Rabu, 17 April 2013

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Maik agih RM43j wang zakat

Posted: 15 Apr 2013 01:05 PM PDT

Oleh YATIMIN ABDULLAH)
utusankelantan@utusan.com.my

PASIR MAS 15 April - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) telah mengagihkan zakat sebanyak RM43 juta kepada golongan asnaf dan kumpulan yang layak menerima bantuan tersebut sejak 1 Januari hingga semalam.

Timbalan Yang Dipertua Maik, Datuk Kamaruddin Mohd. Zain berkata, agihan tersebut meliputi 17 program di bawah kelolaan Maik antaranya pendidikan, persekolahan, bantuan perubatan, rumah dan sebagainya.

Menurutnya, dari jumlah tersebut, pendidikan mendapat agihan zakat terbesar setakat ini membabitkan peruntukan lebih RM11 juta.

"Bantuan golongan ansaf menjadi agihan kedua terbesar selepas pendidikan membabitkan peruntukan berjumlah RM8 juta manakala selebihnya untuk bantuan-bantuan lain.

"Kita sentiasa komited dalam membantu golongan yang layak menerima bantuan zakat selaras dengan kehendak Yang Dipertua Maik, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr. Muhammad Fa-iz Petra yang mahu mereka terus dibantu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan zakat berjumlah RM2,000 kepada ibu tunggal Mek Na Awang di Kampung Kolam, Gelang Emas, di sini hari ini.

Dalam kunjungan tersebut, Kamaruddin bersama rombongannya turut meluluskan peruntukan untuk membaik pulih rumah ibu tunggal berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Kamaruddin memberitahu sepanjang tahun lalu, Maik telah memperuntukkan lebih RM101 juta untuk diagihkan kepada golongan ansaf di seluruh negeri ini.

Sementara itu, Mek Na memberitahu dia terharu dan berterima kasih kepada pihak Maik diatas keperihatinan tersebut.

"Saya bersyukur di atas sumbangan ini. Dengan ini dapatlah saya dan dua anak lelaki menikmati hidup yang lebih selesa selepas ini. Jika hendak harapkan pendapatan saya menjual tikar mengkuang agak sukar untuk membaik pulih rumah ini, ditambah pula dengan pendapatan yang tidak menentu," ujarnya.

Peserta Thai juara Pertandingan Seni Burung Ketitir ASEAN Kedua

Posted: 15 Apr 2013 01:05 PM PDT

VANICH Akevanich menjuarai Pertandingan Seni Suara Burung Ketitir ASEAN Kedua yang diadakan di Lembah Sireh di Kota Bharu, kelmarin.

KOTA BHARU 15 April - Peserta dari Phuket, Thailand, Vanich Akevanich menjuarai Pertandingan Seni Suara Burung Ketitir ASEAN Kedua yang diadakan di Lembah Sireh di sini semalam.

Akevanich, 47, membawa pulang Piala ASEAN setelah burung ketitir yang digelar 'Loceng Emas' miliknya berjaya mengatasi lebih 800 burung ketitir lain yang menyertai kategori utama pertandingan tersebut yang turut disertai peserta dari Singapura, Indonesia selain tuan rumah, Malaysia.

Akevanich memberitahu, dia berasa amat bangga kerana inilah kali pertama burung berusia 11 bulan miliknya itu pernah menjadi juara pada pertandingan peringkat antarabangsa.

"Sebelum ini hanya jadi juara dalam negeri sahaja, burung ini dahulu saya beli dengan harga RM20,000, kalau ada orang hendak beli selepas ini saya hanya akan menjualnya semula dengan harga RM50,000 ke atas," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Naib johan turut dimenangi seorang lagi peserta Thailand iaitu Abbas Pattani manakala tempat ketiga pula oleh peserta tempatan iaitu Mohamad Nazim dari Kuala Lumpur.

Akevanich ditemui pemberita selepas majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob. Yang turut hadir Presiden Persatuan Seni Suara 'Perkutut' Indonesia, Zainuri Hashim.

Pertandingan anjuran Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Negeri Kelantan dan Persatuan Seni Suara Burung Ketitir/Merbuk Kelantan (PSSBKMK) itu turut mendapat sokongan beberapa agensi lain antaranya Jabatan Veterinar, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

Menurut Yang Dipertua PSSBKMK, Abdullah Md. Yusoff, pertandingan itu merupakan acara tahunan Persatuan Burung Ketitir ASEAN (ZAA) yang telah dimulakan tahun lalu di Thailand sebelum Kelantan menjadi tuan rumah pada kali ini.

Beliau yang juga merupakan Presiden ZAA berkata, selain menjadi salah satu program promosi galakan pelancongan, aktiviti tersebut dapat menemukan peminat seni suara burung ketitir dari negara serantau untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan.

Jelasnya, acara selama dua hari itu menyaksikan burung-burung yang bertanding dalam dua kategori iaitu remaja dan seni suara terbuka diadili dari sudut mutu suara termasuk 'air suara', 'hadapan' dan 'penghujung' yang dihasilkan dalam tempoh dua jam pengadilan.

"Program ini adalah hasil daripada gabungan idea ahli ZAA dan kami berhasrat menjadikan ia acara tahunan antara empat buah negara dengan tahun hadapan ia akan dianjurkan pula di Indonesia dan seterusnya Singapura.

"Seni suara burung ketitir mempunyai peminat yang ramai di Asia Tenggara dan ia menuntut ketelitian dan kemahiran untuk menjaga burung dalam keadaan sempurna sama ada dalam aspek pemakanan ataupun mencari baka ketitir terbaik," katanya.

UMNO Rantau Panjang sumbang kerusi roda

Posted: 15 Apr 2013 01:05 PM PDT

RANTAU PANJANG 15 April - Penderitaan seorang warga emas keturunan Siam, Jinnie Cha Kaan, 57, dari Kampung Bukit Tandak mendapat perhatian UMNO Bahagian Rantau Panjang apabila menyumbangkan sebuah kerusi roda untuk memudahkan wanita itu menjalani kehidupan hariannya.

Sumbangan disampaikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Datuk Saari Mat Hussin.

Yang turut hadir Penyelaras Mukim Gual Periok, Ibrahim Mamat.

Suami Jinnie, Eh Rong Cha Tan, 64, berkata, isterinya sebelum ini mengambil upah sebagai tukang jahit bagi membantu pendapatan keluarga.

Bagaimanapun kata Eh Rong, isterinya itu terpaksa berhenti kerja selepas mengalami masalah saraf pada bahagian kaki dan tangan.

"Penyakit itu menyebabkan dia tidak boleh menguruskan kerja seharian di rumah, termasuk sukar untuk bergerak," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Sehubungan itu, Eh Rong amat berterima kasih dan terharu dengan sumbangan kerusi roda tersebut.

Sementara itu, Saari ketika ditemui berkata, sumbangan diberikan selepas pihaknya dimaklumkan tentang penderitaan yang dialami oleh warga emas terbabit.

"UMNO sememangnya prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh setiap rakyat tanpa mengira kaum dan agama serta akan berusaha untuk membantu. Diharap sumbangan kerusi roda ini dapat membantu keluarga Eh Rong," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved