Selasa, 23 April 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


DUN Pilah pesat membangun

Posted: 22 Apr 2013 11:48 AM PDT

Oleh Noor Hanis Harun
utusanN9@utusan.com.my

PENDUDUK kini boleh mendapatkan barang-barang keperluan harian di pasar raya Giant yang baru dibina di Melang, Kuala Pilah.

KUALA PILAH 22 April - Penduduk di sini mengakui hanya Barisan Nasional (BN) yang banyak menabur bakti kepada mereka dengan menjadikan kawasan Kuala Pilah maju dan dibanggakan.

Apa tidaknya, daripada sebuah pekan 'koboi', Kuala Pilah sudah pun menjadi bandar satelit yang membangun begitu pantas terutama setelah jalan baharu Seremban-Kuala Pilah siap dibina beberapa tahun lalu, sekali gus memudahkan kehadiran pelabur ke daerah ini.

Bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah, Adnan Abu Hassan berkata, pembangunan pesat di kawasan DUN Pilah mencakupi kawasan bandar Kuala Pilah, yang sememangnya sudah dilengkapi pelbagai kemudahan dan infrastruktur moden, memberikan manfaat besar serta keselesaan kepada penduduk di sini.

Katanya, pembangunan yang dilaksanakan di DUN Pilah adalah bersesuaian dengan demografik kawasan tersebut.

"Pendekatan yang dilaksanakan di sini adalah pembangunan seimbang dari segi perkembangan fizikal dan rohani untuk bandar serta penduduk berbilang kaum terdiri daripada orang Melayu, Cina dan India.

''Bandar Kuala Pilah pula berada pada kedudukan yang strategik dan menjadi tumpuan ramai kerana terletak di antara Bahau dan Seremban serta merupakan laluan pengguna jalan raya yang ingin ke Pantai Timur," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Adnan tidak tercalon pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) untuk mempertahankan DUN Pilah dan tempatnya diisi oleh Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Norhayati Omar.

Adnan memberitahu, sepanjang berkhidmat, keutamaan diberikan kepada pembangunan infrastruktur, ekonomi, perumahan rakyat, pendidikan dan latihan, kesihatan, rekreasi dan sukan, kebajikan, pertanian dan pembinaan masjid, surau serta rumah-rumah ibadat yang lain.

''Sebagai contoh, proses baik pulih Dewan Orang Ramai Kampung Jawa yang sudah tidak boleh digunakan oleh penduduk. Selepas saya menjadi wakil rakyat dahulu, tidak sampai dua tahun, dewan ini telah dibaiki dan boleh digunakan.

''Kita turut membina Klinik 1Malaysia di kawasan Melang untuk kemudahan penduduk mendapatkan bantuan perubatan dan rawatan dengan bayaran yang minimum," katanya.

Beliau turut menjelaskan, beberapa projek perumahan yang tergendala seperti Taman Bukit Ara dan Taman Selasih dekat sini berjaya diteruskan pembinaannya dan kini sudah boleh didiami.

Tambah Adnan, antara pencapaian yang paling diingatinya ialah penubuhan Terminal Sejahtera di Melang iaitu sebuah pusat tuisyen yang memberikan perkhidmatan secara percuma kepada pelajar yang kurang mampu dari kawasan berdekatan.

''Sebanyak RM770,000 telah diperuntukkan untuk program ini yang dianjurkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah dengan kerjasama kerajaan negeri.

''Projek ini amat penting kerana ia dapat meningkatkan tahap penguasaan pelajar dalam pelajaran termasuk teknologi maklumat dengan adanya bantuan komputer dan tenaga pengajar untuk proses pembelajaran di Terminal Sejahtera," katanya.

Adnan memberitahu, pembinaan pasar raya dan penubuhan institusi pendidikan di kawasan ini juga telah menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang positif dalam kalangan penduduk.

''Penduduk boleh mendapatkan barang-barang keperluan harian di pasar raya yang baru dibina seperti Giant dan Econsave, malah ia boleh menjadi tempat istirehat bersama keluarga di hujung minggu.

''Banyak institusi pendidikan juga telah ditubuhkan di dalam kawasan DUN Pilah antaranya, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kuala Pilah, Kolej Kejururawatan Kuala Pilah dan Kolej Matrikulasi Kuala Pilah," ujarnya.

Adnan menambah, impiannya untuk membina sebuah masjid di kawasan tersebut juga tercapai dengan terbinanya Masjid Al Firdaus di situ, malah projek itu mendapat pengiktirafan sebagai Anugerah Kontraktor Terbaik Kategori Bangunan Bawah RM5 juta.

''Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) turut melaksanakan projek pembangunan semula Bazar Melayu yang berjaya memberi imej baru kepada kawasan perniagaan usang itu di bandar Kuala Pilah," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua penduduk di DUN Pilah yang sentiasa bergerak aktif dan menyokong BN selama ini.

"Saya mahu penduduk tahu bahawa segala usaha kerajaan BN ini adalah hasil perancangan yang teliti supaya setiap janji yang dibuat kepada rakyat di kawasan ini dapat direalisasi," katanya.

Transformasi 90 petani moden

Posted: 22 Apr 2013 11:48 AM PDT

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
utusanmelaka@utusan.com.my

MOHD. Ali Rustam (tiga dari kiri) menunjukkan padi yang dihasilkan menerusi projek pertanian moden di bawah Projek Rimbunan Kaseh, di Serkam Darat, Jasin, semalam.

JASIN 22 April - Projek Rimbunan Kaseh di Serkam yang bermula awal Mei ini bakal mentransformasi kehidupan 90 peserta daripada penerima asnaf zakat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi menambah pendapatan apabila melibatkan diri dengan pertanian moden.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, projek menelan belanja sebanyak RM27 juta di atas tanah berkeluasan 14 hektar dilihat memberi potensi kehidupan yang lebih baik kepada golongan tersebut melalui penyediaan rumah cukup selesa di samping peluang pekerjaan dalam pertanian bernilai tinggi dan berteknologi moden.

Menurutnya, projek tersebut dibiayai oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri melalui peruntukan sebanyak RM24 juta bagi membangunkan infrastruktur dan prasarana manakala RM3 juta pula dibiaya oleh kerajaan negeri menerusi MAIM yang menyediakan tapak.

"Di bawah program ini, setiap peserta bukan sahaja disediakan kemudahan perumahan yang selesa dan dilengkapi kemudahan asas, malah turut diberi peluang bekerja di ladang moden yang dibangunkan sekali gus mampu menjana pendapatan sekitar RM1,500 sebulan.

"Ini merupakan projek pembangunan khas yang dilihat dapat menaik taraf hidup keluarga miskin bagi membolehkan mereka menikmati kualiti hidup lebih baik serta memperoleh pendapat lebih tinggi yang digariskan di bawah bidang utama keberhasilan negara (NKRA) luar bandar dan kemiskinan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Kepada Peserta-peserta Projek Rimbunan Kaseh di Serkam Darat di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Yaakub Md. Amin; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Omar Kaseh; Ketua Pengarah ICU Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shukry Mohd. Salleh.

Mohd. Ali berkata, projek tersebut membuktikan kesungguhan program transformasi ke arah memberi keselesaan kehidupan rakyat dalam suasana perkampungan abad ke-21 yang dilengkapi kemudahan infrastruktur dan sumber perekonomian baru serba moden.

"Ia turut merealisasikan inisiatif bagi program transformasi luar bandar dengan objektif bagi membebaskan mereka daripada kepompong kemiskinan dan menambah pendapatan melalui pertanian dan ternakan," katanya.

Sementara itu, salah seorang peserta Ahmad Redzuan, 32, berkata, dia gembira terpilih menyertai projek kerana memberi sinar baru keluarganya.

"Sebelum ini saya tidak mempunyai pendapatan yang tetap untuk menyara keluarga dan peluang seumpama ini dapat membantu saya dan isteri membesarkan anak-anak dengan kehidupan yang lebih selesa," katanya.

Seorang lagi peserta, Ibrahim Sahat, 38, berkata, dia bersyukur dan gembira dengan inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan membolehkannya mempunyai pendapatan yang tetap dan kediaman yang selesa dengan bayaran bulanan serendah RM100 sebulan.

"Terima kasih kepada kerajaan di atas usaha membantu golongan berpendapatan rendah seperti kami untuk mengubah kehidupan kami dengan meningkatkan taraf pendapatan," katanya.

Kit Siang bertemu 'buku dengan ruas' - MB

Posted: 22 Apr 2013 11:48 AM PDT

MOHAMAD Hasan bersama orang ramai menunjukkan isyarat 1Malaysia dalam program di rumah rakyat Seri Lalang, Ulu Lalang, Rantau, Seremban, kelmarin. Turut hadir sama calon BN Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin (belakang, tiga kiri).

SEREMBAN 22 April - Penasihat DAP, Lim Kit Siang kini bolehlah ditukar namanya kepada Lim Kit 'Malam' selepas pemimpin pembangkang itu bertemu buku dengan ruas di Parlimen Gelang Patah, Johor bertemu penyandang Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, selain Kit Siang, parti DAP sendiri dilanda kekusutan apabila ramai pemimpin dan akar umbi dari kaum India membuat protes dan ada yang sudah keluar parti pun di negeri ini.

"Janganlah terpengaruh dengan DAP kerana ia bukan parti untuk semua rakyat tetapi parti untuk rak-yat tertentu sahaja.

"Sekarang pun Lim Kit Siang sudah jadi Lim Kit 'Malam'. Dia sudah bertemu buku dan ruas di Johor. Orang tidak menyambutnya lagi, sokongannya sudah merosot," katanya dalam satu program di rumah rakyat Seri Lalang, Ulu Lalang, Rantau dekat sini malam tadi.

Kata Mohamad, Kit Siang akan jadi 'malam' sampai bila-bila selepas tiada lagi 'siang' untuk dirinya dan DAP apabila rakyat sudah membuka mata dan melihat tembelang mereka yang kian pecah berikutan konflik dan protes dalaman parti.

Mengenai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula, Mohamad berkata, ia hanya sebuah parti yang ditubuhkan untuk menyelamatkan seorang individu bernama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan untuk mengeluarkan Penasihat PKR itu dari penjara.

"Ini parti yang tidak kenal siang dan malam. Parti yang tidak kenal mana satu jantan dan betina. Payahlah hendak cakap, kecelaruan identiti begini," kata Mohamad lagi.

Katanya, parti Pas juga tidak boleh dipercayai kerana sanggup melelong agama demi rakan sekutunya.

"Parti Pas pun satu macam, boleh melelongkan agama dan dahulu dia kata manifesto membangun bersama Islam. Tapi sekarang bila buat perjanjian baru bersama DAP dan PKR, dia tukar pula manifesto negara berkebajikan.

"Sudah tidak cakap pasal Islam kerana terlampau hendak jaga hati Karpal Singh dan Kit Siang," ujarnya.

Kerana itu, Mohamad berkata, dalam PRU-13 ini ramai yang bertanding bebas dan kebanyakan mereka menentang parti seperti DAP dan PKR.

"Ini jelas menunjukkan DAP bercakap sahaja parti berbilang kaum, tetapi tidak peduli pun. Di Parlimen Seremban pun, bekas Ahli Parlimen itu, John Fernandez dari DAP telah bertanding Bebas," katanya.

Sambil menyindir, Mohamad berkata, jika pembangkang datang bawa beras, bolehlah ambil dan katakan kepada mereka: "Terima kasih.. patut berikan ini selalu dan jangan lima tahun sekali baru hendak datang berikan beras."

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved