Sabtu, 19 Oktober 2013

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Kasut Cala Man

Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT

SELAIN corak dan rekaan kasut, tentunya keselesaan memakai sepatu menjadi keutamaan ketika membuat keputusan untuk membelinya.

Menyedari hakikat tersebut, ramai pereka kasut kini semakin bijak dengan menitikberatkan penggunaan material yang boleh memberikan keselesaan kepada pemakai.

Lihat sahaja koleksi Cala Man yang mampu memenuhi keinginan kamu, yang mahukan keselesaan di samping mengekalkan gaya menarik untuk ke mana sahaja.

Menggunakan fabrik suede, koleksi Cala Man juga didatangkan dalam rona terang yang dipelbagaikan untuk memberi pilihan kepada pengguna. Ia juga sesuai dipadankan bersama seluar atau gaun bagi tampil lebih santai.

- LYNN/MOHD. AZIM ABD. RAHMAN

Konsep tawaf dan otak kanan

Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT

KONSEP tawaf bukan sahaja untuk ibadah haji bahkan juga boleh diaplikasi dalam kehidupan seharian manusia kerana ia mampu mengimbangi sistem otak manusia.

DALAM arus kemodenan ini dan dengan peningkatan taraf pendidikan, ramai ibu bapa mulai sedar tentang kepentingan penggunaan otak kanan berbanding dengan hanya tertumpu pada otak kiri sahaja.

Atas kesedaran ini, banyak kajian telah dilakukan untuk meningkatkan penggunaan otak kanan, bermula seawal peringkat usia kanak-kanak.

Penggunaan otak kanan yang seimbang dengan otak kiri dapat membantu kanak-kanak mengoptimumkan potensi diri dalam proses pembelajaran dengan lebih berkesan.

Sehubungan itu, terapi berkonsepkan hukum pusingan tawaf telah dilaksanakan hasil daripada kajian berasaskan hukum pergerakan alam yang berputar arah lawan jam iaitu dari kanan ke kiri.

Antara ciptaan manusia yang telah menggunakan prinsip ini adalah radar, bom atom, barangan multimedia (seperti CD, VCD, DVD dan Blue Ray Player), piring hitam, kaset, kipas siling dan lain-lain. Jika ciptaan tersebut digunakan mengikut arah jam, ia tidak dapat berfungsi dengan sempurna. Malah tanpa disedari, sukan lumba lari turut menggunakan konsep ini.

Kajian metafizik mendapati terapi jenis ini akan menghasilkan banyak tenaga dan kekuatan berbanding dengan pergerakan ikut arah jam.

Salah satu terapi yang mudah digunakan mengikut hukum ini adalah penggunaan jam tawaf. Melalui jam tawaf ini, pengguna akan dilatih dengan melihat susunan nombornya secara terbalik.

Keadaan ini akan mengimbangi sistem otak serta merangsang daya tumpuan seseorang. Keseimbangan kedua-dua hemisfera otak kiri dan kanan ini akan membantu pengawalan tekanan perasaan.

Hal ini akan meningkatkan daya keyakinan dan semangat kanak-kanak. Secara tidak langsung, ini akan mengekalkan potensi diri yang paling optimum. Kekuatan inilah yang akan menjadikan mereka lebih berjaya, malah luar biasa.

NURDILLA ZAINI, Universiti Putra Malaysia

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Bina 1,885 rumah di Selangor

Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
kota@utusangroup.com

ORANG ramai berbaris untuk mendaftarkan nama pada majlis Pelancaran Jualan dan Cabutan Undi Program Rumah Pertama Rakyat di Stadium Malawati di Shah Alam, Selangor semalam. - UTUSAN/Saharuddin Abdullah

SHAH ALAM 18 Okt. - Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) merancang untuk membina 1,885 unit rumah di bawah Program Rumah Pertama Rakyat di Selangor meskipun negeri itu ditadbir pakatan pembangkang.

Pengerusinya, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkata, pembinaan perumahan itu melibatkan pelaksanaan dua projek bercampur yang dikhususkan untuk pasangan muda baharu berkahwin selain mempunyai pendapatan isi rumah tidak lebih RM10,000 sebulan.

Pihaknya berharap kerajaan negeri akan memberikan kerjasama sepenuhnya terutama dari segi penyediaan tanah secara percuma supaya harga jualan kediaman kepada golongan itu dapat dikurangkan sehingga 30 peratus.

"Harga tanah biasanya mewakili 30 peratus daripada harga rumah dijual manakala antara 15 hingga 20 peratus lagi bergantung kepada kos pembinaan prasarana termasuk longkang, jalan, parit dan sebagainya.

"Kalau kerajaan negeri bermurah hati dapat menyediakan tanah kepada pihak kami (SPNB), maka harga jualan rumah akan dapat dikurangkan dan lebih banyak rumah dapat dibina," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan jualan dan cabutan undi melibatkan 646 unit pangsapuri Alam Prima Fasa Kedua SPNB di bawah Program Rumah Pertama Rakyat di Seksyen 22, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Urusan SPNB, Datuk Dr. Kamarul Rashdan Salleh.

Mengulas lanjut mengenai projek Alam Prima Shah Alam Fasa 2, Abd. Latiff menjelaskan, rumah pangsapuri itu mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan harga bermula RM226,000 hingga RM412,000 seunit.

Kata beliau, projek tersebut mendapat permintaan tinggi apabila sebanyak 11,315 orang telah mendaftar untuk membelinya menerusi cabutan undi.

"Pihak kami jangka projek ini akan siap sepenuhnya dalam tempoh 24 bulan," katanya.

PPj saran projek monorel Putrajaya diteruskan

Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT

PUTRAJAYA 18 Okt. - Kerajaan Pusat disaran mempertimbangkan secara serius pembinaan sistem monorel di Putrajaya yang terpaksa dihentikan sementara akibat kegawatan ekonomi global dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat berkata, harapan tersebut sejajar dengan keyakinan bahawa sistem pengangkutan awam itu mampu menyelesaikan masalah tempat letak kereta di sini yang kini semakin kritikal.

Katanya, usaha itu juga selaras dengan langkah PPj yang mengadakan kempen untuk menggalakkan orang ramai dan penjawat awam menggunakan pengangkutan awam.

"Banyak tempat di Putrajaya yang mengalami masalah tempat letak kereta dan paling kritikal adalah sekitar Hospital Putrajaya dan kompleks kerajaan di Presint 1.

"Mungkin sudah tiba masanya untuk membangkitkan semula cadangan tersebut kepada kerajaan Pusat. Kalau tidak dimasukkan dalam RMK-9, mungkin RMK-10," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas taklimat sistem lalu lintas dan kemudahan tempat letak kereta di Institut Kanser Negara (IKN) di sini hari ini.

IKN yang dijangka beroperasi sepenuhnya mulai Januari depan turut menyediakan lebih 600 petak tempat letak kereta untuk kakitangan IKN dan juga orang awam.

Projek pengangkutan monorel Putrajaya yang meliputi jarak rel sepanjang 18 kilometer sebelum ini dijadualkan siap pada penghujung 2004.

Bagaimanapun, usaha itu tertangguh kerana ketiadaan peruntukan.

Dalam perkembangan berkaitan, Aseh berkata, PPj akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan Hospital Putrajaya dan IKN untuk mewujudkan sebuah tempat letak kereta berbayar berhampiran dua jabatan kerajaan itu.

"Kita khususkan untuk orang awam memandangkan tempat letak kereta sedia ada telah melebihi kapasiti," katanya.

Kereta terbakar sebabkan kesesakan teruk

Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT

ORANG ramai berhenti untuk menyaksikan sebuah kereta yang terbakar dalam kemalangan di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR 18 Okt. - Sebuah kereta yang terbabas dan terbakar berdekatan sebuah hotel di Jalan Tun Razak menghala ke pusat bandar di sini pagi ini menyebabkan kesesakan teruk kira-kira lima kilometer.

Kejadian kira-kira 7 pagi itu mengakibatkan beberapa laluan termasuk dari Setapak, Ampang dan Jalan Tun Razak sesak ketika ramai pemandu menuju ke tempat kerja masing-masing.

Penolong Pengarah Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail yang dihubungi berkata, bomba menerima panggilan daripada orang awam pada 7.14 pagi sebelum menghantar dua jentera dari Balai Bomba Keramat dan Titiwangsa bersama sepuluh anggota ke tempat kejadian.

"Kami (bomba) difahamkan pemandu kereta Toyota Vios itu melanggar penghadang jalan sebelum terbakar. Bagaimanapun, ketika kami tiba, pemandu itu tiada di lokasi kejadian.

"Mungkin mangsa sudah dibawa ke hospital," katanya.

Pihak bomba mengambil masa 20 minit untuk memadamkan kebakaran itu.

Sementara itu, jurucakap Unit Trafik Polis Kuala Lumpur mengesahkan mangsa berumur 45 tahun itu berjaya menyelamatkan diri sebelum kereta berwarna merah itu terbakar.

"Kami mendapati mangsa (lelaki) tempatan tidak cedera dan setakat ini mangsa belum membuat sebarang laporan polis berkenaan insiden itu," katanya sambil menambah mangsa dipercayai tinggal di Bandar Baru Ampang.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Guna tulisan jawi pada papan tanda

Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
utusanjohor@utusan.com.my

BATU PAHAT 18 Okt. - Kerajaan negeri menggalakkan pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) menggunakan tulisan jawi pada papan tanda dan nama bangunan sebagai usaha memelihara tulisan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Penerangan negeri, Md. Jais Sarday berkata, selain memperkasakan tulisan Jawi, kerajaan turut komited dalam mengutamakan bahasa kebangsaan selaras dengan Undang-Undang Kecil Iklan dan Garis Panduan Papan Iklan Premis Perniagaan.

Menurutnya, dalam usaha mengawal ejaan dan pengunaan ayat dalam bahasa Melayu yang betul, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bekerjasama dengan menerbitkan buku berkaitan paparan pengiklanan dan papan peragaan sebagai rujukan.

"Buku berjudul Garis Panduan Menamai Syarikat, Bangunan, Kawasan Perumahan, Tempat Awam dan Jalan Raya yang diterbitkan pada 1996 dan 2007 merupakan rujukan terbaik bagi semua pihak dalam mengawal ejaan dan ayat.

"Selain itu, kerajaan negeri turut komited untuk memartabatkan tulisan jawi di kawasan awam seperti perumahan, papan tanda jalan dan sebagainya," katanya selepas melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2013 peringkat negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Sulaiman di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Kamarul Zaman Shaharudin.

Md. Jais memberitahu, usaha mengutamakan bahasa kebangsaan dapat memperkasa, memantap dan merealisasikan jati diri bangsa yang berdaulat, selain menyatupadukan rakyat tanpa mengira agama, keturunan atau ideologi politik.

Beliau berkata, setelah 56 tahun negara merdeka, usaha untuk memperkasakan bahasa kebangsaan dan tulisan jawi masih belum boleh dibanggakan serta jauh daripada sasarannya.

"Oleh itu, Bulan Bahasa Kebangsaan telah diangkat oleh kerajaan sebagai satu acara tahunan untuk memberikan kesedaran tentang pentingnya menggunakan bahasa kebangsaan berbanding bahasa lain untuk ekonomi, pendidikan, industri dan sebagainya.

"Bulan Bahasa Kebangsaan ini juga merupakan manifestasi daripada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 serta disambut setiap tahun bermula bulan hingga Disember.

"Selain itu, bermula tahun ini, DBP dengan kerjasama semua agensi kerajaan akan melakukan tindakan proaktif untuk memartabatkan bahasa kebangsaan menerusi Program Audit Bahasa Melayu," katanya.

Ahli PBTM disaran melabur dalam Sara 1Malaysia

Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT

SHAMSUDIN Rais (dua dari kanan) menerima sumbangan dari RHB Bank untuk PBTM Cawangan Muar yang disampaikan oleh Amir Abdul Aziz pada Majlis Korban, Tahlil dan Doa Selamat di Pejabat PBTM Muar, Johor, semalam.

MUAR 18 Okt. - Seramai 4,064 ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Muar disaran menyertai Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia) serta Program Azam Niaga dan Azam Khidmat bagi menambah baik kehidupan mereka.

Ketuanya, Shamsudin Rais berkata, skim tersebut membolehkan mereka mengukuhkan kewangan menerusi pelaburan yang dilakukan manakala Program Azam Niaga pula membantu mengembangkan perniagaan mereka.

"Bagi Sara 1Malaysia, ahli PBTM yang pendapatannya di bawah RM3,000 sebulan boleh membuat pelaburan RM5,000 bagi tempoh lima tahun dengan membayar RM84 sebulan. Apabila cukup tempoh itu, mereka akan memperoleh RM13,000 tidak termasuk dividen.

"Setakat ini seramai 100 ahli PBTM Muar sudah menyertai Sara 1Malaysia dan bagi menggalakkan lebih ramai menyertainya usaha memberi penerangan mengenainya akan dipergiat," katanya ketika ditemui pada majlis Korban, Tahlil dan Doa Selamat di Pejabat PBTM Muar di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Pengurus RHB Bank Wilayah Selatan, Amir Abdul Aziz menyerahkan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada PBTM Cawangan Muar yang diwakili Shamsudin bagi membolehkan mereka menjalankan aktivitinya.

Shamsudin berkata, masih ramai ahli PBTM di sini yang tidak mahu merebut peluang berkenaan dan diharap mereka menyertainya kerana memberi keuntungan untuk jangka masa panjang.

Bagi Program Azam Niaga dan Azam Khidmat yang dikendalikan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, katanya, program itu merupakan satu peluang ekonomi untuk mereka meningkatkan pendapatan.

Beliau berkata, permohonan menyertai program tersebut adalah untuk mereka yang telah berniaga seperti nasi lemak, sate, jahitan, burger, air tebu, refleksologi, jagung manis, air batu campur, mesin rumput, otak-otak dan cendol.

Setakat ini, kira-kira 30 ahli sudah menyertai program berkenaan dan bagi sesiapa yang berminat untuk turut serta termasuk melabur dalam Sara 1Malaysia, diminta mengambil borang permohonan di Pejabat PBTM Cawangan Muar.

Dalam majlis tersebut, sebanyak empat ekor lembu sumbangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; RHB Islamic Bank dan bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dikorbankan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Proses pemilihan di Perlis lancar

Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
utusanperlis@utusan.com.my

KANGAR 18 Okt. - Proses Pemilihan UMNO di ketiga-tiga bahagian di Perlis, Padang Besar, Kangar dan Arau dijangka berjalan lancar tanpa melibatkan masalah khususnya berkaitan calon yang tidak dibenarkan bertanding esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Malaysia Negeri Perlis, Datuk Abdul Azib Saad, memberitahu, hanya terdapat satu aduan mengenai seorang calon dari UMNO Bahagian Arau yang namanya tercicir daripada senarai.

"Namun, sudah pasti ia akan dapat diatasi, cuma melibatkan masalah teknikal, bukan calon berkenaan tak dapat bertanding kerana sesuatu masalah," kata beliau dalam sidang mengenai persiapan Pemilihan UMNO Negeri Perlis di sini hari ini.

Mengenai persiapan dan keselamatan pada hari pemilihan, beliau menjelaskan, berdasarkan kepada pengalaman mengendalikan pemilihan sayap parti baru-baru ini, pihaknya mengenalpasti beberapa kelemahan yang akan diatasi.

"Pertama dari segi pendaftaran, pihak pendaftar akan teliti kerana ia menimbulkan masalah khususnya berhubung masalah kad pengenalan lama perwakilan yang menimbulkan sedikit keraguan.

"Contohnya, wajah perwakilan tidak sama dengan gambar yang tertera pada kad pengenalan disebabkan dokumen tersebut tidak ditukar baharu tetapi jika namanya sama sebagaimana dalam surat tauliah dikeluarkan oleh Setiausaha UMNO Bahagian masing-masing, sudah tentu diterima," tambah beliau.

Menurut Abdul Azib, anggaran dalam 800 perwakilan bagi setiap bahagian yang akan mengundi pada pemilihan esok untuk jawatan Pengerusi tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian, Ahli Jawatankuasa, Pemeriksa Kira-Kira dan Perwakilan (G7) ke Mesyuarat UMNO Pusat.

Kata beliau, tiga tempat bakal berlangsung pemilihan tersebut ialah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Jaafar Hassan (Padang Besar), Dewan 2020 (Kangar) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Arau.

"Di Perlis, pihak kami jangkakan pemilihan yang bermula pukul 8 pagi akan dapat diketaui keputusannya paling awal selepas pukul 8 malam," tambah beliau.

Tiada sijil lahir: Nenek bimbang masa depan dua cucu

Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT

CHE Su Ali bersama Muhammad Shahrul Nizam dan Muhammad Shahrin yang tidak bersekolah kerana tiada sijil kelahiran ketika ditemui di Kampung Pengkalan Bukit Kecil Simpor, Sungai Petani, baru-baru ini.

SUNGAI PETANI 18 Okt. - Dua kanak-kanak di Kampung Pengkalan Bukit Kecil, Simpor dekat sini bukan sahaja tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah malah salah seorang daripada mereka langsung tidak memiliki sijil kelahiran.

Kanak-kanak tersebut, Muhammad Shahrul Nizam, 8, dan Muhammad Shahrin, 9, terpaksa menumpang kasih dengan nenek mereka, Che Su Ali, 71, sejak kematian ibu pada 2007.

Menurut Che Su, urusan persekolahan Shahrin tidak dapat dilakukan memandangkan dia tidak memiliki dokumen kelahiran yang sah.

"Beberapa tahun lalu, proses daftar lewat kelahiran telah dibuat tapi hanya separuh jalan," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Che Su berkata, dia bimbang dengan masa depan cucu-cucunya itu memandangkan tiada sesiapa sanggup membantu dan menguruskan proses pendaftaran dokumen diri untuk persekolahan mereka.

"Saya tidak pandai buat urusan surat-menyurat, akhirnya kedua-duanya tidak ke sekolah sampai sekarang," katanya yang berharap agar mereka dapat memulakan persekolahan tahun hadapan.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Sosial Kuala Muda, Makbul Ilahi Hashim memberitahu, pihaknya prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh dua kanak-kanak itu.

"Kes-kes begini perlu diberi perhatian serius dan saya mohon pihak berkenaan buat pemantauan untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.

Kisah dialami oleh keluarga berkenaan turut mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Penolong Pegawai JKM Daerah Kuala Muda, Faezah Nadiah Mohd. Sairy memberitahu, Che Su akan menerima bantuan kanak-kanak sebanyak RM200 sebulan bagi bantuan persekolahan.

"Kebenaran mahkamah terhadap hak penjagaan kanak-kanak telah diterima Che Su dan dia perlu membawanya ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk permohonan daftar lewat kelahiran.

"Kita dimaklumkan, permohonan kali pertama dibuat pada 2010 tidak sampai kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyebabkan permohonan tidak dapat diproses," katanya.

Faezah Nadiah menjelaskan, pihaknya sanggup membantu bagi mendapatkan sijil kelahiran tetapi memerlukan bantuan beberapa ahli keluarga untuk melengkapkan dokumen sokongan serta hadir ke JPN untuk sesi temuduga.

"Sekiranya proses itu diselesaikan, JKM sedia bekerjasama dengan Pejabat Pelajaran Daerah bagi menyediakan surat sokongan untuk menempatkan kedua-dua beradik tersebut di sekolah berdekatan rumah mereka," katanya.

Mangsa kebakaran terharu dapat beraya di rumah baharu

Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT

ABDUL Azeez Rahim (dua dari kanan) menjamu selera bersama penduduk kampung ketika mengunjungi rumah baharu Zainol Yahaya (empat dari kanan) ketika majlis penyerahan rumah di Kampung Charuk Bunting, Baling, baru-baru ini.

BALING 18 Okt. - Seorang penduduk Kampung Charuk Bunting di sini melahirkan rasa syukur dan terharu kerana dapat beraya di rumah baru mereka setelah rumah pusaka yang berusia 30 tahun musnah terbakar pada Jun lalu.

Zainol Yahaya, 75, turut melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana dapat beraya dengan sempurna walaupun rumah kesayangannya musnah terbakar.

"Terima kasih kepada pemimpin di sini yang amat prihatin dengan masalah rakyatnya dengan memberi pelbagai bantuan segera kepada saya sekeluarga bagi meringankan beban yang kami tanggung," katanya di sini kelmarin.

Rumah dua bilik yang dibina itu menelan belanja hampir RM20,000 siap sepenuhnya menjelang Aidiladha.

Menurutnya, kehidupannya kini lebih selesa dengan rumah baru yang didiaminya dan seterusnya dapat menjalani kehidupan dengan lebih selamat kerana rumah yang dibina lengkap dengan ciri-ciri pendawaian yang selamat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Rahim berkata, bantuan segera dalam tempoh 24 jam akan dilaksanakan oleh Yayasan Pembangunan Rakyat Baling (YPRB) untuk diberikan kepada mangsa apabila berlaku tragedi malapetaka seperti kebakaran, banjir dan sebagainya.

"Melalui YPRB, bantuan segera akan diberikan dalam tempoh 24 jam kepada mangsa tragedi kebakaran, banjir dan sebagainya mengikut keperluan mangsa yang terlibat.

"Ini adalah satu pengorbanan pemimpin dan rakyat di daerah ini untuk turut sama membantu mangsa bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh mereka," katanya ketika merasmikan rumah baru di Kampung Charuk Bunting.

Menurut Abdul Azeez, usaha tersebut dilakukan sementara mendapatkan bantuan daripada agensi-agensi terlibat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sebagainya agar mangsa dapat menjalani kehidupan seperti biasa walaupun ditimpa musibah.

Sejak lima tahun lalu katanya, lebih 300 buah rumah telah dibina dan 2,700 buah rumah telah dibaiki melalui pelbagai agensi bagi mengatasi masalah kemiskinan penduduk di sini.

Pada masa yang sama, Abdul Azeez turut mengumumkan tiga buah kontena yang diubahsuai bagi menjadi sebuah kediaman sebagai penempatan sementara jika berlaku musibah yang tidak diingini kepada mereka yang memerlukan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Perhebat aktiviti masyarakat

Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT

Oleh AINAA MARDHIAH MOHD. GHAZALI
utusanN9@utusan.com.my

SALBIAH Tengku Nujumudin (depan, tiga dari kanan) beramah mesra dengan seorang kanak-kanak yang melapah daging lembu sambil disaksikan Abu Ubaidah Redza (dua dari kanan) pada Majlis Ibadah Korban Perdana Pekerti di Surau Raudhah, Kampung Bahagia Jiboi, Paroi, Negeri Sembilan, semalam.

SEREMBAN 18 Okt. - Aktiviti kemasyarakatan adalah formula terbaik penyatuan bangsa dan antara kaum kerana di dalamnya ada elemen kesejahteraan rakyat.

Menurut Yang Dipertua Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Pegawai-pegawai Kanan (Pekerti) Negeri Sembilan, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin, rakyat perlu disatukan dan diberikan persepsi yang betul mengenai usaha yang dibuat kerajaan untuk mereka.

''Menyatupadukan rakyat adalah usaha bersama dan peranan itu perlu didukung oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

''Selain NGO, pemimpin masyarakat juga akan bersama-sama dengan rakyat melalui aktiviti turun padang meninjau keperluan dan kehendak mereka," katanya selepas menghadiri majlis Ibadah Korban Perdana Pekerti di Surau Raudhah, Kampung Bahagia Jiboi, Paroi dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Abu Ubaidah Redza.

Dalam majlis itu, Pekerti menyumbangkan dua ekor lembu sempena Hari Raya Aidiladha untuk ibadah korban dan dagingnya akan diagihkan kepada golongan memerlukan.

Dari segi pengagihan daging pula, pihak Pekerti memberikan amanah kepada pihak surau untuk menyempurnakannya dan disalurkan kepada mereka yang kurang berkemampuan.

''Saya berharap pada masa akan datang lebih banyak NGO dan ahli mereka terlibat dalam ibadah korban ini," katanya.

Manjakan anak perlu ada batasan - Awaludin

Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT

AWALUDIN Said (tiga dari kanan); Mohd. Ghazali Abdul Wahid (empat dari kanan) dan Norizan Muda (empat dari kiri) meraikan kemenangan Parlimen Rembau yang menjadi johan keseluruhan pada Majlis Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, dekat Seremban, semalam.

SEREMBAN 18 Okt. - Setiap anak boleh dimanjakan tetapi perlu ada batasannya kerana sikap berlebih-lebihan itu kelak akan hanya membuatkan anak itu tidak mampu berdikari, terlalu meminta-minta dan akhirnya merosakkan masa hadapan mereka.

Nasihat itu disampaikan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Dr. Awaludin Said bagi meleraikan perasaan terlalu memanjakan anak yang boleh mendorong terbantutnya tumbesaran akal dan tingkah laku mereka.

''Saya tidak nafikan semua ibu dan bapa menyayangi anak mereka. Ada yang membelai dan memanjakan mereka setiap masa. Itu sifat ibu dan bapa yang baik," katanya berucap sempena Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) peringkat negeri di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, di sini hari ini.

Kata Awaludin, dalam konteks manja itu, ibu bapa perlu melihat dalam skop yang lebih luas dengan melatih anak supaya mampu berdikari, mengenalpasti bakat yang ada, memberikan sokongan terhadap usaha baik, mendidik luaran dan dalaman anak dengan ilmu yang boleh memanfaatkan mereka pada masa hadapan.

''Jangan biarkan anak kita sampai 'memberontak' dan kita layan segala kehendak mereka. Itu bukan manja yang kita mahukan.

''Setiap keinginan anak itu perlu dipertimbangkan oleh ibu dan bapa dengan sewajarnya. Didik mereka supaya menghormati keputusan yang kita berikan serta mengajar mereka agar tidak mementingkan diri sendiri.

''Kita mahu memanjakan anak di mana akhirnya nanti mereka tidak terpesong tingkah laku," ujarnya.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Mohd. Ghazali Abdul Wahid; Pengarah Kemas negeri, Norizan Muda dan Pengarah Belia dan Sukan negeri, Azura Sarbin.

Sementara itu, seorang kanak-kanak Tabika Pasir Besar, Tampin, Firdaus Akmal Noramin, 6, diumumkan penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Kemas Negeri Sembilan.

Ibunya, Roshaidah Mohd. Jadi, 33 berkata, dia bersyukur dengan kejayaan itu dan berharap anugerah tersebut dapat dijadikan pendorong untuk anaknya lebih berjaya apabila memasuki alam persekolahan sebenar kelak.

''Anak saya aktif dalam kegiatan di luar tabika seperti menyertai silat dan bermain futsal. Dalam pelajaran juga, dia amat komited untuk berjaya. Terima kasih kerana memilih anak saya untuk penerima anugerah ini," jelasnya.

Pelajar antara tiga ditahan terlibat 10 kes curi motosikal

Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT

TUKIMAN Seriman (tengah) melihat sebahagian motosikal dan komponen yang dirampas selepas sidang akhbar di IPD Jempol, semalam.

JEMPOL 18 Okt. - Polis menahan seorang pelajar sekolah menengah bersama dua rakannya di tiga lokasi berbeza di daerah ini pada 9 Oktober lalu, sekali gus menyelesaikan 10 kes curi motosikal jenis Honda EX5 di sini yang komponennya dilerai sebelum dijual bagi tujuan lumba haram.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Tukiman Seriman berkata, dua remaja berusia 17 tahun itu ditahan hasil siasatan dijalankan ekoran laporan kehilangan motosikal jenis itu sejak Jun lalu.

"Salah seorang daripada remaja yang ditahan itu merupakan pelajar sebuah sekolah menengah. Pelajar ini kita tahan di rumahnya dekat Bandar Seri Jempol, manakala rakannya tidak bersekolah dan sudah bekerja.

"Polis turut menahan seorang lagi lelaki berusia 20 tahun, dipercayai rakan kepada dua remaja terbabit," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, di sini hari ini.

Ujar Tukiman, hasil penahanan remaja dan lelaki berkenaan, polis menemukan semula tujuh buah motosikal yang dilaporkan hilang, disembunyikan di beberapa kawasan sekitar daerah itu.

"Daripada tujuh buah motosikal itu, hanya empat buah masih dalam keadaan baik manakala yang lain sudah terlerai. Polis percaya, beberapa komponen motosikal ini telah dijual bagi tujuan lumba haram," ujar beliau.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 378 (A) Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal.

Sementara itu, dalam satu perkembangan lain, Tukiman berkata, polis telah menahan seorang pemuda berusia 25 tahun di Kampung Bayai dekat sini kerana menyimpan selaras senapang buatan sendiri dan sebutir peluru hidup jenis senapang patah.

"Suspek telah ditahan pada pukul 6.30 petang di rumahnya, 12 Oktober lalu. Senjata api itu ditemukan tersimpan dalam sebuah bengkel kenderaan dan dipercayai bagi tujuan memburu," ujarnya.

Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat 1971).

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Pemuda PBB lulus usul sokong penuh PPPM

Posted: 19 Oct 2013 01:55 AM PDT

KUCHING 19 Okt. - Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), selain mahu kerajaan meneliti isu perpindahan guru dari kawasan luar bandar Sarawak.

Perkara itu antara yang terkandung dalam tiga usul yang diluluskan sebulat suara oleh sayap tersebut dalam perhimpunan agungnya di sini.

Ketua Pemuda PBB, Datuk Fadillah Yusof berkata, sayap itu melihat dua perkara tersebut yang terkandung dalam usul pendidikan, sebagai amat penting kepada proses pembangunan negara amnya dan Sarawak khususnya.

Berhubung isu guru dari luar Sarawak, khususnya dari Semenanjung yang dihantar berkhidmat di pedalaman namun kemudian memohon kembali ke negeri asal, Fadillah berkata Pemuda PBB mahu kerajaan menangani segera masalah itu.

"Ini bagi memastikan jurang antara sekolah di bandar dan luar bandar dapat diatasi. Mungkin penambahan guru-guru tempatan boleh mengatasi masalah ini," katanya dalam sidang media selepas perhimpunan itu. - BERNAMA

Politik wang: Mukhriz tuntut

Posted: 18 Oct 2013 11:09 AM PDT

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Calon Naib Presiden UMNO, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir menafikan sekeras-kerasnya tuduhan portal propembangkang, The Malaysian Insider kononnya beliau mengamalkan politik wang menjelang saat-saat akhir kempen pemilihan parti.

Serentak dengan itu, beliau yang juga Menteri Besar Kedah mendesak The Malaysian Insider supaya menarik balik artikel fitnah tersebut dan memohon maaf kepadanya secara terbuka sebelum pukul 10 pagi ini (Sabtu) atau bakal berdepan tindakan undang-undang.

"Ini satu perbuatan berniat jahat yang bertujuan mencemar reputasi saya. Saya tidak pernah mengamalkan politik wang dalam karier politik saya. Sebaliknya saya penentang keras amalan politik wang. Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan The Malaysian Insider.

"Saya beri tempoh sehingga pukul 10 pagi kepada portal tersebut tarik balik artikel dan mohon maaf secara terbuka kepada saya. Jika tidak tindakan undang-undang akan diambil," katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia, di sini malam tadi. - UTUSAN ONLINE

Kereta api Bukit Bendera terkandas

Posted: 18 Oct 2013 11:01 AM PDT

PULAU PINANG 19 Okt. - Keterujaan dua pelancong ke Bukit Bendera bertukar menjadi mimpi buruk apabila mereka diserang sakit jantung selepas terperangkap hampir dua jam dalam kereta api yang terkandas akibat mengalami kerosakan petang semalam.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 7.30 malam itu, kereta api yang membawa 200 penumpang dari puncak bukit berkenaan terkandas di pertengahan jalan mengakibatkan semua penumpang terperangkap.

Akibat sarat dengan penumpang, beberapa orang mengalami sesak nafas termasuk dua pelancong terbabit.

Bagaimanapun, kedua-duanya sempat dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut oleh sepasukan bomba yang tiba memberi bantuan.

Kesemua penumpang berjaya diselamatkan pada kira-kira pukul 9.20 malam tadi. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Pilih pemimpin kukuhkan UMNO

Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Demonstrasi aman kecam Tony Pua hina pendaftar pertubuhan

Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Lawatan Muhyiddin berjaya

Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved