Utusan Online - Kota |
- Tunggakan sewa PPR RM51 juta
- Tidak yakin dipindah semula
- KL Bandar ekologi: Banyak lagi perlu dilakukan
Posted: Tunggakan sewa PPR RM51 jutaOleh MOHD. RAFIE AZIMI KUALA LUMPUR 21 Sept. - Meskipun hanya perlu membayar antara RM55 hingga RM218 sebulan untuk tinggal dalam rumah selesa di ibu kota, namun jumlah tunggakan bayaran sewa bagi penghuni Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sini mencecah RM51 juta pada penghujung tahun lepas. Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Sukiman Surahman (gambar) berkata, data menunjukkan lebih 400 individu mempunyai tunggakan melebih RM10,000 sementara 4,000 penyewa lagi mempunyai tunggakan melebih RM5,000. "Daripada jumlah itu, hanya 10 peratus yang benar-benar hidup susah sehingga terpaksa dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Baitulmal. "20 peratus lagi adalah golongan yang degil. Disebabkan itu, kita sudah mula mengambil tindakan tegas mulai April lalu termasuk memotong bekalan air ke rumah mereka yang liat membayar sewa sehingga mereka membuat sedikit bayaran," katanya. Menceritakan pengalamannya berdepan penyewa degil, Sukiman berkata, 'kunjungan' dilakukannya ke atas rumah didiami golongan itu kadang-kala 'melucukan'. "Apabila saya masuk ke ruang tamu, tersergam televisyen 'flat screen' 48 inci. Dalam bilik pula televisyen sama bersaiz 32 inci manakala di dapur terdapat peti ais tiga pintu. "Rokok yang dihisap juga dari jenama mahal selain mempunyai kereta yang baik. Malangnya hutang sewa rumah yang sepatutnya dibayar RM124 sebulan tertunggak sehingga mencecah RM18,000," katanya. Bagi menunjukkan keseriusan mengutip 'hutang', DBKL turut mengubah sistem bil bagi mengeluarkan bil dalam empat warna berbeza. "Bil putih untuk mereka yang tidak mempunyai tunggakan sementara kuning pula untuk tunggakan kurang tiga bulan. Warna oren untuk mereka yang mempunyai tunggakan lebih tiga bulan hingga setahun manakala bil merah untuk tunggakan lebih setahun. "Usaha itu tampak berjaya kerana setakat ini kami berjaya mengutip RM6.4 juta. Bagaimanapun, kami masih perlu berusaha keras kerana baki tunggakan masih dalam jumlah yang besar iaitu RM44 juta," ujarnya. |
Posted: Tidak yakin dipindah semulaOleh SITI AISHAH YUSOFF Rumah Pangsa Empat Tingkat Kampung Kerinchi di Pantai Dalam, Kuala Lumpur kini kelihatan semakin usang sejak sebahagian besar penduduknya berpindah ke perumahan transit. – UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI KUALA LUMPUR 21 Sept. – Selesa di rumah lama dan tidak yakin akan dipindahkan semula menjadi punca segelintir penghuni Rumah Pangsa Empat Tingkat Kampung Kerinchi di sini enggan keluar dari kediaman mereka itu. Walaupun menyedari sebahagian besar daripada jiran-jiran mereka sudah menerima tawaran yang diberikan dan berpindah sementara ke dua Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang disediakan tetapi hati mereka berat untuk berpindah. Namun, tindakan sebahagian daripada penghuni di 56 unit rumah yang berpindah keluar itu menimbulkan tanda tanya kerana tawaran yang diberikan sangat menarik dan dijamin oleh kerajaan. Selain sebuah rumah baru secara percuma di tapak yang sama, mereka juga diberikan wang saguhati sebanyak RM5,000 semasa berpindah keluar dan RM8,000 lagi semasa berpindah masuk nanti. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kawasan rumah pangsa tersebut bukan sahaja sunyi kerana majoriti penduduk telah berpindah tetapi juga semakin tidak terurus. Seorang penduduk yang ditemui, Siti Rubiah Kamaruddin, 59, berkata, dia sudah selesa tinggal di rumah tersebut dan tidak mahu bersusah-payah untuk berpindah. "Saya sudah tua dan selesa kerana sudah tinggal di rumah ini sejak kecil lagi. Walaupun rumah yang ditawarkan lebih besar berbanding sekarang tetapi saya tidak yakin akan dipindahkan semula ke rumah baru itu nanti," katanya. Sulaiman Bujang, 70, pula berkata, dia masih ragu-ragu dengan perjanjian yang dibuat bersama pemaju kerana dilihat lebih menguntungkan pemaju dalam banyak aspek. "Saya tidak kisah penduduk di sini ingin berpindah, tetapi biarlah perjanjian yang dibuat menguntungkan kedua-dua belah pihak terutama penduduk asal yang perlu banyak berkorban," katanya. Katanya, dia tidak menolak sebarang pembangunan tetapi proses yang digunakan perlulah mengikut prosedur serta tatacara yang adil. Shaharudin Abu Bakar, 26, berkata, dia akan berpindah bersama keluarganya pada bulan Oktober depan walaupun masih was-was dengan tawaran yang diberikan. "Kami akan berpindah juga akhirnya tetapi sehingga sekarang, saya masih tidak yakin dengan perjanjian yang ditawarkan oleh pihak pemaju. "Tidak dinafikan rumah yang ditawarkan nanti lebih selesa berbanding rumah sekarang tetapi saya bimbang semua itu hanya di atas kertas sahaja," katanya. Keengganan penduduk berkenaan berpindah telah menyebabkan pembangunan semula kawasan itu tertangguh sehingga lebih setahun dan memaksa Unit Perancang Ekonomi mengambil alih urusan pengambilan tanah di situ. |
KL Bandar ekologi: Banyak lagi perlu dilakukan Posted: KL Bandar ekologi: Banyak lagi perlu dilakukanKUALA LUMPUR 21 Sept. - Banyak yang perlu dilakukan untuk mengubah Kuala Lumpur menjadi sebuah bandar raya ekologi walaupun pelbagai inisiatif ke arah itu telah dilaksanakan. Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata, pelaksanaan perkara tersebut memerlukan kerjasama dan perkongsian pintar antara komuniti, sektor swasta serta kerajaan dari semua bahagian. Katanya, adalah mustahil bagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan proses berkenaan dengan sendiri. "Meningkatkan biodiversiti bandar raya merupakan satu cara ke arah bandar raya ekologi dan projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL) sebagai contoh dalam usaha tersebut," katanya dalam ucapan pembukaannya pada Persidangan Antarabangsa Ketiga Bandar Raya Lestari Bertaraf Dunia (WCSC) 2011 di sini semalam. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perancangan DBKL, Zulkifli Ibrahim. Turut hadir, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Kuala Lumpur, NK Tong; Presiden Pertubuhan Perancangan Malaysia, Datuk Alias Abdullah dan Presiden Pertubuhan Akitek Malaysia, Saiffuddin Ahmad. Tambah Ahmad Fuad, sejak sekian lama, fokus telah diberikan dalam usaha membangunkan bandar raya bagi menangani isu dan keperluan semasa dan segera. "Kini, kita berdepan dengan perkara yang lebih besar dan kompleks bagi masa depan bandar kita dan perlu ditambah baik secara berterusan untuk menjadikan bandar raya kita sesuai untuk didiami untuk generasi akan datang," ujarnya. Beliau berkata, antara strategi ke arah bandar raya ekologi ialah pengurusan sumber air bersepadu, pengurusan tenaga, meminimumkan sisa buangan dan pengurusan sisa pepejal bersepadu serta pendekatan berbeza kepada sanitasi. Strategi lain termasuk dasar pengangkutan bersepadu, dasar yang berkait dengan isu pencemaran, jangkaan perubahan iklim, dasar perumahan hijau yang baik serta menggalakkan pengagihan faedah saksama. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan