Utusan Online - Johor |
41 mangsa ribut terima bantuan JKM Posted: 19 Apr 2013 01:34 PM PDT BATU PAHAT 19 April - Sebanyak 41 keluarga mangsa ribut di lima buah kampung di sini, menarik nafas lega apabila menerima bantuan bagi membaik pulih kerosakan kediaman masing-masing daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini. Sumbangan wang tunai itu diberikan kepada penduduk terlibat mengikut jumlah taksiran kerosakan pada kediaman mereka. Pegawai JKM daerah, Adnan Mohd. Yassin berkata, setiap keluarga yang terlibat dalam kejadian ribut minggu lalu itu menerima bantuan wang tunai antara RM80 dan RM1,500, berdasarkan kerosakan dan penilaian JKM. "Mangsa yang terlibat boleh menggunakannya untuk membaiki rumah termasuk membeli atap baru selain mengganti alang yang rosak. "Sumbangan tersebut merupakan bantuan daripada kerajaan Pusat yang prihatin dan bersimpati dengan nasib mereka," katanya. Majlis penyampaian sumbangan itu disempurnakan oleh Pegawai Daerah Batu Pahat, Ab. Wahab Ridwan. Adnan turut menasihatkan mangsa ribut yang belum mendapat bantuan supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa dalam tempoh terdekat bagi membolehkan pihaknya membuat taksiran jumlah kerosakan dan menyalurkan bantuan secepat mungkin. Dalam kejadian minggu lalu, hampir 60 rumah penduduk di Parit Sulong dan Parit Yaani rosak selepas dilanda ribut dan hujan lebat berterusan selama beberapa jam. Antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Air Puteh, Parit Suratman, Parit Awang, Parit Sepakat dan Parit Aton. Turut mengalami kerosakan ialah balai raya, masjid dan tiga kenderaan di Kampung Air Puteh dan Parit Sepakat. |
Mangsa kebakaran gembira terima rumah sumbangan TNB Posted: 19 Apr 2013 01:34 PM PDT MOHD. Aminuddin Mohd. Amin (kanan) bersama mangsa kebakaran, Rosmani Sharif (tiga dari kiri) dan Rozita Abd. Samad (empat dari kiri) ketika menziarahi keluarga berkenaan di kediaman baharu mereka di Parit Nipah Darat, Batu Pahat, Johor baru-baru ini. BATU PAHAT 19 April - Tiada yang lebih menggembirakan bagi keluarga mangsa kebakaran di Parit Nipah Darat di sini, selain menerima rumah baharu bernilai RM40,000 hasil keprihatinan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Pembinaan yang mengambil masa hanya 37 hari itu turut dibantu sebanyak 27 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta melibatkan penduduk setempat. Rosmani Sharif, 40, mengakui keadaan rumah baharu itu jauh lebih selesa berbanding kediaman lama mereka yang musnah dalam kebakaran pada 2 Mei tahun lalu. "Pembinaan rumah baharu ini mengubat kesedihan apabila teringat peristiwa yang menyebabkan kami tinggal sehelai sepinggang," katanya yang mempunyai tiga orang anak berusia tiga hingga 12 tahun. Isterinya, Rozita Abd. Samad, 37, pula bersyukur kerana kediaman itu dilengkapi dengan dua bilik tidur, ruang tamu, bilik air dan dapur yang selesa. "Saya terharu dan amat bersyukur. Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat yang ditimpa kesusahan selain membuktikan dakwaan sesetengah bantuan hanya diberikan kepada kroni-kroni sahaja memang tidak benar sama sekali. "Rumah baharu ini memang memberi keselesaan kepada kami sekeluarga terutamanya untuk anak-anak belajar dan mengulang kaji pelajaran dan ibu saya yang sudah uzur," katanya. Beliau ditemui selepas menerima kunci rumah yang disampaikan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ali Hamsa, di sini baru-baru ini. Yang turut hadir Pengurus Besar TNB Johor, Datuk Mohd. Aminuddin Mohd. Amin. Sementara itu, Ali berkata, usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mendapatkan sumbangan daripada TNB bagi membantu golongan susah akan diperluaskan kepada agensi kerajaan lain. Menurut beliau, perkara itu bagi membolehkan sebanyak 20 buah rumah dibina tahun ini ekoran keberkesanan dan kejayaan lima projek yang dijalankan pada tahun lalu. "Setiap projek di bawah pembinaan semula rumah terbakar akan didirikan satu unit rumah kediaman yang selesa dengan anggaran kos setiap unit antara RM40,000 hingga ke RM50,000 berserta dengan kemudahan asas yang sewajarnya," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan