Isnin, 30 Disember 2013

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Kim Swee bayang buat rombakan

Posted: 30 Dec 2013 10:25 AM PST

Oleh SUFIAN HADI MOHD. SOJAK
sukan@utusan.com.my

Ong Kim Swee

KUALA LUMPUR - Hari ini merupakan detik terakhir yang bakal memahat 1001 nostalgia dalam arena sukan negara mahupun antarabangsa apabila tahun 2013 bakal berlalu pergi sementara tirai 2014 sedang mengintai masuk dalam tempoh beberapa jam lagi.

Turut menerima tempias adalah kontrak Datuk K. Rajagobal selaku jurulatih Harimau Malaya akan tamat secara rasminya setelah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak berhasrat menyambung khidmatnya, manakala esok pula, bermulalah langkah baharu jurulatih sementara skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee untuk menggalas tanggungjawab sukan No. 1 dunia itu.

Menurut Kim Swee, yang juga pengendali skuad Harimau Muda A, segala perancangan kini berada di dalam genggamannya bagi mengatur corak permainan di samping berkemungkinan besar merombak jentera Harimau Malaya selepas melihat ada di antara pemain yang selama ini telah dinafikan bakatnya.

Pastinya, beliau membuat pemilihan pemain berdasarkan prestasi semasa mereka sepanjang kempen Liga Malaysia, malah harapan peminat bola sepak tanah air untuk melihat beberapa bintang liga tempatan mendapat tempat dalam skuad kebangsaan dan menyarung jersi Malaysia mampu menjadi kenyataan.

Bagaimanapun, Kim Swee enggan menyebut siapa pemain yang bakal membarisi skuad Harimau Malaya bimbingannya kelak, tetapi mengakui prestasi semasa mereka antara kriteria utama yang akan menjadi sandaran dalam membentuk pasukan, yang masih mempunyai peluang tipis untuk melayakkan diri ke Piala Asia 2015.

"Buat masa ini, saya mahu tunggu kempen liga Malaysia bermula sebelum saya memutuskan siapa yang akan dipilih. Sudah tentu ada bakat-bakat terpendam yang harus kita gilap.

"Tidak semestinya pemain-pemain yang sedia ada akan dikekalkan. Mereka harus merebut tempat dalam kesebelasan utama dalam setiap kelab yang mereka wakili dan semestinya, prestasi semasa menjadi tanda aras pemilihan.

"Kemungkinan besar ada perubahan. Sebab ada sedikit bayangan, tetapi yang pastinya saya mahu menilai prestasi mereka dalam dua atau tiga perlawanan liga dahulu, dari situ saya akan dapat gambaran penuh," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Bintang tengah Kelantan yang muncul Pemain Paling Bernilai 2013, Mohd. Badri Radzi antara pemain yang dijangka menjadi anggota baharu skuad kebangsaan.

Harimau Malaya yang mengumpul empat mata kini menduduki tangga ketiga dalam Kumpulan D dan dijadualkan bertemu Yaman di tempat lawan dalam saingan kelayakan Piala Asia AFC 2015 pada 5 Mac akan datang.

Mengulas lanjut mengenai tarikh bagi Harimau Malaya memulakan sesi latihan, pengendali kelahiran Melaka itu memberitahu, mereka akan bertemu pada penghujung bulan Februari nanti memandangkan perlu akur kepada jadual perlawanan domestik.

"Sebab kita ada liga dan ada jadual untuk pasukan kebangsaan bersiap sedia sebelum perlawanan kelayakan itu nanti. Berkemungkinan 20 Februari tahun depan kita sudah boleh mengadakan sesi latihan," ujarnya.

Wei Feng akhirnya juara

Posted: 30 Dec 2013 10:25 AM PST

Chong Wei Feng (kanan) muncul juara kebangsaan selepas menumpaskan Tan Chun Seang dalam final Grand Prix Badminton Kebangsaan Akhir di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya semalam. - UTUSAN/MOHD. AZIM ABD RAHMAN

PUTRAJAYA - Selepas sekadar muncul naib juara dalam dua penampilan terakhir, Chong Wei Feng puas kerana impian untuk bergelar juara kebangsaan akhirnya menjadi kenyataan apabila menundukkan pemain profesional, Tan Chun Seang dalam perlawanan akhir Grand Prix Badminton Kebangsaan Akhir, semalam.

Pemain No. 2 negara itu hanya memerlukan 34 minit untuk menundukkan Chun Seang 21-14, 21-9 di Kompleks Kejiranan Presint 11 bagi memenuhi hajat bergelar juara kebangsaan pada usia 26 tahun.

Biarpun dilihat muncul juara dalam usia yang agak 'lewat', namun pemain kelahiran Kedah itu menegaskan, adalah lebih baik menang daripada langsung tidak merasai nikmat kejuaraan.

"Saya tahu ini gelaran Grand Prix Kebangsaan pertama saya dan ramai yang bercakap, saya menang pada usia yang agak lewat, 26 tahun.

"Bagaimanapun pada saya, lebih baik terlewat daripada langsung tidak menang. Kemenangan ini juga menaikkan semula keyakinan saya selepas persembahan buruk pada Sukan SEA Myanmar, awal bulan ini," ujar Wei Feng, yang tersingkir seawal pusingan pertama kepada pemain Thailand, Avihingsanon Suppanyu.

Sementara itu dalam perkembangan lain, masa depan beregu campuran No. 1 negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dilihat menuju penghujung jalan selepas Liu Ying mendapati kecederaan lutut kanannya semakin teruk sebaik saja mendapat laporan pemeriksaan MRI (Magnetic Resonance Imaging).

"Keadaan lutut saya agak teruk, koyakan yang berlaku lebih besar daripada sebelum ini. Saya juga mengalami koyakan di lutut kiri.

"Saya akan mendapatkan nasihat daripada ISN (Institut Sukan Negara) dan tengok apa cara terbaik untuk menangani isu ini," ujar Liu Ying.

Tanpa Liu Ying, Peng Soon bergandingan dengan Lai Pei Jing dalam beregu campuran pada Grand Prix Kebangsaan Akhir dan kombinasi tersebut berjaya muncul juara.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


1,907 PATI ditangkap di Pulau Pinang tahun ini

Posted: 30 Dec 2013 10:37 PM PST

BUTTERWORTH 31 Dis. - Seramai 1,907 orang pendatang asing tanpa izin ditahan Jabatan Imigresen sepanjang tahun ini di Pulau Pinang menerusi Ops 6P Bersepadu.

Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Hasbullah Abdul Rashid berkata, daripada jumlah itu, 1,005 orang telah didakwa di mahkamah manakala selebihnya telah diambil tindakan usir dan dikenakan kompaun.

"Kita mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 447 tangkapan pada tahun ini berbanding 397 tangkapan pada tahun 2012. Dari segi kutipan hasil pula kita berjaya memungut kompaun sebanyak RM3.08 juta," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Imigresen Tahun 2013 peringkat negeri, di sini hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan pendatang asing tanpa izin yang ditangkap ialah dari Indonesia, Myanmar dan Bangladesh, dan antara kesalahan yang dilakukan ialah tiada dokumen perjalanan serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

Dalam pada itu, Hasbullah berkata, sebanyak 119,479 pas dikeluarkan oleh jabatan itu sepanjang tahun ini kepada warga asing.

Ia meliputi pas pelajar, pas pengajian, pas lawatan kerja sementara, pembantu rumah dan pas di bawah enam sektor iaitu pembinaan, pembuatan, perkhidmatan, pembinaan, perkilangan dan perladangan, katanya. - BERNAMA

Guling: Polis tahan lelaki miliki bom buatan sendiri

Posted: 30 Dec 2013 10:30 PM PST

SHAH ALAM 31 Dis. - Polis menahan seorang lelaki tempatan bersama-sama sebutir bom buatan sendiri di Taman Halaman, Ampang, Ahad lepas, yang dipercayai hendak diletupkan pada sambutan ambang tahun baharu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Datuk Abd. Rahim Jaafar berkata, bom berupa paip PVC dirampas dari suspek berumur 46 tahun ketika beliau sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan pada pukul 10.25 pagi di sekitar lampu isyarat Taman Permai, Ampang.

"Suspek melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis, namun berjaya ditahan polis apabila motosikal yang ditungganginya terbabas dan melanggar sebuah kenderaan di Taman Halaman, Ampang.

"Pemeriksaan yang dibuat ke atas beg silang suspek, polis menjumpai sebutir bom buatan sendiri berupa paip PVC yang mempunyai sumbu bersama mercun botol disyaki bahan letupan.

"Siasatan mendapati suspek yang dalam keadaan khayal ketika ditahan memberitahu beliau belajar membuat bom menerusi Internet," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Abd. Rahim berkata, siasatan awal mendapati suspek yang bekerja di sebuah kedai peralatan sembahyang di Serdang hendak meletupkan bom itu pada sambutan ambang tahun baharu dan polis masih siasat sasaran tempat bom itu hendak diletupkan.

Beliau berkata, pihaknya turut menyiasat kemungkinan sama ada bom itu akan digunakan untuk tujuan perhimpunan haram di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hari ini.

"Polis bimbang dengan isi kandungan bom itu yang dimampatkan dengan belerang, paku dan kaca yang boleh mendatangkan kecederaan serius dan berkemungkinan kematian apabila diletupkan," katanya.

Abd. Rahim berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau termasuk kes dadah dan samun.

Katanya, suspek disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Kereta ditunda ke kawasan parkir

Posted: 30 Dec 2013 10:25 AM PST

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
fairuz.yusof@utusan.com.my

KUANTAN 30 Dis. - Polis Pahang akan menunda mana-mana kereta yang diletakkan di tepi jalan secara berlapis ke kawasan tempat letak kenderaan disediakan jika berlakunya banjir gelombang kedua di daerah ini yang diramal bermula sekarang sehingga 6 Januari depan.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Jamaluddin Abd. Majid berkata, dalam kejadian banjir pada 3 Disember lalu, pemilik kereta meletakkan kenderaan di bahu jalan sehingga pasukan keselamatan sukar melalui laluan tersebut.

Menurutnya, polis melakukan persediaan membuka kawasan tempat letak kenderaan di lokasi yang dilanda banjir supaya semua pemilik kenderaan meletakkannya di situ.

"Sekiranya terdapat segelintir pemilik kereta yang meletakkan kenderaan di bahu jalan, kita akan mengambil tindakan dengan menundanya ke kawasan yang disediakan.

"Langkah ini diambil bagi melicinkan pemindahan mangsa banjir ke pusat pemindahan dan diharap masyarakat memberi kerjasama dan mengikut arahan sepanjang proses tersebut," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim dan Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supritendan Aziz Ahmad.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain pusat pemindahan yang disediakan, polis juga menyediakan beberapa kawasan tempat letak kenderaan mengikut kawasan kediaman yang dinaiki air.

Jelasnya, kawasan dicadangkan bagi penduduk Permatang Badak, Sungai Isap 1, Sungai Isap Jaya, Taman Guru, Taman Sepakat dan Taman Kurnia ialah di tanah lapang bersebelahan pasar raya Giant, di tepi padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dekat Kemunting dan di sepanjang laluan dari Tanah Putih menghala ke persimpangan lampu isyarat Permatang Badak.

"Bagi penduduk di sekitar Taman Guru, Gudang Rasau dan perumahan Batu 6 boleh meletak kenderaan di laluan masuk ke Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Gudang Rasau dan sepanjang kiri kanan jalan Gambang menghala ke Taman Tas.

"Penduduk sekitar Bukit Rangin dan Pintasan Kuantan boleh meletak kenderaan di laluan Pintasan Kuantan-Pelabuhan dari arah Bukit Rangin menghala ke Kolej Shahputra dan di tanah lapang berhadapan stesen minyak Shell Jalan Kuantan-Pelabuhan," katanya.

130 pelajar mangsa banjir terima bantuan

Posted: 30 Dec 2013 10:25 AM PST

Noraini Ahmad (kanan) menyampaikan bantuan peralatan persekolahan kepada para pelajar mangsa banjir di Kampung Lamir, Pekan, semalam.

PEKAN 30 Dis. - Seramai 130 pelajar sekolah rendah dan menengah dari tiga kampung di sini yang menjadi mangsa banjir baru-baru ini, menerima bantuan persekolahan sumbangan Hotel Ancasa Royale Pekan.

Pengurus Bahagian Penginapan hotel tersebut, Noraini Ahmad berkata, sumbangan ini merupakan tanggungjawab sosial syarikat itu untuk membantu mangsa banjir.

"Walaupun hotel ini belum dibuka, namun ini tidak menghalang kami untuk membantu bagi mengurangkan beban ibu bapa khususnya berkaitan perbelanjaan sekolah anak-anak mereka," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian bantuan tersebut di Kampung Temai, di sini hari ini.

Menurut beliau, pelajar sekolah tersebut merupakan mangsa banjir dari Kampung Temai, Kampung Sawah dan Kampung Pahang Tua.

"Antara bantuan persekolahan yang diberikan adalah beg sekolah, alat tulis dan bekas minuman.

"Saya berharap dengan bantuan ini secara tidak langsung dapat meringankan beban ibu bapa yang terlibat dengan bencana ini," katanya.

Sementara itu, salah seorang penerima, Mohd. Izamrullah Mokhtar, 12, berkata, bantuan yang diterima itu boleh sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban persediaan untuk ke sekolah.

"Semasa kejadian banjir, habis semua peralatan persekolahan rosak. Namun syukur sebab ada juga yang hendak membantu. Rasa bersemangat untuk ke sekolah dengan adanya bantuan ini," katanya.

Seorang bapa, Said Bramsa Zainal Abidin, 52, pula melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas bantuan persekolahan yang disampaikan pihak hotel itu.

"Saya sangat bersyukur kerana bantuan ini dapat meringankan beban pengurusan persekolahan dua anak saya. Masa banjir tempoh hari semua peralatan sekolah anak-anak saya rosak," katanya.

Prestasi pelajar luar bandar meningkat

Posted: 30 Dec 2013 10:25 AM PST

MARAN 30 Dis. - Usaha kerajaan dalam merapatkan jurang pendidikan pelajar luar bandar menunjukkan peningkatan apabila jumlah pelajar cemerlang kawasan itu kini hampir menyamai mereka di luar bandar.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abd. Muttalib berkata, perkara itu dapat dilihat dengan pencapaian murid dan pelajar yang menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut beliau, pencapaian berkenaan membuktikan bahawa pendidikan negara berada pada tahap kelas antarabangsa hasil pelaburan besar kerajaan dalam sektor tersebut.

"Kejayaan itu juga turut disokong dengan komitmen tinggi pelbagai pihak termasuk guru, wakil rakyat dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Taraf penyediaan mutu pendidikan terbaik itu secara tidak langsung menyaksikan negara ini menjadi tumpuan serta destinasi pelancongan pendidikan popular di dunia khususnya dari Asia dan benua Afrika," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang yang memperoleh 5A dalam UPSR serta 7A dan 9A bagi PMR di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, sebagai pelajar cemerlang, penetapan matlamat amat penting dalam menentukan hala tuju pembelajaran yang menjadi perintis kepada kejayaan yang lebih besar.

Beliau juga mengingatkan pelajar khususnya beragama Islam supaya menetapkan matlamat selari dengan tuntutan agama dan syariat.

"Matlamat yang ditetapkan perlu seiring dengan penetapan sasaran yang akan menjurus kepada terlaksananya matlamat tersebut," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Bahrain pintas cubaan seludup bahan letupan

Posted: 30 Dec 2013 09:54 AM PST

DUBAI 31 Dis. - Pihak berkuasa Bahrain semalam, merampas sebuah bot digunakan untuk menyeludup barangan letupan yang dibuat di Iran dan Syria.

Menurut Ketua Keselamatan Umum Jeneral Tareq al-Hasan, bot yang dinaiki dua warga Bahrain itu ditahan selepas dikesan pada kedudukan 118 batu nautika di timur laut, negara itu.

Sebanyak lima puluh butir bom buatan tangan yang dibuat di Iran, serta 295 fius yang disambungkan kepada suis serta dilabelkan, dibuat di Syria turut dirampas," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan. - AFP

Arab Saudi hulur AS$3 bilion kepada Lebanon

Posted: 30 Dec 2013 09:50 AM PST

BEIRUT 31 Dis. - Arab Saudi berjanji untuk memberikan sejumlah AS$3 bilion (RM9.86) bilion kepada Lebanon, dalam masa terdekat.

Peruntukan tersebut akan digunakan untuk tentera Lebanon bagi membeli peralatan yang diperbuat daripada Perancis.

Perkara tersebut diumumkan oleh Presiden Lebanon, President Michel Sleiman semalam, dan memutuskan untuk menyediakan bantuan kepada tentera Lebanon bagi mengukuhkan lagi keupayaan pasukan keselamatan negara itu. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Penganggur dijel dua tahun

Posted: 30 Dec 2013 10:25 AM PST

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 30 Dis. - Seorang penganggur ternyata tidak berhati perut apabila tergamak mengugut membakar rumah bapanya sekiranya warga emas berusia 72 tahun itu enggan segera pulang untuk memberinya wang.

Akibat perbuatan mengugut bapanya sendiri, hari ini lelaki terbabit, Wan Muhammad Surianan Wan Ahmad, 31, dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman tersebut setelah Wan Muhammad Surianan mengaku melakukan kesalahan itu terhadap Wan Ahmad Wan Yusuf sehingga mengundang ketakutan kepada bapanya itu.

Kejadian didakwa berlaku di Kampung Pantai Sabak, Pengkalan Chepa di sini pada pukul 11 pagi, 8 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Wan Muhammad telah menghubungi bapanya yang ketika itu berada di Kampung Cina atas urusan kerja dan memintanya pulang ke rumah kerana mahukan wang dan turut mengugut mahu membakar rumah sekiranya tidak pulang dengan kadar segera.

Mahkamah menetapkan hukuman terhadap tertuduh bermula dari tarikh dia ditangkap pada 27 November lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Peniaga cederakan isteri dihukum penjara tiga hari

Posted: 30 Dec 2013 10:25 AM PST

KUALA LUMPUR 30 Dis. - Seorang peniaga dihukum penjara tiga hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memukul dan menendang isterinya sehingga menyebabkan mangsa cedera pada awal pagi Hari Krismas lalu.

Kwek Eng Soon, 50, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Chuah Poe Mooi, 41, di kediaman mereka di No. 20, Jalan Satu, Kampung Cheras Baru, Cheras pada pukul 1 pagi, 25 Disember lalu.

Dakwaan terhadap bapa kepada tiga anak itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Majistret Asyraf Rezal Abd. Manan memerintahkan hukuman berkuat kuasa hari ini.

Menurut fakta kes, tertuduh yang pulang ke rumah dalam keadaan mabuk telah memarahi isterinya dan bertengkar di dalam bilik tidur sebelum bertindak menumbuk dan menendang mangsa.

Anak perempuan mereka juga hampir dipukul kerana cuba menghalang perbuatan bapanya itu. Lelaki terbabit kemudian membaling sebuah baldi ke arah mangsa namun sempat dielak dan terkena tingkap.

Akibat ketakutan, pengadu yang cedera di dahi, muka dan kaki terus keluar dari rumah dan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon hukuman yang ringan atas alasan sudah berbaik semula dengan isterinya.

Timbalan Pendakwa Raya, Ooi Chean Ling yang mengendalikan pendakwaan pula memohon mahkamah memberikan hukuman berbentuk pengajaran ke atas tertuduh kerana kesalahan melibatkan keganasan rumah tangga.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Agrobiz

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Diesel daripadabahan buangan

Posted: 29 Dec 2013 09:56 PM PST

Dr. Mohd. Amin Jalaludin mengisi minyak Biopro sebagai simbolik perasmian Ekspedisi Kembara Biopro Diesel, penjelajahan dari UM ke Johor Bahru sejauh 750 km baru-baru ini. Turut kelihatan ialah Dr. Ishenny Mohd. Noor (dua, kanan) dan bekas Naib Canselor UM Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon (kiri) dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UM, Profesor Datuk Dr. Rohana Yusof.

Malaysia ternyata bertuah sebagai antara negara pengeluar kelepa sawit utama dunia dengan keluasan kawasan penanaman mencecah lima juta hektar.

Lebih menarik, segala yang berkaitan dengan kelapa sawit kini boleh dimanfaatkan untuk menjana ekonomi.

Minyaknya terbukti telah menjana pulangan puluhan bilion ringgit. Tetapi pada masa sama bahan buangan kilang dan biomas (biojisim) juga mampu memberi pendapatan jika diusahakan secara komersial menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Sebelum ini kita mendengar bagaimana minyak sawit biodiesel dihasilkan, bahan buangan dijadikan asas pembuatan plastik organik, manakala bahan lain diproses untuk menghasilkan produk lumayan termasuk bahan api.

Terbaharu ialah diesel Biopro, inovasi terkini tempatan bukan sahaja 40 peratus lebih murah daripada bahan api diesel standard malah juga kurang mengeluarkan asap toksik yang mengancam alam sekitar.

Bahan api bio itu yang dibangunkan oleh sekumpulan saintis dari Universiti Malaya (UM) diperbuat menggunakan sisa buangan kilang minyak sawit dan tidak memerlukan komponen tambahan untuk menambahbaik daya pembakaran.

Naib Canselor UM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Amin Jalaludin berkata, produk berkenaan merupakan hasil penyelidikan yang dijalankan selama 12 tahun oleh kumpulan penyelidik dan menjalani ujian akhir.

"Pada hari ini kami menjalankan ujian akhir dan menjangka dapat memasarkan bahan api itu di seluruh negara menjelang Oktober tahun depan dan di seluruh dunia tidak lama lagi," katanya selepas ujian akhir itu di Johor Bahru , Johor baru-baru ini.

Beliau berkata, penyelidikan itu dijalankan bersama Gyrus Tech Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat UM untuk memperkenal dan mengkomersial segala inovasi UM, dan ia diketuai oleh Dr. Ishenny Mohd. Noor dari Jabatan Kejuruteraan Kimia UM.

Semasa fasa ujian akhir Biopro, wakil-wakil media diberi peluang menaiki sebuah bas yang menggunakan bahan api bio itu dari Petaling Jaya ke Johor Bahru dan kembali semula pada hari yang sama meliputi jarak 750 kilometer.

Perjalanan 14 jam itu cukup sempurna, dengan bas mampu memecut lancar dan tidak mengalami apa-apa masalah enjin.

Juga tiada bau diesel yang tidak terbakar dalam enjin, sesuatu yang lazim bagi kebanyakan kenderaan berat yang menggunakan diesel standard.

Sehinggakan beberapa anggota media dalam bas cuba menghidu apa-apa kesan bau diesel walau sedikit mana pun di dalam dan luar bas tetapi ternyata tiada bau diesel.

"Kesemua bas serta kenderaan berat yang melepaskan asap hitam tebal yang toksik dan mencemar alam sekitar khasnya di bandar-bandar perlu diwajib menggunakan diesel Biopro," tegas seorang wartawan yang teruja dalam bas itu.

Sementara itu, Dr. Ishnenny berkata, penghasilan diesel Biopro adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan dunia.

Ia adalah paten UM dan memenangi beberapa anugerah termasuk pingat emas pada Pameran Antarabangsa Ciptaan, Inovasi dan Teknologi Kuala Lumpur 2013 (ITEX), anugerah pingat emas pada Pameran Ciptaan Antarabangsa Seoul (SIIF) 2013 dan anugerah pingat emas berganda pada Pameran Antarabangsa Ciptaan Britain (BIS) 2013 di London.

"Kami masih belum dapat menemui pesaing bagi diesel Biopro. Saya percaya ia akan laris di pasaran," katanya.

Dalam menjelaskan kelebihan Biopro, Dr. Ishnenny berkata, bahan api itu bukan sahaja meningkatkan kuasa enjin malah membolehkan pembakaran bersih yang menyebabkan bahan toksik termasuk karbon dioksida (CO2) dan sulfur dioksida (SO2) berkurang dalam asap yang dilepaskan melalui ekzos.

"Ia mesra alam, dan menepati keperluan Euro2M dan Euro4M," tambah beliau.

Pasukan media juga kagum dengan aspek penjimatan kos kerana perjalanan pergi dan balik sejauh 750 km itu hanya menggunakan 180 liter diesel dengan tangki bahan api masih separuh penuh pada akhir perjalanan.

Diesel Biopro membawa penjimatan besar dan dapat menampung keperluan Malaysia dan seluruh dunia.

Menjelaskan mengenai punca penjimatan, Dr. Ishenny berkata, ini disebabkan pembakaran sempurna yang secara langsung menambah jarak perjalanan yang hanya 1.3 kilometer untuk satu liter menggunakan diesel standard menjadi empat kilometer untuk satu liter menggunakan diesel BioPro.

"Oleh kerana pembakaran yang sempurna, jarak perjalanan lebih jauh dan lancar, kenderaan juga berasa ringan serta mudah dipandu," katanya.

Selain itu, Dr Ishenny menunjukkan diesel Biopro bertindak sebagai lapisan pelincir di atas omboh berbanding diesel biasa yang mana lapisan pelincir itu hanya terdapat di bawah omboh untuk melicinkan pergerakan omboh dan mengelakkan pembaziran tenaga. - Bernama

Lancar, tiada pencemaran

Posted: 29 Dec 2013 09:56 PM PST

Dr. Ishenny Mohd Noor (kanan ) berbincang sesuatu dengan pemandu bas Universiti Malaya, Kuzaimi Mustafa sejurus tiba di Johor Bahru ketika menyertai Ekspedisi Biopro Diesel dari UM ke Johor Bahru sejauh 750 km baru-baru ini .

Sementara itu, pemandu bas yang terlibat dalam ekspedisi Biopro itu Kuzaimi Mustafa, 33, berkata, terdapat perbezaan ketara dalam pengalaman pemanduan menggunakan diesel Biopro, khasnya daripada segi penjimatan bahan api dan kos selain pemanduan lancar dan ketiadaan kesan ketukan dalam enjin.

"Sebuah bas yang menggunakan diesel biasanya akan membakar 280 liter bahan api sehala ke Johor Bahru," katanya dan menambah diesel Biopro pilihan bijak bagi bas dan mana-mana kenderaan berat yang lain kerana ia akan membawa penjimatan besar.

Daripada aspek teknikal, Kuzaimi yang berkhidmat di UM sebagai pemandu selama 10 tahun berkata, asapnya juga kurang dan dengan itu mengurangkan ancaman terhadap kesihatan dan alam sekitar.

Beliau berkata sebelum ini, bahan api itu diuji pada sebuah trak pikap jenama luar negara di jalan berliku di Ulu Yam, Selangor.

"Bersama bahan api baru yang hebat ini, keperluan untuk menukar gear juga kurang khasnya semasa memandu di laluan-laluan sempit dan berbukit seperti jalan ke Ulu Yam.

"Tiada bau melemaskan yang lazim berlaku apabila menggunakan diesel biasa yang boleh menyebabkan rasa pening dan mual. Bau asapnya menyenangkan dan ia seperti bau gula-gula getah," katanya.

Beliau berkata enjin bas juga berasa 'ringan' dengan diesel Biopro walaupun semasa memecut di laluan berbukit dan tiada bunyi deruman kuat yang lazim boleh didengar semasa pertukaran gear.

Kuzaimi berkata, kesemua bas 50 penumpang di UM kini menggunakan diesel BioPro.

Apa yang menarik menurut Dr. Ishenny Mohd Noor pula ialah kesemua kenderaan yang mahu menggunakan diesel Biopro tidak memerlukan enjin diubahsuai atau pemasangan peranti tambahan. Isi tangki dengan Diesel Biopro dan terus nikmati perjalanan lancar dan menjimatkan kos. - Bernama

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Megabait

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


Dell perkenalkan rangkaian XPS terbaharu

Posted: 29 Dec 2013 09:56 PM PST

Meneruskan misi untuk menjadi pengeluar komputer riba terbaik setanding jenama antarabangsa lain, Dell memperkenalkan rangkaian komputer riba ultra terbaharu dengan tarikan utamanya menerusi pembangunan reka bentuk yang elegan selain melengkapi keinginan pengguna.

XPS 11 dan 15 memberikan pengalaman luar jangkaan dengan prestasi yang dinaik taraf selaras dengan tradisi XPS yang menawarkan sistem pengkomputeran terbaik dengan Corning Gorilla Glass NBT untuk memantapkan prestasi, ketahanan serta penggunaan unggul.

Bagi XPS 11 yang merupakan peranti berukuran 11 hingga 15 milimeter, ia menawarkan reka bentuk seperti tablet dengan kefungsian komputer riba dengan hanya seberat 1.1 kilogram.

Kerangka luarnya terbina daripada material gentian karbon fiber serta kemasan aluminium menjadikan model berkenaan begitu kukuh dan tahan lama.

Hanya dengan satu pusingan 360 darjah pada engsel untuk mengubah bentuk serta permukaan pepejal inovatif bercahaya pada papan kunci sentuh, sudah pasti ia memberikan satu pengalaman hebat kepada pengguna.

Menjenguk sudut teknikal peranti pengkomputeran ultra ini, enjinnya dipacu oleh pemproses pilihan Intel Haswell Core i3 atau Core i5 dengan sistem operasi Windows 8 serta tontonan True Color yang dikuasakan oleh teknologi eeColor memberikan kepuasan tontonan maksimum.

Bagi model XPS 15 pula, ia merupakan komputer riba 15.6 inci pertama yang memberikan paparan Quad HD+ dengan 5.7 juta pixel iaitu lima kali ganda lebih besar berbanding resolusi paparan standard HD.

Dikuasakan oleh pemproses Intel Core i5 dan i7 generasi keempat serta pilihan disket grafik NVIDIA, ia turut dibantu oleh teknologi Intel Rapid Start bagi membenarkan pengguna memeriksa e-mel, melayari Internet dan mendengar muzik pada mod tidak aktif bertujuan menjimatkan bateri.

Kedua-dua model ini telah berada di pasaran dengan harga pengenalan bagi XPS 11 bermula RM 3,899 manakala XPS 15 dari RM 4,899.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk terbaharu dari Dell ini boleh layari laman web www.dell.com.my.

Dua inovasi Logitech

Posted: 29 Dec 2013 09:56 PM PST

Oleh NOOR DIANA AZIS

PENERAJU inovasi dan navigasi peranti komputer, Logitech baru-baru memperkenalkan tetikus hibrid yang mempunyai zon sentuh serta fungsi tetikus tradisional bagi menyokong navigasi pada aplikasi Windows 8 iaitu Zone Touch Mouse T400.

Dibina dengan permukaan sentuhan gelas yang membolehkan pengguna menyusuri setiap halaman dengan tepat, kawasan skrolnya pula memberikan laluan pantas ke aplikasi kegemaran anda menerusi Windows 8 Start Screen.

Turut dikuasakan dengan teknologi wayarles dengan frekuensi 2.4GHz , ia tidak mengakibatkan kelewatan pada pergerakan tetikus.

Diperkemaskan dengan pembalut cengkaman getah untuk keselesaan, sudah pasti pengguna akan menikmati kemudahan dalam pengendalian walaupun penggunaan selama berjam-jam.

Dengan jangka hayat bateri sehingga 18 bulan, Zone Touch Mouse T400 juga dibina dengan penunjuk status bateri bagi memudahkan pengendalian tetikus tersebut.

Bagi menghargai kesetiaan pengguna serta sempena sambutan tahun baru, Zone Touch Mouse T400 yang pada mulanya dijual pada harga runcit RM149 kini akan dikurangkan sehingga 50 peratus menjadi RM 74.50 dengan pilihan warna hitam, kelabu dan merah.

Sementara itu, bagi produk yang mampu menjadi pelengkap konsol permainan telefon mudah alih, LogiTech memperkenalkan alat kawalan PowerShell Controller yang boleh dihubungkan ke iPhone 5S, iPhone 5 dan iPod Touch generasi kelima serta hanya sesuai untuk platform iOS 7.

PowerShell akan dilengkapkan di sekeliling telefon sekiranya diletakkan secara melintang manakala pada bahagian kiri terdapat butang kawalan arah kiri, kanan, atas dan bawah sementara di bahagian kiri terdapat butang A,B, X dan Y.

Dengan berat 120 gram, keseluruhan rekaan alat kawalan permainan ini tidak mengganggu slot yang sedia ada pada telefon bimbit termasuk akses kepada butang volum atas / bawah, butang senyap / dering, butang kuasa tutup / buka.

Inovasi baru dunia konsol mudah alih ini mempunyai beberapa permainan video yang dikesan mampu dimainkan melalui alat kawalan itu termasuklah Bastion, Fast & Furious 6: The Game, MetalStorm Aces, Galaxy On Fire 2™ HD dan Nitro.

Alat kawalan ini akan mula dijual di pasaran Malaysia pada Januari ini nanti dengan harga RM399.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kedua-dua produk ini boleh layari laman web www.logitech.com/my.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved