Utusan Online - Hiburan |
Posted: Kejutan dan penghormatan EmmyOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL AKSI Jane Lynch sebagai hos Anugerah Emmy Ke-63. MALAM Anugerah Emmy Ke-63 yang berlangsung pada malam Ahad lalu di Tetaer Nokia, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) telah melakar kejayaan manis dan kejutan yang barangkali boleh dikatakan sebagai luar biasa. Malah, pelbagai rekod juga telah tercipta dalam acara tersebut lalu menjadikan penganugerahan kali ini mencatatkan sejarah tersendiri sepanjang 63 tahun Emmy dianjurkan. Antara yang menjadi perhatian pada malam itu adalah menerusi kategori lakonan yang menyaksikan enam daripada lapan kategori telah dimenangi oleh mereka yang kali pertama merasai nikmat menggenggam trofi Emmy. Salah seorangnya ialah Melissa McCarthy yang mengundang kejutan pada malam itu apabila diumumkan sebagai Pelakon Wanita Komedi Terbaik menerusi siri komedi Mike & Molly. Perjuangannya dalam industri penyiaran Hollywood hampir 15 tahun ternyata berbalas dengan kemenangan pertamanya itu. "Saya rasa seperti memenangi pertandingan ratu cantik dan tidak pernah menyangka anugerah seperti ini memiliki aura yang sangat positif. "Melihat trofi ini berada dalam genggaman, membuatkan saya terfikir sejenak apakah benar ini satu realiti mahupun mimpi yang tidak pernah saya bayangkan sebelum ini. "Ini memang merupakan penghormatan tertinggi buat saya dan untuk berdiri bersama calon-calon hebat lain dalam kategori ini sudah cukup untuk membuatkan saya benar-benar dihargai," ucapnya dalam nada terharu sewaktu menerima trofi daripada Sofia Vergara dan Rob Lowe yang telah memakaikan mahkota di kepalanya persis kemenangan seorang ratu cantik. Nama Melissa bukanlah asing bagi mereka yang mengikuti perkembangan siri komedi Hollywood. Mungkin watak Sookie St. James yang pernah dibawakannya dalam siri komedi, The Gilmore Girls pasti mengingatkan kembali peminat kepada Melissa. Dia yang memenangi trofi keramat itu berdasarkan wataknya sebagai seorang guru sekolah rendah yang berhadapan dengan isu personaliti ekoran dirinya seorang yang gemuk. Selain Melissa, lima calon lain yang dicalonkan dalam kategori tersebut termasuklah Edie Falco menerusi Nurse Jackie, Tina Fey (30 Rock), Laura Linney (The Big C), Martha Plimpton (Raising Hope) dan Amy Poehler (Parks and Recreation). Kelayakan Emmy kali ini juga menyaksikan aktor kacak, Kyle Chandler akhirnya diiktiraf dengan trofi Pelakon Lelaki Drama Terbaik menerusi siri Friday Night Lights. Selepas dua kali dicalonkan, akhirnya rezeki berpihak kepada Kyle dan kemenangannya itu juga tidak terlepas daripada menjadi bahan perbualan ramai. Ada yang mengatakan Kyle mendapat 'undi kasihan' daripada pihak juri yang mahu memberikan kemenangan kepadanya memandangkan Friday Night Lights sudah pun ditamatkan siarannya. Malah, ketiadaan Bryan Cranston yang sudah memenangi kategori itu tiga tahun berturut-turut juga dikatakan telah memberi laluan kepada Kyle untuk memenangi Emmy pertamanya. "Saya tahu dan cukup sedar bahawa saya tidak akan mungkin berdiri di sini. Atas alasan itu, saya sendiri tidak menyediakan sebarang ucapan dan ini membuatkan saya semakin risau," kata Kyle sewaktu berucap selepas menerima trofinya pada malam yang cukup bersejarah baginya itu. Selain Kyle, kemenangan turut berpihak kepada Friday Night Lights yang memenangi kategori Lakon TV Drama Terbaik bagi penulisnya, Jason Katims untuk episod terakhir siri itu berjudul Always. Kemenangan Kyle itu juga telah melenyapkan impian dan harapan pencabar terdekatnya, Steve Buscemi yang tercalon menerusi drama Boardwalk Empire untuk membawa pulang trofi idaman ramai itu. Empat calon lain yang tercalon termasuklah Michael C. Hall menerusi Dexter, Jon Hamm (Mad Men), Hugh Laurie (House) dan Timothy Olyphant (Justified). Putih mata Bukan hanya Steve yang terpaksa berputih mata tetapi rezeki juga nampaknya masih lagi tidak berpihak kepada Jon Hamm yang sudah empat tahun dicalonkan untuk kategori itu. Mungkin siapa tahu, Jon akan berpeluang merasai nikmat kemenangan itu apabila Mad Men akan ditamatkan siarannya nanti. Atau mungkinkah, Jon akan merasai nasib yang sama seperti Steve Carrell yang tidak pernah memenangi sebarang trofi walaupun sudah enam kali dicalonkan sebagai Pelakon Lelaki Komedi Terbaik. Walaupun nama Steve disebut-sebut untuk memenangi trofi itu tahun ini selepas siri lakonannya, The Office sudah pun melabuhkan tirainya, namun, ia belum cukup untuk menyakinkan juri untuk menobatkannya sebagai pemenang. Sebaliknya, juri lebih yakin untuk menganugerahkan trofi emas itu kepada Jim Parsons yang mengulangi kejayaannya buat kali kedua bagi siri komedi, The Big Bang Theory. Tuah Siri komedi yang terus mendapat perhatian, Modern Family nampaknya masih lagi menjadi pilihan juri untuk menobatkannya sebagai Siri Komedi Terbaik bagi tahun kedua berturut-turut. Bukan itu sahaja, Modern Family juga memenangi tiga trofi lagi termasuk Lakon TV Komedi Terbaik untuk dua penulisnya Steven Levitan dan Jeffrey Richman. Malah, tuah juga berpihak kepada dua pelakon siri itu, Ty Burrell dan Julie Bowen yang juga pemenang Emmy untuk kali pertama bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Komedi Terbaik. Tahun lalu, salah seorang pelakonnya, Eric Stonestreet telah memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Komedi Terbaik. Sejak pertama kali Modern Family dipertandingkan dalam Anugerah Emmy tahun lalu, hampir kesemua pelakonnya mendominasi kategori lakonan lalu menjadikan peluang untuk mana-mana pelakon siri itu cerah untuk membawa pulang trofi. Kuasa Kuasa siri drama televisyen, Mad Men belum menampakkan tanda-tanda untuk 'kebah' dan memberikan laluan kepada siri lain untuk merangkul kejayaan besar di Anugerah Emmy. Mana tidaknya. Mad Men terus menunjukkan taringnya apabila memenangi Siri Drama Terbaik untuk empat tahun berturut-turut. Dengan kemenangan itu, Mad Men kini sudah memasuki liga yang serupa dengan tiga siri lain iaitu Hill Street Blues, L.A. Law dan The West Wing yang pernah mencatatkan kejayaan serupa. Meskipun berdepan dengan saingan yang hebat daripada lima siri drama yang lain iaitu, Boardwalk Empire, Dexter, Friday Night Lights, Game of Thrones dan The Good Wife ternyata Mad Men masih lagi menjadi pilihan juri untuk dijulang sebagai pemenang. Siri yang memaparkan tentang industri pengiklanan di AS pada era 60-an itu sememangnya bukan calang-calang produk sejak awal ditayangkan pada tahun 2007 (di Malaysia, Mad Men disiarkan di saluran FX HD - saluran 726, Astro B.yond). Selain itu dalam kategori drama juga menyaksikan kecemerlangan aktres Julianna Margulies yang memenangi Pelakon Wanita Drama Terbaik bagi siri The Good Wife. Sesungguhnya ia merupakan kemenangan terindah buat Julianna kerana selepas 16 tahun, barulah dia berpeluang memenangi trofi Emmy keduanya. Kali pertama, dia memenanginya untuk Pelakon Pembantu Wanita Drama Terbaik bagi siri ER pada tahun 1995. Malam itu juga memperlihatkan kehebatan pemenang Oscar, Kate Winslet yang memenangi Emmy pertamanya untuk Pelakon Wanita Siri Mini atau Filem Televisyen Terbaik bagi siri mini, Mildred Pierce. Sebetulnya, kemenangan Kate memang sudah dijangka dari awal dan menjadi calon kegemaran untuk merangkul gelaran itu memandangkan dia telah memberikan lakonan hebat dalam siri mini itu. Secara keseluruhannya, rating untuk Anugerah Emmy tahun ini menunjukkan penurunan sebanyak lapan peratus apabila hanya 12.4 juta sahaja yang menontonnya berbanding 13.5 juta tahun lalu. | ||
Posted: Pesona karpet merahOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
ANUGERAH Emmy Ke-63 yang berlangsung di Nokia Theatre, Los Angeles, California, Amerika Syarikat, malam Ahad lalu tidak ubah seperti temasya yang diadakan dengan penuh gilang-gemilang. Jika Oscar untuk karyawan filem dan Grammy pula mengiktiraf mereka yang terlibat dalam dunia muzik, Emmy juga sama penting dalam memberi pengiktirafan kepada warga televisyen. Tidak hanya hadir memberikan sokongan dan memeriahkan majlis penuh prestij itu tetapi peluang itu juga diambil oleh artis untuk pasang badan dengan busana indah dilengkapi aksesori menawan lagi mewah. Tahun ini, karpet merah Emmy tidak kurang hebatnya apabila mereka hadir dengan gaya tersendiri sekali gus menjadi perhatian lensa kamera. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan