Jumaat, 22 November 2013

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Lorong bas, teksi dicabul

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

BEBERAPA buah kenderaan dipandu melalui lorong bas dan teksi di Jalan Ampang, Kuala Lumpur walaupun keadaan jalan tidak begitu sesak. - uTUSAN/Halim Khalid

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Sikap mementingkan diri sendiri oleh segelintir pengguna jalan raya menimbulkan kesusahan kepada pemandu bas dan teksi.

Ini kerana terdapat pemandu kenderaan persendirian yang menggunakan lorong bas dan teksi secara sesuka hati.

Ini tidak adil bagi pengguna lain yang dengan berdisiplinnya tabah menempuh kesesakan jalan raya dengan penuh kesabaran.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa jalan di sekitar ibu kota mendapati, segelintir pengguna kenderaan persendirian bukan sahaja memandu di lorong khas itu, bahkan meletakkan kenderaan mereka di situ.

Orang ramai yang diajukan persoalan ini mendakwa segelintir pemandu membuat kesalahan tersebut mulai pukul 11 pagi hingga 2 petang untuk menghantar barang atau singgah di restoran berdekatan.

Ketika tinjauan dibuat, polis trafik tiba ke lokasi untuk mengambil tindakan dan menyuruh pemandu kenderaan keluar dari kawasan berkenaan.

Seorang tukang kasut di bawah pokok di Jalan Ampang, Shamsudin Ahmad Shari, 49, berkata, dia sudah lali dengan keadaan itu.

"Semalam ada kemalangan yang melibatkan sebuah motosikal dan kereta kerana memasuki lorong bas serta teksi di sini. Nasib baik tiada perkara buruk yang berlaku.

"Walaupun kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di sini tetapi tidak dihiraukan. Perbuatan mereka ini mengganggu kelancaran perjalanan bas dan teksi," katanya.

Penghantar surat, Mohd. Hakim Shah Rogan Shah, 22 pula berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta menyediakan lebih banyak tempat letak kereta di sini.

"Saya sebagai penghantar surat selalunya mengambil masa sebentar sahaja untuk menjalankan urusan di pejabat berhampiran. Kenapa saya perlu membayar caj parking yang mahal untuk tempoh masa yang singkat? Lepas itu bila parking sekejap sudah disaman," ujarnya.

Pekerja restoran, Muhammad Yusri Yusoff, 28, pula berharap polis trafik memperketatkan kawalan khususnya bagi mengelakkan perkara tersebut terus berulang.

"Mereka ini tidak takut disaman. Saya minta pihak berkuasa menjalankan rondaan selain tindakan penguatkuasaan dengan lebih ketat lagi supaya mereka sedar dan tidak mementingkan diri sendiri," jelasnya.

Selangor perlu utamakan projek kritikal

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

SHAH ALAM 21 Nov. - Kerajaan negeri diingatkan supaya lebih mengutamakan perkara-perkara kritikal yang dihadapi rakyat dalam melaksanakan sebarang projek pembangunan di negeri ini.

Merujuk kepada projek laluan basikal oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Datuk Johan Abd. Aziz (BN-Semenyih) mempersoalkan kewajaran projek itu yang beliau menyifatkan bukan satu keperluan yang mendesak untuk rakyat.

Malah, beliau turut menyatakan keraguan terhadap kos projek tersebut yang dilihat terlalu tinggi yang difahamkan menelan belanja RM5 juta.

Jumlah sebesar itu, katanya, sepatutnya disalurkan untuk tujuan lain yang lebih penting seperti pembaikan jalan raya atau menangani masalah banjir di kawasan pihak berkuasa tempatan itu.

"Apa tujuan sebenar projek itu (laluan basikal di Persiaran Masjid, Seksyen 10 hingga Seksyen 14) dilaksanakan. Sama ada ia untuk tujuan rekreasi atau menggalakkan orang ramai menunggang basikal ke tempat kerja, berapa jarak laluannya.

"Jika untuk rekreasi, Shah Alam telah mempunyai Taman Botani Negara di mana orang ramai boleh berbasikal di kawasan berkenaan dengan persekitaran yang sihat. Jika laluan itu untuk orang ramai naik basikal ke tempat kerja, berapa banyak peratusan yang ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Bajet Selangor 2014 ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Pada masa yang sama, Johan turut mempertikaikan kos projek tersebut yang dilihat terlalu tinggi yang mana kerajaan negeri sepatutnya perlu memikirkan projek yang memberi nilai tambah kepada rakyat dan wang negeri.

Dalam pada itu, Johan turut menyelar kerajaan negeri yang disifatkan 'memberi hadiah' kepada rakyat dengan menaikkan kadar letak kenderaan di kawasan pentadbiran MBSA.

Kenaikan melibatkan kadar 40 sen kepada 60 sen sejam itu disifatkan membebankan rakyat, katanya.

"Jadi bagaimana dengan manifesto kerajaan negeri mahu mengurangkan beban rakyat di negeri ini. Keadaan yang sama turut dihadapi penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kota Damansara dan Lembah Subang apabila kerajaan negeri menaikkan sewa daripada RM124 kepada RM250 sebulan," ujarnya.

Warga kota perlu rasional

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

Tengku Adnan Tengku Mansor (kanan) bersedia untuk mempengerusikan sesi pertemuan dengan 11 Ahli Parlimen di Kuala Lumpur berkaitan isu cukai taksiran baharu, di Menara DBKL 1 di Kuala Lumpur semalam.- UTUSAN/MOHD. NOOR MAT AMIN

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Kadar baharu cukai taksiran yang bakal dilaksanakan pada 1 Januari depan adalah tetap bergantung kepada nilai hartanah semasa.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur berkata, kadar cukai taksiran itu adalah sama seperti sebelum ini iaitu enam peratus bagi kediaman, 10 peratus pangsapuri dan 12 peratus perdagangan tetapi yang meningkat ada nilai hartanah.

"Kenaikan itu kelihatan tinggi tetapi warga kota perlu bersikap rasional kerana cukai taksiran tidak dinaikkan sejak 21 tahun lalu, yang membuatkan kadar baharu itu kelihatan naik berlipat kali ganda.

"Sedangkan cukai taksiran sebenarnya perlu dinaikkan lima tahun sekali, tetapi kerana kerajaan sayang dengan rakyat barulah ia dilaksanakan kini," katanya dalam sidang akhbar selepas pertemuan bersama DBKL dengan semua 11 Ahli Parlimen dalam Kuala Lumpur di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Adnan Md. Ikhsan.

Jelasnya, kadar baharu cukai taksiran tersebut dilaksanakan bukan bertujuan membebankan rakyat namun adalah bagi membaik pulih serta menambah baik pembangunan dan kemudahan awam yang terdapat di ibu kota.

"Bagi melaksanakan itu semua Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memerlukan dana yang besar dan tidak boleh hanya bergantung kepada Kerajaan Persekutuan.

"Contoh pembangunan yang memerlukan kos tinggi adalah pasar-pasar awam dan borong seperti Pasar Chow Kit, Pudu dan Selayang," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga telah meminta wakil-wakil rakyat untuk berjumpa dengan rakyat bagi menjelaskan dengan lebih terperinci mengenai kenaikan kadar cukai taksiran tersebut.

"Kadar yang dinaikkan ini sebenarnya adalah situasi menang-menang di mana DBKL dan rakyat mendapat manfaat daripada kenaikan tersebut.

"Oleh itu penjelasan daripada wakil-wakil rakyat amat penting bagi memastikan rakyat faham tujuan sebenar kerajaan menaikkan cukai taksiran," ujarnya.

Sementara itu, Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, bagi yang tidak bersetuju mengenai kenaikan cukai tersebut masih boleh menghantar surat bantahan atau rayuan kepada DBKL sebelum 17 Disember ini, dan setakat ini sebanyak 2,500 bantahan telah diterima.

Tambah beliau, sesi pendengaran juga akan dijalankan oleh pejabat-pejabat cawangan sebelum 1 Januari depan.

"Dalam sesi tersebut orang ramai boleh mengemukakan pelbagai pandangan dan soalan kepada wakil rakyat untuk dibawa kepada DBKL.

"Setelah itu barulah kita akan putuskan nilai cukai kadar taksiran yang akan dibuat tahun depan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Terap kepentingan cegah jenayah

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

Oleh FARIK SALLEH
utusanjohor@utusan.com.my

Rajali Mudin (kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada seorang anggota Skim Rondaan Sukarela dalam majlis penutupan Seminar Keselamatan Kejiranan Peringkat Daerah Kota Tinggi di Kota Tinggi, baru-baru ini.

KOTA TINGGI 21 Nov. - Sebanyak 120 anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) dari tiga Parlimen iaitu parlimen Pengerang, Kota Tinggi dan Tenggara menghadiri Seminar Keselamatan Kejiranan Peringkat Daerah Kota Tinggi di sini baru-baru ini.

Program sehari yang melibatkan Ketua Peronda SRS pelbagai kaum dan peringkat usia itu bertujuan memberi kesedaran kepada peserta tentang kepentingan masyarakat dalam mencegah aktiviti jenayah seterusnya hidup dalam keadaan aman dan sejahtera.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara Dan Intergrasi Nasional (JPNIN) Johor, Rajali Mudin berkata, program itu juga memberi penekanan supaya setiap anggota memahami peranan dalam SRS kerana agenda keselamatan kejiranan adalah elemen penting selain menggerakkan kerjasama dan persefahaman pelbagai kaum.

"Anggota SRS berperanan dalam menjaga dan menjamin keselamatan bagi memastikan penurunan kadar jenayah di kawasan mereka termasuk membantu mencegah gejala sosial yang sekarang merupakan antara cabaran besar.

"Tidak ada kerja murni seperti mana yang dilakukan anggota SRS ini kerana peranan anggota SRS melalui rukun tetangga telah banyak memberi sumbangan kepada komuniti dan masyarakat setempat," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan seminar tersebut.

Yang turut hadir, Pegawai Perpaduan Daerah Kota Tinggi, Rahmat Maulud dan Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, Asisten Supritendan Nik Azaham Nik Aziz.

Seminar itu turut melibatkan penerangan oleh polis kepada anggota SRS mengenai prosedur standard serta perkara yang boleh atau tidak boleh diambil dalam menghadapi sesuatu kejadian.

Dalam perkembangan lain, Rajali memberitahu, JPNIN Johor menyasarkan penubuhan sebanyak 500 unit SRS di seluruh negeri ini menjelang hujung tahun ini dan setakat ini jumlahnya adalah 490 unit.

"Jumlah tersebut sekali gus bakal menjadikan Johor sebagai negeri terbanyak mempunyai SRS, bagaimanapun ini bukanlah menjadi satu kebanggaan kerana apa yang penting adalah kualiti yang ditunjukkan setiap SRS yang ditubuhkan.

"Kita mahu kuantiti yang besar ini diselaras dengan kualiti dan standard yang tinggi," katanya.

1,000 benih ikan, 75 anak pokok di Taman Negara Gunung Ledang

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

PARA peserta menunjukkan tanda bagus selepas menanam pokok sempena program menanam pokok dan melepaskan benih ikan anjuran PLUS di Taman Negara Gunung Ledang dekat Ledang, Johor, baru-baru ini.

LEDANG 21 Nov. - Sebanyak 75 batang pokok ditanam dan 1,000 benih ikan dilepaskan di Taman Negara Gunung Ledang menerusi program sosial korporat Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di taman negara berkenaan baru-baru ini.

Program berkenaan diadakan dengan kerjasama Taman Negara Gunung Ledang sempena PLUS Community Day yang diadakan serentak di seluruh negara.

Ketua Jabatan Keselamatan Trafik PLUS, Ahmad Fuad Shahimi berkata, menerusi program selama dua hari itu, PLUS Seksyen Selatan memilih sendiri program konservasi penanaman pokok dan pelepasan ikan di taman negara berkenaan.

Beliau berkata, sebanyak 90 kakitangan syarikat bersama pihak Taman Negara Gunung Ledang menyertai program berkenaan dengan membawa sendiri pelbagai jenis pokok, ikan serta kelengkapan lain untuk melaksanakan program yang julung kali diadakan itu.

"Kita mengadakan program ini selama dua hari dan menanam 50 batang pokok di sekitar kawasan Kolam Gajah manakala 25 lagi kita tanam di Bukit Botak sebagai simbolik 25 tahun penubuhan PLUS," katanya ketika ditemui pemberita dalam program itu.

Ahmad Fuad berkata, pihaknya bersama renjer taman negara juga melepaskan sebanyak 1,000 benih ikan lampam sungai di Kolam Mahligai bagi membiakkan spesies berkenaan yang hampir pupus di situ.

Katanya, program berkenaan amat sesuai dilakukan memandangkan kepentingan alam sekitar yang semakin dilupakan oleh masyarakat masa kini.

Sementara itu, Pengurus Taman Negara Johor Gunung Ledang, Ilyas Razak berharap, kerjasama sedemikian dapat diteruskan pada masa akan datang dalam memastikan alam sekitar serta kepelbagaian flora dan fauna di kawasan berkenaan dapat dipelihara.

Katanya, PLUS turut menyalurkan bantuan sejumlah RM12,000 yang digunakan untuk membeli 500 pokok pelbagai jenis, 1,000 benih ikan serta membina tapak semaian di situ.

"Kita berharap program seperti ini tidak terhenti begitu saja dan syarikat korporat lain dapat bersama-sama kita menjaga alam sekitar terutama di kawasan taman negara seperti ini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Bukan karya biasa

Posted: 22 Nov 2013 06:33 AM PST

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar Iryn Zahiryn (019-2185858)

REKAAN ringkas tapi menawan untuk ke majlis

BAGI pereka fesyen muda, Kashfi Zulkufli, setiap hasil rekaannya bukan sekadar satu karya biasa kerana semuanya mempunyai jalan cerita sendiri.

Bagi anak muda ini, ilham diperoleh menerusi alam semula jadi, keindahan dan kecantikan seorang wanita.

Istimewanya, setiap koleksi Kashfi Zulkufli Creations berdasar inspirasi dan perjalanan kisah seorang wanita.

"Setiap rekaan ada cerita di sebaliknya. Biasanya idea tersebut datang daripada pemerhatian dan ada juga yang seperti diceritakan oleh rakan-rakan.

"Melalui penceritaan tersebut, saya olah satu karya yang istimewa yang mana potongan ataupun penggunaan warna melambangkan kisah seorang wanita yang menjadi inspirasi rekaan tersebut," ujar Kashfi yang ditemui di studio Utusan Malaysia baru-baru ini.

Walau memegang Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kashfi menggilap bakat sambil menimba pengalaman dengan pereka fesyen, Akma Suriati Awang dalam menjayakan teater muzikal Puteri Gunung Ledang di Singapura, persembahan citrawarna dan beberapa tugasan lain.

"Kerjaya seni reka fesyen saya bermula secara serius apabila tamat berkhidmat sebagai perunding imej di salah sebuah stesen television berbayar. Saya kemudiannya mendaftarkan diri sebagai ahli persatuan Young Designer Arena (YODA) dan mula berkecimpung secara serius dalam reka fesyen," ujar Kashfi lagi yang menghasilkan rekaan baharu setiap dua bulan.

Lebih menarik, rekaan Kashfi hanyalah satu rekaan,satu saiz dan satu warna bagi memperlihatkan keistimewaan si pemakai.

Kashfi juga banyak menggunakan potongan seperti duyung, princess cut bagi memperlihatkan flare dan keunikkan setiap rekaan.

"Hasil kerja saya terbuka untuk semua golongan yang meminati label Kashfi Zulkufli Creations. Sesiapa sahaja boleh memakainya tidak kira orang biasa mahupun kenamaan dan selebriti.

"Setakat ini antara selebriti yang pernah menyarungkan karya saya ialah Datuk Siti Nurhaliza, Rozita Che Wan, Intan Ladyana, Yana Samsudin, Wawa Zainal,Adira, Stacy, Anzalna dan ramai lagi.

"Saya mahu menjadi pereka bertaraf antarabangsa dan dapat menghasilkan rekaan yang unik dan diterima masyarakat. Itulah impian besar saya," ujar Kashfi.

Minggu Fesyen Asia: Mercedes Benz Stylo Grand Prix 2013

KLFashion Geek Fashion Show 2013

Peragaan fesyen A Day To Remember 2013

Brunei Wedding Showcase: Exquisite & Majestic 2013

Pakaian Terbai Fashion Show Barbie & Kent 2013

Model: Natrah Khalid

Solekan: Ary Muzamer (017-6219970)

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Korek pasir Bukit Inas dihenti

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my

SUNGAI PETANI 21 Nov. - Kerajaan Negeri mengarahkan kerja-kerja mengorek pasir di kawasan Bukit Inas, Mukim Bujang, Merbok dekat sini, diberhentikan sementara waktu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Md. Zain berkata, keputusan itu dibuat bagi mencari penyelesaian terhadap masalah yang mungkin timbul terhadap penduduk akibat aktiviti tersebut.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati projek tersebut telah diberikan kepada anak syarikat kerajaan negeri iaitu Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan kemudiannya diserahkan pula kepada kontraktor untuk mengeluarkan pasir.

"Walaupun syarikat ini mempunyai kebenaran untuk mengeluarkan hasil pasir, namun kerajaan negeri memandang serius impak yang berlaku terhadap penduduk.

"Kita telah mengarahkan PKB memberhentikan sementara projek ini sehingga langkah penyelesaian dibuat dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan dialog dengan penduduk terlibat di kampung tersebut, di sini hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, penduduk di Bukit Inas merayu Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Muda segera menjalankan siasatan berhubung aktiviti mengorek pasir berhampiran kampung mereka yang didakwa dilakukan kira-kira sebulan lalu.

Penduduk mendakwa, aktiviti tersebut memusnahkan pelbagai pokok besar di tanah milik kerajaan untuk dijadikan tempat mengumpul pasir sebelum dikeluarkan bagi pasaran tempatan.

Tajul Urus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai berkata, satu perbincangan lanjut akan dijalankan pihaknya dengan PKB dan agensi terlibat seperti Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Muda pada Ahad ini.

"Kita memandang serius aduan penduduk yang ditimpa masalah akibat kegiatan mengeluarkan pasir itu. Saya selaku ADUN kawasan terbabit sendiri juga berpandangan kita tidak berniat menghalang kegiatan ini tetapi ia perlu dijalankan secara berhemah dan tidak mendatangkan kesusahan kepada penduduk," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga menasihatkan kepada para kontraktor yang terlibat dalam kegiatan mengeluarkan pasir agar memastikan sensiviti penduduk setempat semasa menjalankan kegiatan mereka.

Atasi masalah lambakan buah

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

Oleh HASHIM P. MAMAT
utusanperak@utusan.com.my

Pegawai FAMA Perak, Sharuddin Adam (kanan) menerima dokumen perjanjian jual beli ladang kontrak dari seorang penanam sayur, Zulkarnain Sahuddin dengan disaksikan oleh Basri Jasmo (tengah) di Manong, Kuala Kangsar, Perak, kelmarin.

KUALA KANGSAR 21 Nov - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak memberi jaminan akan membeli buah-buahan tempatan jika berlaku lambakan pada musim buah-buahan di negeri ini yang sudah bermula ketika ini.

Pengarah FAMA negeri, Basri Jasmo memberitahu, tempoh musim buah-buahan kali ini mungkin panjang dan sudah bermula sejak bulan lalu dan dijangka berakhir Januari ini.

Beliau berkata, ketika ini musim durian sudah bermula di beberapa daerah di negeri ini seperti di Kuala Kangsar, Batu dan Kampung Gajah.

Kata beliau, musim durian secara berperingkat ketika ini memberi kebaikan kepada pemilik dusun durian kerana setakat ini tiada berlaku lambakan dan harga 'raja buah' itu masih berada pada paras yang baik.

"FAMA telah mewujudkan pusat-pusat pengumpulan buah-buahan tempatan seperti di Kampung Gajah bagi memudahkan pemilik dusun menjual hasil mereka kepada FAMA sekiranya berlaku lambakan,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pembangunan FAMA dan Perjanjian Jual Beli Ladang Kontrak Daerah Kuala Kangsar di Dewan Orang Ramai, Manong dekat sini semalam.

Program itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manong, Mohamad Kamil Shafiel.

Basri menjelaskan, FAMA akan membeli buah-buahan melalui pusat-pusat pengumpulan di semua daerah sekurang-kurangnya pada harga yang lebih mahal daripada harga yang ditawarkan oleh pemborong lain.

"Sebenarnya FAMA terlibat secara langsung sama ada pada musim lambakan buah-buahan atau tidak.

"Kita aktif dalam aktiviti pembelian atau pemasaran buah-buahan tempatan, juga memberikan kemudahan kepada pemilik dusun menjual terus pada harga lebih mahal daripada FAMA," katanya.

Sementara itu, beliau menjangkakan musim kali ini tidak berlaku lambakan buah-buahan lain seperti langsat dan manggis kecuali rambutan yang dijangka berlaku lambakan mulai bulan depan.

Sayangi hutan pesisir pantai - Raja Muda Perlis

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menunjukkan buku Rancangan Pengurusan Hutan Negeri Perlis 2013-2022 selepas melancarkan buku tersebut pada Program Kerjasama Sempadan Malaysia-Thailand melalui Penanaman Pokok Bakau di Kampung Seberang Jaya, Kuala Perlis, Perlis, semalam. Berangkat sama, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil (dua dari kanan). - BERNAMA

KANGAR 21 Nov. - Jabatan atau agensi-agensi kerajaan serta badan-badan tertentu seharusnya menitikberatkan usaha mempertingkatkan pemuliharaan dan pemeliharaan hutan pesisiran pantai di negara ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, usaha tersebut boleh dijalankan secara bersepadu dan berterusan oleh pihak berkenaan.

"Ini termasuk pelaksanaan aktiviti inventori di semua kawasan hutan untuk mengetahui status dan komposisinya bagi memudahkan lagi perancangan pengurusan hutan," titah baginda ketika merasmikan program Kerjasama Sempadan Malaysia (Perlis) -Thailand Melalui Aktiviti Tanaman Pokok Bakau di Kampung Seberang Jaya, Kuala Perlis di sini hari ini.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir pada program sempena Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis 2013 itu ialah Exco Kerajaan Negeri, Bakri Ali; Pengarah Perhutanan Perlis, Ridzuan Salleh dan Gabenor, Satun, Thailand, Nuachai Jiraapirak.

Dalam program sama, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan melancarkan buku Rancangan Pengurusan Hutan Negeri Perlis 2013-2022.

Titah baginda, tumpuan juga perlu diberikan terhadap beberapa aspek seperti berikut:

n Pelaksanaan perancangan pembangunan dan penggunaan tanah yang lebih baik serta pengurusan dan kawalan di kawasan alam sekitar yang sensitif.

n Mempelbagaikan kajian dan penyelidikan melalui institusi pengajian tinggi (IPT) serta agensi-agensi penyelidikan serta mengadakan lebih banyak forum-forum perbincangan dan kerjasama di peringkat tempatan mahupun di peringkat antarabangsa.

n Mengadakan aktiviti-aktiviti yang boleh menjana nilai tambah berimpak tinggi.

n Mengadakan program-program peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat bagi memelihara dan memulihara hutan pesisiran pantai.

Baginda turut yakin pihak berkenaan termasuk kerajaan negeri akan sentiasa menyokong usaha-usaha positif memastikan hutan pesisiran pantai dipelihara dan dipulihara secara lestari.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Khidmat beri pengalaman berharga

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my

PENDUDUK Kampung Chnang menjamu selera pada Program Khidmat Masyarakat Antarabangsa.

JEMPOL 21 Nov. - Pengalaman menyaksikan sendiri kehidupan masyarakat yang serba kekurangan di sebuah kampung di Kemboja, baru-baru ini telah mengubah dimensi pemikiran 68 pelajar dan 18 guru dari tiga buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di negeri ini.

Para pelajar dan guru dari MSRM Serting IGCSE (International General Certificate of Secondary Education), MRSM Gemencheh dan MRSM Kuala Klawang itu telah mengambil bahagian dalam program khidmat masyarakat antarabangsa selama empat hari mulai Sabtu lalu.

Program itu mendapat kerjasama daripada Gabungan Intelek Muslim Kemboja (CMIA).

Penyelaras program, Mohd. Sabri Mamat berkata, program khidmat masyarakat antarabangsa itu mampu menjadikan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi mempunyai jati diri yang baik.

"Kita lihat sepanjang program ini diadakan pelajar dapat memberikan tindak balas yang positif dan mampu melakukan kerja khidmat masyarakat dengan baik," jelasnya.

Katanya, program itu juga melahirkan pelajar yang insaf dan bersyukur apabila mereka berpeluang melihat sendiri kehidupan orang yang lebih yang susah daripada mereka.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah lawatan ke sekolah di bawah kelolaan CMIA dan Kampung Chnang yang mempunyai penduduk miskin dan hidup dalam keadaan serba kekurangan.

MRSM juga menghulurkan bantuan kepada penduduk kampung serta sekolah terbabit.

Sementara itu, seorang peserta, Farah Shakirah Abdul Karim, 16, dari MRSM Kuala Klawang memberitahu, pengalaman di Kemboja adalah sesuatu yang sukar dilupakan.

"Jika mahu melihat erti kehidupan sebenar dan bagaimana seorang insan berusaha mencari sesuap nasi datanglah ke sini. Malah, saya sangat kagum dengan semangat hidup mereka yang tidak mengenal erti penat demi mendapat kehidupan yang lebih baik.

"Sejujurnya saya insaf dan bersyukur dilahirkan di sebuah negara yang maju dan mempunyai pelbagai kemudahan. Masyarakat di sini sangat peramah dan berusaha melayan tetamu dengan baik walapun keadaan mereka susah.

"Apabila saya berkunjung ke rumah seorang penduduk, dia mempelawa kami makan walaupun hakikatnya dia sendiri sukar mendapat makanan," katanya.

Pelajar MRSM Serting, A. Murali, 16, pula berazam untuk belajar bersungguh-sungguh dan menghargai kemudahan pendidikan di Malaysia.

"Di sini mereka bersemangat untuk belajar walaupun keadaan sekolahnya agak daif. Malah, saya diberitahu pelajar terpaksa mengosongkan bangunan sekolah pada bulan Jun tahun hadapan. Kini pihak pengurusan memerlukan wang untuk membina sekolah baharu di atas tanah wakaf.

"Saya terfikir apa akan berlaku kepada masa depan adik-adik di sini sekiranya mereka gagal membina sekolah tersebut akibat masalah kewangan. Adakah mereka terpaksa melupakan hasrat untuk mencari ilmu dan mengubah kehidupan keluarga," ujarnya.

Teruja kedatangan 86 tetamu dari Malaysia

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

JEMPOL 21 Nov. - Kedatangan 86 peserta dari Malaysia ke Kemboja bagi program khidmat masyarakat antarabangsa di Phnom Penh, baru-baru ini bagaikan memberikan nafas baharu kepada penduduk di negara tersebut.

Ketua Kampung Kjong di daerah Kampung Chnang dekat sini, Abdullah Daud, 67, berkata, dia amat gembira dan bersyukur menerima tetamu yang dianggap istimewa ini.

"Tiada ungkapan lain selain rasa terima kasih dan kami sangat terharu dengan kehadiran peserta dari Malaysia. Walaupun kampung ini agak jauh dari pekan namun mereka tetap mahu datang menziarahi saudara Islam di sini.

"Malah kami amat bertuah apabila peserta telah memberikan bantuan kewangan untuk kami menyediakan masakan. Seandainya kami mampu, pastinya satu masa nanti kami mahu menyambut peserta dan membuat persiapan menggunakan wang kami sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan dari peserta Malaysia ke kawasan berkenaan sempena program khidmat masyarakat ke Kemboja baru-baru ini.

Seorang penduduk kampung, Zakaria Abdullah, 44, pula memberitahu, rakyat Malaysia begitu dekat di hati warga Kemboja apabila negara tersebut sering menghulurkan bantuan.

"Kami insan istimewa apabila dipilih untuk hidup dalam keadaan yang susah dan kami yakin Allah menjanjikan sesuatu yang baik untuk kami satu masa nanti. Di sini kebanyakan penduduk adalah petani dan kami hanya makan dua hari sekali kerana masalah kewangan.

"Apabila diberitahu bahawa kami bakal menerima pelawat dari Malaysia, kami amat gembira dan yakin Allah menghulurkan bantuan melalui mereka. Kampung ini sering menerima tetamu terutama rakyat Malaysia.

"Syukur kedatangan ini dapat mengeratkan hubungan dua negara melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan. Mereka turut menghulurkan bantuan pakaian dan wang kepada penduduk kampung. Malah, satu pertandingan bola sepak telah diadakan melibatkan penduduk kampung dan peserta," katanya.

Usman Zainal, yang berusia sembilan tahun berkata, dia berpeluang belajar mengaji al-Quran menerusi peserta yang mengadakan kelas itu.

"Hari ini saya datang ke sini bersama rakan yang lain dan saya sangat seronok apabila ramai orang datang ke kampung ini. Mereka tidak sombong walaupun tahu saya orang susah. Mereka mahu berkawan dan berbual dengan kami.

"Saya dilahirkan dalam keluarga susah dan kadang kala terpaksa menahan perut apabila ayah tidak mempunyai wang untuk membeli makanan. Kedatangan mereka bukan sahaja memberikan ilmu, pakaian dan wang tetapi hari ini saya dapat menikmati makanan yang enak kerana orang Malaysia datang ke sini,'' katanya tersenyum.

Rakannya, Asnawi Solleh, 13, pula memberitahu, dia amat teruja apabila mengetahui ada tetamu akan datang ke kampungnya.

"Saya harap akan ada lagi program begini pada masa depan dan tidak melupakan kami. Rakan di Malaysia sangat beruntung kerana mendapat kehidupan lebih baik daripada kami," ujarnya.

Penyakit gusi semakin serius

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

Oleh AINAA MARDHIAH MOHD GHAZALI
utusanN9@utusan.com.my

ZAILAN Datuk Adnan (tiga dari kanan) merasmikan Kempen Promosi Kesihatan Periodontium peringkat Negeri Sembilan sambil disaksikan Doreyat Jemun (tiga dari kiri) dan Ahmad Sharifuddin Mohd. Asari (dua dari kiri) di Pusat Keluarga LPPKN di Seremban, baru-baru ini.

SEREMBAN 21 Nov. - Hampir 94 peratus rakyat di negara ini tidak menyedari mereka sebenarnya berpotensi menghidap penyakit periodontium (gusi).

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Zailan Datuk Adnan berkata, ramai beranggapan mulut mereka tidak bermasalah sebaliknya penyakit periodontium (gusi) ini dihidapi oleh sebahagian besar rakyat di negara ini yang dibezakan melalui tahapnya.

"Statistik mendapati hampir 94 peratus rakyat di negara ini bakal berhadapan dengan masalah gusi kerana ramai yang mengambil mudah berhubung isu ini.

"Antara tanda gejala penyakit ini apabila seseorang itu mempunyai gusi yang merah dan bengkak, gusi mula menyusut sehingga menampakkan akar gigi, bernanah, nafas berbau, gigi mula longgar dan berdarah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Kempen Promosi Kesihatan Periodontium (Gusi) peringkat negeri di Pusat Keluarga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Pergigian), Dr. Doreyat Jemun dan Pakar Perunding Kanan Periodontik, Dr. Ahmad Sharifuddin Mohd. Asari.

Sehubugan itu, Zailan meminta orang memberi perhatian serta mengutamakan aspek penjagaan mulut dengan melakukan pemeriksaan pergigian dan gusi bagi memastikan keadaan kesihatan mulut berada pada tahap optimum.

"Di peringkat awal selalunya tidak begitu menyakitkan dan sebab itu ramai yang datang ke klinik gigi apabila keadaan gigi atau gusi mereka sudah teruk," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


MyNEF bantu ketengah syarikat animasi bumiputera

Posted: 22 Nov 2013 02:34 AM PST

Oleh MOHD. HAZLI HASSAN

KUALA LUMPUR 22 Nov. - Yayasan Usahawan Baru (MyNEF) memberi komitmen untuk mempromosikan syarikat animasi bumiputera sehingga ke peringkat global.

Pengarah Eksekutif MyNEF, Ritakamal Sadiman berkata, untuk itu, pihaknya akan mengadakan satu festival untuk mengumpul syarikat-syarikat animasi tempatan di bawah satu bumbung dalam usaha mempromosi produk mereka.

"Festival Malaysian Toon 2013 ini dilihat mampu memberi pendedahan kepada syarikat animasi bumiputera kepada industri yang kini sukar dibolosi mereka.

"Malah, selain festival ini, MyNEF juga akan jadi pemudah cara kepada syarikat-syarikat bumiputera ini untuk membolehkan mereka menjual produk-produk mereka ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penamaan rakan penaja di Talent Lounge Menara Mustapha Kamal, Pusat Perdagangan PJ di sini hari ini.

Akhbar Utusan Malaysia merupakan media rasmi bagi festival yang kali pertama diadakan bagi mengumpulkan semua animator bumiputera dalam satu program.

Mengulas lanjut, Ritakamal berkata, platform yang MyNEF sediakan itu diharap dapat mengetengahkan syarikat animasi bumiputera yang belum lagi dikenali dalam mempromosikan produk-produk mereka.

"Malah, melalui anak syarikat kami, Nuovo, kami juga membawa produk-produk syarikat animasi bumiputera ini ke peringkat global dengan membawa mereka ke pameran antarabangsa.

"Selain itu, kita juga akan mengumpul produk-produk mereka ini untuk membolehkan kita menjual animasi mereka kepada stesen penyiaran tempatan yang dilihat hanya mempromosikan syarikat animasi yang sudah terkenal.

"Proses ini merupakan proses berterusan dan diharap dengan usaha kita ini, syarikat animasi bumiputera mampu berdaya saing di peringkat yang lebih tinggi.

"Kami juga mahu melihat lebih banyak animasi hasil tangan rakyat negara ini khususnya bumiputera ditayangkan di saluran penyiaran global," katanya.

Mengulas mengenai Festival Malaysian Toon 2013 ini, Ritakamal turut berkata, setakat ini, mereka sudah mendapat komitmen daripada 10 syarikat animasi bumiputera untuk memaparkan produk-produk mereka sepanjang festival itu berlangsung.

"Platform yang kami sediakan ini diharap dapat memberi pendedahan terbaik buat syarikat animasi bumiputera untuk menjelajah lebih jauh dengan produk mereka," katanya.

Festival ini kata Ritakamal, akan menjelajah seluruh Malaysia selepas ini bagi membolehkan lebih banyak syarikat animasi Bumiputera di lain-lain negeri menyertainya.

Mereka yang ingin menyertai Festival Malaysian Toon 2013 ini boleh menghubungi MyNEF di 03-77222706 dan melawat laman web MyNEF untuk maklumat lanjut. - UTUSAN ONLINE

Komited sediakan kemudahan bantu bangun usahawan - PM

Posted: 22 Nov 2013 01:26 AM PST

KUALA LUMPUR 22 Nov. - Kerajaan sentiasa komited menyediakan pelbagai kemudahan serta inisiatif untuk membantu pembangunan usahawan dan membasmi kemiskinan tanpa mengira bangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebagai seorang pemimpin, beliau mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pembangunan usahawan dan inisiatif basmi kemiskinan bersifat menyeluruh untuk semua.

"Saya difahamkan, lebih 12,000 usahawan kaum India telah pun menerima pinjaman daripada Tekun (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga), bernilai RM153.9 juta, untuk dimanfaatkan dalam usaha pembangunan usahawan, setakat Oktober tahun ini," kata Najib dalam entri terbaru laman sosial Facebook beliau hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, selain bantuan Tekun, sebanyak 7,714 orang menerima pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia dengan jumlah keseluruhan RM47.5 juta bagi tempoh sama.

"Kerajaan sentiasa prihatin kepada masyarakat India di negara ini dengan menyediakan pelbagai kemudahan serta inisiatif untuk membantu mereka terutama golongan miskin," katanya. - BERNAMA

Audit: Ambil pengajaran 39 penjawat awam berdepan tindakan

Posted: 22 Nov 2013 12:28 AM PST

KUALA LUMPUR 22 Nov. - Para penjawat awam perlu mengambil pengajaran daripada tindakan yang bakal dikenakan terhadap mereka yang didapati bertanggungjawab terhadap ketidakaturan yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, peraturan yang telah ditetapkan tidak boleh dipandang ringan.

"Walaupun kita hendak cepat tapi kita perlu ikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan," katanya kepada pemberita di sini Jumaat selepas menghadiri program Semarakkan Transformasi Perkhidmatan Awam di Kementerian Kerja Raya.

Mohamad Zabidi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan seramai 39 penjawat awam termasuk pesara yang bakal berdepan tindakan jika didapati bertanggungjawab terhadap ketidakaturan yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, mereka yang meliputi 30 penjawat awam dan sembilan pesara itu diberi surat tunjuk sebab untuk menjelaskan tahap penglibatan atau kecuaian mereka dalam ketidakaturan berkenaan.

Jika siasatan lanjut mendapati mereka terbabit, tindakan sivil atau jenayah akan diambil bergantung kepada jenis kecuaian atau perlanggaran yang dilakukan, kata Ali.

Pada majlis itu, Mohamad Zabidi menerangkan mengenai kerangka kerja transformasi Jabatan Perkhidmatan Awam yang mengandungi lima teras utama iaitu modal insan, organisasi, penyampaian perkhidmatan, jalinan kerjasama dan penglibatan serta nilai-nilai murni.

Sebelum ini program berkenaan diadakan di Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Letak jawatan jika tiada bukti - Cheng Guan

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

4 ahli MT dilantik wakili sayap

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

7 bakal dikenakan hukuman

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved