Ahad, 25 Disember 2011

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Peniaga bantah Choo Keong

Posted:

Peniaga bantah Choo Keong

Peniaga bantah Choo Keong

MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
kota@utusan.com.my


PENIAGA di Bazar Uptown Danau Kota, Setapak berkumpul bagi membuat bantahan dan menyatakan rasa tidak puas hati di hadapan Pejabat Ahli Parlimen Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 25 Dis. - Kemelut yang menyelubungi aktiviti perniagaan di bazar larut malam di Danau Kota, Wangsa Maju mencapai kemuncaknya baru-baru ini apabila kira-kira 600 peniaga berarak dan menunjuk perasaan di depan pejabat ahli Parlimen kawasan itu, Wee Choo Keong untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.

Tunjuk perasaan itu, yang diketuai oleh Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah mendakwa Choo Keong ialah antara pihak yang mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengehadkan hari operasi perniagaan di kawasan yang lebih dikenali sebagai Uptown Danau Kota itu daripada enam hari kepada empat hari seminggu.

Tindakan mengehadkan hari operasi perniagaan itu telah mula dikuatkuasakan sejak hampir dua bulan lalu.

Bagaimanapun niat para peniaga untuk bersemuka dengan Choo Keong bagi menyatakan bantahan dan berbincang tidak kesampaian. Mereka hanya dapat bertemu dengan pembantu khasnya, Yaacob Ahmad yang berjanji akan menyampaikan pesanan peniaga untuk berjumpa dengan Choo Keong dalam satu pertemuan bersama wakil DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar bagi mencari jalan penyelesaian.

Yaacob berkata, Ahli Parlimen itu tidak berniat untuk menutup pintu rezeki para peniaga terlibat, tetapi mahu memberi keadilan kepada tuntutan penduduk di kawasan itu yang selama ini berasa kurang senang dengan kewujudan bazar tersebut.

"Kami akan mencari ruang untuk berbincang dengan peniaga dalam menyelesaikan kemelut ini dan berharap segala keputusan akan menguntungkan kedua-dua pihak iaitu peniaga dan juga penduduk," katanya.

Sementara itu Ridzuan berkata, tujuan bantahan itu diadakan adalah untuk meminta keadilan daripada pemimpin setempat terhadap nasib para peniaga berkenaan.

Katanya, peniaga terpaksa menanggung kerugian apabila hari operasi perniagaan mereka dikurangkan sebanyak dua hari, selain berasa gelisah apabila mendengar bahawa penutupan bazar tersebut juga bakal dilaksanakan.

Katanya, bazar itu adalah sumber rezeki utama peniaga yang keseluruhannya orang Melayu.

Tambahnya, pihaknya memberi masa seminggu kepada Choo Keong dan DBKL untuk mengadakan pertemuan dengan mereka.

Katanya, jika tidak mendapat maklum balas, pihaknya bersama peniaga telah bertekad untuk mengadakan bantahan di Parlimen minggu hadapan.

Full content generated by Get Full RSS.

Peniaga dibenar berniaga hari Khamis

Posted:

Peniaga dibenar berniaga hari Khamis

Peniaga dibenar berniaga hari Khamis

KUALA LUMPUR 25 Dis. - Peniaga bazar larut malam, Uptown Danau Kota boleh menarik nafas lega kerana permintaan mereka untuk berniaga di situ pada hari Khamis mendapat kebenaran Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, keputusan itu diambil setelah mengadakan perbincangan dengan penganjur Uptown Danau Kota, Ahmad Selamat.

Katanya, Ahmad menyatakan para peniaga bersetuju untuk berniaga empat hari seminggu kecuali Isnin dan Selasa tetapi mereka turut meminta dibenarkan berniaga pada hari Khamis bersama-sama peniaga pasar malam di tempat yang sama.

"Kementerian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengambil keputusan untuk membenarkan mereka berniaga pada hari Khamis tetapi haruslah mengikut waktu berniaga pasar malam iaitu sehingga pukul 12 tengah malam.

"Dari segi susunan tempat pula pihak persatuan hendaklah berbincang dengan Jabatan Penjaja," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pusat ulang kaji pelajaran untuk pelajar sekolah, Terminal Sejahtera yang pertama di Dewan Komuniti Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib dan Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup.

Raja Nong Chik berkata, keputusan mengehadkan hari perniagaan bazar itu sebelum ini bukanlah atas desakan wakil rakyat tetapi kerana mendapat banyak aduan daripada penduduk setempat yang terganggu dengan bunyi bising dan masalah trafik.

Menurutnya, pihaknya harus memikirkan situasi menang-menang bagi peniaga dan penduduk.

"Kami bukan sekadar mahu menjaga kepentingan peniaga sahaja tetapi juga kehendak penduduk. Ini kerana kami menerima banyak aduan daripada penduduk sekitar (bazar itu)," ujarnya.

Terdahulu, beliau berkata, Terminal Sejahtera tersebut diwujudkan untuk anak-anak warga miskin sebagai kemudahan untuk pembelajaran dan tuisyen secara interaktif menggunakan komputer dan Internet.

"Anak-anak ini mungkin kurang terdedah dengan teknologi (maklumat) di rumah dan usaha tersebut dibuat supaya memberi impak yang besar dalam jangka panjang," jelasnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Gunting rambut percuma di Bandar Tun Razak

Posted:

Gunting rambut percuma di Bandar Tun Razak

Gunting rambut percuma di Bandar Tun Razak


RIZALMAN Moktar (tengah) memeriksa guntingan yang dilakukan pada program Jom Gunting Rambut yang berlangsung di Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 25 Dis. - Sesi persekolahan 2012 akan bermula tidak lama lagi. Menjelang hari tersebut salah satu persediaan utama bakal pelajar adalah menggunting rambut masing-masing agar kemas sebelum ke sekolah.

Menyedari kepentingan tersebut, Pemuda UMNO Bahagian Tun Razak telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan program 'Jom Gunting Rambut' untuk para pelajar di kawasan tersebut.

Para pelajar boleh menggunting rambut dengan pelbagai gaya terkini secara percuma pada program tersebut.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Rizalman Moktar berkata, program itu adalah program rutin yang diadakan setiap tahun sebagai antara cara pihaknya berkhidmat untuk masyarakat sekali gus membantu mengurangkan kos ibu bapa bakal pelajar.

Katanya, pada tahun ini pihaknya akan mengadakan program tersebut di lapan kawasan terpilih di Bandar Tun Razak.

"Kami akan beroperasi di perkarangan pangsapuri-pangsapuri bagi memudahkan bakal pelajar untuk datang," katanya pada program Jom Gunting Rambut yang diadakan di Desa Tasik di sini, baru-baru ini.

Pada program tersebut kira-kira 100 bakal pelajar dikawasan berkenaan hadir untuk menggunting rambut masing-masing.

Ujarnya, walaupun sumbangan ini tidak besar, sekurang-kurangnya ia dapat membantu ibu bapa terutama bagi mereka yang mempunyai anak ramai.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved