Khamis, 29 September 2011

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Karnival Sungaiku Hidupku di SMK SETA

Posted:

Karnival Sungaiku Hidupku di SMK SETA

Karnival Sungaiku Hidupku di SMK SETA

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
editor.johor@utusan.com.my


SEBAHAGIAN pelajar yang terlibat dalam program Karnival Sungaiku Hidupku turut menanam pokok sebagai usaha mengindahkan tebing sungai dan mengurangkan pencemaran.


JOHOR BAHRU 28 Sept. – Pencemaran sungai di negara ini bukan masalah baru walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk memulihkan semula anugerah alam yang tidak ternilai itu.

Ini termasuk kempen Sayangi Sungai yang dilancarkan beberapa tahun lalu merangkumi pelbagai usaha memantau, memulihara, membersih dan mengindahkan sungai tetapi masalah itu bukan sahaja tidak menampakkan hasil malah, keadaannya bertambah kritikal.

Undang-undang dan peraturan yang mencegah orang ramai atau pihak industri membuang sampah-sarap atau kotoran ke dalam sungai yang dikuatkuasakan turut gagal meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Prihatin dengan keadaan itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Engku Tun Aminah (SMK SETA) melancarkan Karnival Sungaiku Hidupku dan Sungai Angkat baru-baru ini.

Karnival yang diadakan di sebatang anak sungai di belakang SMK SETA itu turut disertai oleh 30 sekolah bertujuan melahirkan kesedaran dan rasa cinta terhadap sungai serta alam sekitar.

Pelancaran karnival itu dilakukan dengan menanam lebih 200 pokok daripada lapan spesies antaranya ramin, kelat merah dan meranti kepong di tebing anak sungai berkenaan oleh pelajar, guru dan tetamu.

Mereka kemudiannya melepaskan ratusan anak ikan dan mencampakkan bahan efektif mikroorganisma (EM) iaitu bebola yang berfungsi membunuh bakteria dan berkesan membersihkan air tercemar.

Bagi memupuk kesedaran jangka panjang, SMK SETA turut membesarkan mata air di belakang sekolah itu untuk menjadi anak sungai dengan kos lebih RM20,000.

Pengetua SMK SETA, Sallina Hussain berkata, sekolahnya menjadi institusi pendidikan pertama di daerah itu mempunyai anak sungai hasil aktiviti gotong-royong 265 pelajarnya.

Katanya, anak sungai sepanjang 500 meter dengan lebar kira-kira 13 meter itu turut dikongsi bersama lebih 20 Sekolah Lestari dari seluruh negara melalui Karnival Cintailah Sungai Kita di peringkat kebangsaan.

"Proses membersihkan anak sungai ini bermula 13 Julai lalu yang turut dibantu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk proses melebarkannya.

"SMK SETA juga mendapat kerjasama Jabatan Landskap bagi membangunkannya sebagai kawasan rekreasi dan pembelajaran dalam suasana santai," katanya.

Menurut beliau, selepas proses pembersihan sungai itu, sebanyak 10,000 petak rumput ditanam di sekelilingnya dan setelah enam bulan, sungai itu diwartakan sebagai Sungai Angkat JPS.

Beliau berkata, alur sungai tersebut dilebarkan dan kawasan tadahan dibina bagi menyajikan pemandangan menarik dan indah di situ.

"Nama sungai ini masih belum diputuskan tetapi SMK SETA akan memohon kepada pihak berkenaan agar ia dinamakan Sungai SETA kerana lokasinya di belakang sekolah ini," katanya.

Beliau berharap, para pelajar sekolah itu mendapat pengetahuan mengenai cara menjaga kebersihan sungai selain kepentingan hidupan akuatik di dalamnya.

Pada masa depan, pihak sekolah bercadang bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan Johor bagi menempatkan beberapa tumbuhan hutan dan melabelkan semua pokok itu supaya kawasan tersebut menjadi sebuah taman rekreasi yang indah dan menenangkan.

Warisan bantu bekas Ketua Pemuda UMNO

Posted:

Warisan bantu bekas Ketua Pemuda UMNO

Warisan bantu bekas Ketua Pemuda UMNO


SALLEH Ali menerima sumbangan berupa hamper barang keperluan harian dan wang tunai daripada Pertubuhan Warisan Melayu Negeri Johor (Warisan) di kediamannya di Mersing, baru-baru ini. - Ihsan Warisan


JOHOR BAHRU 28 Sept. - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Warisan Melayu Negeri Johor (Warisan) mengambil inisiatif dengan mencari dan memberikan bantuan kepada bekas Ketua Pemuda UMNO di negeri ini yang hidup dalam kesusahan.

Ketua Unit Media Warisan, Hamzah Mokhtar berkata, pertubuhan ini ditubuhkan sebagai platform untuk membela nasib golongan berkenaan kerana ada antara mereka hidup dalam kedaifan dan menghidap penyakit kronik.

Beliau berkata, baru-baru ini pihaknya mengadakan lawatan ke tiga daerah iaitu Mersing, Kluang dan Muar bagi menyampaikan bantuan kepada lima bekas Ketua Pemuda yang pernah berkhidmat pada 1970-an dan 1980-an.

"Ada antara mereka yang ditemui menghidap diabetes, angin ahmar dan rabun kronik. Sumbangan berupa hamper makanan dan wang tunai diberikan sebagai usaha meringankan beban mereka.

"Selama ini nasib mereka tidak terbela dan ada yang terbiar begitu sahaja dan usaha ini menunjukkan bahawa kita tidak pernah melupakan jasa mereka," katanya yang berkunjung ke pejabat Utusan Malaysia di sini, semalam.

Antara yang dikunjungi rombongan berkenaan ialah bekas Ketua Pemuda UMNO Mersing, Salleh Ali, 72, yang pernah berkhidmat pada 1972 hingga 1982; Mokri Yahti, 72, (Ketua Pemuda UMNO Kluang, 1986 hingga 1989) dan Ahmad Sadiman, 67, (Ketua Pemuda UMNO Sri Gading, 1976 hingga 1982).

Warisan turut menyampaikan bantuan kepada bekas Ketua Pemuda UMNO Ayer Hitam yang berkhidmat pada 1980-an, Mokli Hasan, 63, dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Jawa, Muntahar Kailan, 63.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Bentuk tanglung ikut trend

Posted:

Bentuk tanglung ikut trend

Bentuk tanglung ikut trend

Oleh MALINDA ABDUL MALIK
utusanpenang@utusan.com.my


Leong Seng Yoon menunjukkan tanglung Angry Bird pelbagai saiz yang mendapat permintaan tinggi di kalangan pembeli untuk Pesta Tanglung.


PULAU PINANG 28 Sept. – Pesta tanglung mempunyai sejarah tersendiri sejak ia disambut lebih 3,000 tahun lalu.

Perayaan ini diraikan oleh petani semasa musim menuai dengan menyediakan makanan yang paling popular di kalangan masyarakat Cina iaitu kuih bulan.

Kuih itu biasanya dibuat daripada biji tembikai, biji teratai, badam, daging cincang, kacang pes dan kulit oren dengan warna kuning keemasan serta dihiasi simbol-simbol perayaan.

Di Malaysia, perayaan itu disambut secara meluas di seluruh negara dengan ahli keluarga akan berkumpul melihat keindahan bulan sambil menikmati keenakan kuih bulan.

Tinjauan Utusan Malaysia di negeri ini mendapati kemeriahan perayaan begitu dirasai apabila kebanyakan kedai seperti berlumba antara satu sama lain memasang pelbagai bentuk tanglung.

Antara yang mencuri perhatian orang ramai adalah sebuah kedai kopi di Jalan Cintra di sini.

Mereka yang melalui jalan tersebut sudah pasti akan terpesona dengan pemandangan menarik serta unik yang disajikan oleh kedai yang telah beroperasi sejak 30 tahun lalu itu.

Malah, orang ramai juga boleh membeli tanglung pelbagai saiz dan corak mengikut pilihan dan cita rasa masing-masing.

Apatah lagi bentuk tanglung yang dijual di kedai itu adalah seiring dengan peredaran masa dan mengikut trend semasa.

Selain itu, populariti permainan video untuk aplikasi telefon pintar iaitu Angry Bird turut mempengaruhi pesta tanglung pada tahun ini.

Tanglung kepala burung itu dikatakan paling laris dijual memandangkan ia bukan sahaja dibeli oleh masyarakat Cina tetapi juga peminat kartun itu termasuk pelancong asing yang mahu menjadikannya sebagai cenderahati untuk dibawa pulang ke negara mereka.

Pemilik kedai, Leong Seng Yoon, 62, berkata, dia menjual tanglung Angry Bird kali ini berikutan permintaan tinggi daripada para pelanggan dan setakat ini dia telah menjual kira-kira 3,000 tanglung pelbagai saiz bagi karakter itu.

"Memang saya akui tanglung Angry Bird hanya dijual di sini dan mungkin kerana itu ia mendapat perhatian ramai," katanya ketika ditemui di kedainya di sini baru-baru ini.

Tanglung Angry Bird dijual mengikut saiz iaitu dari serendah RM15 hingga RM30 setiap satu.

Meskipun tanglung tersebut paling laris, tanglung-tanglung tradisional berbentuk haiwan seperti arnab, naga, ikan dan helang tetap menjadi pilihan ramai yang dijual berdasarkan saiz iaitu antara RM8 dan RM50.

"Biar apa bentuk sekali pun, yang penting saya rasa gembira kerana pesta tanglung tidak dilupakan begitu sahaja oleh generasi muda.

"Kita harap setiap tahun ia dapat memeriahkan perayaan ini dan juga menjadikan kediaman lebih indah serta bercahaya," ujarnya.

1Pameran Kerja dan Kerjaya Perak tawar 10,000 pekerjaan

Posted:

1Pameran Kerja dan Kerjaya Perak tawar 10,000 pekerjaan

1Pameran Kerja dan Kerjaya Perak tawar 10,000 pekerjaan

IPOH 28 Sept. - Lebih 10,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang ditawarkan di Pameran Kerja dan Kerjaya Perak Amanjaya 2011 anjuran Pemuda Barisan Nasional (BN) dan Institut Darul Ridzuan (IDR) di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada Sabtu dan Ahad ini.

Setiausaha Pemuda BN negeri, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata, hampir 100 syarikat swasta, badan kerajaan dan institusi pengajian tinggi (IPT) akan menyertai pameran tersebut yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Katanya, antara syarikat terkemuka yang mengambil bahagian ialah Mydin, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kumpulan Kencana.

''Orang ramai yang mencari pekerjaan diharap hadir beramai-ramai kerana banyak peluang pekerjaan di negeri ini ditawarkan pada pameran itu. Ia terbuka kepada individu yang berkelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan ke atas," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengedarkan risalah mengenai pameran itu kepada orang ramai di sebuah pusat membeli- belah di sini, hari ini.

Sebelum itu, Syamsul bersama dengan Pemuda BN negeri dan kakitangan IDR mengedarkan pelekat kenderaan mempromosikan Pameran Kerja dan Kerjaya 2011 kepada pemandu-pemandu teksi di Medan Gopeng di sini.

Syamsul turut menasihatkan orang ramai supaya datang beramai-ramai pada hari pertama dan jangan menunggu pada hari kedua untuk merebut peluang kerja yang disediakan.

''Pameran ini akan berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 5 petang tetapi pelbagai acara lain disediakan sehingga pukul 9 malam termasuk ceramah kerjaya," katanya.

Mangsa kemalangan rayu bantuan

Posted:

Mangsa kemalangan rayu bantuan

Mangsa kemalangan rayu bantuan


M. Thuraisingam (kanan) menerangkan sesuatu kepada Mohd. Redzuan Abdullah semasa mengunjunginya di Kampung Keda Naga Lilit, Padang Serai, Kedah, kelmarin.


PADANG SERAI 28 Sept. - Seorang bapa tiga anak merayu bantuan orang ramai bagi membolehkan dia menjalani pembedahan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Mohd. Redzuan Abdullah, 51, dari Kampung Keda Naga Lilit berkata, dia telah kehilangan punca pendapatan akibat kemalangan yang berlaku pada hari raya kedua Aidilfitri baru-baru ini sehingga menyebabkan kakinya patah dan tidak boleh bergerak.

Dia yang tinggal bersama isteri, Sharifah Mohamed, 45, dan tiga anak berusia antara enam dan 16 tahun terpaksa bergantung kepada ihsan jiran serta wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Pungutan Zakat.

Lebih malang, dua daripada anaknya iaitu Mohamad Farahan, 11 dan Noor Farah Jasmin, 16, sudah hampir sebulan tidak ke sekolah kerana tiada orang dapat menghantar mereka.

"Dulu saya menghantar mereka berdua ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Hendreitta dan Sekolah Menengah Lunas. Namun, selepas kemalangan, saya tidak dapat bergerak, tambahan pula tiada wang untuk perbelanjaan harian," katanya ketika dikunjungi Penyelaras Badan Bukan Kerajaan (NGO) Daerah Kulim/Bandar Baharu, M. Thuraisingam semalam.

Mohd. Redzuan memberitahu, dia juga buntu kerana tidak mempunyai wang untuk menjalani pembedahan memasang besi pada kaki kanannya yang berharga kira-kira RM4,000.

"Saya terpaksa menangguhkan pembedahan sebanyak tiga kali. Namun, saya berharap dapat bergerak semula untuk membolehkan saya kembali bekerja sebagai pengawal keselamatan," katanya.

Sementara itu, Thuraisingam berkata, pihaknya akan cuba membantu keluarga itu dalam kadar segera.

"Saya akan cuba mencari jalan penyelesaian untuk membantu keluarga terbabit terutama usaha membawa anak-anaknya ke sekolah, Kami akan menyediakan sebuah kenderaan bagi menghantar mereka sehinggalah Mohd. Redzuan pulih daripada kecederaan," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Dua lokasi dipasang penggera khas

Posted:

Dua lokasi dipasang penggera khas

Dua lokasi dipasang penggera khas

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 28 Sept. - Dua lokasi di negeri ini yang dikenal pasti berisiko tinggi dilanda banjir akan dilengkapi dengan sistem penggera khas yang mampu memberi amaran awal kepada penduduk setempat apabila berlakunya bencana tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kawasan yang dikenal pasti itu adalah sekitar kawasan Taman Sungai Gemas dan Taman Pinggiran berhampiran Sungai Kelamah di Tampin. Ini berikutan struktur geografinya terletak di kawasan tanah rendah.

''Usaha untuk memasang sistem penggera ini adalah sebahagian daripada inisiatif mempersiapkan Bilik Gerakan Bencana di seluruh negeri ini yang dipengerusikan oleh setiap Pegawai Daerah masing-masing.

''Menerusi sistem ini, penduduk akan dapat dipindahkan dengan cepat selain menyelamatkan harta benda masing-masing kerana berdasarkan pengalaman yang lalu, banjir yang melanda kawasan tersebut mengakibatkan penduduk tidak sempat menyelamatkan barang mereka berikutan air naik dengan pantas dan mendadak," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Mohamad berkata demikian bagi mengulas persediaan kerajaan negeri dalam menghadapi bencana tersebut berikutan ketibaan musim tengkujuh.

Jelasnya lagi, sistem berkenaan secara efektif akan membunyikan siren dan menggerakkan lampu amaran sebagai tanda air sungai naik secara mendadak dan berada di paras bahaya.

''Selain itu, setiap Bilik Gerakan Bencana turut dipersiapkan termasuklah dari segi petugas dan peralatan seperti bot.

''Saya juga telah mengarahkan pusat perpindahan seperti dewan dan sekolah turut dilengkapi dengan segala keperluan yang diperlukan seperti bantal, selimut dan tuala.

''Saya tidak mahu apabila berlaku banjir seperti tahun lalu, semua keperluan tersebut tidak ada kerana kita tidak bersedia, kalau boleh saya mahu makanan seperti biskut, kopi serta makanan lain sudah disediakan," tegasnya.

Kata Mohamad, untuk tujuan itu, kerajaan negeri akan mengeluarkan surat inden kepada pihak tertentu bagi membeli barangan keperluan tersebut.

''Inden ini adalah surat jaminan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri, di mana pihak terbabit boleh membeli barang yang diperlukan bagi tujuan tersebut sebelum kita membayar semula kos terbabit,"

''Kita tidak mahu bila bencana berlaku, masa itulah baru hendak beli macam-macam, sehinggakan petrol untuk mengerakkan bot penyelamat pun lupa dibeli," ujarnya.

Penduduk, pelajar rayu baiki pondok tunggu bas depan SMK Tebong

Posted:

Penduduk, pelajar rayu baiki pondok tunggu bas depan SMK Tebong

Penduduk, pelajar rayu baiki pondok tunggu bas depan SMK Tebong

ALOR GAJAH 28 Sept. - Penduduk dan pelajar merayu Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) membaiki pondok menunggu bas berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebong kerana keadaannya yang semakin uzur.

Salah seorang penduduk, Md. Zin Ayut, 45, berkata, keadaan itu sudah berlarutan sejak kira-kira setahun lalu dan kesal tiada tindakan diambil walaupun beberapa aduan telah dibuat sebelum ini.

"Saya bimbang kalau-kalau kepingan bumbung pondok bas yang rosak ini tercabut dan menimpa pelajar sekolah yang menunggu di pondok itu.

"MPAG pula seolah-olah tidak mengambil sebarang tindakan walaupun beberapa aduan telah dibuat oleh penduduk di sini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Bagi pelajar, Mohd. Nor Alif Abu Bakar, 16, berkata, dia berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat membina pondok bas yang lebih besar demi keselesaan pelajar dan penduduk di kawasan tersebut.

Jika tidak katanya, pelajar sekolah itu terpaksa menggunakan pondok berkenaan walaupun ia tidak selamat untuk digunakan.

"Apabila tiba musim hujan, bumbung pondok menunggu bas ini bocor sekali gus menyusahkan orang ramai dan pelajar," katanya.

Seorang penduduk lagi, Redzuan Chandran Abdullah, 53, berkata, senario itu menyebabkan pelajar yang menggunakan perkhidmatan bas untuk berulang-alik ke rumah masing-masing terpaksa menunggu di bawah panas terik selain basah kuyup ketika hujan.

Menurutnya, sudah lebih setahun bumbung pondok bas ini rosak dan bocor menyebabkan pengguna perkhidmatan bas terpaksa berteduh di rumah-rumah penduduk berhampiran bagi mengelakkan basah semasa hujan.

"Saya juga kasihan melihat pelajar menunggu bas dalam cuaca panas terik kerana kebanyakan bumbung di pondok telah tercabut," katanya.

Kaunter daftar pengundi di jamuan hari raya ADUN Pilah

Posted:

Kaunter daftar pengundi di jamuan hari raya ADUN Pilah

Kaunter daftar pengundi di jamuan hari raya ADUN Pilah


Adnan Abu Hassan (bersongkok) membantu seorang tetamu Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Pilah membuat semakan di kaunter Suruhanjaya Pilihan Raya pada majlis tersebut di Kampung Batang Pilah, Senaling. Kuala Pilah, kelmarin.


KUALA PILAH 28 Sept. - Lazimnya rumah terbuka hari raya hanya menyajikan pelbagai juadah dan hidangan untuk dinikmati oleh orang ramai.

Bagaimanapun, Rumah Terbuka Hari Raya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, Adnan Abu Hassan bersama Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Pilah di sini, semalam menampilkan kelainan apabila kaunter pendaftaran pengundi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut dibuka untuk kemudahan tetamu yang berkunjung.

Majlis itu diadakan di Kampung Batang Pilah di Senaling dekat sini mulai pukul 2 petang hingga 5 petang.

Adnan berkata, pembukaan kaunter itu adalah sebahagian daripada usaha memudahkan rakyat yang belum mendaftar sebagai pengundi berbuat demikian.

"Kita mahu berikan seluas-luas peluang kepada rakyat mendaftar walaupun semasa majlis yang biasanya dianggap hanya untuk menikmati makan dan minum seperti jamuan hari raya ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau memberitahu, sebanyak 25 tetamu yang hadir telah menggunakan kesempatan itu untuk mendaftar sebagai pengundi baru manakala sebahagian daripada lebih 5,000 tetamu membuat semakan di kaunter tersebut.

Turut mengunjungi rumah terbuka itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Razak Mansor dan ADUN Senaling, Datuk Ismail Lasim.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Pasangan melambung sangka letupan bom

Posted:

Pasangan melambung sangka letupan bom

Pasangan melambung sangka letupan bom

SUBANG JAYA 28 Sept. - Sepasang kekasih yang melambung dan tercampak beberapa meter dalam kejadian letupan paip gas di pusat beli-belah Empire Gallery di sini, awal pagi ini menganggap mereka telah mati.

Malah sejurus selepas letupan itu, mereka juga percaya pusat membeli-belah itu telah dibom oleh pihak tertentu berikutan bunyi yang kuat dan kebanyakan premis rosak teruk.

Chua Chin Hong, 27, berkata, ketika kejadian dia dan kekasihnya Tan Wern Fang, 24, sedang berjalan ke kereta selepas minum di sebuah restoran di situ.

"Tiba-tiba letupan kuat kedengaran dan kami pula melambung dan tercampak. Saya tidak tahu berapa jauh tercampak kerana tidak ingat di mana tempat terakhir kami berjalan.

"Pada mulanya saya percaya letupan itu daripada sebutir bom, tetapi selepas pemeriksaan, pihak berkuasa mendapati ia disebabkan letupan paip gas," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Chin Hong berkata, kereta Volkswagen GT miliknya yang diletakkan di hadapan restoran berkenaan rosak teruk.

Sementara itu Bernama melaporkan, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 3.45 pagi dan 50 anggota dihantar ke tempat kejadian.

Beliau berkata, letupan itu dipercayai berpunca daripada kebocoran saluran gas dari aras bawah yang menempatkan kedai-kedai makan dalam pasar raya itu.

"Kami sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Buat masa ini, kami tidak benarkan orang ramai memasuki pasar raya ini," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Kira-kira 300 orang awam yang menginap di hotel di kompleks beli-belah itu dikeluarkan sebagai langkah berjaga-jaga dan sehingga pukul 4 petang ini, kesemua mereka belum dibenar memasuki hotel itu.

Empire Gallery ditutup sementara

Posted:

Empire Gallery ditutup sementara

Empire Gallery ditutup sementara

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Pusat beli-belah Empire Gallery menghentikan sementara operasinya berikutan kejadian letupan yang berlaku awal pagi ini.

Bertindak atas nasihat pihak berkuasa, pusat beli-belah itu akan ditutup sementara kepada orang ramai sehingga tarikh yang ditentukan kelak.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan pusat beli-belah itu hari ini, langkah itu dibuat demi keselamatan para pelanggan dan memberi ruang kepada pihak bomba untuk menyiasat punca kejadian.

"Sebagai langkah keselamatan tambahan, kami juga telah memindahkan pelanggan yang menginap di Hotel Empire dan Soho.

"Keutamaan kami sekarang adalah untuk menjamin keselamatan semua pelanggan dan mengambil tindakan positif dalam memastikan kejadian itu tidak memberi kesan kepada persekitaran dan bangunan sekitar," jelas kenyataan itu.

Pihak pengurusan pusat beli-belah itu juga akan memberi kerjasama kepada pihak bomba dan polis yang menyiasat kejadian letupan itu.

Menurut kenyataan berkenaan, empat orang dilaporkan cedera dan lima buah kenderaan rosak dalam kejadian itu.

Tambah kenyataan itu lagi, kejadian berkenaan disedari oleh dua kakitangan penyelenggara yang terdengar bunyi letupan di tingkat bawah pusat beli-belah itu sebelum kebakaran dikesan berlaku pada pukul 3.45 pagi.

"Kebakaran yang berlaku berjaya dikawal oleh pihak bomba kira-kira pukul 4.10 pagi," jelas kenyataan itu lagi.

Ramai rakyat Malaysia terbabit

Posted:

Ramai rakyat Malaysia terbabit

Ramai rakyat Malaysia terbabit

Daripada SHARILFUDDIN SAARI
pengarang@utusan.com.my

HO CHIN MINH, Vietnam 28 Sept. – Kedutaan Malaysia di Vietnam bimbang peningkatan kes penipuan kad kredit membabitkan rakyat Malaysia dengan tujuh kes dilaporkan di negara itu sejak 2010.

Timbalan Konsul, Nor Azme Salleh berkata, kesemua kes itu kini sedang menunggu untuk dibicarakan di mahkamah negara ini dan mereka yang terbabit terpaksa meringkuk dalam pusat tahanan.

"Kita bimbang jika tiada langkah diambil semakin ramai akan menjadi mangsa (penipuan kad kredit)," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Menurut Nor Azme, pihaknya mendapati sindiket itu melibatkan rakyat Malaysia yang menggunakan bantuan orang tengah warga Vietnam.

Katanya, ahli sindiket di Malaysia akan mengenal pasti mangsa dan membawanya ke Vietnam untuk dipergunakan.

"Mangsa biasanya individu yang kurang pengetahuan dalam kegiatan penipuan dan mudah terpedaya kerana dijanjikan pelbagai tawaran seperti melancong dan sebagainya.

"Mangsa kemudian akan diberi kad kredit dan pasport palsu sebelum diarahkan membeli pelbagai barangan di Vietnam. Jika mangsa ditangkap orang tengah itu akan melarikan diri," ujarnya.

Beliau berkata, dalam kes-kes itu, pihaknya tidak mampu berbuat apa-apa kerana terikat dengan undang-undang di Vietnam.

Katanya, kes rakyat Malaysia yang menjadi 'keldai dadah' di negara itu dilaporkan hanya dua orang dengan yang terbaru berlaku awal bulan ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


FAM bantu Safee atasi isu permit kerja

Posted:

FAM bantu Safee atasi isu permit kerja

FAM bantu Safee atasi isu permit kerja

Oleh AZIZI MAJID
sukan@utusan.com.my


SAFEE Sali bersama pengurus peribadinya, Zakaria Ab. Rahim ketika pemain kebangsaan itu tiba di KLIA, Sepang semalam setelah selesai menjalani latihan bersama Cardiff City. - UTUSAN/Wahidin Salim


JOHOR BAHRU - Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) akan membantu menyelesaikan masalah permit kerja dan visa yang dihadapi Safee Sali, seandainya penyerang kebangsaan itu mendapat tawaran beraksi bersama kelab England, Cardiff City.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengakui agak sukar untuk Safee mendapatkan permit kerja dan visa berikutan peraturan ketat di negara tersebut.

Begitupun ujarnya, masih ada peluang untuk menyelesaikan masalah terbabit melalui budi bicara antara FAM, kelab Cardiff City dan juga Persatuan Bola Sepak England.

"FAM tidak menghalang niat Safee untuk beraksi bersama Cardiff City, malah berbangga seandainya dia terpilih untuk menyarung jersi pasukan berkenaan.

"Saya berharap Cardiff City menerusi Datuk Chan Tien Ghee dapat menyediakan satu mekanisme terbaik buat Safee selepas dia dikatakan berjaya memikat pengurus pasukan Malky Mackay," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kejohanan Hoki Bawah 21 Piala Sultan Johor, semalam.

Safee sebelum ini mengalami kesukaran bagi menyarung jersi Cardiff City gara-gara masalah permit kerja.

Antaranya termasuklah ranking Malaysia yang ketika ini begitu jauh daripada syarat kelayakan kelompok 70 pasukan terbaik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selain perlu beraksi lebih 75 peratus dalam perlawanan berstatus A ketika mewakili pasukan kebangsaan.

Menurut Tengku Abdullah, Tien Ghee perlu berbincang dengan kelab Pelita Jaya yang kini diwakili Safee, seandainya berminat untuk mendapatkan penyerang kebangsaan itu.

Sementara itu, Tien Ghee mengesahkan Safee akan menjalani ujian kedua dalam tempoh terdekat dan akan mengadakan perbincangan dengan kelab Pelita Jaya untuk membawa pemain kebangsaan itu ke Cardiff City.

"Safee harus kembali ke Pelita Jaya memandangkan saingan Liga Super Indonesia akan bermula tidak lama lagi.

"Saya sendiri akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan kelab berkenaan untuk mendapatkan tarikh sesuai bagi membawa Safee menjalani latihan kedua," katanya.

Mengulas mengenai isu permit kerja Safee, meskipun mengakui ia agak ketat, namun beliau percaya pasti ada cara untuk memungkinkan Safee beraksi di kelab Cardiff City, namun semuanya bergantung kepada keputusan pihak Liga Kejuaraan Inggeris.

Safee pulang dengan keyakinan

Posted:

Safee pulang dengan keyakinan

Safee pulang dengan keyakinan

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Penyerang sensasi Harimau Malaya, Safee Sali pulang ke tanah air semalam dengan keyakinan yang tinggi selepas mengharungi latihan hampir dua minggu di kelab Liga Kejuaraan, Cardiff City.

Walaupun belum mendapat jawapan muktamad, Safee mengakui dia tidak kisah sama ada diterima atau tidak oleh Cardiff.

Sebaliknya Safee melahirkan keazaman baru bahawa dia kini bersedia memburu tempat dalam kelab-kelab yang beraksi dalam liga elit sekitar Eropah atau Asia.

"Bermain di Cardiff merupakan pengalaman paling berharga.

"Memang terdapat peningkatan dalam permainan saya sepanjang di sana, perbezaan terutama ialah dari segi kepantasan.

"Selepas latihan dua minggu, memang saya rasa boleh bersaing dengan pemain-pemain di sana.

"Saya tiada masalah menyesuaikan diri dengan cuaca, harap-harap ada perkembangan positif daripada pihak pengurusan di sana.

"Namun jika saya tidak terpilih, tiada masalah besar buat saya sebaliknya saya bersedia mencuba nasib beraksi di mana-mana kelab lain di luar negara sama ada di Eropah atau Asia selepas ini kerana saya sudah mula yakin dengan persembahan saya," katanya ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam setelah selesai menjalani latihan di Cardiff City.

Tambah Safee, selama dua minggu di Cardiff, ia masih belum mencukupi buatnya menyerlahkan potensi sebenar dan berharap bakal diberi peluang kedua.

"Memang kalau diikutkan, masih belum puas buat saya masa di sana kerana belum mengharungi perlawanan persahabatan, jurulatih (Malky Mackay) hanya melihat kemampuan saya dalam sesi latihan sahaja," katanya.

Bakal menyertai latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM menjelang perlawanan persahabatan dengan Australia di Canberra pada 7 Oktober depan, Safee akan pulang ke Pelita Jaya pada 9 Oktober ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Timur

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


RV Discovery peneroka laut luas

Posted:

[unable to retrieve full-text content]KUALA TERENGGANU 28 Sept. – Kapal latihan dan penyelidikan Research Vessel Discovery (RV Discovery) milik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang merupakan kapal pertama seumpamanya di negara ini bakal dilancarkan Jumaat ini.

Penduduk desak pasang lampu jalan

Posted:

Penduduk desak pasang lampu jalan

Penduduk desak pasang lampu jalan

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my


Ariff Al-Hamidi Bukhari dan Maryam Osman menunjukkan tempat yang pernah meragut nyawa empat bersaudara dalam kemalangan tahun lalu di Batu 4, Kampung Kenjong, Pasir Mas, semalam.


PASIR MAS 28 Sept. - Pengguna jalan raya Pasir Mas - Tanah Merah, khususnya penduduk di Batu 4, Kampung Kenjong di sini memohon pihak berwajib supaya memasang lampu jalan bagi mengurangkan risiko kemalangan di kawasan berkenaan.

Beberapa penduduk ketika ditemui Utusan Malaysia mendesak supaya langkah tersebut dilakukan secepat mungkin bagi mengelak kemalangan berlaku di kawasan tersebut.

Seorang penduduk, Ariff Al-Hamidi Bukhari, 40, berkata, risiko berlaku kemalangan lebih tinggi terutamanya pada waktu malam disebabkan keadaan yang terlalu gelap terutama berhampiran dengan selekoh tajam.

"Keadaan akan menjadi lebih bahaya pada waktu malam kerana keadaan terlalu gelap sehingga mengganggu penglihatan pengguna jalan raya.

"Walaupun papan tanda dinaikkan untuk mengingatkan para pemandu agar memperlahankan kenderaan mereka, namun ia tidak membawa sebarang kesan.

"Selain lampu jalan, saya mencadangkan pihak berwajib membuat garisan kuning atau memasang bonggol bagi memaksa pemandu memperlahankan kenderaan mereka di kawasan ini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sebelum ini, media pernah melaporkan hajat empat bersaudara menghadiri kelas tuisyen bersama di bandar ini tidak kesampaian apabila kesemua mereka maut setelah kereta yang dinaiki terbabas lalu merempuh pokok di kawasan tersebut.

Seorang lagi penduduk, Maryam Osman, 50, berkata, pihak bertanggungjawab perlu memandang serius masalah berkenaan dan bertindak dengan segera demi keselamatan pengguna terutama penunggang motosikal.

"Jalan ini merupakan laluan utama ke Tanah Merah, Jeli dan Jalan Timur Barat. Selain itu, ia sering menjadi laluan kenderaan berat dan pastinya akan mendedahkan para pengguna terutama penduduk tempatan kepada bahaya.

"Kita amat berharap agar tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa kerana jalan itu menjadi laluan utama terutama kanak-kanak yang berulang alik ke sekolah," katanya.

7 penerbangan haji dari Terengganu

Posted:

7 penerbangan haji dari Terengganu

7 penerbangan haji dari Terengganu

KUALA TERENGGANU 28 Sept. - Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) negeri Terengganu akan mengendalikan tujuh penerbangan haji terus ke Tanah Suci melalui Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini, bermula Jumaat ini.

Pengarah Tabung Haji negeri, Mohammad Mokhzani Mukhtar berkata, kira-kira 3,100 jemaah terutama dari Terengganu, Kelantan dan Pahang akan berlepas melalui lapangan terbang di negeri ini.

Katanya, setiap penerbangan dijangka akan membawa seramai 447 jemaah menggunakan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dengan penerbangan terus ke Madinah dan Jeddah.

''Penerbangan pertama KT4 dijangka berlepas kira-kira pukul 11.35 pagi terus ke Madinah,'' katanya selepas mengadakan taklimat dan meninjau mengenai persiapan operasi penerbangan haji kepada petugas di LTSM di sini, pagi ini.

Hadir sama Pengurus Malaysia Airport Berhad (MAB) Ahmad Ramli Mahmood.

Kira-kira 300 kakitangan dari 18 agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan, Jabatan Pertahanan Awam, MAB, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, MAS dan Jabatan Kastam dan Imigresen membantu operasi penerbangan haji di LTSM.

Beliau berkata, penerbangan kedua dari LTSM ialah pada 1 Oktober dan diikuti pada 5 dan 6 Oktober serta 16, 17 dan 18 Oktober.

Sementara itu, kira-kira 1,800 jemaah dari negeri ini berpeluang menunaikan fardu haji pada tahun ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Paip gas punca letupan awal pagi

Posted:

Paip gas punca letupan awal pagi

Paip gas punca letupan awal pagi

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
pengarang@utusan.com.my


TINGKAT satu hingga enam bangunan pusat beli-belah Empire Gallery di Subang Jaya rosak teruk akibat letupan kuat berpunca kebocoran gas di tingkat bawah bangunan itu menyebabkan empat individu cedera, pagi semalam.


SUBANG JAYA 28 Sept. - Letupan kuat dari saluran gas memasak yang disangka bom di pusat beli-belah Empire Gallery, di sini awal pagi ini menggemparkan penghuni pangsapuri studio dan hotel di kompleks bangunan itu.

Kesan letupan dalam kejadian pukul 3.45 pagi itu menyebabkan enam tingkat bangunan tersebut rosak teruk, tiga buah kereta terseret beberapa meter manakala cermin di bangunan berdekatan pecah.

Kerosakan paling teruk dikesan berlaku di tingkat bawah yang menempatkan restoran dan premis perniagaan. Sepasang kekasih yang sedang berjalan berdekatan restoran itu turut tercampak beberapa meter.

Pemeriksaan pihak berkuasa mengesahkan ia berpunca daripada paip gas memasak yang meletup di sebuah restoran.

Bagaimanapun hanya empat orang cedera iaitu dua pegawal keselamatan dan sepasang kekasih dikenali sebagai Tan Wern Fang, 24, dan Chua Chin Hong, 27. Mereka dirawat sebagai pesakit luar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Pengawal keselamatan yang cedera ialah warga Nepal, Chhriy Dawak dan K. Surendran Kris, 33, yang patah kaki akibat tersepit di bawah timbunan barangan yang berkecai.

Puluhan binatang peliharaan yang berada di sebuah premis di dalam bangunan tersebut turut dilihat dibawa keluar oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, letupan dipercayai berpunca daripada saluran gas memasak di sebuah restoran yang terletak di tingkat paling bawah.

"Tetapi siasatan sama ada letupan berlaku kerana kecuaian atau disengajakan sedang dijalankan. Pasukan Bomba dan Penyelamat juga akan mengenalpasti jika letupan berpunca daripada litar pintas yang bertindak balas dengan gas.

"Perkara yang perlu ditegaskan dalam kejadian ini ialah tiada unsur jenayah atau keganasan dikesan kerana ia berlaku akibat letupan paip gas," katanya kepada pemberita ketika melawat lokasi kejadian.

Beliau memberitahu, kawasan pusat beli-belah Empire Gallery akan ditutup sementara waktu sehingga siasatan dan kerja baik pulih selesai.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Mammoth Empire Holding yang merupakan pemilik bangunan, Datuk J. Y. Cheah berkata, kerja-kerja membersihkan bangunan akan dilakukan secepat mungkin.

"Bagi mengenalpasti kerugian, kami akan menunggu tafsiran kerugian oleh 180 penyewa premis di bangunan itu," katanya.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Kanan Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Subang Jaya, Asfarizal Abd. Rashid menyangkal dakwaan pusat beli-belah Empire Gallery tidak memiliki sijil layak menduduki (CF).

"Ketika siap dibina, bangunan tersebut hanya diberi CF sementara kerana perlu melakukan pengubahsuaian mengikut pelan, tetapi selepas CF tetap diberikan, baru operasi di situ dijalankan sehingga kini.

"Dakwaan mungkin timbul kerana pernah diberi CF sementara, namun masalah ketiadaan CF sebenarnya tidak berlaku kerana bangunan itu beroperasi mengikut peraturan," katanya ketika dihubungi.

Hanya logo halal Jakim diiktiraf

Posted:

Hanya logo halal Jakim diiktiraf

Hanya logo halal Jakim diiktiraf

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 28 Sept. - Berkuat kuasa 1 Januari 2012 hanya logo halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sahaja yang boleh diguna pakai dan diiktiraf di seluruh negara.

Serentak itu, semua sijil halal sedia ada terbatal pada malam 31 Disember dan semua pihak perlu mengemukakan permohonan baru kepada pengeluar tunggal iaitu Jakim.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu sejajar dengan penguatkuasaan Akta Perihal Dagangan 2011 dan Persijilan Halal yang telah diluluskan oleh Parlimen pada 11 Julai lalu bagi menggantikan Akta Perihal Dagangan 1972.

"Untuk logo halal ini, pihak kita akan menguatkuasakannya pada 1 Januari 2012, bermakna selepas itu tidak ada lagi logo halal lain selain Jakim boleh digunakan, terutamanya di premis makanan dan restoran.

"Kalau ada yang gunakan logo lain, kita boleh ambil tindakan iaitu denda RM250,000 dan tiga tahun penjara bagi syarikat atau kedua-duanya sekali, manakala bagi individu denda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali,'' katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jakim, Othman Mustapha dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd. Yusof.

Menurutnya lagi, 53 logo sijil halal dari luar negara juga akan ditentukan statusnya oleh Jakim.

Ismail Sabri menjelaskan, semua Jabatan Agama Islam negeri akan memproses permohonan peniaga dan pihak industri sebelum dihantar ke Jakim untuk tujuan pengeluaran sijil logo halal.

"Saya nasihatkan para pengusaha restoran yang sijil halalnya akan tamat sekarang atau tahun depan memohon secara 'dalam talian' dengan Jakim tanpa perlu menunggu sehingga akhir tahun kerana proses kelulusan kira-kira sebulan,'' katanya.

Sementara bagi pihak industri pula, jelas beliau, Jakim bersetuju menangguhkan selama setahun kerana ada yang telah membuat cetakan dalam jumlah yang besar.

Menurutnya, penguatkuasaan itu akan melibatkan lebih 1,500 pengusaha premis makanan dan industri.

Bayaran permohonan untuk memperbaharui sijil logo halal ialah RM100 untuk kedai makan, RM400 untuk industri kecil dan sederhana manakala RM700 buat syarikat multinasional.

Beratus rumah rosak dipukul ribut

Posted:

Beratus rumah rosak dipukul ribut

Beratus rumah rosak dipukul ribut

Oleh RADHUAN HUSSAIN
pengarang@utusan.com.my


SELAIN rumah, bangsal perniagaan, bot milik penduduk kampung turut musnah dipukul ribut dan beberapa orang penduduk berusaha untuk menterbalikkan semula sebuah bot di tebing Sungai Terengganu berhampiran Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, semalam.- BERNAMA


KUALA TERENGGANU 28 Sept. - Ratusan rumah dan kemudahan awam rosak akibat ribut di beberapa tempat sekitar daerah ini khususnya di Seberang Takir, Dataran Shahbandar di sini, malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam yang turut menyebabkan bangsal-bangsal perniagaan di pinggir muara runtuh dan diterbangkan angin.

Beberapa pondok rehat dan papan iklan turut tumbang manakala banyak pokok menghempap kenderaan dan mengakibatkan talian elektrik serta telefon terputus.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian selama kira-kira sejam dan pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu sehingga lewat petang ini masih menjalankan kerja-kerja pembersihan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri mengarahkan wakil-wakil rakyat agar segera menghulurkan bantuan bagi membaiki kerosakan rumah penduduk yang teruk terjejas.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Menurut Ahmad, beliau telah mengarahkan wakil-wakil rakyat di kawasan yang teruk dilanda ribut memberi bantuan segera.

"Jangan tunggu lagi, kita harap bantuan segera diberikan terutama untuk membaiki atap rumah yang rosak dilanda ribut, " katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

Beliau menyifatkan ribut yang berlaku semalam sebagai agak luar biasa berlaku di negeri ini memandangkan kebiasaannya melanda negeri-negeri di sebelah utara seperti Kedah dan Perlis.

Katanya, kerajaan negeri juga masih menunggu laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengenal pasti jumlah kerugian yang dialami sebelum bantuan dihulurkan.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved