed Ibrahim Kader mengenai jumlah doktor di hospital, Dr Hilmi berkata pada masa ini nisbah doktor dengan pesakit ialah 1:700.

"Nisbah ini akan diturunkan kepada seorang doktor setiap 400 pesakit menjelang tahun 2020. Banyak hospital tidak cukup jumlah doktor dan kakitangan lain. Ada usaha untuk ambil balik doktor yang sudah bersara.

"Ramai yang sanggup bekerja kembali termasuklah pengarah yang sanggup kembali bekerja sebagai doktor biasa," katanya.

Kepada soalan asal Syed Ibrahim yang bertanyakan tentang waktu menunggu pesakit di hospital dan klinik kerajaan, Dr. Hilmi berkata, sistem pemantauan masa menunggu eMASA menunjukkan 87.3 peratus pelanggan menunggu kurang daripada 30 minit untuk mendapatkan perkhidmatan. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved