Rabu, 28 September 2011

Utusan Online - Feminin


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Tengku Rozidar tidak takut gagal

Posted:

Tengku Rozidar tidak takut gagal

Tengku Rozidar tidak takut gagal

Oleh SHOLINA OSMAN
Gambar MOHD. NAIM AZIZ


Tengku Rozidar Tengku Zainal Abidin


SEPANJANG 14 tahun menerajui sistem franchis makanan segera hot dog yang satu-satunya milik bumiputera, pada dasarnya tidak berlalu dengan sebegitu mudah.

Tetapi bagi pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nineteen One atau lebih dikenali Hotdog 1901, Tengku Rozidar Tengku Zainal Abidin, 43, dengan berbekalkan prinsip tidak takut gagal dan semangat yang cekal sahaja mampu membuatkan syarikat itu berdiri teguh sehingga ke hari ini.

''Langit tidak selalu cerah dan begitu juga dengan 1901 di mana turut berhadapan dengan risiko naik turun di dalam perniagaan,'' katanya ketika ditemui di kiosk 1901 di Sunway Giza, Kota Damansara baru-baru ini.

Tengku Rozidar juga memberitahu dia tidak malu untuk menceritakan bahawa pernah melalui pengalaman menggadaikan barang kemas dan kereta mewah hanya untuk melangsaikan segala hutang demi perniagaan.

Tetapi itu semua bukan pematah semangat sebaliknya menjadi pendorong untuk meletakkan 1901 pada kedudukan yang sepatutnya seperti hari ini.

''Pelanggan hanya tahu 1901 terus ada supaya mereka dapat terus menikmati hot dog yang disediakan dalam pelbagai resipi enak, berkhasiat, bersih dan dengan harga yang berpatutan,'' katanya.

Jelas Tengku Rozidar, semangatnya memang tidak boleh pudar semata-mata kerana tidak sanggup berhadapan dengan masalah yang melanda.

''Situasi itu berulang lagi pada tahun lalu sehingga menyebabkan cawangan 1901 di Singapura dan Indonesia terpaksa ditutup,'' katanya.

Katanya, membuka cawangan di luar negara memang berisiko tinggi tetapi masalah yang dihadapi masih terkawal.

''Sukar sebenarnya untuk mengendalikan cawangan di luar negara kerana dalam masa yang saya harus memantau semua cawangan di sini,'' katanya.

Lebih memeritkan lagi kata Tengku Rozidar, dia juga terpaksa memberhentikan sejumlah pekerja supaya dapat menguncupkan perbelanjaan kewangan.

Antara puncanya kerana pada ketika itu dia berdepan dengan masalah pekerja yang tidak jujur terutamanya yang melibatkan hal kewangan.

Tetapi Tengku Rozidar tetap percaya bahawa setiap masalah itu tetap ada jalan keluarnya.

''Saya juga tidak suka mengaku kalah, apa yang penting memberikan sepenuh perhatian untuk menyelesaikannya secara tenang,'' katanya.

Katanya, setelah semua cawangan luar negara ditutup maka dia mula menumpukan sepenuh pemerhatian ke atas semua cawangan di dalam negara supaya berjalan dengan lancar dan sempurna.

Tengku Rozidar mengakui ketika bekerja dia memang seorang yang amat tegas.

''Saya akui ada kalanya garang tetapi sikap itu memang bertempat supaya segala arahan yang diberikan kepada kakitangan berjalan dengan baik.

''Sebarang keputusan biasanya dikaji secara terperinci dan kerana itu biasanya tidak akan ditarik balik,'' tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, ketegasan ini membuatkan dirinya akhirnya telah berjaya memulihkan semula kedudukan 1901 yang hampir goyah dalam jangka masa hampir setahun.

Memang perit katanya, tetapi demi memikirkan nasib franchisor terletak di tangannya, maka Tengku Rozidar meletakkan kepentingan syarikat di tempat teratas berbanding dengan soal peribadi.

''Apa yang penting saya mahukan 1901 terus memberikan perkhidmatan makanan segera yang berkhasiat lagi halal untuk rakyat di negara ini,'' katanya.

Menurut beliau, perniagaan dalam bidang makanan ini sebenarnya rumit bukan sahaja perlu menitikberatkan dari segi kebersihan malah sehingga kepada layanan kepada pelanggan.

Atas sebab itu, dia sentiasa menasihatkan franchisornya supaya jangan membiarkan 1901 hanya diuruskan oleh pekerja sahaja.

Tengku Rozidar memberitahu, franchisor tidak boleh lepas tangan sebaliknya perlu berkerja kuat setelah sanggup melabur wang dalam jumlah yang besar.

''Sepatutnya franchisor itu yang perlu berada di kiosknya sendiri sepanjang masa dan cuba untuk memasarkan sendiri demi untuk memastikan produk yang dijual itu mampu mengaut keuntungan,'' katanya.

Namun kata Tengku Rozidar, bagi memastikan semua franchisor di bawahnya berjaya maka dia dari semasa ke semasa akan bertemu dengan mereka.

Bagaimanapun katanya, dia tidak boleh menumpukan perhatian kepada semua frachisor 1901 ini dalam satu-satu masa.

Beliau akui agak sedih apabila ada franchisor yang terpaksa menutup perniagaan begitu sahaja sehingga menyebabkan semua duit yang dilaburkan dari hasil titik peluh semasa bekerja hilang begitu sahaja.

Sehubungan itu, katanya kejayaan 1901 memerlukan sokongan semua pihak bagi memastikan franchise milik anak Melayu ini mampu bersaing pada bila-bila masa pun.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved