Rabu, 24 April 2013

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


UIA juara gamelan kebangsaan

Posted: 23 Apr 2013 12:45 PM PDT

Oleh TENGKU FAUZIAH NGAH
utusanterengganu@utusan.com.my

MAZLAN Ngah (tengah) menyampaikan hadiah kepada kumpulan Gema Gangsa yang menjuarai Pertandingan Gamelan Melayu Peringkat Kebangsaan di UMT, Kuala Terengganu, kelmarin.

KUALA TERENGGANU 23 April - Kumpulan Gamelan Gema Gangsa dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang menampilkan persembahan mengasyikkan muncul sebagai juara Gamelan Melayu Peringkat Kebangsaan 2013 dalam pertandingan akhir yang berlangsung di sini semalam.

Dengan dianggotai 18 orang, mereka yang memainkan lagu Perang Manggong bagi kategori gamelan Melayu tradisional dan lagu Cari-Cari Cuba Kau Cari bagi kategori gamelan Melayu kreatif berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan piala.

Tempat kedua dimenangi oleh kumpulan Gamelan Alkis Gemawan dari Kuala Lumpur yang menerima hadiah wang tunai RM8,000 dan piala di samping hadiah khas juri bernilai RM2,000.

Tempat ketiga disandang oleh Kumpulan Gamelan Sanggar Kirana (Universiti Teknologi Petronas) dengan hadiah wang tunai RM6,000 dan piala manakala 10 kumpulan masing-masing menerima RM3,000.

Sebanyak 13 kumpulan gamelan dari seluruh negara menyertai pertandingan kali kedua anjuran Kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri yang diadakan selama dua hari di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Turut serta ialah Gamelan Suktra, Gamelan Simfoni Lokananta, Gamelan Masenidaya, Gamelan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Gamelan Emas, Gamelan Anjong Seni, Gamelan Gema Gamelan (Universiti Tenaga Nasional) , Gamelan UMT, Gamelan Citra Nusantara (Univesiti Pertahanan Nasional Malaysia) dan Gamelan Gema Sari.

Hadiah disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah, Hadir sama Pengarah Lembaga Muzium Negeri, Mohd Yusof Abdullah.

Sementara itu, Mazlan ketika berucap di majlis itu berkata, pertandingan yang diadakan adalah sebagai satu wadah untuk memartabatkan gamelan Melayu ke peringkat yang lebih tinggi di samping meningkatkan kecintaan masyarakat terhadap seni warisan itu.

Selain itu, katanya pertandingan tersebut juga mewujudkan peluang kepada pencipta, penggubah muzik serta pencinta gamelan Melayu menonjolkan hasil ciptaan dan gubahan lagu-lagu tradisional mereka untuk disebarkan kepada orang ramai.

''Kerajaan negeri sentiasa menyokong dalam usaha meningkatkan seni gamelan Melayu agar terus berkembang ke peringkat yang lebih tinggi dan sekali gus turut diminati generasi muda,'' ujarnya.

Beliau berbangga kerana dalam pertandingan kali ini, jumlah penyertaan meningkat di samping peserta mampu mengetengahkan persembahan yang indah dan kreatif sehingga memukau penonton.

Golongan muda puji penganjuran Karnival Pendidikan Mara

Posted: 23 Apr 2013 12:45 PM PDT

PEGAWAI Kaunselor Mara, Norazila Saari (kiri) memberi penerangan kepada pelajar mengenai peluang melanjutkan pengajian yang ditawarkan oleh Mara di Karnival Pendidikan Mara di Kota Bharu, baru-baru ini.

KOTA BHARU 23 April - Golongan muda memuji usaha Majlis Amanah Rakyat (Mara) menganjurkan Karnival Pendidikan Mara 2013 yang juga merupakan acara jelajah tahunan agensi kerajaan itu bermula sejak tahun 2000.

Penganjuran karnival tahun ini yang singgah selama dua hari di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada 17 dan 18 April lalu, mendapat sambutan amat menggalakkan apabila pada hari pertama sahaja lebih 35,000 pengunjung membanjiri tapak dan khemah pameran.

Salah seorang pengunjung yang ditemui, Wan Amira Shaerah Wan Ahmad Mizan, 18, dari Pasir Mas berkata, dia bukan sahaja berpeluang meninjau peluang pendidikan yang ditawarkan, malah mendapat bimbingan dan panduan secara personal daripada barisan kaunselor Mara.

"Mereka menasihati saya agar tidak terburu-buru membuat keputusan dalam memilih bidang dan institusi pengajian tinggi yang sesuai sebaliknya harus rajin mencari maklumat lengkap terlebih dahulu.

"Pemikiran saya menjadi lebih terbuka dengan penjelasan daripada pegawai dan kaunselor bertugas yang menerangkan realiti sebenar apabila melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi," katanya kepada Utusan Malaysia ketika melawat Karnival Pendidikan Mara 2013 peringkat negeri Kelantan di sini baru-baru ini.

Seorang lagi pengunjung, Salihah Maisarah Salaudin, 18, dari Pasir Tumboh pula berkata, dia menyertai Ujian Kecenderungan Minat Kerjaya (SDS) yang dianjurkan Unit Bimbingan dan Kerjaya Mara bagi membantunya mengenal pasti bidang pengajian dan kerjaya terbaik untuk diceburi.

"Hasil ujian SDS mendapati saya lebih sesuai menjadi seorang tenaga pengajar atau pensyarah, dan ia memang kena dengan jiwa saya. Jadi apa yang perlu saya lakukan adalah mencari peluang untuk mendalami pengajian agama hingga ke tahap tertinggi bagi merealisasi hasrat itu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Mara negeri Kelantan, Mohd. Ishak Zakaria berkata, pihaknya tahun ini buat julung kalinya menjalin kerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja negeri bagi menyediakan 140 ruang pameran yang memberi fokus kepada peluang pendidikan dan pekerjaan.

Justeru katanya, karnival kali ini menjadi pusat sehenti lengkap yang bukan sahaja menyediakan informasi mengenai peluang pengajian bermula peringkat sijil hingga sarjana malah turut menawarkan kira-kira 1,030 peluang pekerjaan daripada majikan yang mengambil bahagian selain program seminar.

Dalam masa sama, beliau memberitahu, sebanyak 2,300 pengunjung telah mengisi borang permohonan kemasukan ke Institusi Pendidikan Mara (Ipma) seperti Institut Kemahiran Mara (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Kolej Profesional Mara (KPM), Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) dan GiatMara melalui pendaftaran di kaunter pameran.

"Manakala dua lagi Ipma iaitu Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan German Malaysian Institute (GMI) telah menyerahkan kira-kira 300 surat tawaran belajar secara terus kepada pelajar yang layak," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved