Ahad, 20 Oktober 2013

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Beri hak kepada yang berhak

Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT

Berikut adalah sambungan wawancara wartawan YULPISMAN ASLI dan jurugambar IRWAN MAJID bersama Mufti Kelantan, DATUK MOHAMAD SHUKRI MOHAMAD di kediaman beliau di Jalan Datuk Lundang, Kota Bharu yang mengupas isu kalimah Allah.

Selain itu beliau menasihatkan umat Islam agar bersatu dan mengetepikan semua perbezaan serta kepentingan lain demi mempertahankan kalimah yang mempunyai unsur tauhid itu.

Utusan: Jika keputusan rayuan nanti adalah sebaliknya bagaimana, kerana ada pendapat mengatakan keputusan Mahkamah Rayuan turut didorong oleh status ketiga-tiga hakim adalah orang Melayu dan mungkin keputusan di Mahkamah Persekutuan nanti berubah sekiranya panel hakim terdiri daripada pelbagai bangsa?

MOHAMAD SHUKRI: Saya tidak fikir bahawa mahkamah bersidang berdasarkan kepada bangsa atau anutan agama, tetapi bersidang berdasarkan pelaksanaan undang-undang dan fakta yang berlangsung dalam mahkamah. Sebab mahkamah bukan sahaja perlu bersikap adil, tetapi boleh dilihat keadilan itu, jadi, bukan isu anutan agama hakim. Kalau ikut anutan agama hakim banyak nanti penagih-penagih dadah orang Islam dibebaskan. Saya tidak fikir itu menjadi neraca pertimbangan mahkamah, sebaliknya ialah keadilan yang perlu dilihat berdasarkan peruntukan undang-undang.

Pada hemat Datuk apa kesan atau implikasi kes ini terhadap hubungan antara agama dan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia?

MOHAMAD SHUKRI: Saya rasakan kalau pihak-pihak yang terlibat rasional, tidak ekstrem tidak melampau dia akan terima apa juga keputusan. Bagi yang kalah tak puas hati, yang menang senang hati, tetapi itulah mahkamah. Umat Islam melihat kepada keadilan dan kebenaran. Faktor membawa kepada keselamatan ialah berlaku adil. Makna adil memberi hak kepada yang berhak dan kepada yang benar. Jadi, kita harapkan , jika mereka merayu pun di mahkamah berikutnya, kita mengharapkan berlaku keadilan iaitu memberi hak kepada yang berhak dan memberi hak kepada yang benar, jadi kalimah Allah ini adalah hak orang Islam secara eksklusif sejak sekian lama. Isu ini tak pernah berbangkit pun, akhir ini sahaja, ini menunjukkan ada sesuatu. Orang Islam akan berpegang teguh kepada hak ini dan tidak akan berganjak. Kesederhanaan itu adalah faktor penyelamat, polar hidup umat Islam dan bukan Islam dan harus diamalkan di negara ini.

Mungkin sikap kesederhanaan umat Islam ini menyebabkan pihak pelampau ini ambil kesempatan?

MOHAMAD SHUKRI: Memang salah satu yang kita kena akui, kedudukan agama Islam dan umat Islam pada hari ini diancam, digugat dari segenap segi segenap penjuru. Isu kalimah Allah dari segi akidah, umat Islam juga digugat dari segi syariat, ada fahaman-fahaman yang luar daripada kefahaman Islam, digugat dari segi akhlak, sosial. Kita lihat usaha-usaha dilakukan bagi menimbulkan keraguan, mengelirukan. Jadi, keberanian mereka mencabar umat Islam begitu ketara, dan ini jelas kerana ada agenda yang tersurat dan tersirat.

Pada pendapat peribadi Datuk, wajar atau tidak pihak yang menuntut mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan?

MOHAMAD SHUKRI: Kalau dengan hujah mahkamah (Mahkamah Rayuan) itu mereka berpuas hati, sepatutnya tak wajar dirayu lagi. Wajar atau tak wajar melihat kepada sejauh mana mereka rasa berpuas hati. Kalau rasa tak puas hati, buat rayuan lagi itu hak mereka. Kalau mereka buat tuntutan lagi di mahkamah lebih tinggi, itu adalah untuk memperlihatkan proses perjalanan mahkamah di negara kita. Cuma bagi kita, kalau tak dirayu itulah yang sebaiknya.

Bagaimana pula Datuk melihat tindakan subversif pihak tertentu yang dilaporkan sengaja mewujudkan laman-laman web untuk menyalurkan maklumat salah tentang al-Quran dan hadis rentetan daripada kes ini?

MOHAMAD SHUKRI: Bila ada agenda yang tersurat dan tersirat, kalimah Allah ini hanya satu ujian dan banyak lagi akan ditampilkan untuk menjadi cabaran kepada umat Islam ini, ini adalah program agenda yang dirancang, lebih-lebih lagi di zaman perkembangan maya di mana orang kata dunia jadi satu perkampungan yang tidak boleh dikawal. Dalam Islam ada Alhema bermakna satu wilayah atau zon larangan, ada persempadanan yang menjadi benteng asas agama dari diganggu-gugat atau diancam. Masalah yang berlaku, puncanya sikap umat Islam sendiri yang ambil mudah, meremehkan isu. Masyarakat Islam sendiri melihat isu-isu yang dibangkitkan remeh sehingga pihak lain sudah menghampiri tepi kawasan atau zon larangan tadi atas nama toleransi agama.

Bagi generasi yang faham, mereka bermain di zon yang tidak dilarang tetapi datang generasi kemudian, dia tidak sudah endah lagi ini zon larangan. Sebab itu dipertikai kedudukan raja-raja, kedudukan bahasa Melayu, keistimewaan orang Melayu dan macam-macam lagi. Pengajaran kepada umat Islam ialah, kalau umat Islam dapat bersatu dalam isu-isu teras, pokok seperti isu akidah, kalau umat Islam boleh ketepikan kepentingan peribadi, kelompok, maka isu seperti kalimah Allah dan lain-lain, mereka akan berfikir dua kali untuk melakukannya dan masyarakat sendiri boleh tangani sendiri dengan baik.

Jadi, apa sebenarnya yang perlu umat Islam lakukan bagi menghadapi serangan demi serangan yang dilakukan ke atas mereka dan agama Islam itu sendiri?

MOHAMAD SHUKRI: Melihat kepada pelbagai ancaman, umat Islam perlu bersatu dan ia wajib. Macam mana ada kekuatan kalau tidak bersatu, bersatu teguh bercerai roboh. kedua, umat Islam sendiri perlu meningkatkan ilmu, akidah perlu diperkasakan. Orang siar dalam alam maya, kita nak jawab tak mampu, makan masa, sebab itu perlu tingkatkan ilmu. Kenapa kita juga tak isi alam maya ini dengan jawapan-jawapan terhadap setiap isu yang dibangkitkan. Ada orang hantar kepada saya bertanyakan tentang isu pluralisme, tapi kita nak ambil masa lama (nak jawab) meskipun ada hujah-hujah konkrit disebabkan kelemahan kuasai maya ini. Selain itu pentarbiahan dan pendakwahan umat Islam mesti cara baharu, kemas kini, tak boleh cara lama. Kalau kita masih main berlegar di masjid sahaja, pendengar yang dengar seratus orang, tetapi yang ini (gunakan alam maya) jutaan, mana ada peluang macam ini kalau kita sendiri tidak ambil kesempatan.

Perlukah kita di Malaysia perlu melahirkan lebih ramai tokoh dan ilmuwan Islam yang mampu ke depan dalam mendepani isu-isu mengenai umat Islam. Sebagai contoh Allahyarham Dr. Uthman El Muhammadi yang sanggup berhujah di peringkat antarabangsa?

MOHAMAD SHUKRI: Memang itu satu usaha yang sedang diatur oleh pihak tertentu. Saya dapat maklumat di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sendiri ada satu pegawai atau tenaga yang boleh menjawab isu-isu secara serta-merta, dan memang ketokohan Dr. Uthman dikagumi dan pemergiannya satu kerugian tetapi kita masih ada ramai tokoh-tokoh yang dikagumi di peringkat antarabangsa tetapi kena perbanyakkan lagi. Sebagai contoh, dalam konteks Kelantan dulu kita ada pasukan penterjemah kitab-kitab dalam bahasa Arab sehingga jadi satu warisan, tetapi kalau nak cari hari ini, sukar, siapa yang mampu menterjemah dalam erti kata turut menghayati terjemahan itu. Ini agak berbeza dengan Indonesia yang lebih pantas dalam menerbitkan terjemahan buku-buku atau karya asing.

Nasihat Datuk kepada umat Islam mengambil kira pelbagai isu berbangkit sekarang supaya perkara sama tidak lagi berulang?

MOHAMAD SHUKRI: Kita diajar oleh Islam supaya melihat kehadapan, futuris. Wawasan umat Islam ialah selamat di dunia dan selamat di akhirat dan selamat pula tak masuk neraka. Itu sebenarnya mengajar kita futuris. Umat Islam hari ini perlu membaca suasana, tak boleh hanya menilai lingkaran secara dekat. Dunia pun dikatakan global, maka dia perlu melihat secara global, kena merancang secara jauh. Ertinya, umat Islam di negara kita perlu melihat jauh, kehadapan. Kadang-kadang dia hanya melihat untuk masa ini. Saidina Umar pun kata ajar anak-anak kamu untuk mereka hidup di zaman mereka. Kena ajar futuris, kena ada visi.

Giliran Gerakan memilih barisan pemimpin hadapi cabaran PRU-14

Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT

Oleh Hassan Mohd. Noor

SELEPAS pemilihan UMNO berakhir kelmarin, tumpuan kini terarah kepada dua parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan Gerakan. Bagi MCA yang akan melangsungkan pemilihan akhir tahun ini, sudah nampak tanda-tanda akan berlaku perebutan hebat antara penyandang jawatan itu Chua Soi Lek dan timbalannya, Liow Tiong Lai. Perkembangan yang berlaku semalam apabila resolusi mencela Tiong Lai ditolak menunjukkan tanda-tanda akan berlaku perebutan dalam parti berkenaan. Namun masih terlalu awal untuk melihat sejauh mana pergolakan dalam MCA ini. Mungkinkah selain Tiong Lai, bekas Presiden, Ong Tee Keat akan turut serta mencabar kedudukan Soi Lek?

Untuk tempoh terdekat ini, eloklah fokus diberi kepada satu lagi komponen BN iaitu Gerakan. Walaupun saingan dijangka tidak sehebat pemilihan UMNO yang melibatkan pertandingan di semua peringkat jawatan kecuali Presiden dan Timbalan Presiden, pertandingan yang berlaku kali ini amat penting bagi membentuk satu barisan yang lebih mantap dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Lebih menarik, apabila pemangku Presiden Gerakan, Chang Ko Youn enggan bertanding jawatan tersebut. Beliau mahu memberi laluan kepada orang muda untuk memimpin parti itu. Ko Youn memangku jawatan itu sejak 16 Mei lalu berikutan peletakan jawatan Dr. Koh Tsu Koon yang berbuat demikian kerana mahu bertanggungjawab terhadap kekalahan teruk Gerakan pada PRU lalu. Gerakan hanya menang satu daripada 11 kerusi Parlimen dan tiga daripada 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Dalam senario politik hari ini, Ko Youn, 56, amat mengharapkan tidak berlaku sebarang pertandingan bagi jawatan No. 1 dan No. 2. Sambil mengakui kepentingan demokrasi dalam pemilihan tetapi bagi sebuah parti yang memerlukan pemulihan, beliau bimbang kesan negatif yang akan berlaku selepas pertandingan merebut jawatan-jawatan utama dalam parti. Kebimbangannya ada asas kerana Gerakan ketika ini memerlukan kesepaduan yang jitu bagi menebus kekecewaan pada PRU lalu. Adakah Gerakan mampu menguruskan kesan negatif yang dialami selepas pemilihan ini?

Sama ada mampu atau tidak menguruskan kesan negatif ini terletak kepada barisan kepemimpinan yang bakal dipilih. Pertandingan dalam Gerakan pada pemilihan minggu depan tidak dapat dielakkan. Hanya sayap Wanita Gerakan tidak berlaku pertandingan bagi jawatan ketua selepas Tan Lian Hoe menang tanpa bertanding bersama timbalannya Ng Siew Lai serta tiga naib ketua. Perebutan dalam Pemuda juga menarik perhatian apabila Timbalan Ketua Pemuda Kebangsaan, Oh Tong Keong akan berhadapan dengan Ketua Pemuda Kedah, Tan Keng Liang.

Bagi jawatan Presiden, ia melibatkan perebutan antara Naib Presiden yang juga Pemangku Setiausaha Agung, Mah Siew Keong, 52 dan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang yang juga bekas Setiausaha Agung, Teng Chang Yeow, 50. Dilihat pada usia, Ko Youn, Siew Keong dan Chang Yeow tergolong dalam golongan orang muda. Cuma umur mereka sahaja yang memisahkan siapa paling muda. Ko Youn bagaimanapun melihat dirinya termasuk dalam golongan orang lama kerana telah berkhidmat pada era Presiden, Dr. Lim Keng Yaik.

Siew Keong dan Chang Yeow masing-masing mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan dan parti.

Bagaimanapun dalam PRU lalu, kedua-duanya tewas. Siew Keong kalah kepada calon DAP di kawasan Parlimen Telok Intan. Siew Keong menjadi anggota Parlimen Teluk Intan (1999-2008) dan pernah menjadi Timbalan Menteri dan Ketua Pemuda Gerakan (2002-2008).

Chang Yeow, bekas Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang pula gagal di kawasan DUN Bukit Tengah selepas dikalahkan oleh calon PKR. Sebelum ini Chang Yeow dilihat sebagai pemimpin yang mampu memimpin Gerakan pada masa depan. Pelantikannya sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang menjelang PRU lalu menggambarkan kepercayaan parti dan BN terhadap kepemimpinannya.

Bagaimanapun akibat kejutan yang dialami pada PRU lalu, beliau melepaskan semua jawatan dalam parti sama ada di peringkat negeri dan pusat. Dalam usia yang muda, beliau yang dilihat berpotensi untuk memimpin Gerakan seolah-olah merajuk dan berputus asa untuk meneruskan perjuangan. Tindakannya menyebabkan Gerakan kehilangan dua pemimpin utama iaitu presiden dan setiausaha agung. Ko Youn memangku jawatan presiden manakala Siew Keong, naib presiden yang mendapat undi tertinggi dalam pemilihan 2008 memangku jawatan Setiausaha Agung mulai 11 Mei lalu.

Akhirnya pertembungan kali ini melibatkan pemimpin Gerakan yang memangku jawatan setiausaha agung selepas PRU dan bekas setiausaha agung yang meletak jawatan sesudah PRU. Adakah Chang Yeow sudah pulih daripada kejutan dan bersedia melakukan perubahan dalam Gerakan? Kesediaannya untuk kembali ke gelanggang politik Gerakan terserlah pada pemilihan Pengerusi Gerakan Negeri Pulau Pinang yang dikosongkan oleh Dr. Teng Hock Nan. Dalam pemilihan yang diadakan, beliau menewaskan Baljit Singh. Sudah tentulah kemenangan itu mendorong beliau untuk kembali ke gelanggang di peringkat pusat dengan jawatan yang lebih mencabar.

Siapa pun yang terpilih - Chang Yeow atau Siew Keong, tanggungjawab mereka untuk memulihkan kepercayaan pengundi terutama dalam kalangan masyarakat Cina khususnya di Pulau Pinang untuk kembali menyokong BN. Gerakan yang sebelum ini popular dengan slogan Satu Hati, Satu Negara, Satu Wawasan kini mengorak langkah dengan tema Cara Baharu, Harapan Baharu dan Gerakan Baharu pada Persidangan Perwakilan Kebangsaan parti itu tahun ini. Langkah ini bagi memastikan Gerakan terus relevan dalam politik negara ini. Cukuplah, selama dua PRU, Gerakan dilanyak oleh DAP khususnya di Pulau Pinang yang selama ini menjadi kubu kuat parti itu.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Megabait

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


Tab 8 inci Samsung

Posted: 20 Oct 2013 06:08 AM PDT

PEMBUAT peranti elektronik terkenal Korea - Samsung mengukuhkan portfolio tablet 8 inci - saiz skrin yang telah meraih populariti di kalangan pengguna - dengan pengenalan Tab Galaxy 3 8.0 peranti berharga premium. Peranti 8-inci ini adalah versi pertengahan saiz Tab Galaxy 3 siri termasuk 7-inci dan saiz skrin 10.1 inci.

Peranti baru ini adalah paling nipis dalam keluarga. Berat Galaxy Tab 8.0 3 adalah adalah 316 gram dengan 0.74 sentimeter tebal manakala Tab 7- inci dan 10.1 inci adalah 0.8 sentimeter dan lebih tebal.

Tab 8-inci berukuran 12.3 sentimeter lebar, bermaksud orang dengan tapak tangan yang kecil masih boleh selesa memegang peranti.

Samsung juga telah membina sarung peranti dari plastik yang tidak kelihatan murah.

Pengguna hanya diberikan ruang yang sangat sedikit - 0.71 sentimeter - untuk memegang bingkai di sebelah dan hasilnya, jari akhirnya sengaja memegang skrin.

Juga apabila dipegang melintang, jari akhirnya terkena menu dan butang belakang, menyebabkan muka surat terbuka untuk kembali ke sebelumnya.

Kamera -pintar. Tab 8- inci bersaing model lain dalam keluarga. Peranti ini dilengkapi dengan kamera depan 1.3 megapiksel dan kamera belakang 5 megapiksel - resolusi yang jauh lebih tinggi daripada kamera 3 megapiksel belakang dalam Tab 7-inci dan 10.1 inci.

Walaupun ia mempunyai skrin kecil, Tab 8- inci sepadan dengan resolusi skrin Tab 10.1 inci sebanyak 1,280 dengan 800, yang berada di atas 7-inci 1,024 dengan 600.

Chipset 8- inci bagaimanapun, berfungsi agak perlahan pada 1.5 gigahertz kelajuan CPU berbanding dengan 1.6 gigahertz kelajuan CPU inci 10.1.

Tablet beroperasi di Android Jelly Bean 4.2.2 dengan 1.5 gigabait RAM.

Seperti semua peranti terbaru mereka, tablet yang dilengkapi dengan aplikasi asli terbaru Samsung, seperti Kumpulan Play, yang membolehkan orang ramai menyelaras permainan muzik di Tab mereka yang berhampiran dengan peranti Samsung peranti mudah alih lain.

Tab Galaxy 3 8.0 juga menyokong pandangan dua, membolehkan orang ramai untuk membuka dua tingkap, termasuk video secara serentak.

Ciri-ciri ini sudah ada dalam Galaxy Note 2 sebelumnya, adalah berguna untuk orang-orang yang melakukan pelbagai tugas.

Secara keseluruhan, Tab Galaxy 3 8.0 adalah pilihan yang berdaya maju di kalangan Tab 3 barisan produk Galaxy.

Walau bagaimanapun, peranti ini tidak datang pada harga premium dan dengan itu lebih baik jika ia telah dipenuhi dengan ciri-ciri baru.

Peranti ini belum ada di pasaran tempatan.

Memilih kamera dasar laut pertama

Posted: 20 Oct 2013 06:08 AM PDT

Bersama MOHD. HAZLI HASSAN
klik.mingguan@gmail.com

'Kenikmatan' merakamkan imej dasar laut membuatkan jurufoto dasar laut sampai ke tahap lebih ekstrem setup kameranya.

MENGIKUT pengalaman saya, memilih kamera dasar laut pertama kita agak sukar. Pertamanya, kita kena tahu apa kegunaan kamera itu. Memang banyak kamera yang boleh digunakan di dasar laut, namun kita juga kena rasional.

Sebagai contoh, jika anda seorang profesional, adakah kamera pandang dan tilik sesuai? Manakala jika anda hanya suka-suka dalam aktiviti ini, adakah anda akan memikul beban yang amat berat membawa kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR) ketika menyelam?

Semua ini amat penting ketika anda ingin mencari sebuah kamera dasar laut yang boleh menghasilkan kualiti imej terbaik. Mungkin ada yang mengatakan kamera murah pun boleh menghasilkan kualiti yang sama dengan DSLR kerana boleh disunting dan bagi saya jawapannya ialah ya dan tidak.

Setiap kamera ada keperluan dan kelebihan yang tersendiri. Malah, kita kena fikir dari segi logik di mana fungsi tambahan pasti ada pada kamera yang lebih mahal berbanding sebuah kamera yang murah, paling tidakpun kelebihan dari segi resolusi kamera itu sendiri.

Jadi, mana yang patut dibeli? Saya sering mengesyorkan kepada mereka yang bertanya soalan ini Tepuk poket, tanya diri.".

Sebuah kamera asas pandang dan tilik (P&S) dengan set peralatan lengkap boleh mencapai maksimum RM5,000 berbanding set lengkap pada DSLR RM25,000 minimum. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangan.

P&S hanya mempunyai lensa tetap dan tidak boleh ditukar ganti berbanding DSLR yang lebih banyak lensa yang boleh digunakan namun DSLR lebih berat berbanding P&S.

DSLR tidak mempunyai jeda masa ketika butang pengatup ditekan berbanding P&S yang tidak mampu merakam tepat pada saat yang diperlukan. Jadi semuanya berbeza dan mempunyai kelemahan dan kelebihan masing-masing. Saya akan sambung maklumat ini pada ruangan akan datang. Jika ada sebarang pertanyaan, e-mel dengan subjek Dasar Laut ke klik.mingguan@gmail.com.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Stephen tawan puncak gunung

Posted: 20 Oct 2013 06:08 AM PDT

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

Semangat... Stephen (tengah) bersama rakan-rakan pendaki lain (dari kiri) Datuk Lee Hwa Beng, Datin Lee Soo Soo, Dr. Chuchart, Linda, Tan Jee Tien dan Khoo Swee Chiow.

LELAKI berumur lebih separuh abad ini kelihatan segak dengan pakaian rasmi syarikat miliknya, Ridpest Sdn. Bhd. Walaupun pada usia emas, dia masih cergas dan bertenaga seperti orang muda.

"Perniagaan seperti mendaki bukit atau gunung. Walaupun banyak rintangan, anda perlu menempuhnya hingga sampai ke puncak. Begitulah dalam perniagaan, anda perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya walaupun pelbagai cabaran dilalui," ujar Ketua Pegawai Eksekutif Ridpest, Stephen Liu, 52, yang baru sahaja pulang dari gunung tertinggi di dunia, Everest.

Biarpun hanya menamatkan pendakian di Everest Base Camp, namun bagi lelaki seusianya sudah tentu memerlukan semangat dan keazaman yang tinggi untuk sampai ke tahap itu.

Ternyata usaha ini adalah sesuatu yang berbaloi untuk dilakukan memandangkan Stephen melakukannya untuk mengumpul dana amal.

Untuk sampai di Everest Base Camp pada ketinggian 5,364 meter dari aras laut memerlukan stamina di samping perlu bersedia dengan latihan intensif bagi menguatkan lagi fizikal dan mental.

Semakin tinggi berada di kawasan gunung yang terletak di tengah Banjaran Himalaya itu, maka semakin kuranglah peratusan oksigen menyebabkan seseorang itu terpaksa menggunakan bantuan balang oksigen.

Mereka yang tidak menjalani latihan sewajarnya atau tidak cukup cergas dari segi fizikal dan mental kemungkinan akan diserang 'mountain sickness' seperti pening kepala, sakit tekak, batuk, sakit perut, cirit- birit, sakit mata, kurang daya tahan, paru-paru berair dan tanpa disedari muka boleh menjadi bengkak.

Sebati

Namun itu bukan halangan bagi Stephen kerana aktiviti mendaki ini sudah sebati dengan dirinya sejak 15 tahun lalu.

Saya mula dengan aktiviti jungle tracking. Masa itu saya hanya melakukan aktiviti ini di Bukit Seputih, Cheras.

Sebagai pendaki, mental kena kuat dan latihan sangat penting. Jika tiada ketahanan mental, kita akan rasa jauh walaupun dekat. Kadangkala kita akan berdepan dengan cabaran kesejukan dan tandas awam yang tidak disediakan mungkin mengganggu kelancaran pendakian kita.

Itu belum lagi hujan yang boleh mengganggu tumpuan kita. Apa yang penting, kita tidak berputus asa. Bila berada di puncak, saya boleh menghidu udara segar dan menghargai alam ciptaan Tuhan," ujarnya yang mengamalkan suplemen herba halia untuk melancarkan darah.

Bercerita tentang pengurusan masa, Stephen berasa bertuah kerana dikurniakan isteri dan anak-anak yang memahami kerjaya dan hobinya.

Malah mereka menjadi pendorong utama untuk dia berjaya mendaki gunung.

Kami bersama-sama menguruskan syarikat. Isteri saya, Angelina sangat memahami saya. Dia tidak pernah menghalang aktiviti saya malah sentiasa memberi kata-kata semangat untuk saya," ujar bapa kepada dua anak ini.

Menguruskan syarikat

Dalam pada itu, dia juga berjaya menguruskan syarikat Ridpest yang menawarkan perkhidmatan pembasmi serangga perosak tempatan yang ditubuhkan sejak 1985.

Buat masa ini, Stephen sibuk dengan program francais Ridpest.

Mengulas lanjut, Stephen berkata, Ridpest merupakan syarikat tunggal seumpamanya yang berani menawarkan jaminan sehingga 200 peratus terhadap perkhidmatannya.

"Jika kami gagal menjalankan tugas dengan baik, kami akan memulangkan semula duit pelanggan. Contohnya jika mereka membayar RM2,000, kami akan pulang semula sebanyak RM4,000.

"Pakej kami juga akan melindungi seluruh struktur kayu rumah dan juga kabinet. Jika berlaku serangan anai-anai juga semasa dalam tempoh kontrak kami akan menanggung segala kerugian yang ditanggung pelanggan,'' katanya.

Tambah Stephen , pemilihan pakej Ridpest sangat menjimatkan kerana pelanggan hanya perlu membayar serendah RM2,000 untuk kontrak penjagaan selama setahun untuk sebuah rumah teres.

"Harga pasaran ketika ini adalah RM1,600 untuk sekali perkhidmatan bagi sebuah rumah teres. Namun jika anai-anai atau serangga perosak datang kembali, pelanggan perlu membayar lagi untuk perkhidmatan sama,'' ujarnya.

Wujudkan keinsafan pesalah juvana

Posted: 20 Oct 2013 06:08 AM PDT

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

Sesi Dinamika Kumpulan yang dikendalikan oleh Jurulatih Dakwah Kebangsaan BPI.

MASALAH sosial di kalangan remaja hari ini adalah isu yang sudah lapuk untuk dibincangkan. Selain tiada jalan penyelesaian, bilangan kes yang dilaporkan semakin bertambah dari hari ke hari.

Boleh dikatakan pelbagai kegiatan jenayah seperti mencuri, pembuangan bayi, mengandung luar nikah, penagihan dadah, membunuh dan sebagainya kerap berlaku.

Bukan itu sahaja pelbagai program yang dianjurkan seolah-olah tiada noktah untuk dibicarakan.

Tidak hairanlah jika golongan remaja yang terpaksa digelar pesalah juvana kerana melakukan jenayah kian meningkat.

Mengikut perundangan juvana, orang muda dan remaja membawa maksud yang sama, iaitu seseorang yang berumur antara 10 hingga 18 tahun dan boleh diiktiraf sebagai mengetahui akibat perlakuan "tanggungjawab jenayah".

Meskipun berada di sebalik tembok penjara, banduan muda atau pesalah juvana ini masih berharap agar mereka kembali ke pangkal jalan serta menginsafi kesalahan lampau.

Atas kesedaran ini, Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pelajaran mengambil inisiatif menganjurkan Program Hijrah Kasih II dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia (JPM) dari 24 hingga 27 September lalu.

Kerjasama ini merupakan satu usaha ke arah memberi peluang kepada semua banduan muda di Sekolah Integriti melibatkan diri dalam aktiviti luar bagi membentuk keyakinan diri mereka agar mempunyai kesedaran diri untuk berubah.

Kementerian ingin memastikan semua pelajar mempunyai akses dan peluang menikmati kemudahan dalam proses pembelajaran walau di mana mereka berada.

Melalui program ini juga, kementerian berusaha mencari jalan dan mendapatkan punca sebenar banduan muda ini terlibat dengan aktiviti jenayah sehingga mereka dijatuhkan hukuman penjara.

Menurut Pengurus Projek yang juga Penolong Pengarah Unit Akhlak Dan Nilai Murni BPI, Mohd. Hamidi Zakaria, program ini memberi peluang kepada semua penghuni Sekolah Henry Gurney dan Sekolah Integriti seluruh Malaysia mendapat pengisian rohani di samping menyuntik semangat baru supaya bersedia untuk menjadi insan yang lebih baik.

"Aktiviti yang dilaksanakan sepanjang program ini adalah sesi pecah bendungan, taaruf, mandi wajib, tahsin solat, eksplorasi fardu ain, bicara hati dan sesi dinamika kumpulan.

"Program ini memberi peluang kepada semua banduan muda ini untuk kembali ke pangkal jalan dengan menekankan aspek kerohanian dan kesedaran mendekatkan diri kepada Allah. Amalan seperti alunan zikir munajat turut diajar kepada semua penghuni yang terlibat agar mereka merasa dekat dengan Allah.

"Pendekatan yang digunakan juga adalah mesra dan semua jurulatih yang terlibat telah membina hubungan yang baik sepanjang aktiviti dijalankan agar para banduan tersebut tidak kekok mengikuti setiap aktiviti tersebut," katanya.

Sementara itu, KPM berharap agar masyarakat khususnya keluarga banduan muda di Sekolah Integriti ini tidak menyisihkan anak-anak mereka yang mungkin telah tersalah langkah dalam membuat tindakan dan keputusan sehingga terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah.

Semua banduan muda ini perlu diberi peluang untuk meneruskan kehidupan mereka yang lebih baik ke arah melahirkan modal insan yang akan menyumbang kepada pembangunan negara.

"Mereka mempunyai potensi yang boleh dikembangkan sekiranya diberi peluang yang selayaknya diterima oleh mereka.

"Justeru, dalam program ini juga satu pertemuan dengan ibu bapa dan waris banduan muda diatur bagi memberi kesedaran terhadap tanggungjawab dan peranan yang perlu dimainkan dalam sesebuah institusi kekeluargaan.

"Peluang dan ruang perlu diberikan kepada semua banduan muda ini untuk berubah. Ibu bapa dan ahli keluarga serta masyarakat sekitar perlu memberi sokongan moral kepada mereka semua untuk memperbetulkan kesilapan lalu," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Empat sayap UMNO Selangor diarah mesyuarat semula

Posted: 19 Oct 2013 12:47 PM PDT

TANJONG KARANG 19 Okt. - Empat mesyuarat perwakilan sayap di tiga bahagian di negeri ini diarah diadakan semula ekoran wujudnya keraguan dalam perjalanan mesyuarat tersebut yang diadakan pada 12 Oktober lalu.

Empat mesyuarat tersebut membabitkan perwakilan Pergerakan Wanita UMNO masing-masing di bahagian Petaling Jaya Selatan (PJS) dan Gombak manakala dua lagi mesyuarat sayap melibatkan Pergerakan Pemuda UMNO dan Puteri UMNO Bahagian Sepang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, arahan itu dibuat setelah Jawatankuasa Aduan UMNO negeri mendapat aduan daripada sayap bahagian berkenaan yang tidak berpuas hati dengan perjalanan pemilihan masing-masing baru-baru ini.

Daripada aduan itu katanya, mesyuarat pemilihan Pergerakan Wanita UMNO PJS melibatkan isu pertukaran perwakilan manakala di Gombak pula melibatkan isu pengiraan undi yang meragukan.

''Di UMNO Bahagian Sepang pula, pemilihan sayap Puteri UMNO terpaksa diadakan semula susulan Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian itu bersama 10 lagi ahli jawatankuasanya yang dipilih baru-baru ini meletak jawatan serentak kerana tidak berpuas hati dengan proses pemilihan yang dijalankan.

''Begitu juga dengan mesyuarat pemilihan Pemuda UMNO Bahagian Sepang, aduan yang diterima melibatkan pertikaian mengenai proses mesyuarat pemilihan yang tidak mengikut prosedur serta peraturan yang ditetapkan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Noh berkata, Jawatankuasa Aduan UMNO negeri mendapati aduan tersebut berasas dan telah memaklumkan kepada Jawatankuasa Pemilihan UMNO Pusat.

''Ibu Pejabat UMNO telah bersetuju supaya mesyuarat pemilihan melibatkan sayap-sayap bahagian yang terlibat diadakan semula," jelasnya.

Dalam pada itu, Noh menyatakan, pihaknya akan mengadakan mesyuarat pada Selasa ini bagi menetapkan tarikh pemilihan semua bagi semua sayap di bahagian berkenaan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Promosi makanan Pantai Timur di Hotel Thistle

Posted: 19 Oct 2013 12:47 PM PDT

JOHOR BAHRU 19 Okt. - Penggemar makanan Pantai Timur terutama Kelantan dan Terengganu boleh menikmati juadah tersebut di Hotel Thistle di sini hingga hujung bulan ini.

Chef Eksekutif hotel berkenaan, Chef Imran Hamid berkata, juadah tersebut akan dihidangkan untuk jamuan makan malam bermula pukul 6.30 petang hingga 10.30 malam sempena Pesta Makanan Pantai Timur yang dianjurkan pihaknya.

Pesta ini diadakan bagi memperkenalkan menu makanan selain negeri Johor, sebelum ini kami telah memperkenalkan makanan dari Pulau Pinang yang mendapat sambutan menggalakkan.

Kini kami memutuskan untuk mengetengahkan makanan dari dua negeri itu yang sememangnya terkenal dengan juadah yang enak," katanya ketika ditemui pada sesi prebiu di sini baru-baru ini.

Chef Imran memberitahu, antara menu utama yang akan disajikan ialah nasi kerabu, nasi dagang, keropok lekor dan kuih tradisional dari kedua-dua negeri berkenaan yang dihidangkan dalam tiga set menu secara berselang-seli.

Harga bagi hidangan bufet itu bagi dewasa adalah RM85 manakala bagi kanak-kanak berusia antara enam hingga 12 tahun ialah RM42.50 pada setiap hari Jumaat.

Sementara itu, pada setiap Sabtu hingga Khamis, harganya adalah RM65 bagi dewasa dan RM32.50 bagi kanak-kanak," katanya sambil memberitahu setiap Jumaat, terdapat persembahan kebudayaan untuk menghiburkan tetamu.

Pihaknya juga bercadang untuk memperkenalkan makanan tradisi orang Minang, masakan orang Negeri Sembilan serta masyarakat asli Minangkabau selepas ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Mekanik cedera, bengkel dirempuh lori

Posted: 19 Oct 2013 12:47 PM PDT

SEREMBAN 19 Okt. - Seorang mekanik yang sedang membaiki van cedera selepas bengkel membaiki kenderaan miliknya dirempuh sebuah lori dan kereta yang terbabas di pekan Mantin dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, Cheng Lib Sang, 51, cedera di muka serta badan dan kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar di sini.

Isterinya yang ingin dikenali sebagai Fong, lingkungan 40-an berkata, ketika kejadian suaminya berada di bawah van yang sedang dibaiki di depan bengkel mereka.

Katanya, tiba-tiba sebuah lori dari arah Seremban berlanggar dengan sebuah kereta jenis Proton Wira dari arah sama sebelum kedua-dua kenderaan itu terbabas ke arah bengkel yang terletak kira-kira lima meter dari bahu jalan.

Lori itu kemudian melanggar van yang sedang dibaiki suami saya menyebabkan kenderaan itu bergerak sekali gus mencederakan suami saya.

Beberapa orang rakan suami kemudian datang untuk membantunya dan membawanya segera ke hospital," katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Fong, suaminya masih dirawat di hospital akibat kecederaan yang dialaminya tetapi doktor memaklumkan keadaannya stabil.

Tambahnya, pemandu kereta Proton Wira dan pemandu serta kelindan lori tersebut tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Supritendan Mohd. Yusoff Awang yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurut beliau, punca sebenar kemalangan masih disiasat dan semua pihak yang terlibat dalam kejadian itu sudah membuat laporan polis.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Rokiah Bee Ketua Wanita UMNO Kepala Batas

Posted: 19 Oct 2013 12:47 PM PDT

KEPALA BATAS 19 Okt. - Ketua Wanita UMNO Cawangan Padang Benggali, Rokiah Bee Hassan dipilih sebagai Ketua Wanita UMNO Bahagian Kepala Batas yang baharu selepas menewaskan penyandangnya, Zabariah Wahab.

Rokiah Bee, 67, memperoleh 198 undi manakala Zabariah 167 undi dalam pertandingan satu lawan satu yang diadakan di Wisma UMNO di sini semalam.

Pengerusi Tetap Wanita UMNO bahagian itu, Saadiah Aziz mengumumkan keputusan tersebut sambil disambut dengan tepukan gemuruh oleh para perwakilan.

Katanya, sebanyak 370 perwakilan Wanita hadir pada pemilihan semula jawatan Ketua Wanita bahagian tersebut.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO negeri, Datuk Daud Taha; Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan peringkat bahagian, Datuk Seri Yahaya Hamid.

Sebelum ini, pemilihan jawatan Ketua Wanita bahagian itu yang diadakan pada 12 Oktober lalu ditangguhkan selepas kedua-dua calon memperoleh jumlah undi sama.

Penyandang jawatan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bertam, Zabariah dan Rokiah Bee masing-masing memperoleh 192 undi pada pemilihan tersebut.

Rokiah Bee yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Ayer Tawar berkata, dia bersyukur dengan kemenangan tersebut.

Beliau berkata, ini memberi peluang kepadanya untuk meneruskan transformasi kepemimpinan Wanita di bahagian itu.

"Saya mempunyai misi untuk memastikan UMNO terus relevan dan mendapat sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

"Wanita juga mesti bersatu padu memberi sokongan kepada kepimpinan UMNO di sini," katanya ketika ditemui selepas pemilihan itu.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved