Utusan Online - Pahang |
- Jangan terpedaya pemberian tanah
- Hanya 13,300 majikan daftar Perkeso
- Guru, pelajar diserang histeria
Jangan terpedaya pemberian tanah Posted: Jangan terpedaya pemberian tanahOleh ALI MAHMOOD KUALA LIPIS 22 Julai - Rakyat Pahang diingatkan supaya tidak terpedaya dengan janji Pas kononnya akan meluluskan tanah jika parti itu berkuasa di negeri ini pada pilihan raya umum akan datang. Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, parti pembangkang itu dikatakan sedang mengedar borang permohonan tanah kepada orang ramai bagi tujuan tersebut. Tegas beliau, semua janji tersebut adalah bohong dan ia terbukti kerana pembangkang tidak memberikan tanah seperti yang dijanjikan sebelum ini kepada rakyat di negeri-negeri yang diperintah oleh mereka ketika ini. Kata beliau, sebaliknya apa yang berlaku di Kelantan menjadi contoh bagaimana tanah diterokai oleh rakyat diambil semula oleh kerajaan negeri seperti yang berlaku kepada masyarakat Orang Asli di Gua Musang. "Sementara di Pulau Pinang pula, banyak gerai makanan yang dibina di atas tanah rizab kerajaan negeri dirobohkan, mereka langsung tidak menggunakan budi bicara atau bertolak ansur untuk membantu peniaga gerai makanan tersebut," katanya. Adnan berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan 1,000 kakitangan awam, pemimpin tempatan dan penduduk daerah ini di Dewan Jubli Perak di sini, kelmarin. Beliau diminta mengulas mengenai taktik Pas Bahagian Raub yang dikatakan mengedar borang tanah kepada penduduk di Batu 12, Ladang Cheroh, Raub, baru-baru ini. Menurut Adnan, dakwaan Pas akan turut mengagihkan tanah Felda Plantation kepada generasi baru Felda juga tidak munasabah kerana tanah tersebut merupakan sumber pendapatan Felda. "Jika Felda Plantatiom ditutup, tiada sumber pendapatan seperti mana dinikmati hari ini dan syarikat itu merupakan sumber kewangan terbesar kepada Felda kerana hasil yang didapati itu membolehkan agensi tersebut memberikan pelbagai bantuan kepada peneroka," jelasnya. Beliau menyifatkan janji parti itu sama seperti cerita di zaman Perang Dunia Kedua semasa penjajahan Jepun dahulu, kononnya jika rakyat sokong Jepun, mereka akan menerima makanan dan pakaian percuma. Katanya, apa yang berlaku adalah sebaliknya kerana pada zaman Jepun, rakyat hidup menderita dan menghadapi kesusahan termasuk terpaksa makan ubi kayu serta menanggung pelbagai azab sengsara. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Hanya 13,300 majikan daftar Perkeso Posted: Hanya 13,300 majikan daftar Perkeso
ROMPIN 22 Julai - Hanya kira-kira 13,300 majikan pelbagai sektor di seluruh Pahang yang telah berdaftar di bawah skim caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan jumlah itu masih lagi di bawah tahap sederhana. Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, jumlah tersebut sepatutnya lebih tinggi kerana para majikan perlu sedar bahawa mereka mesti memberikan perlindungan keselamatan kepada para pekerja masing-masing. Sehubungan itu kata beliau, Perkeso sentiasa dan akan terus memperhebatkan pemeriksaan menerusi 'Ops Kesan' bagi mengenal pasti majikan ingkar yang tidak mencarum pekerja mereka menerusi agensi itu. "Majikan perlu sedar terhadap kepentingan sosial pekerja kerana mereka yang ingkar boleh didakwa di bawah Akta Keselamatan Sosial 1969 yang boleh membawa hukuman penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Kaunter Setempat Perkeso di Balai Raya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Muadzam Shah di sini, semalam. Dalam pada itu, Maznah berkata, pembukaan Kaunter Perkeso di balai raya tersebut sebagai usaha kerajaan memberi kemudahan kepada majikan dan pekerja berurusan dengan agensi itu. Tambahnya, melalui usaha itu diharap sektor perladangan, perniagaan, industri kecil dan sederhana, institusi perbankan dapat menggunakan perkhidmatan itu. Maznah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah berkata, kaunter itu pada setiap Rabu pertama dan ketiga setiap bulan. | ||
Guru, pelajar diserang histeria Posted: Guru, pelajar diserang histeriaKUANTAN 22 Julai - Lebih 10 pelajar termasuk guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Baging dekat Sungai Ular di sini diserang histeria hari ini, dipercayai berpunca daripada gangguan makhluk halus. Kejadian itu bermula seawal pukul 8 pagi dan berlarutan selama empat jam menyebabkan pelajar lain di sekolah tersebut tidak dapat meneruskan pelajaran mereka. Salah seorang mangsa, Adila Jasmi, 16, berkata, kejadian bermula selepas para pelajar selesai mengadakan rutin solat hajat dan bacaan surah Yasin pada hari ini. Menurutnya, semasa mahu masuk ke kelasnya yang terletak di tingkat tiga, dia bersama beberapa pelajar lain ternampak satu lembaga menyerupai seorang wanita berlari laju di dalam kelas. "Walaupun berasa tidak sedap hati, kami tidak berprasangka buruk dan hanya menggangap lembaga itu mungkin tukang cuci," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini, hari ini. Adila berkata, beberapa minit kemudian, salah seorang pelajar lelaki memberitahu dia sakit kepala dan ternampak ada lembaga hitam sedang duduk mencangkung di sebelahnya. Tambahnya, tiba-tiba, dia dan beberapa rakan lain juga mengalaminya sebelum berperasaan seperti ada sesuatu meresapi tubuh mereka. "Dalam keadaan separuh sedar itu, saya terlihat satu lembaga tanpa kepala yang amat menakutkan berdiri di hadapan menyebabkan saya menjerit ketakutan," katanya. Katanya, bagaimanapun dia berjaya dipulihkan oleh seorang ustaz. Seorang guru perempuan berusia lingkungan 30-an juga turut diserang histeria. Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Mazlan Mohamad mengesahkan kejadian tersebut. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan