Utusan Online - Utara |
- Pendapatan pemandu terjejas
- Patuhi lima teras utama etika profesional juruaudit - Sultan
- 1,000 penduduk Orang Asli rayu kemudahan asas
Posted: Pendapatan pemandu terjejasOleh MALINDA ABDUL MALIK
PULAU PINANG 19 Mei – Keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan sebuah persatuan baru menyebabkan pendapatan pemandu limousin di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL), di sini terjejas. Pengerusi Persatuan Pemandu Limousin LTABL, Hafizi Ahmad berkata, bukan sahaja pendapatan terjejas, ada di kalangan ahli berselisih faham akibat masalah pengurusan yang kelam-kabut. Menurutnya, punca kemelut berlaku selepas ROS meluluskan permohonan sebuah persatuan baru pada Mei tahun lalu yang dianggotai bekas pemandu limousin yang sudah diberhentikan kerja akibat masalah disiplin. Beliau menambah, ibarat dua nakhoda dalam satu kapal, terdapat pelbagai masalah dan perbalahan tercetus hingga menimbulkan ketegangan seperti kekeliruan dalam mengambil penumpang. "Pendapatan bukan saja terjejas malah, ada ahli persatuan bermasam muka sedangkan masalah sebegini tidak pernah wujud sebelum persatuan baru yang mempunyai hanya 18 ahli itu ditubuhkan. "Persatuan baru itu tidak wajar diluluskan kerana persatuan kami yang mempunyai 240 ahli sudah bertapak di sini sejak 26 tahun lalu dan masih bergiat aktif. "Jika ini berterusan, saya bimbang ramai ahli yang tidak sehaluan dan banyak masalah lain membabitkan pengurusan penumpang akan berlaku," katanya. Beliau ditemui selepas bantahan secara aman yang disertai kira-kira 60 ahli Persatuan Pemandu Limousin LTABL, di sini baru-baru ini. Bantahan selama 15 minit itu bagi mendesak campur tangan ROS dalam masalah berkenaan. Hafizi memberitahu, pihaknya sudah membuat aduan kepada Pengarah ROS negeri sebanyak tiga kali namun, tiada jawapan memuaskan diterima. "Kami hanya dipanggil untuk memberikan laporan kepada mereka selepas surat aduan ketiga diserahkan pada April lalu," ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Patuhi lima teras utama etika profesional juruaudit - Sultan Posted: Patuhi lima teras utama etika profesional juruaudit - Sultan
IPOH 19 Mei - Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mengingatkan juruaudit supaya sentiasa mematuhi etika profesion yang terdiri daripada lima teras utama iaitu bersifat teliti, halus, mendalam, tajam dan tepat. Baginda bertitah, komponen itu wajib dipatuhi apatah lagi tanggungjawab melakukan audit melibatkan nyawa dan keselamatan manusia. "Dalam memenuhi tugas tersebut, tugas juruaudit bukan sekadar memastikan urusan kewangan dipatuhi sepenuhnya tetapi bertanggungjawab menentukan bahawa tahap piawaian yang tinggi tidak dikompromi dalam menilai kualiti peralatan dan penyelenggaraan peralatan," titah baginda. Baginda bertitah demikian pada majlis perasmian Wisma Audit Negeri Perak di Bandar Meru Raya, di sini hari ini. Hadir sama, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Raja DiHilir, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang. Sultan Azlan berkata, kumpulan juruaudit yang dihormati adalah daripada kalangan mereka yang tidak berkompromi kerana takut kehilangan pelanggan atau bimbang kehilangan jawatan. "Mereka yang tegas dan bebas tidak akan menutup kesilapan dan berani mendedahkan kebenaran, mengemukakan laporan secara tepat berasaskan bukti dan data, serta menyempurnakan tanggungjawab dalam tempoh masa yang ditetapkan juga akan dihormati," titah baginda. Baginda bertitah, sering kali berlaku kepincangan di peringkat pengurusan tertinggi tidak didedahkan di peringkat awal malah, cuba ditutup kerana adanya hubungan terlalu rapat di antara juruaudit dengan pelanggan. Sehinggakan titah baginda, ada juruaudit yang terperangkap dengan hubungan tersebut dan tergamak mengorbankan prinsip-prinsip utama profesion audit. "Akibatnya organisasi lumpuh dan pemegang saham terpaksa menanggung kerugian," titah baginda. Sultan Azlan bertitah, pengurusan tinggi perkhidmatan awam yang menghayati budaya amanah, telus, jujur dan cekap akan melihat juruaudit sebagai rakan kongsi yang dapat menambah baik pengurusan organisasi atau agensi di bawah kawalan mereka. Baginda turut melahirkan rasa gembira melihat kerjasama erat antara Jabatan Audit Negara di Perak dengan agensi-agensi kerajaan negeri telah membantu meningkatkan prestasi pencapaian agensi-agensi berkenaan. "Sejak 2006, hasil kerajaan negeri telah meningkat 23.4 peratus tahun lalu kepada RM793 juta berbanding RM643 juta pada 2009," titah baginda. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
1,000 penduduk Orang Asli rayu kemudahan asas Posted: 1,000 penduduk Orang Asli rayu kemudahan asas
SUNGAI SIPUT 19 Mei - Kira-kira 1,000 Orang Asli yang tinggal di tujuh buah kampung di Pos Perwor di sini merayu pihak berkuasa menyediakan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan tenaga elektrik walaupun sudah 20 tahun tinggal di kampung itu. Ketua UMNO Cawangan Kampung Saseh, Adin Ngah, 41, berkata, tujuh kampung terlibat ialah Kampung Saseh, Kelatap, Talang, Satut, Lana, Thenglek dan Takung yang kesemuanya terletak kira-kira 50 kilometer dari Sungai Siput. ''Hampir semua penduduk di situ mencari rezeki dengan berkebun dan menternak haiwan, maka kemudahan jalan yang sempurna amat diperlukan bagi memasarkan hasil pertanian itu,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini. Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi terlibat mendapati, keadaan jalan masuk ke kampung itu cukup teruk dan daif seperti berada di sebuah kawasan yang jauh di pedalaman atau kawasan kampung di tahun 70-an. Disebabkan tiada kemudahan asas, kehidupan mereka kini semakin tertekan dan keadaan kampung berkenaan sangat berbeza dengan kawasan berhampiran walaupun terdapat sumber ekonomi seperti ladang kelapa sawit untuk menyara kehidupan mereka. ''Walaupun pembangunan di kampung kami dipinggirkan, kami tetap syukur. Kami telah memperjuangkan isu ini sejak lebih 10 tahun lalu bagi membolehkan kami menjalani kehidupan dengan lebih sempurna," katanya. Adin berkata, ketiadaan jalan raya menyukarkan kehidupan mereka, lebih-lebih lagi apabila waktu hujan kerana jalan tanah yang berselut dan licin. Tok Batin Kampung Lanar, Long Anjang, 56, pula berkata, keadaan itu juga menyulitkan anak-anak mereka untuk ke sekolah dan penduduk tidak dapat membawa hasil tanaman untuk dijual. ''Kebanyakan kami ada membeli peti ais dan televisyen tetapi disebabkan ketiadaan bekalan elektrik, kesemua peralatan tersebut tidak dapat digunakan dan kami hanya menggunakan penjana elektrik untuk menyalakan lampu di waktu malam," katanya. Tok Batin Kampung Kelatap, Yusof Alang, 53, berkata, kebanyakan penduduk di tujuh kampung berkenaan masih menetap di rumah lama yang diperbuat daripada buluh dan atap rumbia manakala bekalan air diperoleh dari kawasan bukit berhampiran. ''Kadang-kadang air sungai tidak boleh digunakan kerana airnya terlalu keruh disebabkan pembalakan di kawasan ulu sungai dan kami akan menunggu beberapa ketika sebelum boleh menggunakannya semula," katanya. Menurutnya, mereka juga mahukan sebuah klinik kesihatan di kawasan berkenaan untuk memudahkan rawatan seperti demam dan pemeriksaan ibu mengandung. ''Jika terdapat penduduk kawasan ini sakit, kami terpaksa menyewa kereta untuk membawa pesakit berkenaan ke Hospital Sungai Siput yang terletak 40 kilometer dari sini," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan