Ahad, 25 Disember 2011

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Mukhriz dan 'salam kalih' di Kedah

Posted:

Mukhriz dan 'salam kalih' di Kedah

Mukhriz dan 'salam kalih' di Kedah

Oleh Zulkiflee Bakar
pengarang@utusan.com.my

PADA tahun 2005 iaitu kira-kira tiga tahun sebelum pilihan raya umum 2008, Kedah yang ketika itu di bawah penguasaan Barisan Nasional (BN) dilanda banjir besar.

Ramai yang mengaitkan banjir berkenaan dengan jatuhnya kerajaan BN pada tahun 2008. Pada tahun lalu Kedah dilanda banjir besar sekali lagi dan kali ini ia berada di bawah pemerintahan Pas.

Tetapi soalnya apakah teori politik bencana alam ini boleh dijadikan ukuran bahawa Kedah akan kembali kepada BN?

Mungkin apa yang berlaku secara kebetulan sahaja kerana kalau mahu dikaitkan banjir dengan senario politik, sudah lama Kelantan kembali ditawan oleh UMNO.

Hakikatnya, sama ada sebuah parti itu boleh menang dalam pilihan raya atau tidak, ia terpulang kepada mereka mengatur strategi dan melaksanakan visi bagi memenangi hati rakyat.

Namun apa yang pasti Pas Kedah di bawah pimpinan Datuk Seri Azizan Abd. Razak sebagai Menteri Besar dikatakan menghadapi laluan sukar untuk mempertahankan pemerintahan parti berkenaan.

Pas bukan sahaja berhadapan dengan isu domestik yang berkaitan dengan kegagalan mereka membangunkan Kedah, malah akan terpalit juga dengan isu nasional terutamanya berkaitan 'penghijrahan' perjuangan Pas dari negara Islam kepada negara berkebajikan.

Sememangnya sudah ada tafsiran dan analisis yang menyatakan bahawa Pas tidak akan mampu bertahan dalam pilihan raya umum nanti, BN dikatakan akan kembali memerintah Kedah.

Tetapi soalnya bersediakah UMNO Kedah menjadikan impian itu satu kenyataan?

Serangan bertubi-tubi ke atas Pas belum tentu akan mampu mempengaruhi rakyat untuk menyokong UMNO dan BN.

Apa yang membimbangkan sudah ada orang Kedah berkata, ''Pas memang teruk bila perintah Kedah tetapi UMNO lagi teruk sebab tak mau menang.''

Kita tidak pasti sejauh manakah kata-kata yang dilafazkan oleh seorang veteran UMNO ini benar tetapi apa yang pasti UMNO Kedah tidak boleh leka lagi.

Perkara yang paling penting sekarang ialah menyenaraikan calon boleh menang mengikut kriteria yang ditetapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam soal ini, penyokong-penyokong BN dan termasuk rakyat Kedah sendiri ternanti-nanti siapakah yang bakal disenaraikan sebagai panglima dan hulubalang yang akan menegakkan kembali panji-panji BN di negeri berkenaan.

UMNO Kedah perlu ingat dengan pelbagai isu yang melumuri Pas Kedah sekarang, ia dianggap kesempatan terbaik bagi mencatatkan kemenangan dalam pilihan raya nanti.

Sebab itulah, UMNO Kedah tidak boleh berada dalam 'zon selesa', sebaliknya perlu membuat persediaan lebih agresif bagi memastikan matlamat menumbangkan Pas berjaya.

Rakyat Kedah sememangnya sudah memahami sejauh mana kemampuan Pas memerintah dan difahamkan sudah ada tekad serta keazaman yang tinggi untuk mereka kembali kepada BN.

''Peluang BN cukup cerah tetapi segala- galanya bergantung kepada UMNO untuk membuat percaturan.

''Paling rakyat tunggu ialah apakah benar UMNO akan menyenaraikan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir sebagai calon Menteri Besar, jika BN menang, biar pun Pengerusi Perhubungan ketika ini ialah Datuk Ahmad Bashah,'' kata satu sumber yang bertanggungjawab membuat satu kaji selidik mengenai politik Kedah.

Difahamkan melalui satu kaji selidik yang dijalankan itu, Mukhriz dikatakan berada di kedudukan tertinggi dalam rating siapa yang paling layak menjadi Menteri Besar. Beliau dikatakan meninggalkan jauh Azizan dari segi populariti.

Mukhriz dilihat bukan sahaja disenangi oleh semua peringkat umur malahan masyarakat pelbagai kaum juga menyukai beliau.

Walaupun terdapat kebimbangan bahawa kehadiran Mukhriz mungkin tidak disenangi oleh sesetengah kelompok terutamanya orang lama dalam UMNO Kedah namun apa yang lebih penting ialah penerimaan rakyat.

''Penentangan terhadap Mukhriz tidak akan memberi banyak kesan kerana sebahagian besar pemimpin UMNO di Kedah sudah bertekad untuk tumbangkan Pas.

''Kalau ada pun yang tidak puas hati, mungkin mereka kelompok kecil sahaja, apa yang penting kehendak majoriti rakyat yang mahu melihat Mukhriz memimpin Kedah,'' kata sumber itu lagi.

Menurut sumber tersebut, pemilihan Mukhriz dikatakan akan mampu menghapuskan persepsi bahawa UMNO Kedah hanya bergantung kepada muka lama yang sebahagiannya sudah ditolak oleh rakyat.

''Apatah lagi Mukhriz dilihat mempunyai cara tersendiri mendekati rakyat dan sikap rendah diri serta latar belakang beliau sebagai anak kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad juga dikatakan akan memberi kelebihan dalam membantu UMNO dan BN meraih sokongan rakyat Kedah,'' kata sumber itu.

Apa pun kata sumber tersebut, isu yang lebih besar perlu diperkatakan ialah mengenai UMNO Kedah itu sendiri sejauh manakah mereka bersedia mengukuhkan barisan bagi memastikan kemenangan.

''Pemimpin-pemimpin UMNO mesti bersatu hati dan terima siapa sahaja yang dicalonkan untuk bertanding dan menjadi pemimpin utama mereka,'' kata sumber itu lagi.

Atas sebab itulah, UMNO Kedah tidak ada masa lagi hendak melayan sebarang kerenah mana-mana pemimpin yang 'syok sendiri' dengan menganggap beliau paling layak menjadi calon atau calon boleh menang dan akan merajuk kalau tidak terpilih.

Hakikatnya, bukan mereka yang berhak menilai sama ada layak atau tidak tetapi rakyat, sebab yang akan mengundi ialah rakyat bukan kaum keluarga pemimpin itu sahaja.

Seharusnya dalam memastikan UMNO dan BN Kedah tidak kecundang lagi, prinsip 'tiada belas ihsan' perlu diterapkan, mana-mana pemimpin yang difikirkan tidak layak dan boleh menyebabkan parti kalah dalam pilihan raya umum nanti harus digugurkan daripada senarai.

Namun begitu, mereka perlu diberitahu lebih awal supaya ada masa untuk mengubat hati yang luka sebab kita pasti ada antara mereka sentiasa berusaha mendekati rakyat tetapi populariti tetap tidak meningkat.

Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti boleh dianggap penentu kepada masa depan UMNO Kedah, oleh itu tidak harus ada ruang kepada mana-mana pemimpin negeri berkenaan mengamalkan sikap hipokrit dan retorik.

Kita harus ingat dan perlu mengakui bahawa kekalahan tipis UMNO Kedah kepada pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum lalu bukan kerana pembangkang kuat tetapi akibat pergolakan dalaman di sesetengah kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Mana mungkin UMNO akan menang kalau ada usaha sabotaj oleh pemimpin parti itu sendiri apabila melaksanakan apa yang dipanggil isyarat 'salam kalih' (salam ubah) pada hari pengundian yang bermaksud jangan undi calon BN.

Ini bukanlah tohmahan tetapi fakta yang tidak boleh dinafikan oleh kelompok yang menjadi 'pengkhianat' kepada parti sendiri.

Apa pun, mungkin mereka sudah insaf dan menyaksikan bahana akibat daripada sikap hipokrit berpolitik iaitu UMNO hilang kuasa di Kedah.

Justeru dalam pilihan raya umum akan datang, mereka perlu menebus 'dosa salam kalih' dengan memastikan Kedah kembali berada di dalam genggaman BN dan seterusnya menewaskan Pas yang dianggap Mukhriz semakin 'kemereh'.

Full content generated by Get Full RSS.

Kecemerlangan bukan sekadar akademik

Posted:

Kecemerlangan bukan sekadar akademik

Kecemerlangan bukan sekadar akademik

Tan Sri Allimuddin Mohd Dom


sebahagian daripada pelajar cemerlang gembira sambil menunjukkan keputusan cemerlang 8A pada peperiksaan PMR di Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra di Kangar, Perlis, baru-baru ini.


TAHNIAH kepada 34,271 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang iaitu A dalam semua mata pelajaran. Demikian juga kepada pelajar lain yang mendapat sekurang- kurangnya beberapa A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan baru-baru ini.

Kepada mereka yang tidak cemerlang atau tidak mendapat satu A pun janganlah kecewa dan berputus asa kerana dunia masih belum lagi berakhir.

Ada banyak lagi perkara yang perlu anda fikirkan dalam hidup ini dan kejayaan masa depan bukan semata-mata bergantung kepada kecemerlangan akademik tetapi melibatkan beberapa kriteria lain.

Kepada ibu bapa janganlah menunjukkan sikap marah atau mengeluarkan perkataan yang menyakitkan hati anak sekiranya mereka tidak mendapat keputusan cemerlang. Elakkan suka berleter atau menyindir kerana ia boleh mengecilkan hati anak.

Ada juga ibu bapa yang sengaja membandingkan dengan anak jiran atau sanak saudara lain yang mendapat keputusan lebih baik.

Pada ketika ini apa yang perlu dilakukan ialah memberi mereka kekuatan semangat atau kata-kata galakkan supaya membuat penilaian atau muhasabah diri dan berusaha lebih keras agar mendapat keputusan lebih baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan ditempuhi dua tahun lagi.

Tidak dapat dinafikan fenomena dalam setiap kali peperiksaan sama ada di peringkat rendah atau menengah ibu bapalah yang paling sibuk jika dibandingkan dengan anak yang mengambil peperiksaan. Sebelum tarikh peperiksaan bermula pergerakan anak sentiasa dikawal.

Ada di antara ibu bapa yang tidak membenarkan anak mengikuti aktiviti kokurikulum dan permainan di sekolah kerana dikatakan akan mengganggu rentak mereka membuat persediaan bagi menghadapi peperiksaan.

Kelas-kelas tuisyen sudah menjadi kemestian, tidak cukup di sebelah petang maka waktu malampun terpaksa menghadiri kelas tersebut.

Bagi yang lebih prihatin akan mengambil cuti khas untuk membolehkan mereka menghantar dan mengambil anak ke sekolah sepanjang masa peperiksaan.

Debaran ibu bapa kian memuncak apabila keputusan peperiksaan diumumkan. Di sesetengah sekolah bilangan ibu bapa yang hadir melebihi bilangan calon yang mengambil peperiksaan.

Bila keputusan diumumkan ibu bapa akan tersenyum lebar sekiranya anak mendapat keputusan cemerlang tetapi akan masam mencuka jika keputusan sebaliknya.

Ada juga yang tidak berpuas hati dengan keputusan lantas berjumpa pengetua untuk mengisi borang bagi menyemak semula keputusan peperiksaan yang baru diumumkan itu.

Turut terdapat kes yang keterlaluan iaitu dengan marah-marah dan menyalahkan guru atau pihak sekolah yang menyebabkan anaknya tidak mendapat keputusan baik.

Suasana meriah apabila keputusan peperiksaan UPSR, PMR, SPM atau STPM diumumkan turut dimainkan oleh media massa. Wartawan akhbar atau televisyen bukan sahaja membuat liputan semasa pengumuman keputusan peperiksaan di Kementerian Pelajaran tetapi turut menghantar wartawan ke sekolah-sekolah tertentu.

Suasana hiruk-piruk semasa penyerahan slip peperiksaan atau ketika pelajar bersorak riang diberikan fokus utama. Gambar pelajar dijulang atau sedang menangis kegembiraan turut diberi liputan. Menjadi kebiasaan temu bual dibuat dengan pelajar cemerlang dan ibu bapa. Ironinya jarang yang memberi pujian kepada jasa dan sumbangan guru atau pengetua.

Akibat terlalu banyak liputan dan publisiti oleh media massa terhadap pencapaian pelajar dalam peperiksaan maka ada yang bertanya adakah matlamat pendidikan seolah- olah terletak kepada keputusan peperiksaan?

Sekolah-sekolah yang cemerlang hanya dinilai terhadap berapa peratus keputusan cemerlang dalam setiap mata pelajaran atau berapa ramai pelajar yang mendapat A dalam peperiksaan tersebut.

Terlalu menekankan pencapaian dalam peperiksaan atau komponen intelek sahaja maka bidang jasmani, rohani dan emosi seolah-olah telah diabaikan. Sedangkan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan menghendaki perkembangan seimbang dalam keempat komponen tersebut supaya dapat dilahirkan modal insan atau individu yang bersifat holistik dan berketerampilan sesuai dengan keperluan cabaran global dan tuntutan masa.

Jika ditanya kepada pengetua atau guru- guru mengapa mereka turut memberi penekanan kepada bidang akademik. Jawapannya telah dijangka bahawa inilah yang dikehendaki oleh ibu bapa iaitu ingin melihat anak- anak mereka mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.

Tidak dapat dinafikan pencapaian itu pula ada kaitan dengan peluang untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi dan bagi mendapat biasiswa atau bantuan pelajaran.

Ternyata bahawa peluang memasuki institusi pengajian tinggi awam yang ternama dan memilih bidang kajian yang diminati adalah banyak dipengaruhi kecemerlangan keputusan peperiksaan.

Sesungguhnya keadaan ini adalah di luar kawalan pihak sekolah dan norma itu telah lama wujud dalam masyarakat kita.

Apakah ukuran sebenar untuk menjadi seorang pelajar yang berjaya di masa hadapan? Tidak dapat dinafikan bahawa pencapaian cemerlang dalam peperiksaan adalah salah satu kriterianya.

Walau bagaimanapun ciri-ciri lain perlu ada iaitu mempunyai pemikiran yang kreatif, inovatif, kemahiran berkomunikasi, kebolehan membuat keputusan, sikap berani mencuba, tidak takut gagal, rajin, ada kesungguhan, proaktif dan mempunyai tubuh badan yang sihat.

Individu yang mempunyai ciri-ciri tersebut dikatakan mempunyai kelebihan, peluang dan kekuatan selepas meninggalkan bangku sekolah.

Mereka mampu berhadapan dengan pelbagai cabaran dan berkeupayaan bersaing dalam dunia yang kian mencabar.

Oleh itu kepada pelajar yang tidak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan yang lepas jangan merasa kecewa atau berputus asa. Cuba bermuhasabah diri dan renungkan kembali apakah sebab atau punca yang yang menyebabkan keputusan tidak menyerlah.

Ambil langkah susulan dan tindakan segera bagi memperbetulkan keadaan tersebut. Walaupun peperiksaan SPM akan menjelang dua tahun lagi tetapi buatlah persediaan awal supaya pencapaian yang akan datang lebih cemerlang.

Kepada ibu bapa pula berikan dorongan dan bimbingan agar anak sentiasa merasa lebih dihargai dan yakin dengan kebolehan diri mereka sendiri.

Selamat berusaha.

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru

Malaysia Berhad.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Peniaga bantah Choo Keong

Posted:

Peniaga bantah Choo Keong

Peniaga bantah Choo Keong

MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
kota@utusan.com.my


PENIAGA di Bazar Uptown Danau Kota, Setapak berkumpul bagi membuat bantahan dan menyatakan rasa tidak puas hati di hadapan Pejabat Ahli Parlimen Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 25 Dis. - Kemelut yang menyelubungi aktiviti perniagaan di bazar larut malam di Danau Kota, Wangsa Maju mencapai kemuncaknya baru-baru ini apabila kira-kira 600 peniaga berarak dan menunjuk perasaan di depan pejabat ahli Parlimen kawasan itu, Wee Choo Keong untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.

Tunjuk perasaan itu, yang diketuai oleh Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah mendakwa Choo Keong ialah antara pihak yang mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengehadkan hari operasi perniagaan di kawasan yang lebih dikenali sebagai Uptown Danau Kota itu daripada enam hari kepada empat hari seminggu.

Tindakan mengehadkan hari operasi perniagaan itu telah mula dikuatkuasakan sejak hampir dua bulan lalu.

Bagaimanapun niat para peniaga untuk bersemuka dengan Choo Keong bagi menyatakan bantahan dan berbincang tidak kesampaian. Mereka hanya dapat bertemu dengan pembantu khasnya, Yaacob Ahmad yang berjanji akan menyampaikan pesanan peniaga untuk berjumpa dengan Choo Keong dalam satu pertemuan bersama wakil DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar bagi mencari jalan penyelesaian.

Yaacob berkata, Ahli Parlimen itu tidak berniat untuk menutup pintu rezeki para peniaga terlibat, tetapi mahu memberi keadilan kepada tuntutan penduduk di kawasan itu yang selama ini berasa kurang senang dengan kewujudan bazar tersebut.

"Kami akan mencari ruang untuk berbincang dengan peniaga dalam menyelesaikan kemelut ini dan berharap segala keputusan akan menguntungkan kedua-dua pihak iaitu peniaga dan juga penduduk," katanya.

Sementara itu Ridzuan berkata, tujuan bantahan itu diadakan adalah untuk meminta keadilan daripada pemimpin setempat terhadap nasib para peniaga berkenaan.

Katanya, peniaga terpaksa menanggung kerugian apabila hari operasi perniagaan mereka dikurangkan sebanyak dua hari, selain berasa gelisah apabila mendengar bahawa penutupan bazar tersebut juga bakal dilaksanakan.

Katanya, bazar itu adalah sumber rezeki utama peniaga yang keseluruhannya orang Melayu.

Tambahnya, pihaknya memberi masa seminggu kepada Choo Keong dan DBKL untuk mengadakan pertemuan dengan mereka.

Katanya, jika tidak mendapat maklum balas, pihaknya bersama peniaga telah bertekad untuk mengadakan bantahan di Parlimen minggu hadapan.

Full content generated by Get Full RSS.

Peniaga dibenar berniaga hari Khamis

Posted:

Peniaga dibenar berniaga hari Khamis

Peniaga dibenar berniaga hari Khamis

KUALA LUMPUR 25 Dis. - Peniaga bazar larut malam, Uptown Danau Kota boleh menarik nafas lega kerana permintaan mereka untuk berniaga di situ pada hari Khamis mendapat kebenaran Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, keputusan itu diambil setelah mengadakan perbincangan dengan penganjur Uptown Danau Kota, Ahmad Selamat.

Katanya, Ahmad menyatakan para peniaga bersetuju untuk berniaga empat hari seminggu kecuali Isnin dan Selasa tetapi mereka turut meminta dibenarkan berniaga pada hari Khamis bersama-sama peniaga pasar malam di tempat yang sama.

"Kementerian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengambil keputusan untuk membenarkan mereka berniaga pada hari Khamis tetapi haruslah mengikut waktu berniaga pasar malam iaitu sehingga pukul 12 tengah malam.

"Dari segi susunan tempat pula pihak persatuan hendaklah berbincang dengan Jabatan Penjaja," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pusat ulang kaji pelajaran untuk pelajar sekolah, Terminal Sejahtera yang pertama di Dewan Komuniti Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib dan Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup.

Raja Nong Chik berkata, keputusan mengehadkan hari perniagaan bazar itu sebelum ini bukanlah atas desakan wakil rakyat tetapi kerana mendapat banyak aduan daripada penduduk setempat yang terganggu dengan bunyi bising dan masalah trafik.

Menurutnya, pihaknya harus memikirkan situasi menang-menang bagi peniaga dan penduduk.

"Kami bukan sekadar mahu menjaga kepentingan peniaga sahaja tetapi juga kehendak penduduk. Ini kerana kami menerima banyak aduan daripada penduduk sekitar (bazar itu)," ujarnya.

Terdahulu, beliau berkata, Terminal Sejahtera tersebut diwujudkan untuk anak-anak warga miskin sebagai kemudahan untuk pembelajaran dan tuisyen secara interaktif menggunakan komputer dan Internet.

"Anak-anak ini mungkin kurang terdedah dengan teknologi (maklumat) di rumah dan usaha tersebut dibuat supaya memberi impak yang besar dalam jangka panjang," jelasnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Gunting rambut percuma di Bandar Tun Razak

Posted:

Gunting rambut percuma di Bandar Tun Razak

Gunting rambut percuma di Bandar Tun Razak


RIZALMAN Moktar (tengah) memeriksa guntingan yang dilakukan pada program Jom Gunting Rambut yang berlangsung di Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 25 Dis. - Sesi persekolahan 2012 akan bermula tidak lama lagi. Menjelang hari tersebut salah satu persediaan utama bakal pelajar adalah menggunting rambut masing-masing agar kemas sebelum ke sekolah.

Menyedari kepentingan tersebut, Pemuda UMNO Bahagian Tun Razak telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan program 'Jom Gunting Rambut' untuk para pelajar di kawasan tersebut.

Para pelajar boleh menggunting rambut dengan pelbagai gaya terkini secara percuma pada program tersebut.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Rizalman Moktar berkata, program itu adalah program rutin yang diadakan setiap tahun sebagai antara cara pihaknya berkhidmat untuk masyarakat sekali gus membantu mengurangkan kos ibu bapa bakal pelajar.

Katanya, pada tahun ini pihaknya akan mengadakan program tersebut di lapan kawasan terpilih di Bandar Tun Razak.

"Kami akan beroperasi di perkarangan pangsapuri-pangsapuri bagi memudahkan bakal pelajar untuk datang," katanya pada program Jom Gunting Rambut yang diadakan di Desa Tasik di sini, baru-baru ini.

Pada program tersebut kira-kira 100 bakal pelajar dikawasan berkenaan hadir untuk menggunting rambut masing-masing.

Ujarnya, walaupun sumbangan ini tidak besar, sekurang-kurangnya ia dapat membantu ibu bapa terutama bagi mereka yang mempunyai anak ramai.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Politik

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Politik


Mustafa terperangkap api fitnah - Hasan

Posted:

Mustafa terperangkap api fitnah - Hasan

Mustafa terperangkap api fitnah - Hasan


HASAN Ali (kiri) menjawab pertanyaan wartawan pada sidang media di rumahnya di Pinggiran Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 24 Dis. - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali menyifatkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali terperangkap di dalam prasangka buruk dan api fitnah apabila mengaitkan beliau terlibat dalam agenda politik UMNO.

Hasan berkata, sebagai seorang yang berjawatan tinggi dalam sebuah parti berteraskan Islam, Mustafa tidak sepatutnya dan tidak layak melakukan tuduhan serkap jarang terhadap diri beliau.

Sehubungan itu, Hasan menafikan wujud pertemuan antara beliau dan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa dengan mana-mana wakil UMNO di sebuah hotel pada Ramadan lalu seperti didakwa oleh Mustafa.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya pertemuan saya dengan mereka (UMNO) sama ada pimpinan di peringkat bawahan, pertengahan atau atasan pada masa dan tempat yang dinyatakan.

"Sekali lagi Mustafa terperangkap dengan prasangka buruk dan api fitnah sesama Muslim dan ahli jemaah," katanya pada sidang media di rumahnya di sini hari ini.

Sebaliknya Hasan mendakwa pertemuan bersama pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO pernah dilakukan oleh Mustafa beberapa kali sebelum ini.

"Bahkan ada permohonan daripada Setiausaha Agung itu sendiri untuk bertemu dengan seorang pemimpin tertinggi UMNO yang sehingga kini setakat yang saya maklum belum dapat diadakan," jelas beliau.

Bagi membuktikan siapa sebenarnya yang bersalah dalam tuduhan itu, Hasan mahu satu siasatan secara terperinci dilakukan oleh parti itu bagi mencari kebenaran sebenar.

Sementara itu, Hasan bertindak menarik balik kenyataan yang dibuat beliau pada 20 Disember lalu berhubung Negara Berkebajikan dengan menyifatkan ulasan beliau sebagai satu keterlanjuran.

"Saya mengakui terdapat unsur keterlanjuran sewaktu saya membuat ulasan terhadap perkara itu," jelas beliau.

Hasan berkata, sebagai ahli dan pimpinan dalam parti beliau bersetuju dengan konsep Negara Berkebajikan seperti diputuskan oleh pucuk pimpinan.

Bagaimanapun Hasan tetap dengan pendirian bahawa teguran tersebut dibuat untuk memperbetul perjuangan Pas yang semakin tersasar dari landasan asal kerana terlalu 'akomodatif' demi kepentingan parti-parti komponen.

"Demi perjuangan kita dan sayang kita pada Islam, saya dan teman-teman berpendapat eloklah negara Islam berbanding Negara Berkebajikan.

"Cuma kita perlu melihat dan pastikan betul-betul ia mempunyai kandungan, hujahan dan persembahan yang sama dengan konsep negara Islam," katanya.

Mengenai tawaran Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali kepada beliau untuk menyertai pertubuhan itu, Hasan berkata, beliau menolaknya kerana ingin memberikan perhatian untuk perjuangan Pas.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Ibrahim Ali atas tawaran itu tetapi kita mesti fokus. Saya tidak boleh letakkan kaki satu di sebelah sana dan satu lagi di sebelah sini," katanya.

Mustafa dalam dakwaan yang mengaitkan Hasan dengan agenda UMNO baru-baru ini mahu Hasan menjelaskan apa yang dibincangkan bersama tiga orang lain pada pertemuan di sebuah hotel sama ada ia berkait dengan politik atau ekonomi.

Sementara itu, Hasan membidas akhbar Harakah kerana laporan berita yang disifatkan pilih kasih dan menyebelahi pihak-pihak tertentu.

Menurutnya, aduan yang diterima beliau daripada pemimpin-pemimpin Pas dan orang ramai yang melanggan akhbar itu mengatakan Harakah kini seperti memperjuangkan golongan pemimpin dan parti-parti tertentu.

"Mereka kata persembahan akhbar itu kini mirip kepada satu golongan dan tidak mirip kepada golongan yang lain.

"Saya juga lihat ruang laporan banyak diberi keutamaan kepada parti-parti komponen dan bukannya kepada Pas sendiri," katanya.

Beliau berkata, laporan pilih kasih akhbar itu dipercayai berlaku atas arahan yang diberikan oleh pihak atasan parti bagi menjaga kepentingan dalam isu dan perkara tertentu.

Hasan berkata, perkara itu bukan sahaja berlaku kepada beliau tetapi kepada pemimpin tertinggi Pas seperti Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Haron Din yang pernah membuat temu bual berhubung isu gereja DUMC.

"Bayangkan kalau satu temu bual yang komprehensif bersama Haron Din pun tak dikeluarkan, Hasan Ali ini hanya udang kecil sahaja.

"Bagi saya siapa yang dapat menyebar luas dan menetapkan berita ke pangkuan masyarakat itu yang menjadi pilihan kita.

"Keterbukaan media-media ini untuk memberi ruang berita kepada orang seperti saya lebih besar daripada media yang dimiliki oleh parti sendiri,'' tambah beliau.

Sebaliknya katanya, beliau tidak mahu bergantung kepada media Pas semata-mata kerana berita tidak akan disampaikan secara menyeluruh.

"Saya rasa itu tindakan terbaik saya setakat ini dan laporan yang media arus perdana beri kepada saya amat mengagumkan.

"Bahkan dalam kontroversi negara berkebajikan, saya tak nampak pun media-media kerajaan memainkan peranan yang negatif kepada saya dan parti,'' katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menyarankan supaya akhbar Harakah kembali kepada matlamat asal dalam memperjuangkan parti dan mencontohi keterbukaan media arus perdana.

Full content generated by Get Full RSS.

Wanita UMNO jangan amal pilih kasih

Posted:

Wanita UMNO jangan amal pilih kasih

Wanita UMNO jangan amal pilih kasih


SHAHRIZAT Abdul Jalil dan Mohd. Ali Rustam (tengah) bersama ahli Pergerakan Wanita UMNO Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, semalam.


MELAKA 24 Dis. - Pergerakan Wanita UMNO diingatkan supaya tidak mengamalkan pilih kasih dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, sikap 'pilih bulu' perlu dihindari dalam usaha UMNO memenangi hati rakyat.

Katanya, setiap aktiviti itu perlu diselaraskan dengan Wanita Barisan Nasional (BN) dalam memastikan setiap hasrat rakyat dipenuhi tanpa mengira fahaman politik, kaum dan agama.

"Wanita UMNO jangan hanya mendekati masyarakat Melayu sahaja malah perlu turun padang bertemu dengan kaum lain selaras hasrat kerajaan dalam gagasan 1Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemantapan Gerak Kerja Pilihan Raya Wanita BN Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Menurut Shahrizat, Wanita UMNO sama ada di cawangan atau bahagian juga diminta menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan yang boleh disertai semua lapisan masyarakat tidak kira kaum dan agama.

"Visi kita adalah untuk mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat tidak kira latar belakang kaum dan agama kerana setiap rakyat mempunyai hak untuk mendapat perkhidmatan yang terbaik," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Sabtu, 24 Disember 2011

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Safee kempunan berganding dengan Zidane, Cole

Posted:

Safee kempunan berganding dengan Zidane, Cole

Safee kempunan berganding dengan Zidane, Cole

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my


Safee Sali


KUALA LUMPUR - Hajat Safee Sali untuk berganding dengan bintang bola sepak dunia, Zinedine Zidane dan Andy Cole dalam perlawanan persahabatan menentang kelab Belanda, PSV Eindhoven tidak kesampaian selepas perlawanan tersebut dibatalkan oleh penganjur.

Bintang penyerang negara itu pada awalnya dipilih untuk menguatkan skuad Pilihan Jakarta dalam perlawanan yang dijadual berlangsung di Indonesia, 9 dan 12 Januari depan.

Bagaimanapun tindakan Ketua Umum Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI), Djohar Ariffin hanya membenarkan pemain dari Liga Perdana Indonesia (IPL) beraksi dalam perlawanan itu, mendorong PSV membatalkan kunjungannya.

Promoter perlawanan berpendapat, Kebanyakan bintang bola sepak yang beraksi dalam liga di Indonesia datang dari Liga Super (ISL) mereka, termasuk Safee.

Bekas Pemain Terbaik Dunia dari Perancis, Zidane dan bekas penyerang Manchester United, Cole antara bintang dunia yang dijemput untuk menguatkan Pilihan Jakarta.

Promoter perlawanan, Saujana Media dalam kenyataannya kelmarin memberitahu, pihaknya telah membatalkan lawatan PSV ke Indonesia kerana konflik dalaman PSSI.

"Tiada pemain yang berkebolehan untuk bermain dalam perlawanan tersebut kerana masalah dalaman PSSI.

"PSSI tidak dapat memenuhi janjinya untuk memberi kami pemain terbaik. Tanpa pemain-pemain itu, permainan tidak akan menarik," kata kenyataan itu.

Sementara itu pengurus peribadi Safee, Zakaria Ab. Rahim berkata, pembatalan tersebut dianggap sebagai satu kerugian buat peminat Safee.

"Satu kerugian besar buat Safee dan peminat di Indonesia dan Malaysia kerana perlawanan batal.

"Ini disahkan oleh promoter mereka kepada saya tadi (kelmarin)," kata Zakaria.

Peminat bola sepak di Indonesia dihidangkan dengan dua pertandingan liga iaitu IPL, yang diiktiraf PBSSI dan ISL.

Bagaimanapun kebanyakan pemain bintang Indonesia seperti Safee (Pelita Jaya), Christian Gonzales, Bambang Pamungkas, Boaz Salossa dan Firman Utina memilih bermain bersama kelab dalam ISL.

Full content generated by Get Full RSS.

Jentera Kelantan masih tumpul

Posted:

Jentera Kelantan masih tumpul

Jentera Kelantan masih tumpul

Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@utusan.com.my


Indra Putra Mahayuddin (kanan) menjaringkan gol Kelantan ketika menentang Persebaya FC di Kota Bharu, kelmarin.


KOTA BHARU - Ketika musim baru Liga Malaysia hanya tinggal dua minggu untuk membuka tirai, penyandang juara Liga Super, Kelantan berdepan masalah jentera serangan yang tumpul dan tidak serasi.

Hakikat tersebut diakuipengurus Red Warriors, Azman Ibrahim selepas menyaksikan pasukan itu sekadar seri 1-1 dalam aksi pra-musim menentang kelab Indonesia, Persebaya FC.

Perlawanan tersebut bagi merebut trofi Yayasan Persahabatan Malaysia - Indonesia (Permai) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin.

Azman berkata, jentera serangannya mempunyai sekurang-kurangnya tiga peluang terbuka untuk menjaringkan gol, namun gagal dimanfaatkan sebaik mungkin.

"Kelemahan lain yang dikenalpasti dalam perlawanan ini ialah kurang keserasian di kalangan pemain bila pasukan berada dalam keadaan tertekan.

"Apabila Shakir (Shaari) dan Piya (Badri Radzi ) dimasukkan kita melihat rentak permainan Kelantan mula berubah dan menunjukkan peningkatan positif.

"Bagaimanapun kita tidak boleh cepat berpuas hati dan kelemahan tersebut perlu diatasi segera menjelang pertemuan kedua di Surabaya, 28 Disember ini," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Begitupun Azman tetap memuji pasukannya yang telah menunjukkan corak permainan berkualiti walaupun beraksi dengan sembilan pemain.

"Secara keseluruhan saya gembira dengan komitmen yang ditunjukkan pemain. Beraksi dengan sembilan pemain bukan tugas yang mudah, namun kita masih mampu mencipta gerak-gerak menarik dan mencemaskan benteng pertahanan lawan.

"Jadi saya harap kita mampu mengekalkan rentak ini pada perlawanan kedua nanti, seterusnya mencipta kejutan di sana," ujarnya.

Mengulas mengulas mengenai layangan kad merah keatas dua tonggak pertahanan, Azizi Mat Rose dan Nik Mohd. Shahrul Azim Ab.Halim, Azman berkata, kehilangan dua pemain tersebut tidak menjejaskan peluang pasukannya.

"Perlawanan kedua nanti kita akan beraksi dengan 11 pemain dan Saya harap pemain dapat memberi aksi sebaik mungkin dan cuba mengatasi tekanan bermain di depan puluhan ribu penyokong tegar pasukan lawan," jelasnya.

Sementara itu, ketua jurulatih Persebaya, Davaldo Alves memuji semangat juang tinggi Kelantan, walaupun beraksi dengan kekurangan dua tonggak.

"Kelantan adalah pasukan yang kuat, walaupun bermain dengan sembilan orang mereka masih mampu melancarkan gerak-gerak menarik dan mencemaskan kubu pertahanan kami.

"Begitu juga dengan penyokong mereka yang tidak putus-putus memberi sokongan,'' katanya.

Dalam perlawanan itu, tuan rumah yang beraksi dengan sembilan pemain sepanjang 20 minit terakhir, terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi Indra Putra Mahyuddin pada minit ke-61.

Andik Vermansyah muncul wira Persebaya apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-86 selepas memperdayakan dua pertahanan Kelantan dalam kotak penalti dan merembat bola menewaskan penjaga gol, Mohd. Syazwan Yusof.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Aaron Aziz hilang taring?

Posted:

Aaron Aziz hilang taring?

Aaron Aziz hilang taring?

DAH hilang taring ke bro? Kalau dalam Ombak Rindu bukan main hebat lagi penangan Aaron Aziz, kenapa dalam filem Datin Ghairah sunyi sepi jer?

Ramai yang merungut pada Joyah dan betanya macam-macam sampaikan Joyah naik lemas. Kata mereka, Aaron pegang watak utama. Kenapa tak boleh jual?

Helo, manalah Joyah tahu apa dah jadi. Kalau betul filem tu tak laku sekalipun Joyah pasti bukan sebab Aaron seratus peratus. Kalau dah filem tak ada banyak perhatian, macam mana nak jual.

Joyah menganggap filem Datin Ghairah keluar pada masa yang sesuai tapi tak kena gaya. Masa yang sesuai sebab sekarang musim cuti sekolah. Tak kena pula sebab orang masih lagi bercakap pasal Ombak Rindu yang ada muka Aaron juga.

Jadi perhatian orang lebih tertumpu pada Ombak Rindu dan bukannya Datin Ghairah. Ramai juga yang cakap filem tu taklah hebat sangat! Betul ker?

Joyah harap sangat agar Aaron lebih selektif lagi memilih filem selepas ni. Jangan main tangkap muat bro, esok yang kena awak juga.

Full content generated by Get Full RSS.

Ini ke kekasih baru Ramlah Ram?

Posted:

Ini ke kekasih baru Ramlah Ram?

Ini ke kekasih baru Ramlah Ram?

BARU-baru ini, peti simpanan emel Joyah digegarkan dengan satu gambar lelaki tak dikenali kiriman peminat Joyah. Mulanya Joyah ingat lelaki ini nak berkenalan macam lelaki-lelaki sebelum ini, maklumlah Joyah masih bujang dan bergetah. Sensasi dan kontroversi lagi, mesti ramai bujang teruna nak try kan?!

Tapi rupanya emel itu berniat baik iaitu memberi maklumat kepada Joyah tentang siapa lelaki yang sedang bertakhta di hati penyanyi popular pada tahun 1980, Ramlah Ram. Lama juga tak dengar cerita Kak Melah (Ramlah) ni sejak memegang status janda.

Joyah tengok lelaki ini masih muda dan umur sekitar 20-an. Pada sangkaan Joyah, takkanlah kot sebab Kak Melah umur dah 46 tahun. Kalau padankan gambar mereka berdua, Kak Melah dah nampak macam kakak dan adik pula.

Tapi pengirim emel itu beria-ia mengesahkan bahawa gambar lelaki itu memang teman lelaki Kak Melah yang juga pengurus peribadi dia. Merangkap pembantu harian dan berkaitan urusan kerja. Dakwanya lagi, dah dua tahun menjalinkan hubungan cinta. Wow! Terkesima Joyah sekejap. Diam-diam ubi rupanya, pandai Kak Melah simpan rahsia!

Joyah tak kisah kalau lelaki ini kekasih Kak Melah atau tidak kerana masing-masing bujang. Tapi, Joyah tertanya-tanya, Kak Melah tak serik ke bersuami muda? Bukan ke bekas suami Kak Melah dulu muda empat tahun dulu?

Ini semua sangkaan Joyah saja tau Kak Melah, tak ada niat apa-apa pun sebab Joyah tak nak Kak Melah terluka buat kali kedua. Maklumlah orang perempuan yang pernah ada sejarah perkahwinan kali pertama memang sukar nak terima lelaki, kalau tak kena caranya.

Harap Kak Melah dapat pastikan semula kesahihan gambar ini. Pengakuan Kak Melah akan melenyapkan cakap-cakap yang tidak manis.. Apapun Joyah tetap cemburu dengan Kak Melah sebab diminati lelaki yang muda-muda saja. Bertuah Kak Melah!

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Simpan,simpan sayang 2011

Posted:

Simpan,simpan sayang 2011

Simpan,simpan sayang 2011

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM

RUANGAN Oh Koleksiku menyaksikan pelbagai hobi dan koleksi menarik rakyat Malaysia yang ditemui sepanjang 2011 ini.

Ada yang mengabadikan minat yang mendalam terhadap artis pujaan seperti Datuk Syarifah Aini dan Elvis Presley dengan mengumpul segala artikel, barangan, baju yang berkaitan dengan artis pujaan mereka.

Ada juga yang fanatik terhadap watak-watak kartun yang diikuti sejak dari kecil seperti Transformer, Hello Kitty, Doraemon, The Masked Rider, Naruto dan bermacam-macam lagi sehingga sanggup mengikat perut demi memenuhi ruang bilik mereka dengan produk kegilaan mereka itu.

Malah, ramai juga yang sanggup menjelajah pelosok kampung untuk mendapatkan barang-barang antik yang makin pupus dan turut ke serata dunia untuk memburu barangan-barangan unik mewakili setiap negara.

Berikut adalah antara koleksi yang menarik pernah dipaparkan oleh Oh Koleksiku sepanjang tahun ini.

Barangan rock Barat

EFFENDI Zahari meminati muzik rock terutamanya dari Barat seperti legenda genre country, Alan Jackson dan Garth Brooks sejak berbelas tahun lalu dan membuat keputusan terus mengabadikan minatnya itu sehingga sekarang dengan membina personaliti menyerupai rocker pada zaman itu.

Lelaki berusia 31 tahun mempunyai pelbagai koleksi yang terdiri daripada baju T, jaket, kasut, aksesori, tali pinggang, sapu tangan, cakera padat video (VCD), cakera padat (CD) dan seluar jean yang mengutamakan kriteria klasik.

Tidak kisah dipandang pelik saat menggayakan Stail vintaj dan barangan kulit setiap kali melangkah kelur dari rumah, dia selesa dengan personaliti ciptaannya iaitu menyukai satu gaya yang sederhana dan tidak berubah mengikut masa dan cara klasik yang dipertahankan itu telah sebati dan cukup selesa untuk diketengahkan.

Disebabkan minatnya yang mendalam itu, ada barangan yang diminati ditempah. Ke merata ceruk termasuk ke luar negara, dia sanggup berhabis duit untuk mendapatkan barangan yang diminatinya itu.

Full content generated by Get Full RSS.

Ikon pelancongan Kuala Lumpur

Posted:

Ikon pelancongan Kuala Lumpur

Ikon pelancongan Kuala Lumpur

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABADULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my


LANDSKAP yang menarik.


SAMA seperti sebuah istana Melayu yang cantik dan mempesona pandangan mata, begitulah juga Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur yang berdiri megah di tengah-tengah ibu kota.

Mengambil seni reka tradisional sebagai simbol dan inspirasi pada jenamanya, Royal Chulan bukanlah satu jenama asing bagi kebanyakan pelancong yang menuntut penginapan yang selesa dan terbaik.

Apatah lagi hotel itu berdiri di lokasi strategik di Jalan Conlay yang menjadi destinasi titik pertemuan budaya, makanan, beli-belah dan bisnes. Ini sekali gus menjadikan Royal Chulan sebagai sebuah hotel terbaik untuk melihat variasi 'wajah' Kuala Lumpur.

Hotel ini menggembirakan hati tetamunya dengan menawarkan keselesaan dan dekorasi kontemporari yang pelbagai tekstur daripada hasil seni kayu.

Unik

Segalanya nampak sempurna kerana dekorasi yang ditampilkan sangat unik dan mewah.

Melangkah masuk ke pintu gerbang hotel yang terletak di Kuala Lumpur tidak akan terbayang tata hias dalamannya sangat menarik.

Berbeza dengan tempat penginapan lain, hotel ini menerapkan unsur atau keindahan seni bina Melayu.

Gaya moden menjadi pilihan utama setiap bilik yang berlatarkan warna alam semula jadi seperti coklat.

Apa istimewanya bilik ini? Setiap bilik mempunyai ruang yang luas dengan katil yang cukup selesa. Sebuah televisyen dan kerusi rehat yang ringkas.

Warna dinding dan kebanyakan perabot juga menenangkan jiwa dengan pemilihan warna yang sejuk dan harmoni.

Landskap

Tidak ketinggalan, landskap hotel itu dipenuhi dengan keunikan tumbuhan tropikal.

Sambil berehat melihat pemandangan taman, pengunjung dapat menyaksikan keindahan tumbuh-tumbuhan yang cantik dan disusun indah.

Air jernih kolam yang dibina antara elemen tercantik landskap Royal Chulan.

Santai tetapi mengkagumkan kerana gabungan moden dan tradisional berjaya menampilkan keindahan suasana sekeliling hotel .

Singgah di kafe Warisan, pengunjung akan memulakan sarapan pagi sambil menikmati hampir 500 hidangan.

Pengarah Makanan dan Minuman Hotel Royal Chulan, Azrule Datuk Aziz memilih perabot meja dan kerusi moden untuk memberikan suasana eksklusif kepada pengunjung.

Pilihan makanan Melayu menjadi keutamaan selain hidangan antarabangsa yang lain.

Tidak keterlaluan jika penulis menggambarkan hotel ini sebagai syurga makanan.

Kebanyakan pengunjung ingin kembali ke hotel ini untuk menikmati kelazatan sajian menu. Jika dilihat dari segi dekorasi bilik, mahupun kemudahan lain seperti kolam, kita mungkin menemuinya di hotel lain.

Namun setiap pengunjung ke hotel ini tidak akan melepaskan peluang untuk merakamkan kenangan berlatarkan tata hias yang cantik.

Landskap semula jadi dan dekorasi dalaman hotel yang moden menjadikan Royal Chulan sebagai ikon baru pelancongan Kuala Lumpur.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Mana wakil rakyat?

Posted:

Mana wakil rakyat?

Mana wakil rakyat?

Oleh MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN
pengarang@utusan.com.my


Penduduk Kampung Jalan Batu 5 Bukit Kemuning mengadakan demonstrasi meminta ADUN Seri Muda dan Ahli Parlimen Kota Raja menyelesaikan masaalah banjir yang sering melanda kampung mereka. - MINGGUAN/SAHARUDDIN ABDULLAH


SHAH ALAM 24 Dis. - Kira-kira 50 penduduk Kampung Batu 5, Jalan Bukit Kemuning di sini hari ini berhimpun secara aman bagi mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud mengotakan janji untuk menyelesaikan masalah banjir di kampung tersebut.

Mereka dikatakan marah dengan kedua-dua wakil rakyat itu yang sehingga hari ini gagal mengambil tindakan mengatasi masalah banjir di kampung berkenaan walaupun berjanji mahu menyelesaikannya ketika berkempen pada pilihan raya umum yang lalu.

Kecewa dengan sikap 'acuh tak acuh' Shuhaimi dan Siti Mariah itu, penduduk turut membuat beberapa laporan polis sejak 19 Disember lalu untuk melaporkan mengenai kegagalan mereka melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dengan baik.

Seorang penduduk, Mohd. Siva Abdullah, 51, berkata, ketika berkempen di kampung itu pada pilihan raya umum lalu, Shuhaimi dan Siti Mariah berjanji untuk menyelesaikan masalah mereka sekiranya dipilih untuk menjadi wakil rakyat.

"Namun sejak memenangi pilihan raya umum pada Mac 2008 sehingga hari ini, kedua-dua wakil rakyat itu tidak pernah turun padang dan melihat sendiri masalah banjir yang dihadapi kami," katanya kepada pemberita di Kampung Batu 5, Jalan Bukit Kemuning di sini, hari ini.

Mohd. Siva berkata, pihak yang bertanggungjawab perlu mencari jalan untuk menyelesaikan masalah banjir di kampung tersebut kerana setiap kali banjir, ia mengundang bahaya kepada penduduk.

"Setiap kali banjir ia akan membahayakan keselamatan penduduk kerana binatang berbisa seperti ular akan masuk ke dalam rumah.

"Keadaan itu mengancam keselamatan penduduk dan saya gesa pihak bertanggungjawab memikirkan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini," tegasnya.

Seorang lagi penduduk, Gan Boon Huat, 28, berkata masalah banjir di kawasan tersebut semakin teruk hinggakan ia pasti akan berlaku setiap kali hujan turun.

"Saya sangat berharap masalah banjir yang dihadapi penduduk sejak sekian lama dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.

Sementara itu, Presiden Badan Bertindak Alternatif Semalaysia, B. Kalai Vanar berkata, penduduk mengadu masalah tersebut kepada pihaknya selepas mereka kecewa dengan wakil rakyat yang tidak mengambil tindakan bagi menyelesaikan isu berkenaan.

"Bagi membantu penduduk terlibat, kami akan mengadakan pertemuan dengan agensi bertanggungjawab termasuk pihak berkuasa tempatan dalam masa terdekat ini untuk memaklumkan masalah banjir yang dihadapi penduduk," jelasnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Utusan Malaysia percuma sempena Festival Keluarga

Posted:

Utusan Malaysia percuma sempena Festival Keluarga

Utusan Malaysia percuma sempena Festival Keluarga


Fawwaz Aminuddin hadir menyampaikan akhbar Utusan Malaysia kepada orang ramai pada Festival Keluarga di Pusat Konvosyen Antarabangsa Putrajaya, semalam. - MINGGUAN/IRWAN MAJID


PUTRAJAYA 24 Dis.- Mercy Mission Malaysia (MMM) hari ini mengedarkan 5,000 naskhah akhbar Utusan Malaysia secara percuma kepada pengunjung Festival Keluarga 'Twins of Faith' yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Akhbar itu diedarkan sukarelawan MMM di sekitar tapak festival yang menjadi tumpuan orang ramai antaranya di kawasan gerai jualan, dewan makan dan juga bilik-bilik pameran.

Pengarah Kewangan MMM, Fawwaz Aminuddin berkata, kerja-kerja mengedarkan akhbar tersebut bermula pukul 10 pagi dan ia diadakan serentak dengan majlis perasmian festival oleh Pengurus Besar MMM, Sajid Hussain.

"Kami menaruh keyakinan tinggi menerusi perkongsian pintar ini dengan menaja Utusan Malaysia, akhbar ini memainkan peranan penting untuk menguar-uarkan apa jua aktiviti yang berlangsung sempena karnival ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurut Fawwaz, pelbagai acara menarik diaturkan sempena festival yang berlangsung selama dua hari itu, antaranya forum yang membincangkan mengenai ilmu agama dan juga keperluan pengetahuan Islam pada era akan datang.

Selain itu katanya, Festival Keluarga 'Twins of Faith' merupakan festival keluarga bertaraf antarabangsa pertama diadakan yang menghimpunkan pelbagai acara berkonsepkan Islam, ilmiah dan kekeluargaan.

Katanya, festival tersebut adalah peluang keemasan bagi masyarakat di negara ini untuk berjumpa serta berkenalan bagi merapatkan silaturahim sesama insan.

"Majlis seperti ini juga memberi peluang untuk orang ramai berkongsi pengetahuan, di samping mendengar sesi ceramah yang membariskan penceramah-penceramah terkenal dari dalam dan luar negara.

"Malaysia sentiasa menjadi hab utama dalam perkembangan Islam dan untuk acara ini MMM telah mengundang barisan penceramah terbaik dunia dan penceramah terkemuka kelahiran Malaysia yang sememangnya arif dan berpengalaman luas dalam bidang masing-masing," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

2,214 tempat di SBP untuk anak miskin

Posted:

2,214 tempat di SBP untuk anak miskin

2,214 tempat di SBP untuk anak miskin

PUTRAJAYA 24 Dis.- Kementerian Pelajaran memperuntukkan sebanyak 2,214 daripada 7,400 tempat di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) untuk pelajar lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) daripada keluarga miskin dan luar bandar yang berdaftar dengan program e-Kasih.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, daripada jumlah tersebut seramai 360 pelajar mendapat keputusan 3A, 660 pula memperolehi 4A dan bakinya memperolehi 5A.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana mengambil kira tentang cabaran mereka dari segi tekanan kehidupan dan kekurangan kemudahan untuk belajar.

"Kita sediakan 7,400 tempat Tingkat 1 di SBP pada sesi persekolahan tahun depan sedangkan yang dapat keputusan 5A adalah seramai 46,000 pelajar.

"Jadi, memang ada persaingan tetapi oleh kerana kita ada projek membantu pelajar miskin dan luar bandar, maka kita sediakan 2,214 tempat untuk mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan pakaian seragam, kelengkapan sekolah dan yuran persekolahan kepada seramai 57 pelajar miskin di sini, hari ini.

Program anjuran Yayasan Pendidikan Pelajar Melayu (YPPM) itu melibatkan 48 pelajar dari Rumah Amal Peribadi Mulia, Kajang dan sembilan pelajar dari Rumah Anak-anak Solehah, Cheras.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan syarat baru kelayakan minimum kemasukan Tingkatan 1 ke SBP iaitu keputusan UPSR 3A,2B bagi murid keluarga miskin dan 4A,1B bagi murid luar bandar mulai tahun depan.

Muhyiddin berkata, syarat baru itu bertujuan membantu dua kategori murid itu mendapat pembelajaran lebih sempurna dan memberi peluang kepada mereka untuk ke SBP.

Bagaimanapun, Dr. Puad berkata, bagi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pula, kementerian masih meneliti permohonan pelajar miskin yang ingin memasuki SBP untuk sesi persekolahan tahun depan.

Buat masa ini, beliau menambah, syarat minimum untuk pelajar miskin memasuki SBP adalah 6A, 2B.

"Kita memperuntukan 5,500 tempat sahaja walaupun jumlah mereka yang memperolehi keputusan 8A adalah 34,000 orang," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved